اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-178: HUKUM MEMAKAI CINCIN YANG MEMPUNYAI KALIMAH ALLAH ATAU RASULULLAH KE DALAM TANDAS

Soalan:

Saya ingin bertanyakan kepada Mufti, apakah hukum memakai cincin yang tertera padanya kalimah Allah serta Muhammad Rasulullah  yang dibawa masuk ke dalam tandas ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat, ahli keluarga, serta golongan yang mengikuti jalan baginda sehingga hari kiamat.

Sebelum kami menjawab isu ini dengan lebih lanjut, suka untuk kami perjelaskan berkenaan hukum memakai cincin terlebih dahulu. Ini kerana, hukum berkaitan pemakaian cincin boleh jadi berbeza mengikut pemakainya ataupun jenis cincin yang dipakai. Kami bahaskan isu ini seperti berikut:

Hukum Memakai Cincin Emas

Berkenaan isu pemakaian cincin emas, hukum memakainya adalah berbeza di antara lelaki dan juga perempuan. Ini kerana, terdapatnya nas daripada Nabi S.A.W yang melarang pemakaian emas bagi golongan lelaki. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Ali Bin Abi Thalib R.anh yang berkata: Rasulullah S.A.W mengambil sehelai sutera dengan tangan kiri baginda dan memegang emas dengan tangan kanannya lalu bersabda:

 إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي حِلٌّ لإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: Sesungguhnya kedua-duanya ini (sutera dan emas) haram ke atas golongan lelaki dari kalangan umatku dan ia halal bagi kaum wanita mereka.

Riwayat Ibn Majah (3595)

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Umat Islam telah berijma’ akan keharusan memakai cincin emas bagi kaum wanita, dan mereka juga ijma’ akan keharaman orang lelaki untuk memakainya. Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim Ibn Al-Hajjaj, Imam Al-Nawawi (14/65).

Justeru, berdasarkan nas dan juga ijma’ yang kami sebutkan di atas adalah haram bagi orang lelaki untuk memakai cincin yang diperbuat daripada emas dan halal hukumnya bagi orang perempuan untuk memakainya.

Hukum Memakai Cincin Perak

Berkenaan isu ini, para ulama terbahagi kepada beberapa pendapat dengan melihat kepada pemakainya sama ada lelaki atau perempuan. Para ulama telah bersepakat akan keharusan memakai cincin yang diperbuat daripada perak bagi golongan wanita. Manakala bagi kaum lelaki, para ulama terbahagi kepada beberapa pendapat seperti berikut:

Pertama: Para ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa pemakaian cincin perak ini adalah diharuskan kepada sesiapa yang memerlukannya seperti Sultan (pemerintah) ataupun Qadhi. Manakala bagi sesiapa yang tidak ada keperluan untuk memakainya, maka meninggalkannya (tidak memakainya) adalah lebih utama. Lihat Al-Binayah Syarah Al-Hidayah, Badruddin Al-‘Aini (11/133).

Kedua: Fuqaha daripada mazhab Maliki pula berpendapat akan keharusan memakai cincin perak bagi orang lelaki jika dia bertujuan untuk mengikut petunjuk Nabi S.A.W dalam hal tersebut. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad Bin Ahmad ‘Alisyh Rahimahullah: Diharuskan memakai cincin perak bagi lelaki yang sudah baligh sekiranya dia bertujuan untuk iqtida’ (mengikut petunjuk) dengan Nabi S.A.W. Lihat Manh al-Jalil Syarah Mukhtasar Khalil, Muhammad ‘Alisyh (1/58).

Ketiga: Para ulama bermazhab Syafie pula berpendapat seperti berikut: Disunatkan bagi orang lelaki untuk memakai cincin dari perak sama ada dia mempunyai kekuasaan atau tidak. Rujuk Mughni Al-Muhtaj, Al-Khatib Al-Syarbini (1/579).

Keempat: Menurut ulama bermazhab Hanbali, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Mardawi: Memakai perak bagi orang lelaki adalah harus menurut pendapat mazhab yang paling sahih dan inilah yang dipegang oleh majoriti ashab (fuqaha hanabilah). Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (3/142).

Berdasarkan beberapa kenyataan ulama daripada empat mazhab muktabar yang kami kongsikan di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum orang lelaki memakai cincin yang diperbuat daripada perak adalah harus.

Hukum Memakai Cincin Yang Tertera Kalimah Allah Dan Muhammad

Berkenaan isu ini, jika kita merujuk kepada nas-nas daripada Nabi S.A.W maka kita akan menemui riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik R.anh beliau berkata:

كَانَ نَقْشُ خَاتَمِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثَلاَثَةَ أَسْطُرٍ مُحَمَّدٌ سَطْرٌ وَرَسُولُ سَطْرٌ وَاللَّهِ سَطْرٌ 

Maksudnya: Adalah ukiran pada cincin Nabi S.A.W terdapat tiga baris. Baris yang pertama tertulis kalimah Muhammad. Baris yang kedua tertulis kalimah Rasul dan baris yang ketiga tertulis kalimah Allah.

Riwayat Al-Tirmizi (1748)

Berdasarkan riwayat di atas, maka diharuskan bagi seseorang itu untuk memakai cincin yang tertera padanya kalimah Allah atau Rasulullah. Ini selama mana dia memeliharanya dari perkara-perkara yang boleh dianggap menghina dan mencemarkan kemuliaan nama-nama tersebut.

Memakai Cincin Yang Terdapat Kalimah Allah Atau Muhammad Di Dalam Tandas

Berkaitan isu ini, terdapat petunjuk daripada Nabi S.A.W berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik R.anh beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَانَ إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W apabila masuk ke dalam tandas, baginda akan menanggalkan cincinnya.

Riwayat Ibn Majah (303)

Berdasarkan hadis ini, para fuqaha menyatakan beberapa pandangan. Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Apabila seseorang itu hendak masuk ke dalam bilik air dan terdapat bersamanya sedikit daripada sebutan nama Allah maka disunatkan untuknya membukanya. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/167).

Kata Imam Al-Mardawi dari kalangan pembesar mazhab Hanbali: Pendapat yang sahih dalam mazhab (Hanbali): Makruh bagi seseorang itu masuk ke dalam bilik air dengan membawa sesuatu yang terdapat padanya nama Allah. Lihat Al-Insaf, Al-Mardawi (1/94-95).

Kata Al-Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Mubarakfuri apabila mensyarahkan hadis ini: Apabila Rasulullah S.A.W hendak masuk ke dalam bilik air baginda menanggalkan cincinnya daripada jarinya.

Beliau juga turut menukilkan kata-kata Al-Syeikh ‘Ali Al-Qari yang mengatakan: Ini kerana ukirannya (cincin) adalah Muhammad Rasulullah. Dan pada hadis ini menunjukkan bahawa orang yang sedang beristinja’ itu perlu menanggalkan sesuatu yang terdapat nama Allah, nama Rasul-Nya, dan juga ayat al-Quran. Kata Ibn Hajar: Faedah yang diperoleh adalah disunatkan bagi sesiapa yang ingin menunaikan hajatnya (membuang air) untuk menanggalkan semua yang terdapat pada dirinya dari sesuatu yang dimuliakan seperti nama Allah atau nama Nabi. Sekiranya dia menyelisihinya maka perbuatan itu adalah makruh. Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (5/3480).

Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mengulas berkenaan hadis ini beliau berkata: Hadis Anas ini merupakan sebuah hadis yang masyhur. Adapun hukum berkenaan permasalahan ini maka para ashab kami (Syafieyyah) telah sepakat akan sunatnya menanggalkan apa-apa yang terdapat nama Allah padanya ketika seseorang itu mahu masuk ke dalam bilik air dan ianya tidak wajib ditanggalkan. Di antara yang menyatakan secara sarih (jelas) bahawa hukumnya mustahab adalah musannif (Imam al-Shirazi), serta gurunya al-Qadhi Abu Al-Thayyib. Kata Al-Mutawalli dan Al-Rafi’e dan selain keduanya: Tidak ada beza di antara ianya tertulis di atas dirham, dinar, atau cincin, dan selainnya. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (2/73).

Kesimpulan

Berdasarkan beberapa pandangan yang disebutkan oleh para fuqaha di atas, maka kami menyatakan: Hukum memakai cincin yang terdapat padanya kalimah Allah atau Rasulullah di dalam tandas adalah MAKRUH. Disunatkan untuk seseorang itu menanggalkan cincin tersebut terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam bilik air. Wallahu A’lam.

 

Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

27 Februari 2017 bersamaan 30 Jamadil Awal 1438H.