اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-29: HUKUM BERHELAH DALAM FATWA

helah fatwa.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukumnya seseorang itu berhelah dalam fatwa?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, kita akan dapati ada dalam kalangan ulama membuat helah tatkala berada dalam suasana berada dalam mudarat lebih besar dan bahaya. Hal ini seperti berlaku pada zaman fitnah khalq al-Quran apabila golongan Muktazilah menguasai pemerintahan dan memaksa tokoh ulama’ Ahli Sunnah wa al-Jama’ah mengikut pandangan mereka berkenaan dengan al-Quran adalah kitab Allah yang baharu atau makhluk.[1]

Untuk menjawab persoalan di atas, kami nukilkan jawapan Ibn Hamdan al-Harrani al-Hanbali: Haram hukumnya melakukan helah[2] untuk menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal tanpa sebarang dharurat. Kerana ia merupakan makar dan tipu daya, dan keduanya merupakan perbuatan yang haram berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Maksudnya: Mereka melakukan makar dan Allah juga melakukan makar dan Allah lah sebaik-baik pembuat makar.[3]

Demikian juga firman Allah SWT:

وَمَكَرُوا مَكْرًا وَمَكَرْنَا مَكْرًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَفَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ مَكْرِهِمْ أَنَّا دَمَّرْنَاهُمْ وَقَوْمَهُمْ أَجْمَعِينَفَتِلْكَ بُيُوتُهُمْ خَاوِيَةً بِمَا ظَلَمُوا ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya. Maka lihatlah bagaimana akibat rancangan jahat mereka, iaitu Kami telah hancurkan mereka dan kaum mereka semuanya. Kesudahannya rumah-rumah mereka itu telah runtuh ranap, dengan sebab mereka berlaku zalim; sesungguhnya kejadian yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mahu mengetahui (akan sebab dan musababnya).[4]

Dan firman Allah SWT:

وَلَا يَحِيقُ الْمَكْرُ السَّيِّئُ إِلَّا بِأَهْلِهِ

Maksudnya: Perencanaan yang jahat itu tidak akan menimpa selain orang yang merencanakannya sendiri.[5]

Dan firman-Nya:

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنْكُمْ فِي السَّبْتِ فَقُلْنَا لَهُمْ كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melampaui batas dalam kalangan kamu pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".[6]

Demikian juga hadis Nabi SAW ketika baginda bersabda:

مَلْعُونٌ مَنْ ضَارَّ مُسْلِمًا أَومَكَرَ بِهِ

Maksudnya: “Dilaknat bagi sesiapa yang memberi mudharat kepada seorang Muslim dan membuat makar (merancang perancangan jahat) kepadanya.”

Riwayat Muslim[7]

Berdasarkan juga ucapan Nabi SAW:

المكرُ وَالخَدِيعَة فِي النَّارِ

Maksudnya: “Makar dan tipu daya itu berada di dalam neraka.”[8]

Juga berdasarkan sabda Nabi SAW:

لا تَرْتَكِبُوا مَا ارْتَكَبَتِ الْيَهُودُ , فَتَسْتَحِلُّوا مَحَارِمَ اللَّهِ بِأَدْنَى الْحِيَلِ

Maksudnya: Janganlah kamu melakukan apa yang telah dilakukan oleh golongan Yahudi, nescaya kamu akan menghalalkan apa-apa yang diharamkan oleh Allah dengan serendah-rendah helah. Ini disebutkan oleh Ibn Batthah[9]

Juga sabda baginda SAW:

مَا بَال أَقْوَام يَلْعَبُونَ بِحُدُودِ الله، وَيَسْتَهْزِئوُنَ بِآياتِهِ خَلعْتُكِ، رَاجَعْتُكِ، خَلعْتُكِ، رَاجَعْتُكِ

Maksudnya: Apa hendak jadi dengan kaum yang mempermain-mainkan hudud Allah, dan mereka memperolok-olokkan ayat-Nya. Aku khulu’ kamu, aku rujuk semula pada kamu. Aku khulu’ kamu, aku rujuk semula kepada kamu. Riwayat Ibn Majah dan Ibn Batthah.

Dalam lafaz yang lain:

طلَّقْتُكِ، رَاجَعْتُكِ، طَلَّقْتُكِ، رَاجَعْتُكِ

Maksudnya: Aku ceraikan kamu, aku rujuk semula kepada kamu. Aku ceraikan kamu, aku rujuk semula kepada kamu.[10]

Dan sabda baginda SAW:

لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ، حُرِّمَتْ عَلَيْهِمُ الشُّحُومُ، فَجَمَّلُوهَا فَبَاعُوهَا

Maksudnya: Semoga Allah melaknat golongan Yahudi, diharamkan ke atas mereka memakan lemak, lalu mereka memperelokkannya, serta menjualnya. Hadis sahih[11] dan makna “mencantikkannya” adalah mencairkannya.

Berkata Ibn Abbas R.anhuma:

مَنْ يَخدعِ اللهَ يخدَعْه

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan tipu daya ke atas Allah nescaya Allah akan membalas tipu daya ke atasnya.”

Berkata Imam Ahmad:

هَذِه الْحِيَل الَّتِي وَضعهَا هَؤُلَاءِ عَمدُوا إِلَى السّنَن فاحتالوا فِي نقضهَا أَتَوا إِلَى الَّذِي قيل لَهُم إِنَّه حرَام إحتالوا فِيهِ حَتَّى أحلوه

Maksudnya: “Helah-helah ini yang direka cipta oleh mereka adalah bersandarkan kepada sunnah-sunnah lalu mereka melakukan helah dalam membantahnya. Mereka datang kepada orang yang mengatakan kepada mereka bahawasanya hal itu adalah haram, lalu mereka melakukan helah padanya sehingga mereka menghalalkannya’’.

Beliau berkata:

إِذا حلف على شَيْء ثمَّ احتال بحيلة فَصَارَ إِلَيْهَا فقد صَار إِلَى ذَلِك الَّذِي حلف عَلَيْهِ بِعَيْنِه

Maksudnya: “Apabila seseorang bersumpah ke atas sesuatu kemudian dia membuat suatu helah maka ia berubah maka ia telah pergi kepada apa yang dia bersumpah ke atasnya.”

Beliau berkata lagi:

مَنِ احْتَالَ بحيلَةٍ فَهُوَ حَانِث

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan suatu helah maka dia merupakan seorang haanith (melanggar sumpah).”

Kata beliau lagi:

مَا أخبثهم يَعْنِي أَصْحَاب الْحِيَل يحتالون لنقض سنَن رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم

Maksudnya: “Alangkah kejinya mereka (golongan yang melakukan helah). Mereka melakukan helah untuk membantah sunnah Rasulullah SAW.”

 

Semoga Allah menjadikan kita sentiasa istiqamah dan iltizam atas kebenaran dan diberi kekuatan untuk mengikutinya. Amin.

 

 

Nota Hujung:

[1] Fitnah yang dikenali dengan al-Mihnah atau fitnah Khalqul Quran terjadi ketika zaman khalifah Abbasiyah iaitu khalifah al-Ma’mun (170H - 218H). Ia berlanjutan selama tiga penggal pemerintahan iaitu zaman al-Ma’mun, al-Mu’tasim dan al-Wathiq (m. 232 H).

Fitnah ini terjadi kerana perbezaan pendapat berhubung dengan fahaman khalq al-Qur’an. Mu’tazilah berpendapat bahawa al-Qur’an adalah baharu kerana ia kalam Allah SWT yang tersusun daripada suara dan huruf-huruf. Al-Qur’an itu makluk dalam erti diciptakan Tuhan. (Lihat al-Milal wa al-Nihal oleh al-Syahrastani, hlm. 38)

Fitnah ini mencapai kemuncaknya pada tahun 218 Hijrah ketika al-Makmun mengarahkan Ishaq bin Ibrahim al-Khuza’i untuk mengumpulkan para ulama bagi melakukan pengujian, bagaimana sikap mereka terhadap pernyataan Khalqul Quran. Al-Makmun juga menulis kepadanya untuk menguji tujuh orang iaitu:

  • Muhammad bin Sa’ad,
  • Abu Muslim al-Mustamli Yazid bin Harun,
  • Yahya bin Ma’in,
  • Abu Khaithamah Zuhari bin Harb,
  • Ismail bin Abu Mas’ud,
  • Ismail bin Daud dan
  • Ahmad bin Ibrahim al-Daruqi.

Awalnya mereka tidak memberi pandangan tentang kemakhlukan al-Quran. Namun kemudiannya di bawah ancaman pedang, mereka bertaqiyyah dengan berkata sepertimana yang dikatakan oleh al-Makmun.

Kemudian al-Makmun memerintahkan kepada Ishaq bin Ibrahim untuk memanggil ulama sesi kedua. Di antara mereka adalah Ahmad bin Hanbal, Qutaibah bin Sa’id, Bisyr bin al-Walid, Abu Hasan al-Ziyadi, Ali bin Abu Muqatil, Sa’dawaih al-Washiti, Ali bin Ja’di, Ishaq bin Abu Israil, Ibnu al-Hars, Ibnu Aliyah al-Akbar, Yahya bin Abdul Hamid al-Umari, Abu Nasr al-Tamr, Abu Ma’mar al-Qathi’i, Muhammad bin Hatim bin Maimun, Muhammad bin Nuh, al-Fadhl bin Ghanim, Ubaidillah bin Umar Al-Qawariri, al-Hasan bin Hammad Sajjadah dan lain-lain. Setelah mereka dikumpulkan, Ishaq bin Ibrahim membaca warkah daripada khalifah Al-Makmun kepada mereka.

Akhirnya di bawah ancaman pedang khalifah, mereka mengakui bahawa al-Quran itu makhluk, secara terpaksa dan berdasarkan pada ta’wil ayat:

مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar.

(Surah al-Nahl: 106)

Kecuali empat orang sahaja yang tetap istiqamah dengan pendirian masing-masing dan tidak mengakui pernyataan tersebut. Mereka ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Muhammad bin Nuh, al-Hasan bin Hammad Sajjadah dan Ubaidillah bin Amr al-Qawariri. Akhirnya mereka dibelenggu dengan rantai besi dan diseksa.

[2] Pada asalnya, ia memberi makna berdalih; menghelah memperdaya, mengakali, menipu; menghelahkan (Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat). Maksud pengarang di sini adalah dengan cara yang tidak syar’ie dan benar untuk memberi fatwa kerana kepentingan tertentu atau laba yang diperolehi.

[3] Surah Ali Imran: 54

[4] Surah al-Naml: 50-52

[5] Surah Faathir : 43

[6] Surah al-Baqarah : 65

[7] Penulis menyebutkan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim. Ia sebenarnya tidak diriwayatkan oleh Imam Muslim akan tetapi ia diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi (1941) dan beliau berkata: ‘’Hadis ini gharib’’. Ini menunjukkan bahawa hadis tersebut dhaif di sisi beliau. Illahnya disebabkan terdapatnya seorang perawi bernama Farqad al-Sabkhi dan dia dinilai dhaif. Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (8215), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (3/49) dan Ahmad ibn Ali al-Marwazi dalam Musnad Abi Bakr al-Siddiq (no. 100).

[8] Riwayat al-Dailami, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5/2364) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8856) Al-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair mengatakan sanadnya kuat.

[9] Ini disebutkan oleh Imam Ibn Batthah di dalam kitabnya Ibthal al-Hiyal pada hadis bernombor 58. Imam Ibn Kathir menghasankan sanadnya.

 

[10] Riwayat Ibn Majah dalam sunannya (No. 2017).

[11] Riwayat al-Bukhari (3460).