Soalan
Assalamualaikum SS Datuk Mufti, saya ingin bertanya. Beberapa tahun lepas, kakak saya pernah memberi sejumlah duit kepada saya sewaktu saya dalam kesusahan. Saya ingin membayar semula secara ansuran tetapi dia menolak dan berkata dia ikhlas sedekah untuk membantu saya. Kebelakangan ini, timbul salah faham antara kami yang menyebabkan dia marah dan mengungkit semula pemberiannya. Dia mengatakan bahawa dia tidak halalkan duit dan apa-apa makan yang dia pernah tanggung dahulu. Jadi, saya ingin bertanya perlukah saya membayar semula duit dan kos makan minum tersebut?
Ringkasan Jawapan
- Segala pemberian sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan yang telah diterima oleh penerima telah menjadi hak milik penerima sepenuhnya.
- Pemberi tiada hak untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut dan penerima tidak wajib memulangkan semula apa yang telah diberi kepadanya.
- Berkata “aku tidak menghalalkan pemberian” dikira sebagai pengungkit-ungkitan pemberian yang meluputkan pahala sedekah.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Bersedekah merupakan amalan yang sangat mulia berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُصَّدِّقِينَ وَالْمُصَّدِّقَاتِ وَأَقْرَضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌ كَرِيمٌ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, akan dilipatgandakan balasannya bagi mereka dan mereka akan mendapat pahala yang mulia.”
(Al-Hadid: 18)
Pada asasnya, apabila suatu sedekah atau hibah telah diambil oleh penerima, ia telah menjadi hak milik penerima tersebut sepenuhnya dan dia boleh menggunakan harta itu sebagaimana yang dia mahu. Pemberi pula sudah hilang hak pemilikannya terhadap wang yang diberi tersebut[1]. Oleh itu, pemberi itu tiada kuasa untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut, bahkan ia boleh dianggap seperti perbuatan meminta semula pemberian yang termasuk dalam sabda Nabi SAW:
لَيْسَ لَنا مَثَلُ السَّوْءِ الَّذِي يَعودُ فِي هِبَتِهِ كالْكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ
Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu mereka yang meminta semula pemberian (hibah) samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.”
Dalam hadis lain pula disebut secara jelas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَحِلُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُعْطِيَ عَطِيَّةً ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا إِلَّا الوَالِدَ فِيمَا يُعْطِي وَلَدَهُ، وَمَثَلُ الَّذِي يُعْطِي العَطِيَّةَ ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا كَمَثَلِ الكَلْبِ أَكَلَ حَتَّى إِذَا شَبِعَ قَاءَ ثُمَّ عَادَ فِي قَيْئِهِ
Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang lelaki memberi sesuatu pemberian kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya. Misalan bagi orang yang memberikan sesuatu pemberian dan memintanya semula adalah sama seperti seekor anjing yang makan hingga kenyang lalu ia muntah, kemudian ia memakan semula muntahnya itu.”
Riwayat Abu Daud (3539) dan al-Tirmizi (2132)
Dr Muhammad al-Zuhaili menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan pengharaman meminta semula pemberian sepertimana haram menelan semula minta dan ia merupakan sifat buruk yang bertentangan dengan akhlak seorang muslim[2]. Namun, Nabi SAW mengecualikan situasi seorang ayah menuntut semula pemberian daripada anaknya seperti yang telah dijelaskan lanjut dalam artikel “Al-Kafi #1627: Adakah Bapa Boleh Menuntut Semula Pemberiannya Kepada Anaknya?”[3].
Di samping itu, kata-kata tersebut juga termasuk dalam perbuatan mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan penerimanya. Perbuatan ini haram dan boleh meluputkan pahala sedekah. Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٞ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٞ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدٗاۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَيۡءٖ مِّمَّا كَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu merosakkan (pahala amalan) sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti (perasaan penerimanya) seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riyak kepada manusia sedangkan dia tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat. Maka orang itu diumpamakan seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian apabilah hujan lebat menimpa batu itu, lalu bersih dan licinlah kembali (tiada lagi tanah di atasnya). Mereka tidak memperoleh sesuatu atas apa-apa yang diusahakan oleh mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”
(Al-Baqarah: 264)
Kesimpulan
- Segala pemberian sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan yang telah diterima oleh penerima telah menjadi hak milik penerima sepenuhnya.
- Pemberi tiada hak untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut dan penerima tidak wajib memulangkan semula apa yang telah diberi kepadanya.
- Berkata “aku tidak menghalalkan pemberian” dikira sebagai pengungkit-ungkitan pemberian yang boleh meluputkan pahala sedekah.
WaAllahua’lam
Rujukan:
[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’i, (Damsyik: Dar al-Qalam, 2011), jld 3, hlmn 184.
إن حكم الهبة الأساسي إذا تم عقد الهبة بأركانه وشروطه، وتم القبض للعين الموهوبة، هو ثبوت الملك للموهوب له في الموهوب من غير عوض ، لأن الهبة تمليك العين بلا عوض ، فكان حكمها ملك الموهوب من غير عوض بعد تمام القبض، وبالتالي ثبتت له الملكية التامة، ويحق المالك أن يتصرف بالموهوب كما يشاء . وتلزم الهيبة بالقبض ، متى كانت مقيدة بنفي الثواب، أو كانت هدية مطلقة، ولا يحق للراهب الرجوع فيها
[2] Ibid, jld 3, hlmn 84.
فالرجوع في القيء حرام، فكذلك الرجوع في الهبة، وأن ذلك مثل السوء الذي يتنافى مع أخلاق المسلم.
[3] https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4221-al-kafi-adakah-bapa-boleh-menuntut-semula-pemberiannya-kepada-anaknya