اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-182: HUKUM MELAKUKAN SEBAHAGIAN PERBUATAN SOLAT PADA LUAR WAKTUNYA

 

Soalan:

Apakah hukum solat maghrib di hujung waktu, tetapi tiba-tiba azan isyak berkumandang. Sahkah solat tersebut ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam diucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para keluarga, sahabat, serta golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Kami mukadimahkan jawapan bagi persoalan ini dengan menjelaskan berkenaan tempoh waktu yang ditetapkan untuk solat maghrib terlebih dahulu. Pertamanya, Allah S.W.T berfirman:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya solat itu merupakan kewajipan berwaktu ke atas orang-orang yang beriman.

Surah Al-Nisa’ (103)

Imam Muhammad Bin Jarir Al-Thabari Rahimahullah menafsirkan ayat ini dengan katanya: (Solat) itu adalah merupakan suatu kefardhuan ke atas orang-orang yang beriman, yang telah ditetapkan untuk mereka itu waktu yang wajib melakukannya (solat). Rujuk Al-Jaami’ Al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi Al-Quran, Al-Thabari (9/170).

Imam Ibn Kathir Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau menukilkan kata-kata Saidina Abdullah Ibn Mas’ud R.anh yang menyebut: Sesungguhnya solat itu mempunyai waktunya sama seperti haji. Lihat Tafsir Al-Quran Al-Azhim, Ibn Kathir (2/404).

Waktu Solat Maghrib

Menurut kitab Al-Fiqh Al-Manhaji: Bermulanya waktu solat maghrib dengan terbenamnya matahari. Dan waktunya berterusan sehinggalah hilangnya syafak (awan-awan merah di langit). Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji (1/107).

Imam Al-Nawawi pula menyebutkan bahawa waktu maghrib bermula dengan terbenamnya matahari tanpa khilaf di sisi para ulama. Manakala akhir waktu bagi solat maghrib terdapat dua pendapat di sisi para ulama al-Syafieyyah.

Pendapat Pertama: Waktu solat maghrib berterusan sehingga hilangnya Syafak (awan-awan merah di langit). Ini merupakan pendapat yang disebut sebagai Al-Qaul Al-Qadim, iaitu pendapat lama Imam al-Syafie Rahimahullah.

Pendapat Kedua: Waktunya apabila telah selesai qadar berwudhu’, menutup aurat, azan, iqamah, serta 5 rakaat, maka tamatlah waktunya. Ini merupakan pendapat baharu atau Al-Qaul Al-Jadid di sisi mazhab Imam Al-Syafie. Lihat Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (1/181).

Berdasarkan kepada kedua-dua pandangan ini, Imam Al-Nawawi Rahimahullah lebih cenderung kepada pendapat yang pertama. Kata beliau Rahimahullah: Majoriti ashab (Al-Syafieyyah) mensahihkan pendapat yang baharu (Al-Jadid), manakala sekumpulan ulama lain mensahihkan pendapat yang lama (Al-Qadim) iaitu waktu maghrib mempunyai dua waktu. Di antara ashab kami (Al-Syafieyyah) yang mensahihkannnya adalah Abu Bakr Ibn Khuzaimah, Abu Sulaiman Al-Khattabi, Abu Bakr Al-Baihaqi, Al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulum Al-Din, Al-Baghawi, Al-Muzani, Ibn Al-Munzir, dan inilah pendapat yang Al-Mukhtar (terpilih). Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/30).

Kata Imam Al-Nawawi lagi: Pendapat ini adalah yang sahih berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih di antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abdullah bin Amru R.anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَوَقْتُ صَلاَةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبِ الشَّفَقُ 

Maksudnya: Dan waktu solat maghrib adalah selama mana belum hilangnya syafak (awan merah di langit).

Riwayat Muslim (612).

 

Pembahagian Perlaksanaan Solat

Perlaksanaan solat terbahagi kepada tiga sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian fuqaha:

Pertama: Adaa’ (اداء)

Di dalam kitab Al-Bahr Al-Muhith, Imam Badr Al-Din Al-Zarkasyi Rahimahullah berkata: Sesungguhnya sesuatu ibadah itu apabila ia dilakukan di dalam waktunya yang ditetapkan oleh syarak maka ia dinamakan sebagai adaa’. Seperti melakukan solat maghrib di antara terbenamnya matahari dan juga tenggelamnya syafak (awan merah). Maka sesuatu yang tidak mempunyai waktu tertentu, maka ia tidak disifatkan dengan adaa’ mahupun qadha.

Kedua: I’adah (Mengulang semula).

Para penulis kitab Al-Fiqh Al-Manhaji menyebutkan pengertian i’adah sebagai: Seseorang itu telah menunaikan solat wajib, kemudian dia mendapati bahawa terdapat kekurangan pada solat yang telah ditunaikan sama ada meninggalkan beberapa adab dan pelengkap solat, Maka dia mengulanginya semula dalam bentuk yang tidak terdapat padanya kerosakan atau kecacatan. Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji (1/111).

Kata Imam Al-Zarkasyi pula: Sekiranya adaa’ itu dilakukan buat kali yang kedua maka ia dinamakan sebagai i’adah. Beliau berkata lagi: Pendapat yang tepatnya adalah, adaa’ itu merupakan suatu nama perbuatan yang berlaku di dalam waktunya sama ada segera ataupun lewat. Sekiranya sesuatu ibadah itu didahului dengan adaa’ yang terdapat padanya kekurangan maka ia dianggap sebagai i’adah. Maka kesimpulannya: Sesunggahnya i’adah itu adalah melakukan sama seperti ibadah yang telah dilakukan, sama ada ibadah itu rosak ataupun sah. Rujuk Al-Bahrul Muhith, Al-Zarkasyi (2/42).

Ketiga: Qadha’

Imam Al-Razi mendefinisikan qadha’ dengan katanya: Nama bagi perbuatan yang dilakukan setelah tamat waktunya yang ditentukan. Rujuk Al-Mahsul, Fakhr Al-Razi (1/116).

Manakala penulis kitab Al-Fiqh Al-Manhaji mengatakan bahawa qadha adalah: Mengerjakan solat itu setelah keluar waktunya. Ataupun setelah tidak berbaki dari waktunya kadar mencukupi untuk satu rakaat atau lebih. Sekiranya waktu mencukupi untuk mengerjakan satu rakaat maka ia dianggap sebagai adaa’ sepertimana yang telah kami sebutkan sebelum ini. Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji (1/111).

Berlakunya Sebahagian Perbuatan Solat Di Luar Waktu

Di dalam isu ini, terdapat dua pandangan yang masyhur iaitu pendapat jumhur fuqaha dan juga pendapat golongan Al-Hanafiyyah. Berikut kami kongsikan beberapa pendapat bagi kedua-dua golongan.

Pertama: Golongan Jumhur (Malikiyyah, Al-Syafieyyah, Al-Hanabilah).

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Kewajipan solat pada awal waktu adalah merupakan wajib muwassa’ (punya keluasan). Bermakna, tidak berdosa buat seseorang itu melewatkan solatnya sehingga waktu terakhir. Sekiranya seseorang itu melewatkan solat tanpa sebarang keuzuran, lalu dia meninggal dunia pada waktu tersebut maka dia tidak dikira berdosa melewat-lewatkannya menurut pendapat yang paling sahih.

Berikutnya, Imam Al-Nawawi menjelaskan berkenaan isu berlakunya bahagian solat pada luar waktunya dan sebahagian lagi berlaku di dalam waktunya. Kata beliau Rahimahullah: Sekiranya berlaku sebahagian (dari perbuatan) solat itu di dalam waktunya, dan sebahagian yang lainnya berlaku pada luar waktunya, maka perlu diteliti. Sekiranya solat yang dilakukan di dalam waktu itu sudah satu rakaat ke atas, maka pendapat yang paling sahih adalah keseluruhan solat itu dikira sebagai adaa’ (solat yang dilaksanakan di dalam waktunya). Manakala menurut pendapat yang kedua (di sisi al-Syafi’eyyah) keseluruhan solat tersebut merupakan qadha’.

Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji, para penulisnya menyebutkan: Ketahuilah bahawa sesiapa yang mengerjakan separuh solatnya di dalam waktunya, dan sebahagian lain berlaku di luar waktu solat, maka sekiranya telah dilakukan satu rakaat di dalam waktu maka solat itu dikira sebagai adaa’. Sekiranya tidak (kurang dari satu rakaat) maka ia dianggap sebagai qadha’. Dalilnya adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الصُّبْحِ رَكْعَةً قَبْلَ أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَقَدْ أَدْرَكَ الصُّبْحَ، وَمَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الْعَصْرِ قَبْلَ أَنْ تَغْرُبَ الشَّمْسُ فَقَدْ أَدْرَكَ الْعَصْرَ

Maksudnya: Sesiapa yang sempat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum terbitnya matahari maka dia telah sempat melakukan solat Subuh. Dan sesiapa yang sempat melakukan satu rakaat dari solat Asar sebelum terbenamnya matahari maka sesungguhnya dia telah mencapai solat Asar.

Riwayat Al-Bukhari (579)

Rujuk Al-Feqh Al-Manhaji (1/109).

Imam Al-Zurqani apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Idraak adalah sampai kepada sesuatu. Maka zahir hadis menunjukkan bahawa kita berpada dengan satu rakaat dan bukanlah yang dimaksudkan secara keseluruhan solat, dan jumhur menyatakan hal ini bahawa dia telah mendapatkan waktunya (solat). Maka apabila dia melakukan rakaat yang berikutnya maka telah sempurnalah solatnya. Lihat Syarah Al-Zurqani ‘Ala Muwatha’ Malik, Al-Zurqani (1/82).

Imam Al-Zarkasyi daripada tokoh mazhab Hanafi berpendapat: Tidak disyaratkan berlakunya keseluruhan solat di dalam waktunya. Bahkan sekiranya berlaku separuh darinya seperti satu rakaat solat maka pendapat yang sahih: Keseluruhannya dikira sebagai adaa’ ekoran daripada satu rakaat. Rujuk Al-Bahr Al-Muhith, Al-Zarkasyi (2/41).

Kata Al-Sayyid Al-Jurjani Rahimahullah: Sekiranya ditanyakan: Apabila berlakunya satu rakaat solat di dalam waktunya dan baki rakaat itu di luar waktunya adakah ia adaa’ ataupun qadha’ ? Maka kami katakan: Apa-apa yang berlaku di dalam waktunya adalah adaa’, dan bakinya itu dikira qadha’ yang berada pada hukum adaa’ secara mengikut. Rujuk Mukhtasar Muntaha Al-Usuli, Ibn Al-Hajib (1/243).

Pendapat Kedua: Mazhab Hanafi

Pendapat ini mengatakan, sekadar mencukupi bagi seseorang itu untuk mengangkat takbiratul ihram, maka ia telah dikira sebagai adaa’. Kata Al-Syeikh Ibn Abd Al-Syakur: Al-Adaa’ adalah melakukan perkara yang wajib pada waktunya yang telah ditetapkan oleh syarak. Bermulanya ia adalah dengan takbiratul ihram di sisi Hanafiyyah dan mengerjakan satu rakaat di sisi Al-Syafie’yyah. Lihat Fawatih Al-Rahamut, Ibn Abd Al-Syakur (1/85).

Kesimpulan

Setelah kami meneliti beberapa pendapat di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa seseorang itu perlu meneliti bilangan rakaat yang dilakukan. Jika dia sempat melakukan satu rakaat solat di dalam waktunya, maka solatnya sah, dianggap sebagai menunaikan solat dalam waktu (adaa’) dan perlu diteruskan. Sekiranya tidak sempat mencapai satu rakaat, maka dia dikira sebagai qadha’. Kami nyatakan bahawa solat itu tetap diteruskan dan perlu untuk dirinya berisitighfar dan memperbanyakkan taubat atas kelalaiannya melewatkan solat sehingga hampir tamat waktunya. Wallahu A’lam.

 

Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

7 Mac bersamaan 8 Jamadil Akhir 1438H.