اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-854: GARIS PANDUAN TAARUF MENURUT ISLAM

GARIS_PANDUAN_TAARUF_MENURUT_ISLAM.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, bolehkah golongan yang belum berkahwin berbual dan berjumpa di tempat terbuka seperti restoran dan sebagainya bagi tujuan berkenalan untuk berkahwin seperti ‘speed dating’? Apakah garis panduan bagi lelaki dan perempuan bertaaruf dalam Islam? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Fitrah manusia cenderung mencari pasangan untuk berkahwin, namun pemilihan pasangan dan proses perkenalan hendaklah selari dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Perkahwinan yang diberkati Allah SWT bukanlah semata-mata memenuhi segala rukun dan syarat akad nikah tetapi ia hendaklah dilakukan dengan cara yang terhormat bermula daripada awal proses perkenalan sehingga waktu akad berdasarkan syariat Islam.

Garis panduan dalam Islam berkaitan proses taaruf antara lelaki dan perempuan seperti berikut :

  • Berjumpa bersama wali atau mahram kepada perempuan.
  • Menggunakan orang tengah yang dipercayai dan diyakini mampu menjadi pemerhati yang terbaik mengikut landasan syariat.
  • Menetapkan niat untuk tujuan berkahwin dan bukanlah mencari teman berbual sahaja.
  • Tidak meneruskan perkenalan dengan cara berdua-duaan sekiranya tiada mahram yang meneman dan tiada sebarang urusan keperluan.
  • Menutup aurat dengan sempurna ketika bertemu.
  • Menjaga adab serta menundukkan pandangan pada kadarnya ketika berurusan secara langsung.
  • Golongan perempuan tidak boleh menggunakan suara yang lunak dan manja ketika berkomunikasi dengan lelaki serta tidak menunjukkan reaksi dan lenggok badan yang boleh menimbulkan syahwat.
  • Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Taaruf sebelum Berkahwin

Keinginan untuk berpasangan antara lelaki dan perempuan serta berkahwin merupakan salah satu fitrah kejadian manusia yang telah disebut dalam al-Quran. Malah, Allah SWT mengharuskan bagi seorang lelaki menyatakan keinginan untuk berkahwin atau meminang perempuan dalam firman-Nya yang berikut:

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِۦ مِنْ خِطْبَةِ ٱلنِّسَآءِ

Maksudnya: “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah).”

(Surah al-Baqarah: 235)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan الخِطبة (khitbah) ialah seorang lelaki meminta untuk berkahwin dengan seorang perempuan dengan menggunakan cara yang boleh difahami.[1]

Mengikut kefahaman dan kebiasaan masyarakat sekarang, lelaki dan perempuan akan berkenalan antara satu sama lain terlebih dahulu dalam beberapa tempoh sebelum berlaku peminangan. Adakalanya terdapat pasangan yang meletakkan syarat untuk berkenalan dalam tempoh yang lama dan mengambil masa bertahun-tahun sebelum proses peminangan dilakukan.

Benar, persoalan tentang pemilihan pasangan adalah perkara paling utama dan hak setiap manusia. Setiap individu berhak memilih pasangan hidup dalam membina rumah tangga dengan cara masing-masing. Fitrah manusia memiliki kecenderungan dalam memilih, namun pemilihan pasangan hendaklah selari dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Keutamaan dalam memilih hendaklah ditekankan pada kriteria beragama dan keperibadian yang baik bagi menjamin kebahagiaan hidup berumahtangga. Hal ini bersandarkan panduan Rasulullah SAW:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: "Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka peganglah dengan yang mempunyai agama. Nescaya kau akan bahagia.”

(Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya: “Apabila datang kepada kamu seseorang yang kamu reda terhadap akhlak dan juga agamanya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang teruk.”

(Riwayat Ibn Majah)

Perkahwinan yang mengharapkan keberkatan daripada Allah SWT bukanlah semata-mata memenuhi segala rukun dan syarat akad nikah tetapi ia telah bermula dari peringkat pemilihan pasangan dan taaruf dengan cara yang terhormat berlandaskan syarak.

Proses perkenalan antara lelaki dan perempuan akan berterusan sehingga ke alam perkahwinan kerana tidak semua perkara boleh diketahui sebelum perkahwinan berlaku. Oleh yang demikian, salah satu cara terbaik untuk mengenali seseorang adalah dengan cara istisyarah iaitu mendapatkan pandangan daripada orang lain yang dipercayai dan amanah tentang perihal lelaki atau perempuan yang ingin dikahwini dan disempurnakan dengan istikharah iaitu memohon panduan daripada Allah SWT.

Mengikut kebiasaannya apabila pihak lelaki dan perempuan serta walinya bersetuju, barulah pertunangan dijalankan. Dalam tempoh pertunangan, kedua-dua belah pihak serta ahli keluarganya berpeluang untuk berkenalan dan bertanya lebih lanjut perihal pasangan masing-masing dan maklumat penting yang perlu diketahui sebelum berkahwin seperti tentang agamanya, akhlaknya, keturunannya atau kekayaannya. Sekiranya kedua-dua pihak meredai, maka pertunangan itu akan disusuli dengan akad perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat sebarang sebab yang tidak memenuhi kriteria yang diinginkan sama ada daripada pihak lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya boleh dan berhak memutuskan pertunangan dengan cara yang baik.[2]

Walaupun kebiasaannya peminangan dimulakan oleh pihak lelaki, namun tidak dinafikan seorang perempuan boleh memulakan langkah menyatakan hasrat untuk berkahwin dan meminang lelaki sekiranya dia mendapati lelaki tersebut beragama dan berakhlak baik. Perkara ini bukanlah sesuatu yang luar daripada adat kebiasaan, bahkan telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW seperti dalam hadis Anas RA berikut:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم تَعْرِضُ عَلَيْهِ نَفْسَهَا، قَالَتْ ‌يَا ‌رَسُولَ ‌اللَّهِ، ‌أَلَكَ ‌بِي ‌حَاجَةٌ؟ فَقَالَتْ بِنْتُ أَنَسٍ: مَا أَقَلَّ حَيَاءَهَا، وَاسَوْأَتَاهْ وَاسَوْأَتَاهْ، قَالَ هِيَ خَيْرٌ مِنْكِ، رَغِبَتْ فِي النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَعَرَضَتْ عَلَيْهِ نَفْسَهَا

Maksudnya: Seorang perempuan telah datang kepada Rasulullah SAW menawarkan dirinya (untuk dikahwini) dengan berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah tuan sudi dengan diriku?” Lalu anak perempuan Anas yang ada bersama ketika itu berkata: “Apakah kamu tidak ada rasa malu? Alangkah tidak eloknya. Alangkah tidak eloknya.” Kemudian Anas berkata: “Perempuan ini lebih baik daripada kamu kerana dia menginginkan Rasulullah SAW dan menawarkan dirinya.”

(Riwayat al-Bukhari)

 

Garis Panduan Taaruf (Perkenalan bagi Tujuan Perkahwinan) Antara Lelaki dan Perempuan

Secara asasnya, percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah sesuatu yang dilarang dalam agama. Walaupun telah bersetuju untuk berkahwin dan bertunang, lelaki dan perempuan masih berstatus ajnabi antara satu sama lain dan perlu menjaga batas pergaulan. Antaranya ialah:

  • Berjumpa bersama wali atau mahram kepada perempuan. Begitu juga, tidak meneruskan perkenalan dengan cara berdua-duaan sekiranya tiada mahram yang menemani dan tiada sebarang urusan keperluan. Hal ini kerana, larangan berkhalwat telah jelas dinyatakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya”.

(Riwayat Muslim)

  • Menggunakan orang tengah yang dipercayai dan diyakini mampu menjadi pemerhati yang terbaik mengikut landasan syariat.
  • Menetapkan niat untuk tujuan berkahwin dan bukanlah mencari teman berbual sahaja.
  • Menutup aurat dengan sempurna ketika bertemu. Namun begitu, diharuskan bagi pasangan yang bertunang untuk melihat pasangan masing-masing mengikut batas yang dibenarkan oleh syarak dalam tempoh pertunangan berdasarkan hadis Rasulullah SAW berikut:

إِذَا ‌خَطَبَ ‌أَحَدُكُمُ ‌الْمَرْأَةَ ‌فَإِنِ ‌اسْتَطَاعَ ‌أَنْ ‌يَنْظُرَ ‌إِلَى ‌مَا ‌يَدْعُوهُ ‌إِلَى ‌نِكَاحِهَا فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu meminang seorang perempuan; jika kamu boleh melihatnya agar lebih meyakinkan untuk menikahinya, maka lakukanlah.”

(Riwayat Abu Daud)

  • Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
  • Menjaga adab ketika berurusan secara langsung. Sekiranya perlu berkomunikasi secara langsung, perempuan diharamkan menggunakan suara yang lunak dan manja serta tidak menunjukkan reaksi dan lenggok badan yang boleh menimbulkan syahwat.

Seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukan mahram diharamkan berjumpa secara berdua-duaan walaupun di kawasan terbuka tanpa keperluan. Hal ini kerana perjumpaan sebegitu boleh menimbulkan fitnah dan syak wasangka kepada mereka sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Syarwani dalam Hasyiah-nya:

أَنَّ الْمَدَارَ فِي الْخَلْوَةِ عَلَى اجْتِمَاعٍ لَا تُؤْمِنُ مَعَهُ الرِّيبَةُ عَادَةً بِخِلَافِ مَا لَوْ قُطِعَ بِانْتِفَائِهَا فِي الْعَادَةِ فَلَا يُعَدُّ خَلْوَةً اهـ ع ش

Maksudnya: “Sesungguhnya garis penentuan khalwat (yang dilarang) ialah perkumpulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram yang tidak selamat daripada sebarang tohmah (fitnah dan syak wasangka) pada adat kebiasaannya, berbeza pula apabila dapat dipastikan perhimpunan (pertemuan) tersebut selamat daripada sebarang tohmah pada adat kebiasaannya, maka ia tidak termasuk dalam kategori khalwat (yang dilarang).[3]

Oleh yang demikian, sewajarnya bagi golongan yang belum berkahwin untuk menjaga diri masing-masing daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak dan mendedahkan diri dengan suasana yang boleh menjurus kepada maksiat. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَلْيَسْتَعْفِفِ الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغْنِيَهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ ۗ

Maksudnya:Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya.”

(Surah al-Nur: 33)

Kesimpulan

Dalam usaha mencari pasangan, seorang muslim hendaklah meletakkan Allah sebagai pelindung agar tidak terdedah dengan keseronokan dalam bersosial ketika taaruf.

Hal ini kerana perkahwinan yang diberkati bermula sebelum akad itu sendiri iaitu dari kesungguhan seseorang menjaga dirinya daripada segala perbuatan yang dilarang oleh syarak.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] al-Zuhaili, Wahbah. al-Tafsir al-Munir. (Beirut: Dar al-Fikr, 1991). 2/376

والخطبة: طلب الرجل المرأة للزواج بالوسائل المعروفة بين الناس

[2] Zaidan, ‘Abd al-Karim. al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah. (Beirut: Muassasah al-Risalah, 1993). 6/59.

وفي الخطبة أيضاً فرصة للخاطب ليعرف عن المرأة ما لم يعرفه عنها قبل الخطبة، ذلك أن الرجل وإن قام - عادة وغالباً - بالسؤال عن المرأة وأهلها، فإنه قد يفوته شيء عن المرأة وأخلاقها وطباعها، وأخلاق وطباع أهلها، فإذا قام بخطبتها عن طريق إرسال بعض أهله - ويكونون عادة النساء - فقد يعرفون من المرأة وأهلها ما لم يعرفه الخاطب منها ومنهم، وقد يؤدي كله من قبله، أو من قبل المرأة وأهلها إلى عدم المضي بإجراء عقد النكاح فيرجع الخاطب عن خطبته، أو ترفض المرأة، أو أهلها وأولياؤها قبول خطبة الخاطب.

أما إذا حصل الرضا والاطمئنان من قبل الطرفين: الخاطب من جهة، والمرأة وأهلها وأوليائها من جهة أخرى، مضيا في إنشاء عقد النكاح.

[3] al-Syarawani, ‘Abd al-Hamid. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarawani wa al-’Abadi. 8/269-270