اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-850: SUAMI MENGETAHUI ISTERINYA BERZINA

SUAMI_TAHU_ISTERINYA_BERZINA.jpg

 

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz. Jika isteri berzina kemudian dia mengandung, adakah sudah terputus perkahwinan antara suami dan isteri? Bagaimana pula dengan nasab anak hasil zina isteri dengan lelaki lain?

RINGKASAN JAWAPAN:

Zina yang dilakukan oleh isteri tidak membatalkan perkahwinan selagi mana suami tidak menceraikannya dengan lafaz talak atau li’an. Menurut mazhab al-Syafi‘i, suami haram menafikan nasab anak sekiranya berlaku kemungkinan sama ada anak tersebut hasil daripada persetubuhan antara suami isteri atau hasil daripada perzinaan. Suami dibenarkan untuk melakukan li’an untuk menafikan nasab anak sekiranya mengetahui secara yakin anak tersebut bukan anaknya berdasarkan bukti yang ada. Wallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pembubaran perkahwinan mengikut hukum syarak tidak akan terlaksana kecuali dengan cara berikut:

  1. Perceraian dengan lafaz talak
  2. Fasakh
  3. Cerai taklik
  4. Tebus talak/ Khulu‘
  5. Anggapan mati
  6. Perceraian dengan li‘an

Li’an menurut takrif syarak ialah perkataan-perkataan yang dijadikan hujah oleh suami yang terpaksa menuduh isterinya kerana mencemari rumahtangga dan melemparkan aib kepada suami atau bertujuan untuk menafikan nasab.[1] Ia menjadi salah satu pembubaran perkahwinan yang mana suami melakukan sumpah dengan nama Allah SWT sebanyak empat kali apabila dia menuduh isterinya berzina dan sumpah kelima bahawa laknat Allah ke atasnya sekiranya dia berdusta. Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ ‎﴿٦﴾‏ وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ ‎﴿٧﴾‏

Maksudnya:Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.”                         

Surah al-Nur (6-7)

Keadaan ini bertujuan untuk mengelakkan hukuman qazaf ke atas suami yang tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa empat orang saksi kerana seseorang yang menuduh zina tanpa mendatangkan saksi akan dikenakan hukuman had qazaf iaitu 80 sebatan dan tergugur penyaksiannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya:Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Surah al-Nur (4)

Pensyariatan li’an merupakan tanda rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya bagi menjaga kemaslahatan suami yang mengetahui isterinya berzina namun tidak dapat menghadirkan saksi. Begitu juga disyariatkan kepada isteri yang dituduh berzina oleh suami secara li’an membebaskan dirinya daripada hukum had zina bagi penzina yang telah berkahwin iaitu direjam sehingga mati dengan bersumpah bahawa suaminya berdusta dan kemurkaan dan laknat Allah kepadanya jika suaminya benar.[2] Hukum ini jelas disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَيَدْرَأُ عَنْهَا الْعَذَابَ أَن تَشْهَدَ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الْكَاذِبِينَ ‎﴿٨﴾‏ وَالْخَامِسَةَ أَنَّ غَضَبَ اللَّهِ عَلَيْهَا إِن كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ ‎﴿٩﴾‏ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ وَأَنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ حَكِيمٌ ‎﴿١٠﴾‏

Maksudnya: “Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar. Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).”

Surah al-Nur (8-10)

Hukum Qazaf Isteri

Perbuatan li’an tidak boleh tidak mestilah dilaksanakan selepas berlaku qazaf iaitu tuduhan zina ke atas isteri atau penafian nasab anak oleh suami namun, suami tidak dapat mendatangkan saksi dan bukti. Tujuan li’an adalah sebagai hujah penting yang diperlukan bagi membebaskan diri daripada had qazaf dan menafikan nasab.[3]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menjelaskan dalam kitabnya, hukum suami menuduh isteri berzina berbeza mengikut keadaan seperti berikut:

Harus qazaf: Apabila suami yang mengetahui isterinya berzina diharuskan melakukan qazaf ke atas isteri dengan mengikuti syarat-syarat qazaf atau memilih untuk mendiamkan serta menyembunyikan perzinaan isteri sekiranya tiada anak hasil daripada hubungan tersebut. Dalam keadaan ini suami mengetahui isterinya berzina dengan cara berikut:

  1. Dia telah melihat dengan matanya perbuatan zina tersebut.
  2. Bersangka dengan sangkaan yang tetap dan yakin serta wujudnya bukti.
  3. Isteri mengaku bahawa dia telah berzina dan suami mempercayainya.
  4. Suami diberitahu oleh seorang yang amanah dan dipercayai tentang perzinaan isteri.

Walau bagaimanapun, suami menutup atau menyembunyikan perzinaan itu adalah lebih baik daripada melakukan qazaf, kemudian menceraikan isteri sekiranya suami tidak mahu lagi hidup bersama isteri. Suami perlu menasihati isteri untuk bertaubat dan memperbaiki kesalahannya. Tindakan ini sememangnya dapat menutup keaiban dosa isteri. Namun begitu, tidak haram sekiranya suami masih ingin kekal bersama isteri, menerimanya dan tidak menceraikannya.[4]

Wajib qazaf: Seorang suami wajib menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab dengan li’an apabila isteri melahirkan seorang anak dan suami tersebut mengetahui bahawa anak tersebut bukanlah anaknya. Suami dapat mengesahkan atau yakin bahawa anak tersebut bukan daripadanya apabila suami tidak pernah menyetubuhi isteri atau anak tersebut dilahirkan kurang enam bulan daripada masa suami menyetubuhi isteri.[5]

Nasab Anak Hasil Perbuatan Zina Isteri dalam Tempoh Perkahwinan

Sekiranya suami mengetahui isterinya berzina tetapi wujud kemungkinan (ihtimal) bahawa anak tersebut daripadanya dan juga daripada perbuatan zina, maka haram suami untuk menafikan nasab anak untuk menjaga perkahwinan tersebut. Bahkan haram untuk qazaf dan li’an dalam pendapat yang sahih.[6]

Suami tidak boleh menafikan nasab anak daripadanya jika telah berlaku imkan al-dukhul iaitu persetubuhan antara suami dan isteri, berdasarkan Rasulullah S.A.W. bersabda:

الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ

Maksudnya:Nasab anak kepada perkahwinan yang sah, sedangkan penzina adalah keaiban.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Namun, jika tidak berlaku persetubuhan dalam keadaan tersebut seperti suami tidak menyetubuhi isterinya selepas berkahwin kemudian menceraikannya atau suami dan isteri tinggal berjauhan yang tidak mungkin berlaku persetubuhan namun isteri hamil, maka nasab anak ternafi daripadanya tanpa perlu suami melakukan li‘an.[7]

 

Kesimpulan

Menuduh seseorang melakukan zina merupakan perkara yang keji lebih-lebih lagi jika tiada saksi dan bukti kukuh. Namun begitu, pensyariatan li’an merupakan cara suami untuk menafikan nasab anak yang terhasil daripada perzinaan isteri yang telah mencemarkan kesucian hubungan perkahwinan mereka.

Dalam sesetengah keadaan, lebih afdal bagi seorang suami untuk menutup kesalahan isterinya dan menceraikannya dengan cara yang baik tanpa melakukan qazaf mahupun li’an sekiranya tiada anak hasil daripada hubungan zina tersebut.

Suami dinasihatkan untuk merujuk dan mendapat pandangan daripada mahkamah bagi melakukan proses li’an kerana proses mengangkat sumpah ini hendaklah dilaksanakan di hadapan hakim sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 50A Perceraian dengan li’an.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1994). Jld 5. Hlm 52.

«كَلِمَاتٌ مَعْلُومَةٌ جُعِلَتْ حُجَّةً لِلْمُضْطَرِّ إلَى قَذْفِ مَنْ لَطَخَ فِرَاشَهُ وَأَلْحَقَ الْعَارَ بِهِ أَوْ إلَى نَفْيِ وَلَدٍ»

[2] al-Zuhaili, Wahbah. al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari‘ah wa al-Manhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1994). Jld 18. Hlm 156.

فرّج الله تعالى بهذه الآية عن الأزواج وأوجد لهم المخرج إذا قذف أحدهم زوجته، وتعسّر عليه إقامة البينة، وهو أن يحضرها إلى الحاكم، فيدعي عليها بما رماها به، فيلاعنها كما أمر الله عز وجل، بأن يحلفه الحاكم أربع شهادات بالله، في مقابلة أربعة شهداء، إنه لمن الصادقين فيما رماها به من الزنى

فإذا قال ذلك بانت منه بهذا اللعان نفسه عند جمهور العلماء غير الحنفية، وحرمت عليه أبدا، ويعطيها مهرها، ويسقط عنه حد القذف، وينفي الولد عنه إن وجد، ويتوجه عليها حد الزنى.

{وَيَدْرَؤُا عَنْهَا الْعَذابَ.}. -إلى قوله-: {إِنْ كانَ مِنَ الصّادِقِينَ} أي ويدفع عنها حد الزنى أن تحلف بالله أربعة أيمان: إن زوجها كاذب فيما رماها به من الفاحشة، والشهادة الخامسة أن غضب الله عليها إن كان زوجها صادقا فيما يقول.

[3] al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj. Jld 5. Hlm 52.

«قَالَ (يَسْبِقُهُ قَذْفٌ) وَهُوَ بِالْمُعْجَمَةِ لُغَةً: الرَّمْيُ، وَشَرْعًا: الرَّمْيُ بِالزِّنَا عَلَى جِهَةِ التَّعْبِيرِ، أَوْ نَفْيِ وَلَدٍ؛ لِأَنَّ اللَّهَ ذَكَرَ اللِّعَانَ بَعْدَ الْقَذْفِ، وَلِأَنَّهُ حُجَّةٌ ضَرُورِيَّةٌ لِدَفْعِ الْحَدِّ أَوْ نَفْيِ الْوَلَدِ»

[4] al-Zuhaili, Muhammad. al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i. (Damsyik: Dar al-Qalam, 2011) Jld 4. Hlm 236.

إذا لم يكن للزوج ولد يلحقه من الزوجة وعلم زنىها، بأن رآها بعينه وهي تزني، أو ظن زناها ظناً مؤكداً كشياع زناها مع قرينة، بأن استفاض ذلك بين الناس مع قرينة الفاحشة، بأن رآها مع رجل في خلوة، أو رآها تخرج من عنده، أو رآه يخرج من عندها، أو أقرت له بالزنى، ووقع في قلبه صدقها، أو أخبره به عن عيان من يثق به جاز له أن يقذفها بالشروط السابقة ولا يجب عليه القذف، وله أن يسكت ويستر عليها .

لكن الأولى أن يستر عليها ويطلقها إن كرهها، لما في ذلك من ستر الفاحشة، وإقالة العثرة، وينصحها لعلها تتوب، ويصلح أمرها، ولو أمسكها لم يحرم.

[5] Ibid.

لو أتت الزوجة بولد وعلم الزوج أنه ليس منه ، وجب عليه القذف والنفي باللعان، ويتحقق العلم أو اليقين أنه ليس منه كما لو لم يطأها، أو ولدته لدون ستة أشهر من وطئه لها .

[6] Ibid.

ولو علم الزوج زنى الزوجة، لكن احتمل كون الولد منه ومن الزنى حرم النفي رعاية للفراش ، وحرم القذف واللعان على الصحيح؛ لأن اللعان حجة ضرورية إنما يصار إليها لدفع النسب، أو قطع النكاح حيث لا ولد على الفراش الملطخ، وقد حصل الولد هنا فلم يبق له فائدة، والفراق ممكن بالطلاق .

[7] al-Zuhaili, Muhammad. al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i. Jld 4. Hlm 235.

أما إن لم يجتمعا أصلاً بأن تزوجها ثم طلقها عقب العقد، أو كان بينهما مسافة لا يمكن معها الاجتماع، فلا حاجة لنفي النسب باللعان، لأن الولد ينتفي نسبه منه في هذه الحالة من غير لعان لأننا نعلم أنها علقت به قبل حدوث الفراش، ولأن الزوج يحتاج إلى نفي الولد إذا لحقه، وذلك عند الإمكان، فإن لم يمكن كونه منه انتفى بلا لعان .