اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-869: BOLEHKAH MENIPU UNTUK MENUTUP AIB SENDIRI

ADAKAH_BOLEH_MENIPU_UNTUK_MENUTUP_AIB_SENDIRI.jpg

Soalan

Assalamuaikum ustaz. Pada suatu masa, seorang guru di sekolah saya menanyakan kepada kami murid-murid secara beramai-ramai tentang siapa yang pernah melakukan satu dosa ini. Soalan saya, bolehkan untuk saya menipu dengan tidak mengaku untuk menutup aib saya? Jika kami disuruh untuk bersumpah pula, adakah boleh untuk bersumpah palsu untuk menutup aib masing-masing?

Ringkasan Jawapan

1. Hukum menipu untuk menutup aib sendiri adalah harus selagi mana dosa tersebut tidak didedahkan orang lain.

2. Jika diminta untuk bersumpah, diharuskan melakukan tauriah seperti mengatakan “aku tidak melakukan perkara tersebut” tetapi berniat apa yang dimaksudkan ialah tidak melakukan perkara tersebut pada hari ini.

3. Keharusan ini adalah dengan syarat dosa tersebut tidak didedahkan orang lain dan tidak melibatkan pengambilan atau penafian hak orang lain.

4. Ia juga mesti disertai dengan taubat dan usaha untuk meninggalkan terus dosa tersebut agar tidak dijadikan jalan untuk meneruskan dosa-dosa tersebut secara tersembunyi.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pada asasnya, bertanya kepada orang lain tentang dosa peribadi mereka merupakan perbuatan yang haram dan termasuk dalam larangan Allah untuk mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain (al-tajassus) seperti dalam firman-Nya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka (supaya kamu tidak membuat sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau keaiban orang lain dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili, ayat ini mengandungi pengharaman perbuatan al-tajassus yang bermaksud mencari-cari keaiban yang tersembunyi daripada orang Muslim yang lain.

Membuka aib sendiri dengan memberitahu dosa peribadi kepada orang lain pula adalah haram jika ia dilakukan dengan perasaan bangga atau mengambil ringan tentang dosa yang dilakukan. Ia boleh menyebabkan dosa tersebut tidak diampunkan sekiranya tidak bertaubat sebagaimana sabda Nabi SAW:

 كلُّ أُمَّتي مُعافًى إلا المجاهرين، و إنَّ من الجِهارِ أن يعملَ الرجلُ بالليلِ عملًا ثم يُصبِحُ و قد ستره اللهُ تعالى فيقولُ: عملتُ البارحةَ كذا و كذا، و قد بات يسترُه ربُّه، و يُصبِحُ يكشفُ سِترَ اللهِ عنه

Maksudnya: “Setiap umatku berada dalam keadaan sejahtera (selamat daripada azab yang pedih) melainkan al-Mujahirin (iaitu orang yang mendedahkan dosa sendiri). Sesungguhnya antara perbuatan mendedahkan dosa sendiri itu ialah apabila seseorang melakukan kesalahan pada malam hari, kemudian pada pagi hari dalam keadaan Allah telah menutup kesalahannya tersebut (dari pengetahuan orang ramai), dia menghebahkannya pula dengan berkata: “Aku telah melakukan malam tadi sekian-sekian perbuatan (dosa), sedangkan tuhannya telah menutup keaibannya itu, namun dia membuka tutupan Allah tersebut darinya.” 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun jika dosa itu diberitahu kepada orang lain bukan kerana berbangga atau mengambil ringan tentang dosa itu sehingga boleh mempengaruhi orang lain untuk turut melakukannya, maka hukumnya adalah makruh sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi, kata beliau:

يُكره للإِنسان إذا ابتُلي بمعصيةٍ أو نحوها أن ‌يخبرَ ‌غيرَه ‌بذلك

Maksudnya: “Apabila seseorang insan itu diuji dengan sesuatu maksiat, maka makruh memaklumkan maksiat tersebut kepada orang lain.”

Syeikh Ibn ‘Allan menjelaskan kalam Imam al-Nawawi di atas bahawa hukum makruh memberitahu maksiat ini adalah apabila ia bukan bertujuan untuk berseronok dan mengingati kelazatan maksiat tersebut. Namun jika dengan tujuan tersebut maka hukumnya adalah haram. Sebaiknya apabila seseorang melakukan dosa peribadi, teruslah bertaubat mohon keampunan daripada Allah dan tutuplah aib tersebut.

Selain itu, Imam al-Nawawi juga menjelaskan bahawa jika dosa tersebut diberitahu kepada seseorang seperti guru untuk mencari sebab dan mendapatkan jalan keluar, maka hukumnya harus bahkan termasuk dalam perkara yang baik kerana maslahat untuk membantu keluar daripada maksiat tersebut.

Di samping itu, hukum menipu pula pada asalnya adalah haram dan merupakan salah satu dosa besar. Namun menurut Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Saffarini, mengingkari maksiat peribadi yang pernah dilakukan oleh diri sendiri atau orang lain merupakan salah satu keadaan yang diharuskan menipu untuk mengelakkan diri daripada tergolong dalam kalangan orang yang mendedahkan dosa sendiri yang Allah telah tutup dengan syarat dosa itu tidak lagi didedahkan oleh orang lain.

Oleh yang demikian, berdasarkan situasi yang diceritakan dalam soalan di atas, diharuskan menipu dengan mengingkari dosa yang pernah dilakukan tersebut untuk menutup aib sendiri. Jika orang yang bertanya tersebut terus menekan sehingga meminta untuk bersumpah pula, maka diharuskan untuk melakukan tauriah iaitu dengan menggunakan ayat yang mempunyai makna yang difahami oleh pendengar dengan jelas, tetapi sebenarnya yang dimaksudkan ialah perkara lain yang samar dan tersembunyi. Contohnya “aku tidak melakukan perkara tersebut” tetapi apa yang dimaksudkan ialah tidak melakukan perkara tersebut pada hari ini.

Walau bagaimanapun, keharusan ini adalah dengan syarat dosa yang dilakukan tersebut tidak melibatkan pengambilan atau penafian hak orang lain. Jika ia melibatkan hak orang lain, maka hukum menipu dan tauriah untuk mengingkari dosa tersebut menjadi haram. Berkaitan hukum-hakam tauriah dalam Islam telah dijelaskan lebih lanjut dalam artikel: Irsyad Hukum Siri Ke-324: Hukum Tauriah Dalam Islam.

Tambahan pula, keharusan untuk menipu dengan mengingkari dosa yang pernah dilakukan mestilah disertai juga dengan taubat yang sebenarnya daripada dosa-dosa tersebut agar ia tidak dijadikan jalan untuk meneruskan dosa-dosa tersebut secara tersembunyi.

Kesimpulan

  • Hukum menipu untuk menutup aib sendiri adalah harus selagi mana dosa tersebut tidak didedahkan orang lain.
  • Jika diminta untuk bersumpah, hendaklah melakukan tauriah seperti mengatakan “aku tidak melakukan perkara tersebut” tetapi berniat apa yang dimaksudkan ialah tidak melakukan perkara tersebut pada hari ini.
  • Keharusan ini adalah dengan syarat dosa tersebut tidak didedahkan orang lain dan tidak melibatkan pengambilan atau penafian hak orang lain.
  • Ia juga mesti disertai dengan taubat dan usaha untuk meninggalkan terus dosa tersebut agar tidak dijadikan jalan untuk meneruskan dosa-dosa tersebut secara tersembunyi.

WaAllahua’lam

 

Rujukan:

1. Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Shari‘ah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dar al-Fikr, 1991), jld. 27, hlmn, 255.

2. Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Azkar, (Beirut: Dar al-Fikr, 1994), hlmn. 368.

3. Muhammad bin ‘Allan al-Siddiqi, al-Futuhat al-Rabbaniyyah ‘ala al-Azkar al-Nawawiyyah, (T.tp: Jam‘iyyat al-Nashr wa al-Ta’lif al-Azhariyyah, t.t), jld. 7 hlmn. 116.

قوله: (أن يخبر ‌بذلك غيره) أي إذا لم يكن على وجه التفكه والتذكر لحلاوتها وإلا فيحرم لأنه يبعث على العودة إليها

4. Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Azkar, hlmn. 368.

فإن أخبرَ بمعصيته شيخَه أو شبهَه ممّن يرجو بإخباره أن يعلِّمه مخرجاً من معصيته، أو ليعلِّمَه ما يَسلمُ به من الوقوع في مثلها، أو يعرِّفَه السببَ الذي أوقعه فيها، أو يدعوَ له، أو نحوَ ذلك، فلا بأسَ به، بل هو حسنٌ، وإنما يُكره إذا انتفتْ هذه المصلحةُ

5. Shamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Saffarini al-Hanbali, Ghaza’ al-Albab fi Sharh Manzumat al-Adab, (Mesir: Mu’assasah Qurthubah, 1993), jld. 1 hlmn. 141.

وَقَالَ عَنْ قَوْلِ ابْنِ حَزْمٍ فِي كِتَابِ الْإِجْمَاعِ: اتَّفَقُوا عَلَى تَحْرِيمِ الْكَذِبِ فِي غَيْرِ الْحَرْبِ، وَغَيْرِ مُدَارَاةِ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ، أَوْ إصْلَاحٌ بَيْنَ اثْنَيْنِ، أَوْ دَفْعُ مَظْلِمَةٍ، مُرَادُهُ بَيْنَ اثْنَيْنِ مُسْلِمَيْنِ أَوْ مُسْلِمٍ وَكَافِرٍ، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ. فَهَذَا مَا وَرَدَ فِيهِ النَّصُّ وَيُقَاسُ عَلَيْهِ مَا فِي مَعْنَاهُ كَكَذِبِهِ لِسَتْرِ مَالِ غَيْرِهِ عَنْ ظَالِمٍ، وَإِنْكَارِهِ الْمَعْصِيَةَ لِلسَّتْرِ عَلَيْهِ أَوْ عَلَى غَيْرِهِ مَا لَمْ يُجَاهِرْ الْغَيْرُ بِهَا، بَلْ يَلْزَمُهُ السَّتْرُ عَلَى نَفْسِهِ وَإِلَّا كَانَ مُجَاهِرًا