اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-860: SOLUSI KEMURUNGAN KETIKA MENJALANI IDAH KERANA TERPERUK DALAM RUMAH

SOLUSI_KEMURUNGAN_KETIKA_MENJALANI_IDAH_KERANA_TERPERUK_DALAM_RUMAH.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, ibu saya yang kematian suaminya sedang menjalani tempoh idah dan tidak keluar daripada rumah kecuali terdapat keperluan-keperluan tertentu seperti mendapatkan rawatan di klinik. Disebabkan dia tidak bekerja, ibu mengalami kemurungan sehingga kadang-kadang dia membayangkan kelibat arwah suaminya disebabkan terperuk di dalam rumah. Situasi semakin teruk apabila kesedihan tersebut menjejaskan kesihatannya. Persoalannya, bolehkah saya membawa ibu keluar sekali sekala untuk membeli barang dapur bagi meredakan kesedihannya? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Wanita yang beridah kematian suami perlu kekal mendiami rumah yang ditinggalkan oleh suami selama 4 bulan 10 hari. Malahan, mereka tidak dibenarkan keluar daripada rumah tanpa keperluan yang mendesak. Hakikat pensyariatan idah adalah sebagai tanda kesedihan terhadap kematian suami, namun sekiranya berlebihan sehingga memberi kesan emosi yang melampau (kemurungan), maka terdapat keperluan untuk mendapatkan rawatan meskipun dengan cara keluar rumah. Antara solusi efektif bagi permasalahan ini adalah dengan keterlibatan aktiviti sosial atau aktiviti kardio sebagai rawatan alternatif tanpa pengambilan ubat.

Menurut mazhab Syafi’i, wanita beridah dibenarkan keluar ke rumah jiran bagi merawat kesedihan dan menghilangkan kesunyian tanpa menafikan adab-adab yang ditetapkan syarak. Keharusan balu untuk keluar rumah hanya dibenarkan bagi merawat kesakitan emosi agar tidak menjejaskan kesihatan mereka serta tertakluk dengan syarat-syarat berikut: 

  • Perbualan pada kadar yang tidak keterlaluan
  • Tiada kehadiran lelaki ajnabi
  • Keluar pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.

Oleh yang demikian, disarankan bagi mereka yang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit kemurungan atau depresi daripada pakar perubatan yang dipercayai sekiranya tahap kesedihan berada di tahap melampau dan boleh memudaratkan diri.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kemurungan adalah penyakit yang berkaitan dengan gangguan perasaan sehingga mengakibatkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan atas berbagai faktor seperti kehilangan insan tersayang.[1] Masalah kemurungan dapat dirawat melalui penglibatan aktiviti sosial atau aktiviti berkardio seperti bersenam, berjoging, brisk walking. Aktiviti seperti ini secara tidak langsung mampu menenangkan emosi dan menghilangkan kegelisahan apabila bersama orang ramai. [2]

TUJUAN IDAH DAN TEMPOHNYA

Antara pensyariatan idah adalah untuk menzahirkan kesedihan terhadap kematian suami.[3] Manakala, al-ihdad (berkabung) adalah perbuatan meninggalkan perhiasan kerana berduka cita atas kematian seseorang.[4] Tempoh idah bagi wanita kematian suami adalah 4 bulan 10 hari berdasarkan firman-Nya :

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Dan mereka yang meninggal dunia dari kalangan kalian serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka itu (para isteri) menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari”.

Surah al-Baqarah (23)

ADAB-ADAB KETIKA IHDAD

Menurut mazhab Syafi’i, wanita yang beridah talak ba’in  atau  berkabung atas kematian suaminya mestilah memelihara adab yang telah ditetapkan sebagaimana berikut:

  • Wanita berihdad wajib menetap di dalam rumah idah sehingga selesai. Sekiranya dia beridah kerana kematian suami, maka rumah idah adalah rumah tempat suaminya meninggal dunia. Manakala, jika dia beridah kerana ditalak secara ba’in, maka rumah idah adalah rumah di mana suaminya menjatuhkan  talak.
  • Wanita berihdad dibolehkan keluar rumah pada waktu siang hari untuk mendapatkan makanan, bekerja, mencari barang-barang keperluan asasi sekiranya tiada ahli keluarga atau orang lain yang amanah yang boleh melaksanakannya atau keperluan-keperluan lain yang mendesak. Namun, dia tidak boleh keluar pada waktu malam walaupun pada awal waktu malam berdasarkan sebahagian pendapat.
  • Wanita berihdad boleh keluar pada waktu siang atau malam ke rumah jiran tetangga bersebelahannya untuk  keperluan berbual-bual dan seumpamanya.  Hal tersebut tertakluk pada syarat- syarat berikut :

1)     Perbualan itu mestilah pada kadar yang tidak keterlaluan;

2)     Tiada mana-mana lelaki ajnabi yang bersama-sama mereka untuk tujuan berbual-bual dan beramah mesra;

3)     Segera pulang apabila urusannya telah selesai dan dia juga wajib tidur di rumah kediamannya (rumah idah).[5]

Dalam I’anah al-Talibin dijelaskan lagi berkaitan syarat wanita beridah yang keluar berjumpa dengan jiran: [6]

وبشرط أن لا يكون عندها أي المعتدة: أي في دارها التي هي فيه من يؤنسها ويحدثها فإن وجد من ذكر عندها فلا يجوز لها ذلك.

Maksudnya:Dengan syarat tiada di sisi wanita idah tersebut iaitu di rumah jirannya, mana-mana lelaki yang berbual-bual dan beramah mesra dengannya. Sekiranya terdapat lelaki di sisinya, maka wanita tersebut tidak boleh menziarahi jiran tetangganya.”

SOLUSI KEMURUNGAN KETIKA TEMPOH IDAH

Menjaga emosi juga merupakan satu keperluan dan sekiranya ia tidak diatasi, maka akan memudaratkan kesihatan. Oleh itu, ulama mazhab Syafi’i membahaskan bahawa wanita beridah boleh keluar bagi merawat kesedihannya. Sheikh Khatib al-Syirbini dalam karyanya menjelaskan perkara tersebut[7]:

(وَكَذَا) لَهَا الْخُرُوجُ لِذَلِكَ (لَيْلًا) إنْ لَمْ يُمْكِنْهَا نَهَارًا وَكَذَا (إلَى دَارِ جَارَةٍ) لَهَا (لِغَزْلٍ وَحَدِيثٍ وَنَحْوِهِمَا) لِلتَّأَنُّسِ

Maksud : “Wanita yang beridah dibenarkan keluar dari rumah untuk keluar rumah pada malam hari jika tidak mampu melakukannya pada siang hari. Begitu juga dibenarkan bagi mereka keluar ke rumah jiran tetangga untuk berbual-bual dan sebagainya yang bertujuan menggembirakan hatinya (mengisi kesepiannya).

Walau bagaimanapun, wanita beridah diharuskan untuk keluar ke rumah jiran jika tujuannya untuk menenangkan dan menghiburkan hati disebabkan kedukaan yang dialami olehnya. Ini termasuklah perbuatan menziarahi jiran tetangga untuk berbual-bual sesama mereka bagi menenangkan jiwanya yang kesunyian . Ini berdasarkan riwayat daripada Imam al-Syafi‘i dan al-Baihaqi:

أَنَّ رِجَالًا اُسْتُشْهِدُوا بِأُحُدٍ فَقَالَتْ نِسَاؤُهُمْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إنَّا نَسْتَوْحِشُ فِي بُيُوتِنَا فَنَبِيتُ عِنْدَ إحْدَانَا فَأَذِنَ لَهُنَّ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - أَنْ تَحَدَّثْنَ عِنْدَ إحْدَاهُنَّ، فَإِذَا كَانَ وَقْتُ النَّوْمِ تَأْوِي كُلُّ وَاحِدَةٍ إلَى بَيْتِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya ramai lelaki yang mati syahid ketika peperangan Uhud. Kemudian isteri-isteri mereka mengadu kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, kami berasa kesepian di rumah sendiri, apakah kami dibenarkan untuk tidur di rumah salah seorang daripada kami? Lalu Rasulullah SAW hanya mengizinkan mereka untuk berbual-bual sesama mereka akan tetapi apabila tiba waktu tidurnya, maka hendaklah masing-masing pulang ke rumahnya untuk bermalam.

(Riwayat al-Baihaqi)

Hadis di atas jelas menunjukkan akan keperluan menjaga emosi wanita yang sedang bersedih dan berduka cita atas kematian suaminya. Walau bagaimanapun, wanita beridah yang keluar pada siang hari wajib pulang ke rumahnya sendiri untuk bermalam.

Demi menjaga emosi balu yang kematian suami, ulama mazhab Syafi'i mengharuskan mereka keluar rumah untuk berkomunikasi dengan rakan taulan bagi merawat kesedihannya. Disaranan bagi wanita yang berkemampuan untuk bertemu dengan pakar seperti pakar psikiatri dan pakar kaunseling untuk mengatasi penyakit kemurungan.

Kesimpulan

Isteri yang beridah kerana kematian suami dibenarkan keluar rumah sekiranya mereka berhadapan dengan masalah kemurungan yang melampau. Tidak dinafikan bahawa kehilangan orang yang disayangi boleh menyebabkan kesan kemurungan. Kesakitan emosi tersebut perlu dirawat agar tidak menjejaskan kesihatan mereka. Antara solusi dan kaedah rawatan yang efektif bagi merawat masalah kemurungan adalah melibatkan diri dalam aktiviti sosial mahupun aktiviti kardio. Secara tidak langsung rawatan alternatif ini mampu mengubati masalah kemurungan selain dapat  menenangkan hati yang kesepian. Namun, keharusan keluar rumah bagi merawat kemurungan terikat dengan syarat-syarat berikut: 

  • Perbualan pada kadar yang tidak keterlaluan
  • Tiada kehadiran lelaki ajnabi
  • Pulang ke rumahnya sendiri untuk bermalam

Oleh yang demikian, disarankan bagi mereka yang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit kemurungan atau depresi daripada pakar perubatan yang dipercayai sekiranya tahap kesedihan berada di tahap melampau dan boleh memudaratkan diri.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1]https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Rujukan/NCD/Kesihatan%20Mental/Kemurungan_-_Apa_Yang_Anda_Perlu_Tahu.pdf

[2]https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/kesihatan-mental-lain/rawatan-kemurungan-selain-ubat/#bagaimana-bersenam-boleh-jadi-rawatan-kemurungan

[3] Mustafa al-Khin. Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, (Damsyik: Dar al-Qalam, 1992), 4: 157

اسم لمدة معينة تتربصها المرأة، تعبدا لله عز وجل، أو تفجعا على زوج، أو تأكدا من براءة الرحم.

[4] Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. Ed: Ali Muhammad Ma’wad. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 5. Hlm 99.

الْإِحْدَادُ بِحَاءٍ مُهْمَلَةٍ مِنْ أَحَدَّ، وَيُقَالُ فِيهِ: الْحِدَادُ مِنْ حَدَّ: لُغَةً: الْمَنْعُ؛ لِأَنَّ الْمُحِدَّةَ تَمْنَعُ نَفْسَهَا مِمَّا سَيَأْتِي، وَقِيلَ بِالْجِيمِ مِنْ جَدَّدْت الشَّيْءَ قَطَعْته، فَكَأَنَّهَا انْقَطَعَتْ عَنْ الزِّينَةِ، وَشَرْعًا (تَرْكُ لُبْسٍ مَصْبُوغٍ لِزِينَةٍ)

[5] Al-Malbariy. Zainuddin Abd Aziz, Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrat al-Ain Bi Muhimmat Al-Din. (t.p: Dar Ibn Hazm, t.t). Hlm 527.

وتجب على المعتدة بالوفاة وبطلاق بائن أو فسخ ملازمة مسكن كانت فيه عند الموت أو الفرقة إلى انقضاء عدة ولها الخروج نهارا لشراء نحو طعام وبيع غزل ولنحو احتطاب لا ليلا ولو أوله خلافا لبعضهم لكن لها خروج ليلا إلى دار جاره الملاصق لغزل وحديث ونحوهما لكن بشرط أن يكون ذلك بقدر العادة وأن لا يكون عندها من يحدثها ويؤنسها على الأوجه وأن ترجع وتبيت في بيتها.

Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. Ed: Ali Muhammad Ma’wad. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 5. Hlm 100.

لَكِنْ (بِشَرْطِ أَنْ تَرْجِعَ وَتَبِيتَ فِي بَيْتِهَا) لِمَا رَوَى الشَّافِعِيُّ وَالْبَيْهَقِيُّ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمَا -

[6] Abu Bakar al-Dimyati, I’anah al-Talibin ‘ala Hal Alfaz Fath al-Mu’in. (t.tp: Dar al-Fikr, 1997). Jld 4. Hlm 55.

[7] Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. Ed: Ali Muhammad Ma’wad. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 5. Hlm 100.