اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-930: BENARKAH SKANDAL ISTERI HALAL DIBUNUH?

PP_poster_100.jpg

Soalan

Salam, saya ada baca thread pasal isu latest suami bunuh skandal isteri. Dia tafsir hadis, katanya halal darah kalau suami jumpa isteri tidur dengan lelaki lain. Dalilnya, Nabi tak larang bila Saad cakap nak libas dengan pedang kalau nampak isteri tidur dengan orang lain. Betul ke tafsiran hadis tu atau ada penerangan lanjut?

Ringkasan Jawapan

Sifat cemburu adalah fitrah yang mulia, bahkan Rasulullah SAW menegaskan bahawa Allah SWT lebih cemburu daripada manusia. Namun begitu, ghirah (cemburu) tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar hukum Allah. Nyawa manusia adalah amanah dan tidak boleh diambil kecuali dengan hak yang jelas menurut syarak. Sebaliknya, wajib menyerahkan kes itu kepada qadi atau mahkamah syariah dengan pembuktian empat saksi yang adil. Pandangan para ulama seperti Ibn ʿAbd al-Barr menegaskan bahawa jika seseorang membunuh hanya berdasarkan dakwaannya sendiri, dia tetap dikenakan qisas kerana syarak menutup pintu kezaliman dan menjaga kehormatan nyawa. Oleh itu, setiap tindakan mesti ditimbang dengan neraca fiqh al-Mizan yang berasaskan wahyu, agar emosi tidak mengatasi hukum dan keadilan. Dengan cara ini, Islam bukan sahaja menjaga maruah dan keturunan, bahkan juga memelihara nyawa manusia sebagai salah satu maqasid syariah yang utama.

Huraian Jawapan

Kes suami membunuh orang yang dituduh mengganggu rumah tangganya bukan perkara kecil. Ia merupakan satu jenayah pembunuhan yang sangat berat dalam Islam.

Nyawa manusia haram diambil kecuali dengan hak.[1] Perkara ini berdasarkan Firman Allah:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (dibunuh), melainkan dengan suatu (hak) yang benar.”

Surah al-Isra’ (33)

Hadis yang dimaksudkan oleh si penanya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam “Bab Seseorang yang Melihat Lelaki Lain Bersama Isterinya, Lalu Dia Membunuh Lelaki Tersebut”. Saʻad bin Ubadah berkata:

لَوْ رَأَيْتُ رَجُلًا مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسَّيْفِ غَيْرَ مُصْفَحٍ، فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ، لَأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ، وَاللَّهُ أَغْيَرُ مِنِّي»

Maksudnya: “Sekiranya aku melihat seseorang lelaki bersama isteriku, pasti aku akan menetaknya dengan pedang (membunuhnya) tanpa belas kasihan. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW dan Baginda bersabda: Adakah kamu semua berasa hairan terhadap kecemburuan Saʻad? Sesungguhnya aku lebih cemburu daripadanya dan Allah SWT lebih cemburu daripadaku.”[2]

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Hadis ini bukan satu keizinan atau lesen untuk membunuh tanpa bicara, tetapi menggambarkan tingginya cemburu seorang mukmin terhadap maruah keluarga. Perkara ini disokong dengan hadis riwayat Imam Muslim, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Saʻad bin ‘Ubadah berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ، إِنْ وَجَدْتُ مَعَ امْرَأَتِي رَجُلًا، أَؤُمْهِلُهُ حَتَّى آتِيَ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ؟ قَالَ: «نَعَمْ»

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, jika aku mendapati isteriku bersama lelaki lain, adakah aku perlu menunggu sehingga aku membawa empat orang saksi? Lalu Rasulullah SAW bersabda: Ya.”[3]

Riwayat Muslim

Maka hadis ini menunjukkan bahawa marah atau cemburu sahaja tidak membolehkan seseorang membunuh. Perlu dibawa ke mahkamah syariah atau hakim untuk dibicarakan. Ini juga bertepatan dengan maqasid Islam yang memerintah untuk menjaga nyawa dan keturunan. Dalam hal ini, Ibn ʻAbd al-Barr menyebutkan dalam karyanya al-Tamhid bahawa:

أَنَّ الْغَيْرَةَ لَا تُبِيحُ لِلْغَيُورِ مَا حُرِمَ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يَلْزَمُهُ مَعَ غَيْرَتِهِ الِانْقِيَادُ لِحُكْمِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنْ لَا يَتَعَدَّى حُدُودَهُ فَاللَّهُ وَرَسُولُهُ أَغْيَرُ وَلَا خِلَافَ عَلِمْتُهُ بَيْنَ الْعُلَمَاءِ فِيمَنْ قَتَلَ رَجُلًا ثُمَّ ادَّعَى أَنَّهُ إِنَّمَا قَتَلَهُ لِأَنَّهُ وَجَدَهُ مَعَ امْرَأَتِهِ بَيْنَ فَخِذَيْهَا وَنَحْوِ ذَلِكَ مِنْ وُجُوهِ زِنَاهُ بِهَا وَلَمْ يُعْلَمْ مَا ذَكَرَ عَنْهُ إِلَّا بِدَعْوَاهُ أَنَّهُ لَا يُقْبَلُ مِنْهُ مَا ادَّعَاهُ وَأَنَّهُ يُقْتَلُ بِهِ إِلَّا أَنْ يَأْتِيَ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ يَشْهَدُونَ أَنَّهُمْ رَأَوْا وَطْئَهُ لَهَا وَإِيلَاجَهُ فِيهَا وَيَكُونُ مَعَ ذَلِكَ مُحْصَنًا مُسْلِمًا بَالِغًا أَوْ مَنْ يَحِلُّ دَمُهُ بِذَلِكَ

Maksudnya: Sifat cemburu tidak boleh menjadi alasan untuk seseorang melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT ke atasnya. Bahkan, dia tetap wajib tunduk kepada hukum Allah dan Rasul-Nya dan tidak boleh melampaui batas, kerana Allah dan Rasul-Nya lebih berhak memiliki sifat ghirah (cemburu). Tidak ada perselisihan dalam kalangan ulama bahawa sesiapa yang membunuh seorang lelaki, lalu mendakwa bahawa dia membunuhnya kerana mendapati lelaki itu berzina dengan isterinya atau seumpamanya, tetapi tiada seorang pun mengetahuinya selain dakwaannya sendiri, maka dakwaannya itu tidak diterima. Suami itu tetap dihukum bunuh balas (qisas) kerana tindakannya. Kecuali jika dia mampu mendatangkan empat orang saksi adil yang melihat dengan jelas perbuatan zina berlaku dengan persetubuhan yang jelas. Selain itu, lelaki yang berzina itu mestilah seorang muslim yang muhsan (telah berkahwin sebelum berzina), baligh atau seseorang yang halal darahnya menurut syarak.[4]

Islam mendidik setiap orang berakal agar sentiasa menggunakan mizan atau neraca pertimbangan yang adil dalam apa jua keadaan yang menimpa. Neraca ini bukan sekadar logik akal semata-mata, tetapi mestilah berpaksikan wahyu Allah iaitu al-Quran dan Sunnah, Ijmak, Qiyas dan nas dalam agama. Dengan fiqh al-Mizan, seorang Muslim menimbang antara maslahat dan mafsadah, menilai sesuatu secara menyeluruh, tidak gopoh, tidak berat sebelah serta meletakkan sesuatu pada tempatnya. Inilah neraca yang adil yang menjadikan tindakan manusia selaras dengan kehendak syariat dan hikmah Allah. Meskipun ditimpa dengan pelbagai ujian dan cabaran ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan menguji seseorang melainkan untuk meningkatkan darjatnya kepada yang lebih mulia.

Kesimpulan

Sifat cemburu adalah fitrah yang mulia, bahkan Rasulullah SAW menegaskan bahawa Allah SWT lebih cemburu daripada manusia. Namun begitu, ghirah (cemburu) tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar hukum Allah. Nyawa manusia adalah amanah dan tidak boleh diambil kecuali dengan hak yang jelas menurut syarak. Sebaliknya, wajib menyerahkan kes itu kepada qadi atau mahkamah syariah dengan pembuktian empat saksi yang adil. Pandangan para ulama seperti Ibn ʿAbd al-Barr menegaskan bahawa jika seseorang membunuh hanya berdasarkan dakwaannya sendiri, dia tetap dikenakan qisas kerana syarak menutup pintu kezaliman dan menjaga kehormatan nyawa. Oleh itu, setiap tindakan mesti ditimbang dengan neraca fiqh al-Mizan yang berasaskan wahyu, agar emosi tidak mengatasi hukum dan keadilan. Dengan cara ini, Islam bukan sahaja menjaga maruah dan keturunan, bahkan juga memelihara nyawa manusia sebagai salah satu maqasid syariah yang utama. Wallahuaʻlam.

Wallau 'alam.

 

Rujukan:

[1] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Adzim, ed. Sami Muhammad Salamah (t.tp.: Dar Tayyibah, 1999), jld. 5: hlm. 73.

يَقُولُ تَعَالَى نَاهِيًا عَنْ قَتْلِ النَّفْسِ بِغَيْرِ حَقٍّ شَرْعِيٍّ،

[2] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), jld. 7: hlm. 35.

[3] Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t.), no. hadis 1498, jld. 2: hlm. 1135.

[4] Ibn ‘Abd al-Barr, al-Tamhid lima fi al-Muwatta’ min al-Maʻani wa al-Masanid, ed. Mustafa bin Ahmad al-‘Alwi dan Muhammad ‘Abd al-Kabir al-Bakri (Moroko: Wizarah ‘Umum al-Awqaf, 1387), jld. 21: hlm. 256.