اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-931: HUKUM MINUM AIR REBUSAN PAKU DAN TAHI BURUNG UNTUK MERAWAT KANSER

HUKUM_MINUM_AIR_REBUSAN_PAKU_DAN_TAHI_BURUNG_UNTUK_MERAWAT_KANSER.jpg

 

Soalan                    

Assalammualaikum, Terdapat petua tradisional berkaitan minum air rebusan paku dan tahi burung merpati yang   dipercayai mampu merawat kanser. Ia dikatakan ubat mujarab oleh setengah pihak walaupun tiada pembuktian saintifik. Persoalanya, apakah hukum penggunaan tahi burung dalam rawatan. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Asasnya, hukum berubat dengan najis adalah haram sebagaimana larangan dalam hadis kecuali dalam situasi darurat.  Dalam mazhab Syafie, tahi burung dihukumkan najis menurut pendapat muktamad. Oleh itu, penggunaan air rebusan paku dan najis burung sebagai rawatan alternatif tradisional adalah tidak dibenarkan kecuali:

  1. Wujud situasi darurat (tiada alternatif ubat suci lain)
  2. Terbukti keberkesanannya melalui kajian saintifik yang sahih

Sementara itu, air rebusan paku berisiko tercemar dengan karat (oksida besi) dan dikhuatiri keracunan logam yang membahayakan kesihatan. Terapi tradisional yang menjejaskan keselamatan tanpa bukti kukuh yang menyokong keberkesanannya adalah termasuk terapi yang diragui.

Justeru, rawatan konvensional seperti kemoterapi, radioterapi, pembedahan, imunoterapi yang dibuktikan keberkesanannya melalui pelbagai ujian klinikal seharusnya menjadi pilihan utama dalam merawat penyakit kanser yang berisiko kematian. Hal ini selaras dengan penerimaan terhadap perkembangan rawatan moden yang seiring dengan arus perdana di samping menggambarkan keyakinan masyarakat terhadap kepakaran pengamal perubatan.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Masyarakat alam Melayu terkenal dengan petua rawatan tradisional yang diwarisi turun-temurun menggunakan herba-herba serta rempah ratus terpilih, namun rawatan yang mengunakan najis burung merpati yang dipercayai mampu merawat kanser menurut petua taradisional memerlukan kepada perbahasan syarak.

Kenajisan Tahi Burung

Tahi burung adalah kategori najis menurut mazhab Syafie berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA [1]:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَجَرَيْنِ وَرَوْثَةٍ فَأَخَذَ الْحَجَرَيْنِ وَأَلْقَى الرَّوْثَةَ وَقَالَ إنَّهَا رِكْسٌ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila dibawa dua biji batu dan najis binatang (yang telah keras) untuk beristinjak maka baginda telah mengambil batu dan membuang najis binatang tersebut, lalu berkata “Ini adalah kotoran”.

Riwayat al-Bukhari (156) dan Ahmad (3685)

Berdasarkan hadis tersebut, Imam Al-Nawawi menyatakan tahi burung termasuk najis:

أَنَّ مَذْهَبَنَا أَنَّ جميع الارواث والدرق وَالْبَوْلِ نَجِسَةٌ مِنْ كُلِّ الْحَيَوَانِ سَوَاءٌ الْمَأْكُولُ وَغَيْرُهُ وَالطَّيْرُ وَكَذَا رَوْثُ السَّمَكِ وَالْجَرَادِ وَمَا لَيْسَ لَهُ نَفْسٌ سَائِلَةٌ كَالذُّبَابِ فَرَوْثُهَا وَبَوْلُهَا نَجِسَانِ عَلَى الْمَذْهَبِ

“Bahawasanya dalam mazhab kami (Syafi’ie) semua tahi dan air kencing adalah najis samada berasal dari haiwan yang boleh dimakan atau tidak boleh dimakan. Begitu juga najis burung, najis ikan dan belalang, najis haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir seperti lalat, sama ada najisnya dan air kencingnya, maka kesemuanya dihukum najis menurut pendapat yang paling sahih”. [2]

Hukum Berubat dengan Najis

Pengharaman berubat dengan najis dan benda kotor bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda’, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram”.

(Riwayat Abu Dawud)

Selain itu, Abu Hurairah RA meriwayatkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الدواء الخبيث

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melarang daripada berubat dengan ubat yang kotor”

(Riwayat Abu Dawud)

Hadis di atas melarang penggunaan benda-benda bernajis dan haram bagi tujuan perubatan. Walau bagaimanapun, Imam An-Nawawi berpendapat bahawa larangan tersebut berlaku apabila tiada keperluan untuk menggunakan ubat-ubatan yang haram dan najis kerana masih terdapat alternatif ubat yang suci. Justeru, harus berubat dengan najis apabila tidak didapati ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika terdapat ubat yang suci, maka haram berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh para ulama.[3] Dapat difahami bahawa larangan berubat dengan perkara yang haram adalah sabit jika terdaoat ubat suci lain.

Berdasarkan hujah fuqaha, pesakit yang terdesak (darurat) harus mendapatkan ubat yang bernajis bagi menjaga nyawa apabila tiada alternatif ubat yang suci. Hal ini selari dengan kaedah fiqh:

الضرورة تبيح المحظورات

Maksudnya:Keadaan darurat mengharuskan perkara yang haram”.

Di samping itu, kaedah fiqh tersebut juga harus difahami dan diikat dengan kaedah lain iaitu

الضرورات تقدر بقدرها

Maksudnya: “Darurat hendaklah diambil cukup pada kadar keperluannya sahaja”.

Perubatan moden bagi pesakit kanser semakin berkembang mengikut arus zaman melalui rawatan konvensional seperti kemoterapi, radioterapi (terapi sinaran) imunoterapi dan pembedahan. Keberkesanan kemoterapi dan radioterapi dalam merawat kanser telah dibuktikan melalui pelbagai ujian klinikal rawak dan meta-analisis pesakit individu berskala besar. Sebagai contoh, meta-analisis polikemoterapi yang menunjukkan peningkatan kelangsungan hidup bagi pesakit kanser payudara awal,[4] manakala radioterapi selepas pembedahan mengurangkan kadar risiko kematian akibat kanser payudara.[5]

Oleh yang demikian, rawatan yang diiktiraf dan diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seharusnya diutamakan dan disyorkan bagi penyakit kanser yang berisiko kematian.

Kesimpulan

Hukum ramuan air rebusan paku dan najis burung merpati dipercayai mampu merawat kanser menurut petua tradisional adalah tidak dibenarkan. Hal ini kerana penggunaan najis tersebut hanya sebagai alternatif terapi tradisional bagi penyakit kanser yang berisiko kematian. Penggunaan najis dalam rawatan hanya dibenarkan pada situasi darurat, malahan terdapat pilihan ubat suci seperti rawatan konvensional yang dibuktikan melalui pelbagai ujian klinikal dan juga diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1]  Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. T.th. J: 2 P: 550 . Beirut: Dar al-Fikr.   

قَالَ الْمُصَنِّفُ رَحِمَهُ اللَّهُ

* [وَأَمَّا سِرْجِينُ الْبَهَائِمِ وَذَرْقُ الطُّيُورِ فَهُوَ كَالْغَائِطِ فِي النَّجَاسَةِ لِمَا رَوَى ابْنُ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ (أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَجَرَيْنِ وَرَوْثَةٍ فَأَخَذَ الْحَجَرَيْنِ وَأَلْقَى الرَّوْثَةَ وَقَالَ إنَّهَا رِكْسٌ) فَعَلَّلَ نَجَاسَتَهُ بِأَنَّهُ رِكْسٌ وَالرِّكْسُ الرَّجِيعُ وَهَذَا رَجِيعٌ فَكَانَ نَجِسًا وَلِأَنَّهَا خَارِجٌ مِنْ الدُّبُرِ أَحَالَتْهُ الطَّبِيعَةُ فَكَانَ نَجِسًا كَالْغَائِطِ]

[2]  Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. T.th. J: 2 P: 550 . Beirut: Dar al-Fikr.

     [الشَّرْحُ] حَدِيثُ ابْنِ مَسْعُودٍ رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ بِلَفْظِهِ وَقَدْ سَبَقَ أَنَّ مَذْهَبَنَا أَنَّ جميع الارواث والدرق وَالْبَوْلِ نَجِسَةٌ مِنْ كُلِّ الْحَيَوَانِ سَوَاءٌ الْمَأْكُولُ وَغَيْرُهُ وَالطَّيْرُ وَكَذَا رَوْثُ السَّمَكِ وَالْجَرَادِ وَمَا لَيْسَ لَهُ نَفْسٌ سَائِلَةٌ كَالذُّبَابِ فَرَوْثُهَا وَبَوْلُهَا نَجِسَانِ عَلَى الْمَذْهَبِ

[3] al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1348). Jld 9. Hlm 53.

وَحَدِيثِ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ مَحْمُولٌ عَلَى عَدَمِ الْحَاجَةِ إلَيْهِ بِأَنْ يَكُونَ هُنَاكَ مَا يُغْنِي عَنْه وَيَقُومُ مَقَامَهُ مِنْ الْأَدْوِيَةِ الطَّاهِرَةِ. وَكَذَا الْجَوَابُ عَنْ الْحَدِيثَيْنِ الْآخَرَيْنِ وَقَالَ الْبَيْهَقِيُّ هَذَانِ الْحَدِيثَانِ إنْ صَحَّا حُمِلَا عَلَى النَّهْيِ عَنْ التَّدَاوِي بِالْمُسْكِرِ وَعَلَى التَّدَاوِي بِالْحَرَامِ مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ لِلْجَمْعِ بَيْنَهُمَا وَبَيْنَ حَدِيثِ الْعُرَنِيِّينَ

[4] https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22152853/

[5] https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22019144/