اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-938: PENDEDAHAN KONFLIK RUMAH TANGGA DI MEDIA SOSIAL

PENDEDAHAN_KONFLIK_RUMAH_TANGGA_DI_MEDIA_SOSIAL.jpg

Soalan

Assalamualaikum. Tuan Mufti, saya ingin bertanya mengenai segelintir pasangan menggunakan media sosial sebagai medium meluahkan masalah rumahtangga serta membuka aib pasangan, mohon pencerahan. Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan

Mendedahkan masalah rumah tangga di media sosial adalah haram kerana ia membuka aib dan menjejaskan maruah pasangan serta bertentangan dengan ajaran Islam yang menyeru agar keaiban ditutup. Islam hanya membenarkan pendedahan dalam keadaan tertentu, iaitu secara tertutup kepada pihak berautoriti seperti di mahkamah atau pejabat agama bagi tujuan mendapatkan keadilan dan menyelesaikan kezaliman.

Begitu juga, penggunaan media sosial perlu dikawal secara beretika agar tidak menjadi ruang untuk mendedahkan aib atau pertikaian rumah tangga. Masyarakat juga perlu dibentuk dengan budaya menasihati secara bijaksana dan tidak menjadikan masalah rumah tangga orang lain sebagai bahan perbincangan atau hiburan.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT menjelaskan hubungan antara suami dan isteri dengan ungkapan yang penuh makna dalam firman-Nya:

هُنَّ لِبَاس لَّكُم وَأَنتُم لِبَاس لَّهُنَّۗ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

Surah al-Baqarah (187)

Perumpamaan ini menunjukkan bahawa peranan pasangan suami isteri seharusnya bertindak sebagai pakaian atau penutup yang menutupi dan melindungi pasangannya daripada pandangan orang lain, menjaga kehormatan dan rahsia rumah tangga, bukan mendedahkan kekurangan atau aib antara satu sama lain.[1] Allah SWT memberi amaran keras kepada mereka yang membuka hal-hal peribadi pasangan kerana perbuatan itu sangat dibenci di sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِندَ الله مَنزِلَةً يَومَ القِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفضِي إِلَى المَرْأَةِ وَتُفْضِي إِلَيه، ثُمَّ يَنشُرُ سِرَّهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.”

(Riwayat Muslim)

Situasi yang Dibenarkan Mendedahkan Keaiban

Islam menegakkan prinsip keadilan dengan mempertahankan hak individu yang dizalimi serta menolak segala bentuk penindasan di atas muka bumi. Namun begitu, Islam juga menetapkan kaedah yang tepat dan had yang perlu dipatuhi dalam menangani sesuatu permasalahan. Hal ini kerana tindakan menyebarkan kesalahan atau aib seseorang kepada khalayak umum atau melalui saluran yang tidar wajar turut dianggap sebagai satu bentuk kezaliman yang dilarang oleh syarak.

Seperti yang telah dijelaskan dalam Irsyad Hukum Siri Ke-786: Membuka Aib yang Dibenarkan dalam Islam, terdapat beberapa situasi yang dibenarkan dalam Islam untuk membuka aib, mengumpat atau menceritakan keburukan seseorang apabila mempunyai tujuan benar menurut syarak yang tidak dapat dicapai kecuali dengan cara tersebut. Tujuan situasi tersebut diringkaskan seperti berikut[2]:

1.     Untuk menuntut keadilan (mengadu kezaliman)

2.     Untuk mencegah kemungkaran

3.     Untuk meminta fatwa atau nasihat hukum

4.     Untuk memberi nasihat atau amaran kepada masyarakat

5.     Apabila seseorang terang-terangan melakukan maksiat

6.   Untuk tujuan pengenalan - dengan menyebut gelaran buruk yang biasa digunakan untuk mengenalinya.

Antara dalil yang kuat dalam penetapan hukum yang disebutkan adalah hadis Aisyah RA yang meriwayatkan bahawa Hindun pernah menceritakan kepada Rasulullah berkenaan sifat suaminya Abu Sufyan[3] seperti berikut:

إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ.

Maksudnya:Abu Sufyan adalah seorang yang sangat kedekut, maka adakah aku boleh mengambil hartanya secara sembunyi-sembunyi. Lalu Rasulullah SAW menjawab, ‘Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik’.”

(Riwayat Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan menceritakan aib pasangan bagi tujuan penyelesaian terhadap kezaliman adalah harus.

Media Sosial bukan Medium Menuntut Hak atau Membela Diri

Dalam kehidupan berumah tangga, perselisihan dan cabaran adalah perkara biasa. Namun, apabila masalah peribadi disebarkan secara terbuka di media sosial, ia bukan sahaja gagal menyelesaikan konflik, malah boleh memburukkan keadaan. Tindakan ini membuka ruang campur tangan pihak luar yang tidak memahami situasi sebenar, sehingga menimbulkan fitnah dan salah faham. Lebih membimbangkan, aib pasangan yang sepatutnya dijaga menjadi tontonan umum.

Islam menegaskan pentingnya menjaga maruah diri dan keluarga dengan menutup keaiban antara suami isteri. Hal ini menjadi asas kepada keharmonian rumah tangga dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, sebarang masalah wajar diselesaikan secara tertutup dan berhemah, seperti berbincang dengan ahli keluarga yang dipercayai, mendapatkan khidmat kaunselor bertauliah, atau merujuk kepada pihak berautoriti. Pendekatan ini lebih selamat dan mencerminkan akhlak Islam yang mulia dalam mengurus konflik.

Selain itu, penggunaan media sosial hendaklah dikawal dengan beretika agar tidak dijadikan medan untuk mendedahkan aib atau pertikaian rumah tangga. Masyarakat perlu dibentuk dengan budaya menasihati secara berhikmah serta menjauhi sikap menjadikan masalah rumah tangga orang lain sebagai bahan perbincangan atau hiburan. Dalam sesetengah keadaan, penyalahgunaan media sosial yang boleh menggugatkan keamanan dan ketenteraman negara juga boleh dikenakan hukuman takzir.

Dalam konteks pembangunan sosial Islam, menjaga maruah pasangan dan institusi keluarga merupakan asas kepada kestabilan masyarakat kerana keluarga yang harmoni akan melahirkan generasi berakhlak dan menjadi aset penting kepada pembangunan ummah. Institusi agama, badan kebajikan dan institusi pendidikan wajar memperkukuh program kesedaran berasaskan ilmu kekeluargaan Islam yang menekankan adab komunikasi, pengurusan konflik dan tanggungjawab antara suami isteri.

Kesimpulan

Menjaga aib pasangan merupakan tuntutan agama yang menekankan kasih sayang, saling menghormati dan pemeliharaan rahsia rumah tangga. Pendedahan aib di media sosial bercanggah dengan ajaran Islam serta boleh menimbulkan fitnah, kemurkaan Allah SWT dan keruntuhan institusi keluarga. Islam tidak menolak hak menuntut keadilan, namun ia mesti dilakukan melalui saluran yang sah seperti mahkamah syariah atau pejabat agama. Oleh itu, setiap muslim perlu bijak dan berhikmah dalam menangani konflik rumah tangga dengan menjaga maruah diri dan pasangan demi memperoleh keredaan Allah serta kesejahteraan masyarakat.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Al-Tabari, Muhammad bin Jarir. Tafsir al-Tabari. (Kaherah: Dar Hajr li al-Tiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’ wa al-I’lan, 2001). 3/232.

وقد يُقالُ لِما ستَر الشيْءَ وواراه عن أبصارِ الناظِرِين إليه: هو لباسُه وغشاؤُه.

[2] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Riyadh al-Salihin. (Beirut: Muassasah al-Risalah, 1998), 432.

اعْلَمْ أنَّ الغِيبَةَ تُبَاحُ لِغَرَضٍ صَحيحٍ شَرْعِيٍّ لا يُمْكِنُ الوُصُولُ إِلَيْهِ إِلَاّ بِهَا، وَهُوَ سِتَّةُ أسْبَابٍ:

الأَوَّلُ: التَّظَلُّمُ، فَيَجُوزُ لِلمَظْلُومِ أنْ يَتَظَلَّمَ إِلَى السُّلْطَانِ والقَاضِي وغَيرِهِما مِمَّنْ لَهُ وِلَايَةٌ، أَوْ قُدْرَةٌ عَلَى إنْصَافِهِ مِنْ ظَالِمِهِ…

الثَّاني: الاسْتِعانَةُ عَلَى تَغْيِيرِ المُنْكَرِ، وَرَدِّ العَاصِي إِلَى الصَّوابِ…

الثَّالِثُ: الاسْتِفْتَاءُ…

الرَّابعُ: تحذير المسلمين مِنَ الشَّرِّ وَنَصِيحَتُهُمْ…

الخامِسُ: أنْ يَكُونَ مُجَاهِراً بِفِسْقِهِ أَوْ بِدْعَتِهِ…

السَّادِسُ: التعرِيفُ…

[3] Ibid. 434.