اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-853: HUKUM MENGEBUMIKAN JENAZAH BERSAMA ALAT PEG TUBE ATAU GASTROSTOMI TIUB DALAM BADANNYA

HUKUM_MENGEBUMIKAN_JENAZAH_BERSAMA_ALAT_PEG_TUBE_ATAU_GASTROSTOMI_TIUB_DALAM_BADANNYA.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang ayah saya yang sekarang ini berada dalam keadaan tenat. Doktor telah memasukkan Percutaneous Endoscopic Gastrostomy (PEG) Tube di dalam badannya untuk tujuan menyalurkan makanan terus ke perut. Soalan saya, jika dia meninggal dunia, apakah hukum mengebumikan dia tanpa mengeluarkan alat tersebut kerana difahamkan ia perlu dikeluarkan melalui pembedahan?

Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Jika benda tersebut tidak mencacatkan tubuh badan jenazah dengan membuangnya, maka ia perlu dipisahkan daripada tubuh jenazah. Adapun jika mencacatkan jenazah dan benda tersebut tidak dikategorikan sebagai barang yang berharga, maka tidak perlu dipisahkan kerana proses ini tidak termasuk dalam kategori darurat atau keperluan mendesak. Namun, sekiranya benda tersebut merupakan barang yang berharga dan bernilai, maka perlu dikeluarkan walaupun melalui pembedahan. Oleh itu, perlu dirujuk kepada pakar perubatan untuk mengesahkan hal-hal yang disebutkan ini.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pada asasnya, Allah SWT memuliakan manusia dan mengangkat kedudukannya berbanding makhluk-makluk lain. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.

(Surah al-Isra’: 70)

Ibn Kathir mentafsirkan ayat di atas bahawa Allah SWT memuliakan manusia dengan menciptakan mereka dengan penciptaan paling baik dan sempurna.[1] Selain itu, Nabi SAW juga pernah menyatakan bahawa kehormatan dan kemuliaan manusia tidak hilang disebabkan kematiannya. Sabda Rasulullah SAW:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: Mematahkan tulang orang yang telah mati sama seperti mematahkannya ketika dia hidup.

Riwayat Abu Dawud (3207)

Oleh yang demikian, dapat difahami daripada nas di atas bahawa menyakiti jenazah adalah haram seperti perbuatan membedah, memotong anggota dan mematahkan tulang, yang sama hukumnya pada ketika dia hidup.

Walau bagaimanapun, terdapat keadaan-keadaan yang dibolehkan untuk pembedahan mayat atas keperluan yang darurat seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004.

Muzakarah tersebut dalam membincangkan hukum bedah siasat mayat yang kematiannya bukan dikategorikan sebagai kes jenayah telah memutuskan bahawa hukum asal pembedahan mayat adalah haram, tetapi dibolehkan dalam keadaan darurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian, serta penyelidikan dan pendidikan khususnya dalam bidang perubatan. Rujuk artikel Irsyad al-Fatwa siri ke-94: Hukum Melakukan Autopsi Ke Atas Mayat dan Bayan Linnas Siri ke-57: Post Mortem Mayat: Hukum Islam & Pendapat Ulama.

Berkait persoalan di atas, jenis tiub yang disebutkan adalah salah cara menyalurkan Pemakanan melalui tiub, atau dalam istilah perubatan, lebih dikenali sebagai Enteral Nutrition. Ia dicadangkan kepada pesakit yang mempunyai masalah pengambilan makanan melalui mulut seperti masalah penggigian (maksilofacial), masalah penelanan, masalah penyumbatan/sekatan dalam saluran penghadaman dan masalah-masalah lain yang menghalang pengambilan pemakanan secara biasa dengan mencukupi.[2]

Dari sudut hukumnya, sekiranya benda yang berada di dalam tubuh jenazah itu merupakan sesuatu perkara yang tidak bernilai, maka tidak perlu dikeluarkan. Ini kerana perbuatan ini sebagai tindakan yang boleh mencacatkan dan menyakiti mayat. Selain itu, ia bukan dalam kategori darurat dan keperluan mendesak. Rujuk artikel Al-Kafi #1629 : Hukum Menanggalkan Pendakap Gigi Dan Gigi Palsu Dari Jenazah dan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-585 : Hukum Gigi Palsu Yang Ditanam Bersama Jenazah.

Walau bagaimanapun, sekiranya benda tersebut berharga dan boleh untuk digunakan kembali, maka perlu dikeluarkan supaya tidak mensia-siakan harta. Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Baghawi bahawa:

ولو ابتلع دُرَّة لإنسان ومات شق بطنه وردت

Maksudnya: Jika seseorang tertelan permata (yang berharga) kemudian meninggal dunia, maka hendaklah dibedah perutnya serta dikembalikan permata itu kepada orang yang berhak.[3] (Rujuk al-Tahzib, 2:424)

Oleh yang demikian, penentuan sama ada sesuatu benda, tidak kira alatan perubatan atau selainnya, yang berada di dalam badan jenazah perlu dibuang atau sebaliknya adalah bergantung kepada dua aspek seperti yang dibincangkan di atas. Pertama, adakah ia akan menyebabkan kecacatan pada jenazah ataupun tidak. Manakala kriteria kedua, adakah benda tersebut berharga ataupun tidak. Oleh itu, perkara ini perlu dirujuk pada pakar perubatan.

Kesimpulan

  • Jika benda tersebut tidak mencacatkan tubuh badan jenazah dengan membuangnya, maka perlu untuk membuangnya kerana tiada mudarat ke atas jenazah.
  • Jika mencacatkan jenazah dan benda yang berada dalam badan jenazah itu tidak berharga, maka tidak perlu dibuang kerana keperluan yang mendesak atau darurat. Namun, sekiranya benda tersebut merupakan barang yang berharga dan bernilai, maka perlu dikeluarkan walaupun dengan cara membedahnya.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Ibn Kathir, Ismail Ibn Umar, Tafsir al-Quran al-‘Azim, (Istanbul: Dar Tiybah, 1999), 5:97.

يُخْبِرُ تَعَالَى عَنْ تَشْرِيفِهِ لِبَنِي آدَمَ، وَتَكْرِيمِهِ إِيَّاهُمْ، فِي خَلْقِهِ لَهُمْ عَلَى أَحْسَنِ الْهَيْئَاتِ وَأَكْمَلِهَا.

[2] Rujuk pautan: http://www.myhealth.gov.my/pemakanan-melalui-tiub-cukupkah-sekadar-susu/. Diakses pada 20 November 2023.

[3] Al-Baghawiy, Abu Muhammad al-Husain Ibn Mas’ud, al-Tahzib fi Fiqh al-Syafie, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 1997), 2:424.