SOALAN
Assalamualaikum. Saya melihat di media sosial seorang yang dikatakan sebagai seorang bomoh menggunakan cara perbomohan yang agak pelik sebagai cara untuk menemukan mangsa hilang yang masih tidak ditemui. Saya ingin bertanya, adakah perbuatan tersebut sesuatu yang dibenarkan oleh syarak ataupun tidak?
Mohon penjelasan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Perbuatan perbomohan dengan cara yang tidak mempunyai asas dan sandaran serta bercanggah dengan syariat adalah haram dan berdosa. Ia termasuk daripada perbuatan tahyul dan khurafat yang sepatutnya dielakkan dan dijauhi oleh setiap umat Islam. Walau bagaimanapun, jika cara tersebut menggunakan ayat-ayat al-Quran yang dibaca jelas, zikir-zikir dan doa-doa yang ma’thur, serta tidak mencampurkannya dengan ritual-ritual yang bertentangan dengan hukum syarak, maka ia termasuk daripada ruqyah yang dibenarkan oleh syarak.
Waallahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Sesungguhnya suatu amalan agama yang diada-adakan dan bercanggah dengan syariat Islam merupakan suatu perbuatan yang haram dan berdosa. Ini berdasarkan hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baharu dalam urusan kami ini (agama), apa yang bukan berasal daripadanya, maka ia adalah tertolak.
(Riwayat Muslim: 1718)
Hal ini termasuklah ritual perbomohan yang sengaja diada-adakan tanpa dalil dan asas yang daripada nas-nas syarak seperti memusingkan kain, merenjiskan air dan mendakwa hal-hal yang tidak masuk akal. Ia juga termasuk perkara khurafat dan tahyul yang tiada asas dan sumber yang jelas bagi penggunaan cara-cara tersebut.
Walau bagaimanapun, sekiranya sesuatu amalan itu menepati cara yang dibenarkan syarak dan tidak melanggarnya seperti cara ruqyah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, juga dengan bacaan daripada ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir dan doa-doa yang ma’thur, maka ia merupakan sesuatu yang harus untuk dilakukan. Hal ini disebutkan dalam banyak hadis daripada Rasulullah SAW dan dijelaskan oleh ramai para ulama. Antaranya Imam al-Nawawi menyebutkan ketika mensyarahkan hadis-hadis dalam Bab Perubatan, Sakit dan Ruqyah bahawa:
إن جبرائيل رَقَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم وَذَكَرَ الْأَحَادِيثَ بَعْدَهُ فِي الرُّقَى وَفِي الْحَدِيثِ الْآخَرِ فِي الَّذِينَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ بِغَيْرِ حِسَابٍ لَا يَرْقُونَ وَلَا يَسْتَرْقُونَ وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ فَقَدْ يظن مخالفا لهذه الأحاديث ولامخالفة بَلِ الْمَدْحُ فِي تَرْكِ الرُّقَى الْمُرَادُ بِهَا الرُّقَى الَّتِي هِيَ مِنْ كَلَامِ الْكُفَّارِ وَالرُّقَى المجهولة والتى بغير العربية ومالا يُعْرَفُ مَعْنَاهَا فَهَذِهِ مَذْمُومَةٌ لِاحْتِمَالِ أَنَّ مَعْنَاهَا كُفْرٌ أَوْ قَرِيبٌ مِنْهُ أَوْ مَكْرُوهٌ وَأَمَّا الرقى بآيات القرآن وبالأذكار المعروفة فلانهى فِيهِ بَلْ هُوَ سُنَّةٌ
Maksudnya: Sesungguhnya malaikat Jibril AS telah meruqyah Nabi SAW dan disebut dalam hadis selepasnya berkaitan ruqyah. Dalam hadis yang lain yang menyatakan ‘golongan yang masuk ke dalam syurga tanpa hisab, mereka tidak meruqyah dan tidak meminta untuk diruqyah serta mereka sentiasa bertawakkal kepada Allah SWT’. Kemungkinan akan disangkakan berlaku percanggahan bagi hadis-hadis ini (yang mengharuskan ruqyah), namun sebenarnya tiada percanggahan. Bahkan ia adalah suatu pujian terhadap perbuatan meninggalkan ruqyah. Ruqyah di sini bermaksud kata-kata yang mengandungi kata-kata kafir, ruqyah yang tidak diketahui dan dengan bahasa selain bahasa Arab yang tidak diketahui maknanya. Ruqyah seperti ini adalah ruqyah yang tercela kerana berkemungkinan maknanya mengandungi kekufuran atau sesuatu yang hampir kepadanya atau perkara yang makruh. Adapun ruqyah menggunakan ayat al-Quran, zikir-zikir yang diketahui, maka tiada larangan baginya, bahkan hukumnya adalah sunat.1
Selain daripada itu, perbuatan yang dilakukan tersebut melanggar garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi amalan perbomohan menurut Islam. Hal ini seperti mendakwa perkara-perkara ghaib dan menyebut bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya. Di samping itu juga, diingatkan bahawa individu yang melakukan perbuatan ini boleh didakwa di bawah seksyen 7(a), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), bagi kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina. Oleh yang demikian, hendaklah kita menjauhi perbuatan khurafat dan tahyul yang tidak berasas dengan ilmu yang benar. Sebaliknya, kita menumpukan kepada cara-cara yang diajarkan oleh syarak dan usaha-usaha yang efektif bagi menyelesaikan masalah ini.
Waallahu a’lam.