اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-55 : DEFINISI ISTIHSAN DAN APLIKASINYA DALAM FIQH

iuf 55 istihsan

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Muqaddimah

Dalam ilmu usul fiqh, terdapat satu istilah yang dinamakan sebagai al-istihsan (الاستحسان). Ia merupakan salah satu dalil yang tidak disepakati kehujahannya di sisi para ulama dalam mengistinbatkan hukum syarak.

 

Al-Istihsan:

Dari sudut bahasa, istihsan menurut Ibn Manzur berasal daripada perkataan ‘hasan’ yang bermaksud baik, dan dalam wazan istif’al (istihsan) membawa makna apa yang dituju kepadanya dan dikehendaki oleh seseorang, meskipun ia dianggap buruk oleh orang lain, manakala al-Fairuzabadi menyatakan ia bermaksud menganggap sesuatu sebagai baik. (Rujuk Lisan al-Arab 13/117 dan al-Qamus al-Muhit 4/215-216)

Manakala dari sudut istilah syarak ia mempunyai pelbagai definisi yang diberikan oleh para ulama:

Menurut Imam Malik, istihsan bermaksud beramal dengan dalil yang lebih kuat antara dua dalil. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islamiy, 2/738)

Kata al-Faqih al-Halwani al-Hanafi, istihsan adalah: Meninggalkan qiyas kerana satu dalil yang lebih kuat darinya daripada al-Quran ataupun al-Sunnah atau ijma’.

Imam al-Sarakhsi al-Hanafi menyebut beberapa lagi definisi, antaranya meninggalkan qiyas dan mengambil hukum yang lebih ringan dan lebih memudahkan orang ramai, serta mengambil keringanan, kemudahan dan keluasan. Dengan kata lain, istihsan boleh disebut sebagai meninggalkan hukum yang sukar dan mengambil hukum yang ringan kerana maslahah, dan kaedah ini merupakan salah satu usul agama Islam dan selaras dengan firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمْ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْر

Maksudnya: Allah SWT mahu memberikan kemudahan kepada kalian, dan Dia tidak mahu memberikan kesusahan kepada kalian.

Surah al-Baqarah (185) (Rujuk al-Mabsut 10/145)

Selain itu, dalil istihsan ini juga sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan konsep maslahah dan Maqasid Syariah, di mana menurut Imam Abu Ishaq al-Syatibi, istihsan disisi mazhab Malik ialah beramal dengan maslahah dalam isu-isu juz’iy yang bercanggah dengan dalil umum, dan ia juga bermaksud mendahulukan istidlal dengan maslahah mursalah ke atas qiyas. Ulama yang menggunakan istihsan pula tidak berpandukan semata-mata kepada perasaan dan kehendaknya sahaja, tapi dia mesti mengambil Maqasid Syariah dalam perkara tersebut. (Rujuk Al-Muwafaqat 4/195)

Bagi Syeikh Wahbah al-Zuhaily pula, istihsan sebenarnya merupakan apa yang biasanya diaplikasikan oleh pengamal undang-undang, iaitu menggapai ruh dan semangat suatu undang-undang serta prinsip-prinsip umum yang universal. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islamiy 2/739) Dalam konteks fiqh dan syariat, istihsan sebenarnya merupakan usaha untuk mencapai objektif Syariah, iaitu mencapai maslahah dan mengelakkan mafsadah.

Autoriti al-istihsan: Majoriti para ulama menggunapakai al-istihsan dan menganggapnya sebagai satu dalil daripada dalil-dalil hukum. Manakala sebahagian fuqaha lain pula mengingkarinya seperti golongan al-Syafi’eyyah. Sehingga dinukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa beliau berkata: Istihsan adalah berseronok-seronok dan berkata mengikut hawa nafsu. Kata beliau lagi: Sesiapa yang melakukan istihsan sesungguhnya dia telah membuat syariat. (Rujuk al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Saifuddin al-Amidi 4/209).

 

Jenis-jenis istihsan

Terdapat beberapa jenis istihsan yang dianggap mu’tabar disisi syarak, iaitu:

Jenis pertama: Istihsan dengan nas, seperti keharusan bai’ al-salam (jual beli secara tunai, tapi serahan barang jualan ditangguhkan). Qaedah umum syariat Islam mengharamkan menjual barang yang tidak dimiliki penjual berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

لاَ تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ

Maksudnya: Jangan kamu jual suatu benda yang kamu tidak miliki.

Sunan Abi Dawud (3503)

Namun bai’ salam dikecualikan melalui kaedah istihsan berdasarkan nas hadith Nabi SAW:

مَنْ أَسْلَفَ فِي شَىْءٍ فَفِي كَيْلٍ مَعْلُومٍ وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ، إِلَى أَجَلٍ مَعْلُومٍ

Maksudnya: Barangsiapa yang mendahulukan bayaran untuk suatu barang yang akan diberi kemudian, hendaklah dia mengetahui timbangannya dan memastikan tempoh waktunya.

Sahih al-Bukhari (2240) dan Sahih Muslim (1604)

Jenis kedua: Istihsan dengan ijma; antaranya keharusan ‘aqad istisna’i iaitu akad tempahan daripada pembeli dan penjual menanggung modal sepenuhnya(الاستصناع)  di mana kaedah umum Syarak melarang jual beli barang yang belum wujud (bai’ al-ma’dum) namun ijma’ ulama menetapkan jual beli seumpama itu diharuskan berdasarkan istihsan. (Rujuk Usul al-Sarakhsi 2/203)

Jenis ketiga: Istihsan dengan qiyas khafiy, contohnya hukum sucinya bekas minuman yang diminum burung helah berdasarkan qiyas khafiy (qiyas yang tersembunyi), walaupun pada asalnya menurut qiyas jaliy (qiyas yang jelas), ia diqiyaskan dengan sisa binatang buas lain, seperti harimau dan serigala kerana daging kesemua binatang tersebut haram dimakan. Hal ini demikian kerana sisa burung helang minum menggunakan paruh, dan paruhnya dihukum suci kerana tidak bercampur dengan air liurnya.

Jenis keempat: Istihsan dengan uruf, contohnya hukum keharusan mengenakan bayaran tertentu untuk bilik mandi awam tanpa mengehadkan kadar tertentu isipadu air yang boleh digunakan serta tempoh penggunaan bilik air tersebut. Dalil qiyas menetapkan suatu aqad mestilah berlaku pada perkara yang diketahui dan ditentukan (bai’ al-ma’lum), namun dalil istihsan mengharuskannya kerana uruf manusia pada sepanjang zaman menerima aqad seumpama ini. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islamiy 2/745)

Jenis kelima: Istihsan dengan maslahah atau keperluan (dharurah), di mana hukum asalnya ialah haram seorang lelaki melihat kepada wanita bukan mahram, namun kaedah istihsan membenarkannya jika ada keperluan, contohnya untuk perubatan dan sebagainya. (Rujuk al-Mabsut 10/145 dan al-Muwafaqat 5/195)

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.