اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-857: HUKUM MENGGUNAKAN SEBAHAGIAN DUIT KUTIPAN DERMA UNTUK TUJUAN PENGIKLANAN

HUKUM_MENGGUNAKAN_SEBAHAGIAN_DUIT_KUTIPAN_DERMA_UNTUK_TUJUAN_PENGIKLANAN.jpg                                        

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya. Baru-baru ini berlaku satu isu di mana sebuah pertubuhan yang melakukan kutipan derma untuk tujuan kebajikan telah menggunakan sebahagian daripada hasil kutipan itu untuk mempromosikan lagi sumbangan tersebut dengan membayar kepada pihak lain seperti pempengaruh (influencer) atau syarikat pemasaran (marketing). Adakah perkara ini diharuskan?

Ringkasan Jawapan

i. Wakil kutipan sumbangan sama ada pertubuhan bukan kerajaan, syarikat dan sebagainya diharuskan untuk menggunakan sebahagian duit kutipan derma untuk mempromosikan kutipan sumbangan tersebut dengan syarat telah mendapat keizinan daripada penderma.

ii. Keizinan tersebut boleh diperolehi dengan cara pihak yang mengumpul derma menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat mereka untuk menggunakan peratusan tertentu daripada duit sumbangan bagi membayar kos promosi dan pengiklanan.

iii. Jika wang telah dikumpulkan, pihak pengumpul dana perlu memaklumkan dan mendapat keizinan daripada semua penderma terlebih dahulu melalui pelbagai cara yang mampu dilakukan sebelum menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk membayar kos pengiklanan.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Duit sumbangan orang ramai boleh dianggap sebagai wakalah yang mana orang ramai yang menderma merupakan pewakil (muwakkil), manakala pertubuhan yang mengutip sumbangan pula merupakan wakil yang diwakilkan untuk menyampaikan sumbangan tersebut kepada para penerima yang telah ditentukan. Kebiasaannya, kutipan sumbangan ini dilakukan untuk tujuan khusus seperti untuk diberikan kepada penduduk-penduduk yang ditindas di Palestin, membantu orang-orang yang susah, pembinaan masjid atau madrasah dan sebagainya.

Pada asasnya dalam bab wakalah, seseorang wakil tidak boleh melakukan sesuatu dengan duit yang diwakilkan kepadanya melainkan dengan izin daripada pewakil iaitu para penderma. Antara yang menyebutkan perkara ini ialah Imam al-Syirazi, kata beliau:

لا يملك الوكيل من التصرف إلا ما يقتضيه إذن الموكل من جهة النطق أو من جهة العرف؛ لأن تصرفه بالإذن فلا يملك إلا ما يقتضيه الإذن[1]

Maksudnya: “Wakil tidak memiliki hak untuk melakukan sesuatu melainkan dengan keizinan orang yang mewakilkan sama ada secara lisan ataupun uruf (adat) kerana tindakan wakil perlu dengan izin. Oleh itu, dia tidak memiliki (hak untuk melakukan sesuatu) melainkan dengan izin.”

Berdasarkan petikan di atas, jelas bahawa wakil hanya boleh menyalurkan duit kutipan derma tersebut mengikut apa yang diizinkan kepadanya oleh penderma. Segala penggunaan duit tersebut untuk tujuan yang lain tidak dibolehkan melainkan dengan meminta keizinan penderma. Keizinan penderma pula boleh diperoleh sama ada melalui lisan ataupun uruf.

Dalam konteks isu ini, uruf di Malaysia mungkin memahami bahawa sejumlah kecil daripada duit sumbangan yang dikutip akan digunakan untuk kos pengurusan oleh wakil, namun ia tidak meliputi kos untuk promosi. Oleh itu, sebarang penggunaan duit sumbangan perlu mendapat keizinan daripada penderma terlebih dahulu, melainkan untuk perkara yang telah diterima secara uruf seperti penggunaan untuk kos pengurusan.

Berdasarkan penerangan di atas, mana-mana pihak yang membuat kutipan sumbangan sama ada syarikat, pertubuhan bukan kerajaan, masjid dan sebagainya diharuskan untuk menggunakan sebahagian wang sumbangan tersebut untuk tujuan promosi bagi merancakkan lagi kutipan, namun ia mestilah dengan keizinan penderma. Keizinan tersebut boleh diperolehi dengan cara pihak yang mengumpul derma menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat mereka untuk menggunakan peratusan tertentu daripada duit sumbangan bagi membayar kos promosi dan pengiklanan.

Perkara ini juga bertepatan dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke 137/2022 pada 9-10 Jun 2022 yang telah memutuskan bahawa:

  1. Hukum menggunakan wang sumbangan orang ramai untuk tujuan kebaikan seperti mempromosi sumbangan adalah harus jika mendapat keizinan daripada penderma.
  2. Keizinan daripada penderma boleh diperolehi dengan cara pihak yang mengumpul derma menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat mereka untuk menggunakan sebahagian daripada duit sumbangan bagi membayar kos promosi dan pengiklanan
  3. Jumlah dana yang digunakan bagi tujuan promosi hendaklah sekadar keperluan, di samping memastikan duit tersebut digunakan dengan cermat dan memberi kebaikan kepada penderma.
  4. Jika wang telah dikumpulkan, pihak pengumpul dana perlu memaklumkan dan mendapat keizinan daripada penderma terlebih dahulu melalui pelbagai cara yang mampu dilakukan sebelum menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk membayar kos pengiklanan.

Di samping itu, wakil yang mengutip sumbangan juga dinasihatkan agar menggunakan duit kutipan tersebut dengan cermat dan tidak berlebihan untuk promosi supaya sumbangan tersebut dapat disampaikan secara maksimum kepada pihak yang betul-betul memerlukan.

Kesimpulan

i. Wakil kutipan sumbangan sama ada pertubuhan bukan kerajaan, syarikat dan sebagainya diharuskan untuk menggunakan sebahagian duit kutipan derma untuk mempromosikan kutipan sumbangan tersebut dengan syarat telah mendapat keizinan daripada penderma.

ii. Keizinan tersebut boleh diperolehi dengan cara pihak yang mengumpul derma menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat mereka untuk menggunakan peratusan tertentu daripada duit sumbangan bagi membayar kos promosi dan pengiklanan.

iii. Jika wang telah dikumpulkan, pihak pengumpul dana perlu memaklumkan dan mendapat keizinan daripada semua penderma terlebih dahulu melalui pelbagai cara yang mampu dilakukan sebelum menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk membayar kos pengiklanan.

WaAllahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Imam al-Syirazi, al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafii, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (t.t), jld. 2, hlm. 166.