Baru-baru ini tular sebuah kes yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah berkaitan pengesahan nikah pasangan suami isteri. Hakim telah memutuskan bahawa pernikahan tersebut adalah tidak sah menurut hukum syarak kerana dilakukan tanpa perintah rasmi dari pihak berkuasa agama yang sah. Hal ini berikutan fakta bahawa pernikahan itu dijalankan oleh individu yang bertindak sebagai wali hakim tanpa tauliah yang sah atau wali hakim sindiket.
Menurut undang-Undang Malaysia, wali hakim ialah sultan atau pemerintah sebagai ketua negara Islam atau hakim atau sesiapa sahaja yang diberikan kebenaran atau kuasa untuk menjadi wali nikah kepada perempuan. Berdasarkan Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1985 Akta 303, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang di Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.[1]
Manakala dari sudut Syarak, hak perwalian hanya akan berpindah kepada wali hakim disebabkan oleh ketiadaan wali nasab, wali berada di tempat yang jaraknya lebih dua marhalah atau ghaib, wali dalam keadaan berihram haji atau umrah, wali tidak layak atau tidak mencukupi syarat atau wali enggan menikahkan anaknya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak.
Seterusnya, hukum perkahwinan yang tidak memenuhi rukun dan syaratnya adalah tidak sah dan tidak boleh didaftarkan sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam undang-undang di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Pelanggaran terhadap peruntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 boleh dikenakan denda, penjara atau kedua-duanya.
Menurut mazhab Syafi’i, pasangan yang berkahwin dengan akad yang tidak sah wajib mengulang semula akad nikah dengan sempurna rukun dan syaratnya atau dalam sesuatu keadaan diterima pengakuan pernikahan daripada wali atau salah seorang pasangan suami isteri dengan mendatangkan bukti.[2] Sekiranya berlaku persetubuhan dalam perkahwinan tersebut, ia dianggap persetubuhan syubhah sekiranya suami isteri tidak mengetahui bahawa akad tersebut tidak sah.[3] Ia juga telah disebut dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 seperti berikut:
”Persetubuhan syubhah ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk man-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam.”
Dalam konteks perundangan di Malaysia, kelayakan seorang wali hakim adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menentukan pengesahan perkahwinan tersebut. Oleh yang demikian, perlu diingatkan bahawa kedudukan wali hakim tidak sama dengan wali yang dilantik secara persendirian yang biasa berlaku dalam kes-kes nikah sindiket. Wali-wali dalam nikah sindiket tidak memiliki tauliah oleh Sultan atau pihak berautoriti. Justeru, pasangan yang berkahwin menggunakan wali hakim sindiket ini berkemungkinan besar memiliki hubungan perkahwinan yang tidak sah.
Mana-mana pasangan yang tidak mematuhi undang-undang perkahwinan yang ditetapkan pihak berkuasa agama, maka hal tersebut boleh menyebabkan kesulitan pada masa akan datang khususnya apabila timbul isu yang berkait dengan perkahwinan serta memerlukan khidmat Mahkamah Syariah seperti perceraian, hak hadanah, harta pusaka, penasaban, perwalian dan lain-lain.
Pautan artikel-artikel berkaitan:
1) Hukum Nikah Menggunakan Wali Hakim Walaupun Ada Wali Nasab
https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4136-irsyad-al-fatwa-siri-ke-408-hukum-nikah-menggunakan-wali-hakim-walaupun-ada-wali-nasab
2) Kedudukan Nikah Sirri (Secara Rahsia) Menurut Kacamata Perundangan Malaysia
https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/5777-bayan-linnas-siri-ke-280-kedudukan-nikah-sirri-secara-rahsia-menurut-kacamata-perundangan-malaysia
3) Wali Fasiq Menikahkan Anaknya
https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2470-al-kafi-762-wali-fasiq-menikahkan-anaknya
Wallahu a'lam.
Rujukan:
[1] Rujuk Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Perdana Menteri
https://www.jbg.gov.my/images/doc/risalah/2025/4.%20WALI%20HAKIM%20(FA).pdf
[2] Al-Khatib al-Syirbini, Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Syarh Alfaz al-Minhaj. (T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). 4/244-2455.
وَ (لَا) يُوجِبُ الْوَطْءُ فِي النِّكَاحِ الْمَذْكُورِ (الْحَدَّ) سَوَاءٌ أَصَدَرَ مِمَّنْ يَعْتَقِدُ تَحْرِيمَهُ أَمْ لَا لِشُبْهَةِ اخْتِلَافِ الْعُلَمَاءِ فِي صِحَّةِ النِّكَاحِ، لَكِنْ يُعَزَّرُ مُعْتَقِدُ تَحْرِيمِهِ لِارْتِكَابِهِ مُحَرَّمًا لَا حَدَّ فِيهِ وَلَا كَفَّارَةَ، وَلَوْ لَمْ يَطَأْ الزَّوْجُ فِي هَذَا النِّكَاحِ الْمَذْكُورِ فَزَوَّجَهَا وَلِيُّهَا قَبْلَ التَّفْرِيقِ بَيْنَهُمَا صَحَّ، وَلَوْ طَلَّقَهَا ثَلَاثًا لَمْ يَفْتَقِرْ صِحَّةُ نِكَاحِهِ لَهَا إلَى مُحَلِّلٍ لِعَدَمِ وُقُوعِ الطَّلَاقِ؛ لِأَنَّهُ إنَّمَا يَقَعُ فِي نِكَاحٍ صَحِيحٍ، وَلَوْ حَكَمَ بِصِحَّتِهِ أَوْ بِبُطْلَانِهِ حَاكِمٌ يَرَاهُ لَمْ يُنْقَضْ حُكْمُهُ، فَلَوْ وَطِئَهَا بَعْدَ الْحُكْمِ بِبُطْلَانِهِ حُدَّ كَمَا قَالَهُ الْمَاوَرْدِيُّ وَامْتَنَعَ عَلَى الْحَاكِمِ الْمُخَالِفِ بَعْدَ ذَلِكَ الْحُكْمُ بِصِحَّتِهِ. أَمَّا الْوَطْءُ فِي نِكَاحٍ بِلَا وَلِيٍّ وَلَا شُهُودٍ فَإِنَّهُ يُوجِبُ الْحَدَّ جَزْمًا لِانْتِفَاءِ شُبْهَةِ الْعُلَمَاءِ، ثُمَّ أَشَارَ الْمُصَنِّفُ رحمه الله إلَى قَاعِدَةٍ، وَهِيَ أَنَّ مَنْ مَلَكَ الْإِنْشَاءَ مَلَكَ الْإِقْرَارَ غَالِبًا وَمَنْ لَا فَلَا بِقَوْلِهِ: (وَيُقْبَلُ إقْرَارُ الْوَلِيِّ) عَلَى مُوَلِّيَتِهِ (بِالنِّكَاحِ) بِعَدْلَيْنِ وَإِنْ لَمْ تُوَافِقْهُ الْبَالِغَةُ الْعَاقِلَةُ عَلَيْهِ (إنْ اسْتَقَلَّ بِالْإِنْشَاءِ) وَقْتَ الْإِقْرَارِ بِأَنْ كَانَ مُجْبِرًا وَالزَّوْجُ كُفْئًا؛ لِأَنَّ مَنْ مَلَكَ الْإِنْشَاءَ مَلَكَ الْإِقْرَارَ غَالِبًا كَمَا مَرَّ (وَإِلَّا) بِأَنْ لَمْ يَكُنْ مُسْتَقِلًّا بِإِنْشَاءِ النِّكَاحِ وَقْتَ الْإِقْرَارِ لِكَوْنِهِ غَيْرَ مُجْبِرٍ (فَلَا) يُقْبَلُ إقْرَارُهُ عَلَيْهَا لِعَجْزِهِ عَنْ الْإِنْشَاءِ إلَّا بِإِذْنِهَا.
[3] Ibid. 4/244.
(وَالْوَطْءُ) وَلَوْ فِي الدُّبُرِ (فِي نِكَاحٍ) بِشُهُودٍ (بِلَا وَلِيٍّ) كَتَزْوِيجِهَا نَفْسَهَا، أَوْ بِوَلِيٍّ بِلَا شُهُودٍ وَلَمْ يَحْكُمْ حَاكِمٌ بِصِحَّتِهِ وَلَا بِبُطْلَانِهِ لَا يُوجِبُ الْمُسَمَّى بَلْ (يُوجِبُ مَهْرَ الْمِثْلِ) لِفَسَادِ النِّكَاحِ