اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-919: CUKAI DAN SYARIAH: MENYINGKAP HUKUM PERCUKAIAN DALAM ISLAM

CUKAI_DAN_SYARIAH_-_MENYINGKAP_HUKUM_PERCUKAIAN_DALAM_ISLAM.jpg

SOALAN:

Dalam Islam, adakah dibolehkan bagi sesebuah negara untuk mengutip cukai terhadap rakyatnya? Bukankah ada larangan dalam hadis berkaitan pengutipan cukai oleh kerajaan? Mohon pencerahan SS Tuan Mufti.

RINGKASAN JAWAPAN:

Amalan percukaian yang dilaksanakan di Malaysia secara umumnya tidak bercanggah dengan hukum syarak. Sistem percukaian yang diamalkan pada hari ini juga tidak boleh dikaitkan dengan perbuatan al-maks yang dilarang oleh syarak, kerana al-maks yang dilarang adalah merujuk kepada perbuatan memungut harta secara zalim dan hasil pungutan tersebut disalurkan kepada pihak yang tidak berhak. Hal ini jelas berbeza dengan amalan percukaian yang diamalkan pada hari ini, yang dilaksanakan secara telus, adil dan disalurkan untuk kemaslahatan awam, serta pelaksanaannya adalah melalui persetujuan majoriti suara rakyat melalui wakil-wakil rakyat di Parlimen. Sungguh pun begitu, usaha-usaha penambahbaikan terhadap sistem percukaian mestilah sentiasa diteruskan demi memastikan ketelusan sistem ini dan kemampuannya dalam menjaga kemaslahatan rakyat.

 

HURAIAN JAWAPAN:

Pendahuluan

Penjagaan harta merupakan salah satu aspek penting yang dipelihara oleh syarak (ḥifẓ al-māl). Justeru itu kita dapati bahawa Islam begitu terperinci dalam memberikan panduan berkenaan pengurusan harta, bagi memastikan kemaslahatan terhadap harta sentiasa terpelihara daripada perbuatan zalim yang mengambil sesuatu harta tanpa haknya. Hal ini demikian kerana tanpa pengawalseliaan yang rapi terhadap harta pastinya akan mengakibatkan perpecahan dan perbalahan, lantas menjejaskan kesejahteraan masyarakat. Justeru tidak peliklah apabila syarak begitu memberikan penekanan terhadap aspek penjagaan harta, sehinggakan kesalahan mencuri ditetapkan dengan hukum hudud yang khas, iaitu dengan hukuman memotong tangan seperti firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

[Surah al-Mā’idah, 38]

 

Larangan al-Maks dan Perbezaannya Dengan Cukai

Oleh kerana penjagaan harta merupakan salah satu perkara mustahak yang perlu dipelihara demi kemaslahatan manusia, maka syariat tegas dalam melarang segala bentuk perbuatan mengambil harta manusia tanpa hak yang dibenarkan oleh syarak. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...”.

[Surah al-Nisā’, 29]

Selain itu, antara perkara yang diharamkan oleh syarak juga ialah perbuatan yang disebutkan sebagai “al-maks”, seperti yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا يدخلُ صاحبَ مَكسٍ الجنَّةَ

Maksudnya:Orang yang melakukan al-maks tidak akan masuk syurga”.

[Riwayat Abu Daud]

Imam al-Baghawi ketika menghuraikan hadis di atas telah menjelaskan mengenai makna perbuatan al-maks yang dilarang di dalam Islam seperti berikut:[1]

وَأَرَادَ بِصَاحِبِ الْمَكْسِ: الَّذِي يَأْخُذُ مِنَ التُّجَّارِ إِذَا مَرُّوا عَلَيْهِ مَكْسًا بِاسْمِ الْعُشْرِ، فَأَمَّا السَّاعِي الَّذِي يَأْخُذُ الصَّدَقَةَ، وَمَنْ يَأْخُدُ مِنْ أَهْلِ الذِّمَّةِ الْعُشْرَ الَّذِي صُولِحُوا عَلَيْهِ، فَهُوَ مُحْتَسِبٌ مَا لَمْ يَتَعَدَّ، فَيَأْثَم بِالتَّعَدِّي وَالظُّلْمِ

Maksudnya:Yang dimaksudkan dengan ‘ṣāḥib al-maks’ ialah orang yang mengambil cukai daripada para pedagang apabila mereka melintasinya dengan nama 'ʿusyur'. Adapun pemungut zakat yang mengambil sedekah (zakat), dan orang yang mengambil ʿusyur daripada ahli zimmi sebagaimana yang telah dipersetujui dalam perjanjian, maka dia adalah seorang yang melaksanakan tugas hisbah selagi tidak melampaui batas. Jika dia melampaui (batas) dan berlaku zalim, maka dia berdosa kerana perbuatannya tersebut”.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapat difahami bahawa perbuatan al-maks yang dilarang adalah merujuk kepada suatu bentuk perbuatan memungut harta awam secara zalim. Al-Dhahabi juga turut menyebutkan hal yang sama dan menyatakan bahawa perbuatan al-maks berlaku apabila sesuatu wang tersebut diambil tanpa haknya, dan diserahkan kepada mereka yang tidak berhak untuk menerimanya.[2] Justeru perbuatan al-maks ini adalah merupakan satu bentuk kezaliman, bahkan perbuatan ini dianggap sebagai salah satu daripada dosa-dosa besar.[3]

Melalui penelitian terhadap larangan al-maks ini, ternyata terdapat perbezaan ketara antara al-maks dan amalan percukaian yang dijalankan di dunia pada hari ini secara amnya, dan di Malaysia secara khususnya. Hal ini demikian kerana perbuatan al-maks adalah merujuk kepada perbuatan memungut harta secara zalim yang diambil tanpa hak, dan harta tersebut dibelanjakan kepada pihak yang tidak berhak. Amalan ini berbeza dengan percukaian yang mempunyai syarat-syarat yang terperinci, dan hanya dikenakan kepada pihak-pihak yang mempunyai lebihan harta, serta turut tersedia pelbagai bentuk pelepasan cukai dalam situasi tertentu.

Hal yang sama juga turut difatwakan oleh Dar al-Iftā’ Mesir pada tahun 2020 (no. 4988) yang menegaskan bahawa amalan percukaian yang dilakasanakan di negara-negara pada hari ini adalah berbeza dengan amalan al-maks yang dilarang di dalam hadis.[4] Justeru, kenyataan yang mengaitkan antara cukai pada hari ini secara umumnya dengan larangan al-maks adalah tidak tepat dan bercanggah dengan metodologi penyelidikan hukum fiqah.

 

Asas Kepada Kebenaran Untuk Mengutip Cukai Oleh Kerajaan Dalam Islam

Umum mengetahui bahawa zakat adalah merupakan instrumen bagi sesebuah kerajaan dalam mengutip sebahagian harta daripada orang kaya untuk diberikan kepada asnaf-asnaf zakat mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Namun begitu, ini tidak bermakna hanya zakat sahaja satu-satunya instrumen yang boleh digunakan oleh kerajaan yang memerintah, bahkan Imam al-Tabari, Imam al-Tirmizi, Imam Ibn Hazm, sekumpulan sahabat dan tabiin, serta ramai lagi selain mereka berpandangan bahawa terdapat tanggungjawab lain yang boleh diwajibkan kepada rakyat untuk mengeluarkan sebahagian harta mereka selain daripada zakat.[5]

Pandangan ini juga berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Fatimah binti Qays RA bahawa Rasulullah SAW pernah menjawab persoalan berkaitan zakat dengan sabda Baginda SAW:

إنَّ في المالِ لَحَقًّا سِوَى الزكاةِ

Maksudnya:Sesungguhnya terdapat hak lain pada harta selain daripada (kewajipan mengeluarkan) zakat”.

[Riwayat al-Tirmizi]

Pandangan yang membenarkan sesebuah kerajaan untuk memungut harta selain daripada zakat ini bukanlah merupakan pandangan yang terasing, bahkan terdapat ramai para fuqaha silam yang turut menjelaskan hal ini. Dalam mazhab al-Syafii umpamanya, Imam al-Ghazali ada menjelaskan contoh situasi yang membolehkan sesebuah kerajaan untuk memungut sebahagian harta daripada rakyatnya dalam keadaan-keadaan tertentu seperti berikut:[6]

إذَا ‌خَلَتْ ‌الْأَيْدِي ‌مِنْ الْأَمْوَالِ وَلَمْ يَكُنْ مِنْ مَالِ الْمَصَالِحِ مَا يَفِي بِخَرَاجَاتِ الْعَسْكَرِ وَلَوْ تَفَرَّقَ الْعَسْكَرُ وَاشْتَغَلُوا بِالْكَسْبِ لَخِيفَ دُخُولُ الْكُفَّارِ بِلَادَ الْإِسْلَامِ أَوْ خِيفَ ثَوَرَانُ الْفِتْنَةِ مِنْ أَهْلِ الْعَرَامَةِ فِي بِلَادِ الْإِسْلَامِ، فَيَجُوزُ لِلْإِمَامِ أَنْ يُوَظِّفَ عَلَى الْأَغْنِيَاءِ مِقْدَارَ كِفَايَةِ الْجُنْدِ...

Maksudnya:Apabila tiada lagi harta daripada sumber kemaslahatan awam yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan tentera, dalam keadaan jika para tentera berpecah dan sibuk mencari pendapatan lain, lalu dibimbangi orang-orang kafir akan menceroboh negara Islam atau ditakuti akan berlaku kekacauan daripada golongan perusuh dalam negara Islam, maka harus bagi imam (pemerintah) untuk mengenakan cukai ke atas golongan kaya sekadar mencukupi keperluan tentera”.

Tanpa menafikan terdapat sebahagian sarjana yang berpandangan bahawa kutipan cukai adalah dilarang, namun keperluan semasa kepada sistem percukaian bagi membiayai perkhidmatan awam dan pembangunan negara juga adalah merupakan keutamaan yang perlu diberikan perhatian. Justeru, keperluan kepada sistem percukaian merupakan asas penting dalam membenarkan kutipan cukai, apatah lagi dalam konteks penjagaan kemasalahatan manusia. Prof. Dr. ‘Aliy al-Qurahdaghiy juga turut menyatakan hal ini seperti berikut:[7]

والذي يظهر لنا رجحانه هو أن الأصل عدم جواز فرض ضرائب، ولكنه يُستثنى من هذا الأصل حالات الضرورة والحاجة المُلِحَّة للدولة المسلمة مع ضرورة توافر ضوابط العدالة والمساواة وعدم الجور والاستئثار والإجحاف، وذلك نجمع بين الأدلة المتعارضة في ظاهرها حيث يدل بعضها على جواز ذلك مطلقًا وبعضها على المنع، وذلك بأن نُحمِّل أدلّة المنع على حالات عدم الحاجة، والظلم، والجور، والاستئثار، وأدلة الجواز على حالات الحاجة مع ضوابط العدل والمساواة والإنصاف

Maksudnya:Apa yang rajih di sisi kami ialah bahawa hukum asal adalah tidak harus untuk mengenakan cukai. Namun begitu, pengecualian diberikan dalam keadaan darurat dan keperluan mendesak yang dihadapi oleh sesebuah negara Islam, dengan syarat bahawa pelaksanaannya mestilah mematuhi prinsip keadilan, kesaksamaan, tidak berlaku zalim, monopoli, atau penindasan. Pendekatan ini bertujuan untuk mengharmonikan dalil-dalil yang pada zahirnya kelihatan bercanggah, di mana sebahagiannya menunjukkan keharusan secara mutlak manakala sebahagian yang lain menunjukkan larangan. Justeru, dalil-dalil yang melarang dikenakan tafsiran khusus terhadap situasi yang tidak memerlukan, serta wujudnya kezaliman, penindasan dan monopoli, manakala dalil-dalil yang mengharuskan pula ditafsirkan khusus bagi keadaan yang benar-benar memerlukan, dengan syarat menepati prinsip keadilan, kesaksamaan dan tidak menindas”.

Justeru pihak kerajaan juga haruslah sentiasa berwaspada dalam mengutip cukai dengan memastikan syarat-syarat dibolehkan pungutan cukai dalam Islam sentiasa dipatuhi, antaranya seperti yang dirumuskan oleh Prof. Nazīh ‘Abd al-Maqṣūd:[8]

  1. Kewujudan Keperluan yang Mendesak: Pemungutan cukai hanya dibenarkan apabila wujud keperluan yang nyata, mendesak dan tidak dapat dielakkan demi kelangsungan pentadbiran atau kesejahteraan masyarakat.
  1. Pelaksanaan Secara Adil dan Beretika: Cukai hendaklah dipungut secara adil, saksama dan penuh toleransi, tanpa menindas mana-mana pihak, serta mengambil kira kemampuan pembayar.
  1. Penggunaan Hasil Kutipan Cukai untuk Kemaslahatan Umum Sahaja: Hasil kutipan cukai mestilah diperuntukkan kepada tujuan-tujuan yang memberi kemaslahatan kepada masyarakat, selaras dengan prinsip maqāṣid al-sharīʿah.
  1. Melibatkan Perbincangan dan Konsultasi Bersama Pihak-Pihak Pakar: Pelaksanaan sesuatu bentuk cukai perlu didahului dengan proses perbincangan dan syura, sama ada dalam kalangan pihak berautoriti mahupun wakil masyarakat, bagi menjamin kesesuaian pelaksanaannya.

 

Malaysia Dan Keperluan Kepada Percukaian

Malaysia merupakan sebuah negara yang memerlukan kepada sistem cukai bagi menjana sumber kewangan untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Hal ini dapat dilihat misalnya pada laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan yang terkini, iaitu bagi tahun berakhir 2023, kutipan hasil cukai hanyalah sebanyak RM229 bilion, yang merupakan hanya 73% sahaja daripada keseluruhan terimaan.[9] Selain itu, penyata prestasi kewangan bagi tahun berakhir 2023 juga turut mencatatkan kekurangan RM92 bilion daripada keseluruhan hasil Kerajaan selepas ditolak perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, yang mana kekurangan tersebut ditampung melalui pinjaman dan bantuan luar negeri.[10]

Laporan ini jelas menunjukkan bahawa pemungutan cukai dalam konteks di Malaysia adalah merupakan satu keperluan dalam membiayai pelbagai perkhidmatan awam seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan, serta pembangunan infrastruktur. Sistem cukai yang teratur juga membantu mengagihkan kekayaan secara lebih adil dan mengurangkan jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin. Justeru, cukai memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan ekonomi dan kelangsungan pentadbiran negara.

Oleh itu, amalan percukaian yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia pada hari ini secara umumnya tidak bercanggah dengan hukum syarak, dan sekali-kali tidak boleh disifatkan sebagai perbuatan al-maks yang dilarang. Hal ini demikian kerana pemungutan cukai dilakukan di Malaysia secara umumnya dilakukan secara adil, dan perbelanjaan-perbelanjaan Kerajaan juga adalah mengikut persetujuan suara bersama majoriti rakyat melalui wakil-wakil rakyat di Parlimen yang membahaskan dan menyokong belanjawan tahunan yang dibentangkan oleh pihak Kerajaan yang memerintah.

Selain itu, perbuatan tidak membayar cukai juga adalah merupakan antara perkara yang dilarang oleh syarak kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada berkurangnya hasil dana negara, dan seterusnya menyukarkan kerajaan untuk menyusun atur polisi ekonomi, merancang program-program pembangunan serta menghulurkan bantuan demi kemaslahatan rakyat.[11]

 

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:

  1. Larangan perbuatan al-maks hanyalah merujuk kepada pungutan harta awam yang dilakukan secara zalim, dan dibelanjakan kepada pihak yang tidak berhak.
  1. Pungutan cukai yang dilakukan oleh Kerajaan dengan berlandaskan kepada keperluan yang sebenar adalah merupakan sesuatu yang dibenarkan oleh syarak.
  1. Membayar cukai adalah meruapakan salah satu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh setiap rakyat yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Perbuatan melarikan diri daripada membayar cukai boleh menjejaskan kemaslahatan rakyat disebabkan pendapatan Kerajaan yang terjejas.

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Baghawiy, Abū Muḥammad al-Ḥusayn (1983), Sharḥ al-Sunnah, Beirut: Al-Maktab al-Islāmiy, 10:60-61.

[2] Al-Dhahabiy, Shams al-Dīn Abī ‘Abd Allāh Muḥammad bin Aḥmad (t.t.), Al-Kabā’ir, Beirut: Dār al-Nadwah al-Jadīdah, 115.

والمكاس من أكبر أعوان الظلمَة بل هُوَ من الظلمَة أنفسهم فَإِنَّهُ يَأْخُذ مَا لَا يسْتَحق وَيُعْطِيه لمن لَا يسْتَحق

[3] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawi (1392H), Al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥajjāj, Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabiy, 11:203.

أَنَّ الْمَكْسَ مِنْ ‌أَقْبَحِ ‌الْمَعَاصِي وَالذُّنُوبِ الْمُوبِقَاتِ وَذَلِكَ لِكَثْرَةِ مُطَالَبَاتِ النَّاسِ لَهُ وظلاماتهم عِنْدَهُ وَتَكَرُّرِ ذَلِكَ مِنْهُ وَانْتِهَاكِهِ لِلنَّاسِ وَأَخْذِ أَمْوَالِهِمْ بِغَيْرِ حَقِّهَا وَصَرْفِهَا فِي غَيْرِ وَجْهِهَا

[4] Rujuk fatwa Dār al-Ftā’ al-Miṣriyyah di laman sesawang berikut (diakses pada 18 Julai 2025): https://dar-alifta.org/ar/fatwa/details/15500/%D8%A7%D9%84%D9%81%D8%B1%D9%82-%D8%A8%D9%8A%D9%86-%D8%A7%D9%84%D8%B6%D8%B1%D8%A7%D8%A6%D8%A8-%D9%88%D8%A7%D9%84%D9%85%D9%83%D8%B3-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%AD%D8%B1%D9%85

[5] Al-Qurahdaghiy, ‘Aliy Muḥyī al-Dīn (2010), Ḥaqībah al-Duktūr ‘Aliy al-Qurahdaghiy al-Iqtiṣādiyyah, Qatar: Idārah al-Shu’ūn al-Islāmiyyah, 2:337.

وذهب جماعة أخرى منهم إلى وجود حق آخر، وبالتالي جواز فرض فرائض مالية إذا اقتضت المصلحة ذلك، كما في حالة الحرب، أو للتنمية، أو التكافل إذا لم يتحقق ذلك بالزكاة ونحوها من الفرائض المالية من الجزية والخراج، والتعشير (أي: أخذ نسبة ١٠٪ من تجارة غير المسلمين داخل البلاد الإسلامية)، والخمس في الركاز، وهذا الرأي اختاره الإمام الطبري، والترمذي، وابن حزم وغيرهم (٢)، وهو رأي جماعة من الصحابة، والتابعين.

[6] Al-Ghazāliy, Abū Ḥāmid Muḥammad bin Muḥammad (1993), Al-Mustaṣfā, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 177.

[7] Al-Qurahdaghiy, ‘Aliy Muḥyī al-Dīn (2001), Buḥūth fī Fiqh al-Muʻāmalāt al-Māliyyah al-Muʻāṣirah, Qatar: Dār al-Bashā’ir al-Islāmiyyah, 55.

[8] Nazīh ‘Abd al-Maqṣūd Muḥammad Mabrūk, Farḍ al-Ḍarā’ib fī Ḍaw’ al-Sharīʻah al-Islāmiyyah maʻ Ishārah Khāṣṣah ilā Ḥukm Farḍ al-Ḍarībah ‘alā al-‘Aqārāt al-Mabniyyah, “Majallah Kulliyyah al-Sharī’ah wa al-Qānū bi Ṭanṭā”, (2022) 37 vol. 1, 296-306.

[9] Kementerian Kewangan (2024), Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2023, Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad, 2.

[10] Ibid, 58.

[11] Untuk bacaan lanjut mengenai perkara ini, sila rujuk: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5163-al-kafi-1860-hukum-lari-daripada-membayar-cukai