SOALAN
Assalamualaikum SS Mufti. Saya nak tanya berkenaan hukum wanita yang terlibat dalam dalam Global Sumud Flotila ke Palestin bagi misi menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan dan seumpamanya?
RINGKASAN JAWAPAN
Pada asasnya, hukum bagi wanita keluar berjihad di luar negaranya adalah tidak wajib. Namun begitu, pada zaman hari ini terdapat keperluan dan hajat yang memerlukan penglibatan wanita contohnya dalam membantu wanita lain yang berada dalam keadaan peperangan. Oleh yang demikian, sumbangan dan peranan mereka dalam pelbagai aspek yang lain dalam membantu kejayaan sesuatu misi jihad merupakan suatu perkara yang dituntut dan terpuji. Hal ini dengan berdasarkan garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Oleh yang demikian, hukum penyertaan wanita dalam flotila ini adalah harus dan tidak salah untuk terlibat. Lebih-lebih lagi dalam situasi rakyat Palestin yang cukup terdesak dalam mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada sesiapa pun yang sanggup menempuhi cabaran.
Waallahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Jihad di jalan Allah SWT merupakan sesuatu perbuatan yang agung dan mulia serta dijanjikan dengan ganjaran yang sangat besar. Oleh yang demikian, setiap daripada kalangan orang yang beriman sentiasa mencari peluang untuk berjihad bagi memperoleh keredaan Allah SWT dan ganjaran yang dijanjikan tersebut. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١١١﴾
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
(Surah al-Taubah: 111)
Oleh yang demikian, terdapat juga golongan daripada kalangan wanita yang ingin turut serta dalam berjihad di jalan Allah SWT. Khususnya apabila pada hari ini isu Palestin yang kini berada di tahap yang paling genting dan terdesak dalam sejarah konfliknya. Ia sekaligus menggerakkan sesetengah golongan wanita untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai usaha untuk menghulurkan bantuan kepada saudara di sana.
Pada asasnya hukum wanita terlibat dalam jihad peperangan adalah tidak diwajibkan. Hal ini kerana terdapat tujuh syarat yang ditetapkan oleh para ulama yang antaranya mestilah berjantina lelaki dan tidak diwajibkan ke atas wanita. Imam Abu Syuja’ dalam kitabnya Matn al-Ghayah wa al-Taqrib menyebutkan bahawa:
وشرائط وجوب الجهاد سبع خصال: الإسلام والبلوغ والعقل والحرية والذكورة والصحة والطاقة على القتال.
Maksudnya: Syarat-syarat kewajipan jihad ada tujuh perkara: Islam, baligh, berakal, merdeka, lelaki, sihat dan berkemampuan untuk berperang.[1]
Dalam hal ini, Imam Sulaiman al-Bujairimi menerangkan bahawa syarat wajib berjihad hanya kepada lelaki disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah keadaan fizikal diri mereka yang lemah. Selain daripada itu, Allah SWT memerintahkan jihad dalam surah al-Anfal, ayat 65 kepada golongan lelaki sahaja dan tidak termasuk golongan wanita. Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RAnha apabila beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang jihad, maka jawab Baginda SAW bahawa jihad yang afdal bagi mereka ialah haji yang mabrur. Kata beliau:
(و) الْخَامِسَة (الذُّكُورَة) فَلَا جِهَاد على امْرَأَة لِضعْفِهَا وَلقَوْله تَعَالَى {يَا أَيهَا النَّبِي حرض الْمُؤمنِينَ على الْقِتَال} وَإِطْلَاق لفظ الْمُؤمنِينَ ينْصَرف للرِّجَال دون النِّسَاء وَالْخُنْثَى كَالْمَرْأَةِ وَلقَوْله صلى الله عليه وسلم لعَائِشَة وَقد سَأَلته فِي الْجِهَاد لَكِن أفضل الْجِهَاد حج مبرور.
Maksudnya: Syarat kelima, lelaki. Oleh yang demikian, tiada kewajipan jihad terhadap wanita kerana keadaan fizikal mereka yang lemah. Selain itu, berdasarkan firman Allah SWT: “Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang.” (Surah al-Anfal: 65) yang mana lafaz al-mu’minin merujuk kepada kaum lelaki dan tidak kepada wanita, begitu juga khunsa yang hukumnya sama seperti wanita. Disamping hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RAnha bahawa apabila beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang jihad, maka jawab Baginda SAW bahawa jihad yang afdal bagi mereka ialah haji yang mabrur.[2]
Namun begitu, hal ini adalah dari sudut hukum kewajipan jihad dalam bentuk peperanagn mengangkat senjata. Adapun dalam Sirah Nabawiyyah dapat dilihat penglibatan kaum wanita di medan jihad walaupun bukan berperang mengangkat senjata secara langsung terhadap musuh. Hal ini dapat dilihat dalam banyak hadis yang meriwayatkan peranan wanita dalam peperangan contohnya disebut dalam bab dalam Sahih al-Bukhari. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik bahawa:
لَمَّا كانَ يَوْمُ أُحُدٍ، انْهَزَمَ النَّاسُ عَنِ النبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، قالَ: وَلقَدْ رَأَيْتُ عَائِشَةَ بنْتَ أَبِي بَكْرٍ، وَأُمَّ سُلَيْمٍ وإنَّهُما لَمُشَمِّرَتَانِ، أَرَى خَدَمَ سُوقِهِما تَنْقُزَانِ القِرَبَ، وَقالَ غَيْرُهُ: تَنْقُلَانِ القِرَبَ علَى مُتُونِهِمَا، ثُمَّ تُفْرِغَانِهِ في أَفْوَاهِ القَوْمِ، ثُمَّ تَرْجِعَانِ فَتَمْلَآَنِهَا، ثُمَّ تَجِيئَانِ فَتُفْرِغَانِهَا في أَفْوَاهِ القَوْمِ.
Maksudnya: Pada hari perang Uhud berlaku, pasukan kaum Muslim mundur daripada Nabi SAW, aku (Anas RA) melihat Saidatina ‘Aisyah binti Abu Bakar dan Ummu Sulaim sedang sibuk dalam keadaan menyinsing pakaian mereka. Aku melihat gelang-gelang kakinya pada betisnya masing-masing. Orang yang lain pula berkata: Kedua-duanya mengangkat qirab (sejenis bekas air) di atas belakang masing-masing dan memberi minum pasukan muslimin. Setelah itu, kedua-duanya pergi mengambil air dan memenuhi bekas air masing-masing, kemudian memberi minum kepada pasukan muslim lagi.
(Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, Ibn Battal menyebutkan dalam syarahanya bahawa hal ini menunjukkan kaum wanita juga terlibat dalam peperangan dengan peranan yang berbeza daripada kaum lelaki iaitu antaranya ialah memberi minum kepada para pejuang dan merawat golongan yang tercedera dari kalangan mereka.[3] Hal yang sama juga disebutkan oleh Ibn Rusyd bahawa:
في غزو النساء قال مالك: كان النساء يخرجن مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في غزوه يسقين الماء، ويداوين الجرحى. قال محمد بن رشد: لا خلاف في جواز خروج النساء في الغزو مع الجيش المأمون ليخدمن الغزاة.
Maksudnya: Berkaitan penglibatan wanita dalam peperangan, Imam Malik berkata: Dahulu kaum wanita keluar berjihad di medan peperangan bersama Rasulullah SAW dengan memberi minum dan merawat tentera yang tercedera. Muhammad Ibn Rusyd berkata: Tiada khilaf dalam keharusan kaum wanita keluar berjihad bersama para tentera bagi memberikan khidmat kepada mereka.[4]
Oleh yang demikian, hal ini jelas menunjukkan bahawa walaupun kaum wanita tidak terlibat dalam mengangkat senjata dalam peperangan jihad, namun begitu peranan mereka tidak kurang pentingnya dalam memastikan kejayaan sesuatu misi jihad yang dilancarkan. Apatah lagi apabila melibat maslahah yang lebih besar, maka didahulukan maslahah yang umum berbanding maslahah yang khusus berdasarkan kaedah yang menyebutkan bahawa:
اعتبارُ المصلحَةِ العامَّةِ مُقدَّمٌ على اعتبارِ المصلحَةِ الخاصَّةِ
Maksudnya: Mengambil kira maslahah yang bersifat umum lebih didahulukan daripada meraikan maslahah yang khusus.[5]
Di samping itu, peranan yang dijalankan oleh kaum wanita ini juga dikira sebagai satu bentuk penglibatan secara langsung (mubasyarah) yang mana akan memperoleh ganjaran yang sama seperti golongan yang berjihad di jalan-Nya secara langsung. Ini sepertimana disebutkan oleh Imam Badruddin al-‘Aini bahawa:
قَالَ مُحَمَّد صلى الله عليه وسلم من قتل فِي سَبِيل الله أَو مَاتَ فَهُوَ فِي الْجنَّة. وَفِيه: دلَالَة على أَن من مَاتَ فِي طَرِيق الْجِهَاد من غير مُبَاشرَة ومشاهدة، لَهُ من الْأجر مثل مَا للمباشر، وَكَانَت النِّسَاء إِذا غزون يسقين المَاء ويداوين الكلمى ويصنعن لَهُم طعامهم وَمَا يصلحهم، فَهَذِهِ مُبَاشرَة.
Maksudnya: Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa sesiapa yang terbunuh atau meninggal dunia di jalan Allah SWT maka dia akan berada di dalam syurga. Hadis ini menunjukkan kepada bahawa sesiapa yang meninggal dunia di jalan jihad tanpa terlibat secara langsung dan menyaksikan peperangan, baginya juga pahala sama seperti golongan yang terlibat secara langsung. Sesungguhnya apabila golongan kaum wanita terlibat dalam peperangan, peranan mereka ialah memberi minum, merawat tentera yang sakit dan menyediakan makanan serta apa yang melibatkan kemaslahatan mereka. Oleh itu, ia satu bentuk penglibatan secara langsung.[6]
Ini juga ditegaskan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh al-Jihad bahawa peranan wanita dalam jihad di zaman moden ini adalah luas dan fleksibel memandangkan jihad tidak lagi hanya berkait dengan kekuatan jasmani semata-mata, tetapi juga memerlukan keupayaan akal yang cerdas dan kemahiran. Bahkan dilihat juga pihak musuh turut memanfaatkan peranan wanita dalam kekuatan ketenteraan mereka bersama dengan kaum lelaki.[7] Maka, seterusnya Syeikh Yusuf al-Qaradawi menyebutkan bahawa:
ونحن نعتقد أن المرأة المسلمة -بإيمانها وحماسها وشجاعتها - يمكنها أن تساهم في مساعدة الجيش المسلم المقاتل بأكثر من الإسعاف والتمريض، وقد رأينا من نساء فلسطين من يقدمن أنفسهن فداء في عمليات استشهادية تضرب بها الأمثال.
Maksudnya: Kami berkeyakinan bahawa wanita muslimah, dengan semangat juang dan keberanian mereka, mampu untuk memberikan sumbangan dalam membantu tentera-tentera Islam lebih daripada sekadar memberi pertolongan dan rawatan. Kami telah melihat wanita-wanita di Palestin telah mempertaruhkan nyawa mereka dalam misi-misi syahid yang dapat dijadikan contoh.[8]
Seterusnya, sebagai melengkapkan penjelasan ini disertakan bersama di sini beberapa garis panduan penglibatan wanita dalam usaha jihad seperti yang dilihat pada hari ini. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
- Hendaklah melaksanakan peranan yang signifikan selain daripada berperang seperti menyampaikan bantuan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asasi yang sangat diperlukan dalam usaha jihad.
- Memastikan keselamatan dan keamanan dalam melaksanakan usaha tersebut terjamin dan dilindungi oleh organisasi yang tersusun dan mempunyai hubungan dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pemerintah dan kerajaan.
- Menutup aurat dan memelihara maruah diri daripada sebarang perkara yang menimbulkan fitnah.
Oleh yang demikian, jika syarat-syarat ini dipenuhi maka hukum penglibatan wanita dalam usaha jihad seperti ini adalah harus dan dibenarkan. Justeru, dalam hal ini sokongan dan dokongan harus diberikan kepada para peserta yang terlibat secara sukarela tersebut bagi menjayakan misi jihad yang sangat penting ini.
Kesimpulan
Kesimpulannya, sememangnya tiada kewajipan ke atas kaum wanita untuk terlibat mengangkat senjata dalam peperangan jihad. Namun begitu, sumbangan dan peranan mereka dalam pelbagai aspek yang lain dalam membantu kejayaan sesuatu misi jihad merupakan suatu perkara yang dituntut dan terpuji seperti yang pernah dilakukan oleh Saidatina Aisyah dan Ummu Sulaim dalam peperangan Uhud. Oleh yang demikian, hukum wanita keluar berjihad berdasarkan situasi dan keadaan mereka yang menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak adalah suatu perkara kebaikan dan mendapat pahala di sisi Allah SWT. Lebih-lebih lagi dalam situasi genting yang dihadapi oleh rakyat Palestin pada ketika ini yang begitu terdesak kepada pertolongan dan bantuan tidak kira daripada siapa jua yang mampu menolong mereka.
WaAllahu a’lam.
Rujukan:
[1] Abu Syuja’, Ahmad ibn al-Husain, Matn al-Ghayah wa al-Taqrib, (Beirut: ‘Alam al-Kutub, 1431H), hlmn. 40.
[2] Al-Bujairimi, Sulaiman ibn Muhammad, Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), jld. 4, hlmn. 252.
[3] Ibn Battal, Sharh Sahih al-Bukhari, (Riyadh: Maktabah al-Rusyd, 2003), jld. 5, hlmn. 77.
كان النساء يشهدن المشاهد مع رسول الله ويسقين المقاتلة ويداوين الجراح.
[4] Ibn Rusyd, Abu al-Walid Muhammad ibn Ahmad, al-Bayan wa al-Tahsil, (Beirut: Dar al-Gharb al-Islami, 1988), jld. 17, hlmn. 560.
[5] Abdullah al-Jadi’, Taysir Ilm Usul al-Fiqh, (Beirut: Muassasah al-Rayyan, 1997), hlmn. 339.
[6] Al-Aini, Badruddin, ‘Umdat al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar al-Fikr, 1431H), jld. 14, hlmn. 88.
[7] Yusuf al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad: Dirasah Muqaranah li Ahkamih wa Falsafatihi fi Daw al-Quran wa al-Sunnah, (Kaherah: Maktabah Wahbah, 2009), jld. 1, hlmn. 140-141.
دور المرأة في الحرب الحديثة
على أن هنا ملحظا ينبغي أن تنبه عليه، وهو أن الحرب الحديثة لم تعد تقتضي من اللياقة البدنية، والقدرة على احتمال المشقات ما كانت تتطلبه الحروب قديما. فمعظم الحرب الآن تعتمد على آليات ومعدات، يحتاج استخدامها إلى استعمال العقل أكثر من استعمال البدن، وهنا يمكن أن تقوم المرأة المدربة المتعلمة مقام الرجل. وهذا ما جعل دولة العدو الصهيوني تستخدم في جيشها النساء بجوار الرجال.
[8] Ibid.