اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-933: MENUTUP AURAT KEWAJIPAN AGAMA, BUKAN PILIHAN PERIBADI

MENUTUP_AURAT_KEWAJIPAN_AGAMA_BUKAN_PILIHAN_PERIBADI.jpg

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Apa hukum meninggalkan pakai tudung atas alasan ingin mencari agama dengan cara sendiri dan mengatakan tidak pakai tudung itu antara dia dengan Tuhan malah lebih dekat dengan tuhan?

Ringkasan Jawapan

Menutup aurat merupakan kewajipan agama yang mesti dipatuhi. Seseorang yang menolak kewajipan menutup aurat dengan sengaja boleh terkeluar daripada Islam kerana mengingkari syariat yang jelas, manakala mereka yang tidak melaksanakannya tetapi masih mengakui kewajipannya adalah berdosa besar dan tergolong dalam golongan fasik. Alasan seperti “antara dia dengan Tuhan” tidak boleh dijadikan hujah kerana ketaatan mesti mengikut perintah Allah SWT. Keluarga dan masyarakat pula perlu menasihati dengan penuh hikmah agar istiqamah dalam menutup aurat.

Huraian Jawapan

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Setiap orang yang beragama Islam dianggap mukalaf apabila memenuhi dua syarat utama iaitu mencapai umur baligh dan berakal. Justeru, apabila dia dianggap mukalaf, kewajipan syarak mula dipertanggungjawabkan ke atasnya dan meninggalkannya dianggap dosa.

Kewajipan Pakai Tudung untuk Menutup Aurat

Dalil mewajibkan menutup aurat kepala terutamanya rambut dan leher bagi wanita jelas disebutkan dalam nas-nas syarak. Mengingkarinya tanpa alasan yang munasabah boleh membawa kepada penolakan terhadap syariat yang jelas dan muktamad.

Wanita wajib menutup aurat dengan melabuhkan tudung kepalanya berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ

Maksudnya: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung mereka ke dada mereka."

Surah an-Nur (31)

Memakai tudung sama sekali tidak membataskan kebebasan wanita muslimah dalam melaksanakan peranan serta tanggungjawab mereka dalam sebarang bidang. Sebaliknya, pensyariatan ini wajar difahami sebagai suatu bentuk pemeliharaan terhadap akhlak, maruah dan keselamatan wanita muslimah. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Ahzab (59)

Meskipun pelaksanaan syariat sering berdepan dengan pelbagai cabaran, khususnya dorongan hawa nafsu, namun Allah SWT tetap menjanjikan kemudahan dan pertolongan bagi hamba-Nya yang berusaha menyesuaikan diri dengan tuntutan agama-Nya sebagaimana firman-Nya:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Surah al-‘Ankabut (69)

Larangan Menjadikan Agama Ikut Nafsu

Kewajipan menutup aurat bukanlah sesuatu yang boleh dipilih-pilih mengikut selera atau kecenderungan peribadi. Seseorang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT hendaklah menerima keseluruhan ajaran-Nya secara menyeluruh, bukan hanya sebahagian daripadanya. Penolakan terhadap kewajipan menutup aurat tanpa alasan yang diiktiraf syarak bukan sahaja menggugat komitmen seseorang terhadap syariat, bahkan boleh membawa implikasi yang lebih serius dari sudut akidah jika dilakukan dengan sikap menolak atau meremehkan hukum Allah SWT.

Firman Allah SWT:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

Maksudnya: “Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?”

Surah al-Baqarah (85)

Tidak menutup aurat sememangnya merupakan urusan seorang hamba dengan Allah SWT, namun sekiranya benar seseorang itu ingin mendekatkan diri kepada-Nya, tanda yang paling utama ialah ketaatan terhadap perintah-Nya, bukan dengan meninggalkan kewajipan yang telah ditetapkan. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Surah al-Ahzab (36)

Hukum Enggan Melaksanakan Kewajipan Syarak

Ucapan atau sikap yang menolak kewajipan syarak merupakan perkara yang serius kerana boleh membawa implikasi yang besar terhadap akidah. Para ulama menegaskan bahawa jika seseorang muslim mengingkari suatu hukum syarak yang telah disepakati oleh ijmak ulama dan diketahui secara jelas dalam agama (مَعْلُومٌ مِنَ الدِّينِ بِالضَّرُورَةِ), maka perbuatan tersebut boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.

Namun, sekiranya seseorang tidak menunaikan kewajipan tersebut tetapi masih mengakui akan kewujudannya sebagai hukum Allah SWT, maka dia dikira berdosa besar, fasiq dan melakukan maksiat, tetapi tidak sampai ke tahap kafir.[1]

Oleh itu, seorang Muslim hendaklah berhati-hati dalam ucapan dan tindakannya, serta berusaha mengelakkan daripada menjadikan alasan seperti “ingin mencari agama dengan cara sendiri dan mengatakan tidak pakai tudung itu lebih dekat dengan tuhan” sebagai justifikasi untuk meninggalkan kewajipan syarak. Perbuatan sebegini bukan sahaja menzahirkan kelemahan iman, bahkan boleh membawa implikasi yang lebih besar sekiranya disertai dengan penafian terhadap hukum Allah SWT yang telah jelas kedudukannya.

Kesimpulan

Memakai tudung bukan sekadar simbol penampilan seorang wanita muslimah, tetapi merupakan kewajipan agama yang mesti dipatuhi. Ia melambangkan ketaatan kepada perintah Allah SWT serta berperanan menjaga maruah dan kehormatan diri. Pada masa yang sama, kewajipan ini turut membantu memelihara ketenteraman masyarakat dengan mengelakkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan gangguan atau kerosakan sosial.

Dalam hal ini, wanita yang diuji dengan rasa ingin membuka tudung atau memilih jalan yang dianggap “antara dia dengan Tuhannya” perlu dibimbing dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Keluarga, sahabat, dan masyarakat sekeliling memainkan peranan penting untuk menasihati, menyokong, dan mendoakan agar dia terus kuat dalam ketaatan, bukannya menjauh atau menghukum. Sesungguhnya, kasih sayang dan bimbingan yang berterusan akan menjadi salah satu wasilah untuk seseorang kembali istiqamah menutup aurat sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan: 

[1] Al-Zuhaili, Muhammad. 2011. al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam). 5/233.

إنكار الأحكام : إذا أنكر المسلم حكماً شرعياً مجمعاً عليه ومعروفاً في الدين بالضرورة كفر، كإنكار الصلاة والزكاة والصوم والحج وإنكار حرمة الزني، وشرب الخمر، وأكل الربا، وإنكار أحد أركان العقيدة كالتوحيد، ونبوة محمد صلى الله عليه وسلم، وأن القرآن كلام الله تعالى، وإنكار الملائكة، والكتب، والرسل، واليوم الآخر، فهذه الأحكام الشرعية مجمع عليها، ومعروفة بالضرورة لدى كل مسلم، ويستوي فيها العلماء وغيرهم، وكذا إذا أنكر نبوة نبي من الأنبياء، أو جحد آية من القرآن مجمعاً عليها ، أو زاد فيه كلمة واعتقد أنها منه ، وكذا إذا استحل كل محرم مجمع على تحريمه كاللواط، أو حرم حلالاً مجمعاً على تحليله، أو نفى وجوب مجمع على وجوبه كركعة من الصلوات الخمس، أو اعتقد وجوب ما ليس بواجب بالإجماع كصلاة سادسة، وصوم ،شوال، أو ادّعى النبوة، أو اعتقد بنبي بعد نبينا محمد ، أو صدق مدعياً لنبوة وغيره .

أما لو اعتقد وأقرّ بكل حكم شرعي مجمع عليه ومعروف في الدين بالضرورة، ولكنه لم يفعل المطلوب، وارتكب المحرم المحظور، فهذا عاص و فاسق وليس بكافر كما سنبين ذلك فيما بعد.