Soalan:
Assalamualaikum SS Datuk Mufti. Apakah hukumnya meminum kopi yang diproses di dalam tong arak bagi mendapatkan aroma kopi yang lebih melazatkan?
Ringkasan Jawapan:
Pengambilan kopi yang diproses menggunakan tong arak adalah haram sekiranya berlaku percampuran antara biji kopi dengan molekul arak yang terkandung dalam tong tersebut. Hal ini demikian kerana syariat Islam jelas melarang umat Islam daripada berurusan dengan arak berasaskan kepada ilat arak yang memabukkan dan merupakan sesuatu yang bernajis. Tambahan pula, penggunaan tong arak secara tidak langsung turut mempromosi industri arak, bahkan dibimbangi boleh menyebabkan normalisasi dalam perkara haram dan berdosa.
Huraian Jawapan:
Dari sudut rantaian bekalan kopi, terdapat beberapa kaedah yang digunakan untuk memproses kopi bermula daripada tanaman sehinggalah ia menjadi sebuah hidangan. Antaranya seperti pembenihan biji benih (planting), penuaian ceri kopi (harvesting the cherries), pemprosesan ceri kopi (processing the cherries), pengeringan biji kopi (drying the beans), pengisaran biji kopi (milling the beans), mengeksport biji kopi (exporting the beans), pemanggangan kopi (roasting the coffee), pengisaran kopi (grinding the coffee) dan pembancuhan kopi (brewing the coffee)[1]. Dalam pada itu, terdapat juga teknik atau kaedah lain yang digunakan bagi meningkatkan kualiti biji kopi dan kopi yang bakal dihasilkan. Antaranya adalah dengan menggunakan kaedah seperti “Barrel-Aged”.
Definisi “Barrel-Aged Coffee”
Dari segi bahasa, barrel aged coffee merujuk kepada salah satu kaedah pemprosesan biji kopi yang menggunakan sebuah tong atau bekas khas yang diperbuat daripada jenis kayu yang berkualiti tinggi seperti kayu daripada pokok oak[2]. Bekas ini juga pernah digunakan sebelumnya bagi proses pembuatan arak. Terdapat beberapa istilah lain yang turut digunakan dengan merujuk kepada jenis arak seperti whiskey barrel, wine barrel, rum barrel, bourbon barrel dan lain-lain.
Dari segi sejarah, kaedah pemprosesan kopi menggunakan tong arak telah bermula sejak awal kurun ke-19 lagi iaitu sekitar tahun 1800-an[3]. Pada ketika itu, para penjelajah Eropah yang mengembara ke tanah Amerika Selatan turut membawa bersama biji kopi untuk dijadikan sebagai bahan minuman. Bagi memastikan kualiti biji kopi tersebut dapat bertahan lama, mereka telah mencuba untuk mengawet biji kopi dengan menggunakan tong yang pernah digunakan bagi menyimpan dan memeram arak[4]. Hasilnya, kaedah tersebut telah berjaya mempengaruhi aroma, rasa dan rasa akhir kopi (aftertaste) sekaligus menjadikannya lebih lazat berbanding dengan menggunakan kaedah pemprosesan biasa. Kaedah ini kemudiannya turut dipraktiskan di negara-negara lain seperti Amerika Tengah dan Selatan, serta Asia Tenggara. Bahkan, terdapat segelintir pengusaha dan penggemar kopi yang masih mengaplikasikan kaedah ini sehingga ke hari ini. Dengan perkataan yang lain, pemprosesan kopi menggunakan tong arak bertujuan mendapatkan manfaat daripada arak tersebut bagi menghasilkan kopi yang lebih berkualiti.
Hukum Meminum “Barrel-Aged Coffee”
Pada asalnya, hukum meminum kopi yang diproses menggunakan kaedah dan bahan yang halal dan toyyiban adalah harus. Namun begitu, timbul persoalan berhubung status pengambilan kopi yang telah diproses daripada tong arak. Adakah dibenarkan untuk meminum kopi yang diproses melalui tong tersebut?
Secara asasnya, syariat Islam telah menegaskan pengharaman arak menerusi dalil-dalil daripada al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas. Bahkan, arak juga termasuk dalam kategori najis menurut syariat Islam. Berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Surah al-Maidah (90)
Menurut al-Baghawi, lafaz رِجْسٌ pada ayat tersebut merujuk kepada sesuatu yang jijik lagi mengotorkan[5]. Sementara dari perspektif fiqh, al-Syirbini menjelaskan bahawa lafaz tersebut menurut uruf syarak difahami sebagai sesuatu yang termasuk dalam kategori najis[6].
Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abi Tha’labah al-Husyanni RA yang bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai hukum mengambil makanan atau minuman daripada bekas milik golongan Ahli Kitab.
قُلتُ: يا رَسولَ اللهِ، إنَّا بأرضِ قَومٍ أهلِ كِتابٍ، أفنأكُلُ في آنيَتِهم؟ قال: لا تأكُلوا فيها إلَّا أنْ لا تَجِدوا غيرَها، فاغسِلوها وكُلُوا فيها
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, pada ketika ini kita sedang berada di kawasan golongan Ahli Kitab. Adakah dibenarkan kepada kita untuk memakan sesuatu yang terdapat dalam bekas kepunyaan mereka? Baginda SAW kemudiannya bersabda: Janganlah kalian memakan sesuatu daripada bekas tersebut melainkan hanya terdapat makanan itu sahaja. Basuhlah bekas tersebut terlebih dahulu kemudian makan.”
Riwayat al-Bukhari (5478)
Secara umumnya, dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa haram bagi umat Islam untuk terlibat dengan sesuatu yang berkaitan dengan arak terutamanya dalam aspek pengambilan makanan ataupun minuman. Sehubungan dengan itu, hukum meminum kopi yang diproses daripada tong arak adalah haram sekiranya bertujuan mendapatkan kelazatan pada aroma dan rasa kopi yang telah dipengaruhi oleh kesan-kesan arak di dalam tong tersebut. Pengharaman ini adalah berasaskan kepada status arak sebagai sesuatu yang boleh memabukkan dan bernajis.
Selain itu, pemprosesan kopi melalui tong arak juga mengakibatkan percampuran antara perkara yang halal dengan perkara yang haram lalu membawa kepada natijah hukum yang haram. Berdasarkan kaedah fiqh[7]:
إذَا اجْتَمَعَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ غَلَبَ الْحَرَامُ
Maksudnya: “Apabila bercampur antara halal dengan haram maka hukumnya yang lebih mendominasi adalah haram.”
Kesimpulan
Pengambilan kopi yang diproses menggunakan tong arak adalah haram sekiranya berlaku percampuran antara biji kopi dengan molekul arak yang terkandung dalam tong tersebut.
Hal ini demikian kerana syariat Islam jelas melarang umat Islam daripada berurusan dengan arak berasaskan kepada ‘illah arak yang memabukkan dan merupakan sesuatu yang bernajis.
Tambahan pula, penggunaan tong arak secara tidak langsung turut mempromosi industri arak, bahkan dibimbangi boleh menyebabkan normalisasi dalam perkara haram dan berdosa.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] “10 Steps From Seed To Cup”, laman sesawang National Coffee Association of USA https://www.ncausa.org/about-coffee/10-steps-from-seed-to-cup, dicapai pada 19 Januari 2024.
[2] “Barrel-Aged Coffee”, laman sesawang Your Dream Coffee, https://yourdreamcoffee.com/barrel-aged-coffee/, dicapai pada 22 Januari 2024.
[3] “Barrel-Aged Coffee”, laman sesawang Medium, //medium.com/@katcouta2013/barrel-aged-coffee-what-it-is-and-why-you-should-try-it-in-2023-c6c128304882">https://medium.com/@katcouta2013/barrel-aged-coffee-what-it-is-and-why-you-should-try-it-in-2023-c6c128304882, dicapai pada 22 Januari 2024.
[4] Ibid.
[5] Abu Muhammad al-Husayn al-Baghawi, Ma’alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran (t.tp:Dar Taybah:1997), 3:94.
خبيث مستقذر ( رجس )
[6] Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Minhaj (Beirut:Dar al-Kutubal-Ilmiyyah,1994), 1:225.
وَالرِّجْسُ فِي عُرْفِ الشَّرْعِ هُوَ النَّجَسُ صَدَّ عَمَّا عَدَاهَا الْإِجْمَاعُ فَبَقِيَتْ هِيَ، وَاسْتَدَلَّ عَلَى نَجَاسَتِهَا الشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ بِالْإِجْمَاعِ، وَحَمَلَ عَلَى إجْمَاعِ الصَّحَابَةِ
[7] Jalal al-Din al-Suyuti, Al-Asybah wa al-Nazho’ir (t.tp:Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah,1983), 105.