اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-44: PERBEZAAN ANTARA SYARIAH DAN FIQH

beza syariah fiqh.JPG

Soalan:

Bolehkah SS Mufti terangkan perbezaan antara syariah dan fiqh? Saya sering terkeliru antara kedua-dua istilah tersebut.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Makna Syari’ah

Dari sudut bahasa, syari’ah mempunyai beberapa maksud, antaranya ialah jalan yang lurus, atau jalan yang dilalui oleh orang ramai untuk mendapatkan sumber air untuk diminum mereka sendiri atau binatang ternakan mereka. Ia juga diertikan sebagai ajaran agama atau manhaj oleh sebahagian ulama. (Rujuk Lisan al-‘Arab 8/175, Tafsir al-Qurtubi 16/163 dan Al-Madkhal li Dirasah al-Syari’ah 1/38)

Perkataan syariah dan yang seerti dengannya ada disebut dalam al-Qur’an, antaranya firman Allah SWT:

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ ۖ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ ۚ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا ۚ

Maksudnya: Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).

Surah al-Ma’idah (48)

Firman-Nya lagi:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

Surah al-Jatsiyah (18)

Manakala dari sudut istilah pula, syariah bermaksud apa-apa aturan atau ketetapan yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang terdiri daripada hukum-hakam dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, yang berkait dengan bidang aqidah dan perbuatan-perbuatan mukallaf, sama ada hukum-hakam qath’ie atau zhanni. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 32/194 dan Tarikh al-Tasyri’ al-Islamiy, hal. 13)

 

Makna Fiqh

Dari sudut bahasa, al-fiqh (الفقه) bermaksud al-fahmu (الفهم) iaitu kefahaman. Ini berdasarkan doa Baginda Nabi SAW kepada Ibn ‘Abbas RA:

اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ  

Maksudnya: Ya Allah, berikanlah kepadanya kefahaman dalam agama.

Sahih al-Bukhari (143) dan Sahih Muslim (2477)

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلً

Maksudnya: Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

Surah al-Kahfi (93)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

إِنَّ طُولَ صَلاَةِ الرَّجُلِ وَقِصَرَ خُطْبَتِهِ مَئِنَّةٌ مِنْ فِقْهِهِ فَأَطِيلُوا الصَّلاَةَ وَاقْصُرُوا الْخُطْبَةَ

Maksudnya: Sesungguhnya lamanya tempoh solat dan pendeknya tempoh khutbah merupakan tanda kefahaman yang kukuh tentang agamanya; maka panjangkanlah solat dan pendekkanlah khutbah.

Sahih Muslim (869)

Manakala dari sudut istilah syara’ pula, para ulama mendefinisikannya sebagai “ilmu-ilmu berkenaan hukum-hakam syari’ah yang bersifat amali, yang diambil daripada dalil-dalil syar’iy yang terperinci.” (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 1/13, Tahzib al-Lughah 5/263 dan Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam 1/5)

Namun terdapat juga ulama yang mendefinisikan fiqh sebagai hukum itu sendiri, bukan ilmu berkenaan hukum tersebut. Ini kerana suatu hukum yang telah sabit, maka ia disebut sebagai fiqh, tanpa mengira sama ada ia diketahui ataupun tidak. (Rujuk Abu Munzir al-Minyawi, Syarh Mukhtasar al-Usul min ‘Ilm al-Usul 1/5)

Salah seorang ulama mazhab Hanafi iaitu Imam Ibn Abidin pula sewaktu mentakrifkan maksud kalimah fuqaha’ menyatakan bahawa mereka merupakan kalangan yang ‘alim berkenaan hukum-hakam Allah SWT sama ada dari sudut i’tiqad dan amalan. Ini kerana penamaan ilmu fiqh sebagai ilmu-ilmu furu’ amali merupakan istilah yang diperkenalkan oleh ulama mutaqaddimin, sedangkan pada asalnya istilah ilmu fiqh itu merangkumi hukum-hakam i’tiqad dan amalan. (Rujuk Hasyiyah Ibn Abidin 1/138)

Namun kami mentarjihkan pandangan yang menyebut fiqh sebagai ilmu terhadap hukum-hakam, dan bukannya hukum-hakam itu sendiri sebagaimana yang dipilih oleh majoriti ulama.

 

Perbezaan Syariah dan Fiqh

Menurut Syeikh Musthafa al-Zarqa’, syariah merupakan nas-nas wahyu iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah yang terpelihara daripada kesalahan (ma’sum) dan tidak terdedah kepada sebarang perubahan atau pindaan, sedangkan fiqh pula merupakan kefahaman ulama terhadap nas-nas syari’ah dan pengistinbatan hukum-hakam daripadanya, dan kefahaman serta istinbat ini mestilah berdasarkan kepada usul dan kaedah syari’ah. Maka dapat difahami daripada penjelasan ini, fiqh merupakan produk ijtihad manusiawi yang terdedah kepada perbahasan dan perbincangan, di mana ada yang betul dan ada yang salah. (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi al-‘Aam, 1/153-154)

Selain itu juga, syariah merangkumi hukum-hakam berkaitan aqidah, sedangkan fiqh yang merangkumi hukum-hakam amali. Pada sudut yang lain, fiqh juga berbeza dengan syariah di mana fiqh mempunyai perbahasan tentang hukum-hakam ijtihadi, manakala syariah pula merupakan hanya merangkumi perkara-perkara yang tsabit melalui nas-nas syarak yang bersifat qath’ie. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 32/194)

Kerana itulah Syeikh Jalaluddin al-Mahalli- tokoh besar mazhab Syafie – dalam syarahnya terhadap Matan al-Waraqat Imam al-Haramain, sewaktu menjelaskan makna kalimah fiqh menyatakan:

ومعنى شرعي وهو معرفة الأحكام الشرعية التي طريقها الاجتهاد ، كالعلم بأن النية في الوضوء واجبة ، وأن الوتر مندوب وأن النية من الليل شرط في صوم رمضان ، وأن الزكاة واجبة في مال الصبي ، وغير واجبة في الحلي المباح ، وأن القتل بمثقل يوجب القصاص ، ونحو ذلك من مسائل الخلاف، بخلاف ما ليس طريقه الاجتهاد، كالعلم بأن الصلوات الخمس واجبة، وأن الزنا محرم، ونحو ذلك من المسائل القطعية فلا يسمى فقهاً...

Maksudnya: “...dan makna fiqh dari sudut istilah syarak ialah pengetahuan terhadap hukum-hakam syarak melalui kaedah ijtihad, seperti ilmu bahawa niat dalam berwudhu ialah wajib, solat witir hukumnya sunat, niat pada waktu malam merupakan syarat sah puasa Ramadhan, zakat diwajibkan ke atas harta kanak-kanak dan tidak wajib ke atas perhiasan yang diharuskan kepada wanita, dan membunuh dengan senjata yang berat mewajibkan qisas, dan selainnya daripada masalah-masalah khilafiyyah.

Hal ini berbeza dengan ilmu yang tidak diperolehi melalui ijtihad, seperti ilmu bahawa solat lima waktu itu wajib, zina itu haram dan masalah-masalah qath’ie yang lain yang tidak dinamakan sebagai fiqh”. (Rujuk Syarh al-Mahalli ‘ala al-Waraqat, hlm. 69)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, jelas bahawa istilah syariah dan fiqh mempunyai perbezaan yang amat besar, meskipun ia sering disalahtanggap sebagai perkataan seerti oleh sebahagian orang. Kami nyatakan sekali lagi perbezaan kedua-duanya:

Syariah:

  • apa-apa aturan atau ketetapan yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang terdiri daripada hukum-hakam dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, yang berkait dengan bidang aqidah dan perbuatan-perbuatan mukallaf, sama ada hukum-hakam qath’ie atau zhanni.
  • syariah merupakan nas-nas wahyu iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah yang terpelihara daripada kesalahan (ma’sum) dan tidak terdedah kepada sebarang perubahan atau pindaan
  • syariah turut merangkumi hukum-hakam berkaitan aqidah selain hukum-hakam amali

Fiqh:

  • ilmu-ilmu berkenaan hukum-hakam syari’ah yang bersifat amali, yang diambil daripada dalil-dalil syar’iy yang terperinci
  • fiqh merupakan kefahaman ulama terhadap nas-nas syari’ah dan pengistinbatan hukum-hakam daripadanya
  • fiqh terdiri daripada hukum-hakam ijtihadi
  • fiqh hanya terhad kepada hukum-hakam amali

Namun, suatu hal yang perlu diberi penekanan dan perhatian bahawa fiqh terbahagi kepada dua kategori:

  1. Hukum-hakam yang tsabit melalui nas yang qath’ie dari sudut tsubut dan dilalah, iaitu nas al-Qur’an atau hadith mutawatir yang mengandungi makna yang amat jelas dan tidak boleh ditakwil, antaranya ialah kefardhuan solat lima waktu, kefardhuan puasa Ramadhan dan kewajipan menunaikan janji.
  2. Hukum-hakam yang tsabit melalui nas yang zhanni dari sudut tsubut dan dilalah, dan kefahaman berkenaannya terbuka untuk ijtihad oleh para ulama yang berkelayakan.

Wallahu a’lam.