Soalan:
Mohon Mufti jelaskan apakah hukum membaza taáwwudz atau istiázah sebelum membaca surah Al-Fatihah ?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami tuturkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat, ahli keluarga baginda, serta golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.
Sebelum kami menjelaskan berkenaan hukum membaca taáwwudz sebelum bacaan Al-Fatihah, suka untuk kami menyebutkan terlebih dahulu berkenaan definisi kalimah taáwwudz atau istiázah.
Ta’awwudz atau istiázah membawa maksud: Meminta perlindungan ataupun pemeliharaan. Maka seseorang yang mengucapkan kalimah ini, dia sedang meminta perlindungan kepada Allah S.W.T agar Allah S.W.T menjaga dan memeliharanya dari sebarang gangguan dan godaan daripada syaitan yang direjam.
Kata Imam Al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah: Isti’azah adalah meminta pertolongan iaitu aku memohon perlindungan kepada Allah tanpa selainnya daripada makhluk ciptaan-Nya daripada syaitan itu memudharatkan diriku pada agamaku atau ia memalingkan aku daripada kebenaran. Rujuk Tafsir Al-Quran Al-Azhim, Ibn Kathir (1/16).
Sighah Istiázah Atau Al-Ta’awwudz
Berikut adalah beberapa sighah atau bentuk ucapan istiazah yang boleh untuk dilakukan:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.
Riwayat Al-Bukhari (1319)
Di antara lain adalah:
أَعُوذُ بِالسَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: Aku memohon perlindungan dengan Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam.
Lafaz istiazah ini terdapat dalam sebuah riwayat daripada Ummu Al-Mu’minin Aísyah R.anha sebagaimana yang direkodkan oleh Imam Abu Daud dalam sunannya dalam hadis bernombor (785).
Begitu juga sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Masúd R.anh bahawa Nabi S.A.W bersabda:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ وَهَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ
Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada syaitan yang direjam serta permusuhan yang disebabkan darinya, takburnya ia, serta syair yang tercela.
Riwayat Al-Hakim (1/460)
Hukum Membaca Istiázah Sebelum Bacaan Al-Fatihah
Dalam isu ini, para fuqaha menjelaskan bahawa perbuatan membaca taáwwudz sebelum membaca surah Al-Fatihah adalah suatu yang tsabit daripada perbuatan Nabi S.A.W. Namun, mereka terbahagi kepada dua pendapat berkenaan hukum permasalahan ini. Kami bentangkan pendapat mereka tersebut seperti berikut:
Pertama: Hukum Membaca Taáwwudz Sebelum Bacaan Al-Fatihah Adalah Wajib
Ini adalah merupakan pendapat beberapa tokoh ulama dari kalangan pembesar tabiin seperti Imam ‘Atha’ bin Abi Rabah, Sufyan Al-Thauri, serta Imam Al-Auzai’e. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Ibn Hazm Al-Andalusi. Rujuk Al-Muhalla Bil Athar, Ibn Hazm (3/247-248).
Golongan yang berpegang dengan pendapat ini berhujahkan dengan firman Allah S.W.T:
فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: Maka apabila kamu ingin mulakan pembacaan al-Quran maka mohonlah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.
Surah Al-Nahl (98)
Maka mereka berpendapat, perintah yang terdapat di dalam ayat ini menunjukkan kepada hukum wajib. Ini berdasarkan sebuah kaedah usul yang mengatakan: Kata perintah membawa erti wajib selama mana tidak ada qarinah yang mengalihkannya kepada hukum selainnya.
Kedua: Membaca Istiázah Sebelum Membaca Al-Fatihah Adalah Sunat
Ini adalah pendapat majoriti para fuqaha mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie, dan juga Imam Ahmad.
Imam Al-Syafie Rahimahullah menyebut: Sekiranya seseorang itu meninggalkan (pembacaan istiázah) sama ada disebabkan lupa, jahil, atau dengan sengaja maka dia tidak perlu mengulanginya atau melakukan sujud sahwi. Dan aku tidak suka seseorang meninggalkan (membacanya) dengan sengaja. Dan aku suka apabila dia meninggalkannya pada rakaat yang pertama, maka dia membacanya pada rakaat selainnya. Sesungguhnya yang menghalang aku untuk memerintahkan seseorang itu mengulangi pembacaan istiazah adalah kerana Nabi S.A.W mengajarkan seorang lelaki itu apa-apa yang mencukupi buatnya di dalam solat. Dan tidak diriwayatkan bahawa baginda memerintahkan lelaki tersebut membaca ta’awwudz atau iftitah. Ini menunjukkan bahawa bacaan ta’awwudz itu adalah perbuatan yang akan merosakkan solat sekiranya ia ditinggalkan. Rujuk Al-Umm, Al-Syafie (1/208).
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sesungguhnya ta’wwudz adalah mustahab (sunat) dan ia bukanlah suatu yang wajib. Ia adalah mustahab bagi sesiapa sahaja yang membaca al-Quran sama ada dia berada di dalam solat atau selainnya. Hukum membacanya dalam setiap rakaat solat adalah mustahab menurut pendapat yang sahih di sisi ashab kami (Al-Syafieyyah).
Manakala pendapat yang kedua pula menyatakan ia hanya mustahab pada rakaat yang pertama. Sekiranya seseorang itu meninggalkan membacanya pada rakaat yang pertama, maka dia membaca ta’wwudz pada rakaat kedua. Lihat Al-Tibyaan Fi Adaab Hamalah Al-Quran, Al-Nawawi (Hlm. 84).
Di dalam kitabnya Minhaj al-Thalibin pula, beliau berkata: Disunatkan setelah daripada takbiratul ihram untuk seseorang itu membaca doa iftitah, kemudian dia membaca ta’awwudz dan dia memperlahankan bacaan pada keduanya. Dan seseorang itu membaca taáwwudz pada setiap rakaat menurut pendapat dalam mazhab (Al-Syafie), dan pada rakaat yang pertama itu lebih dituntut (untuk membaca taáwwudz).
Kata Al-Syeikh Dr. Mustafa Al-Bugha Hafizahullah: Tujuan dibaca taáwwudz pada setiap rakaat adalah untuk memisahkan di antara bacaan pada rakaat pertama dan bacaan pada rakaat yang kedua. Rujuk Ifadah Al-Raghibin Syarah Minhaj Al-Thalibin, Al-Bugha (1/198).
Berkenaan dengan ayat yang dijadikan hujah bagi golongan pertama, iaitu ayat yang berikut:
فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: Maka apabila kamu hendak memulakan pembacaan al-Quran maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah daripada syaitan yang direjam.
Surah Al-Nahl (98)
Ia telah ditafsirkan oleh Imam Al-Thabari dengan katanya: Firman-Nya ini bukanlah merupakan suatu perintah yang wajib. Akan tetapi ia hanyalah pemberitahuan dan juga menyatakan hukum sunat. Ini kerana tidak ada khilaf di sisi majoriti bahawa sesiapa yang membaca al-Quran dan tidak membaca taáwwudz sebelum membacanya atau setelah membacanya maka dia sesungguhnya tidak mengabaikan suatu pun yang fardhu lagi wajib. Rujuk Tafsir Al-Thabari, Ibn Jarir (17/293-294).
Kesimpulan
Berdasarkan kepada beberapa pendapat yang dikemukakan oleh para fuqaha di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur ulama yang mengatakan hukum membaca ta’awwudz sebelum membaca surah al-Fatihah adalah SUNAT. Kami setuju dengan hujah yang digunakan oleh jumhur dan kami berpegang dengan kekuatan hujah yang digunakan oleh mereka. Ini kerana, jika kita meneliti riwayat hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki yang ditegur oleh Rasulullah S.A.W kerana buruknya solat yang dilakukannya, maka baginda bersabda kepadanya:
إِذَا قُمتَ إِلَى الصَّلاةِ فَكَبِّر ثُمَّ اقرَأ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرآنِ ثُمَّ اركَع
Maksudnya: Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka bertakbirlah kamu, kemudian bacalah apa-apa yang mudah yang telah kamu hafal daripada al-Quran, kemudian kamu ruku’.
Riwayat Al-Bukhari (6667)
Jika dilihat daripada hadis di atas, kita akan mendapati bahawa Rasulullah S.A.W tidak menyuruh lelaki tersebut untuk membaca istiázah, yang menunjukkan bahawa membacanya tidaklah dianggap sebagai suatu yang wajib. Wallahu A’lam.
Akhukum Fillah,
S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
28 Februari 2017 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1438H.