اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TAHQIQ AL-MASA’IL SIR KE-8 : ISU #LATHICHALLENGE, HINDARI BUDAYA JAHILIYYAH

tm8 compressed compressed

Mukadimah

Baru-baru ini pihak kami telah ditujukan soalan berkenaan hukum melakukan Lathi Challenge. Setelah meneliti isu ini, kami telah mengeluarkan pendapat kami perihal isu ini dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-521 : Hukum Melakukan 'Lathi Challenge'. Secara ringkas, berdasarkan maklumat yang kami dapati, Lathi Challenge ini pada mulanya dipopularkan oleh Jharna Bhagwani di aplikasi TikTok, kemudian ia tular di media sosial dan ramai menyahut cabaran tersebut. Challenge ini merupakan cabaran di mana pelaku akan mengenakan pakaian ala-ala tradisional nusantara (Jawa) dengan menari mengikut alunan lagu, lalu tiba-tiba menukar wajah dan pakaian mereka menyerupai hantu yang mengerikan.

Lathi diambil daripada bahasa Jawa Kuno yang membawa maksud lidah. Ia menjadi judul bagi sebuah lagu single yang dinyanyi Weird Genius yang berduet bersama Sara Fajira. Di dalam music video offical, terdapat elemen joget dan tarian yang berunsur ritual mistik. Malah, di dalam lirik turut mempunyai bait-bait yang dikatakan mengandungi pemujaan roh dan menyeru makhluk halus.

Kami berpendapat hukum melakukan Lathi Challenge dengan gaya dan format yang ditularkan adalah haram dan berdosa kerana mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dikhuatiri akan menjerumuskan pelakunya ke dalam perbuatan syirik dan kekufuran.

Artikel ini telah mendapat respon daripada masyarakat dan media massa sehingga timbul beberapa isu-isu baru yang berbangkit. Antaranya:

  • Adakah lirik lagu mengandungi unsur pemujaan?
  • Adakah sebarang perbuatan penyerupaan adalah salah?

Justeru, kami mengambil langkah menghuraikan isu ini dengan lebih terperinci dalam Siri Tahqiq al-Masa’il yang kami tajukkan dengan “Tahqiq al-Masa’il Siri Ke-8 : Isu #LathiChallenge, Hindari Budaya Jahiliyyah”. Semoga huraian ini memberikan kita kefahaman tentang adab dan etika dalam berseni supaya sesuai dengan landasan yang ditetapkan Syariah.

 

Lirik Lagu

Berdasarkan keperluan yang mendesak, pihak kami telah meneliti video muzik dan lirik lagu Lathi yang diterbitkan oleh pihak Weird Genius dalam laman web Youtube. Hasil daripada penelitian kami, lirik lagu berkenaan tidaklah secara langsung mengandungi unsur pemujaan kepada jin atau syaitan. Namun begitu, mengeluarkan hukum tidak boleh semata-mata berdasarkan satu sudut sahaja daripada kandungan, sebaliknya perlu melihat kepada keseluruhan produk yang dinisbahkan kepada penerbit. Ini bersesuaian dengan kaedah usul menyebut:

الحُكْمُ عَلَى الشَّيءِ بِالنَّفِيِ والْإثْبَاتِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum terhadap sesuatu perkara, sama ada hendak menafikan atau menetapkannya, merupakan cabang daripada  gambarannya'

(Rujuk Nihayah al-Sul, ms. 59, oleh Imam Jamaluddin al-Isnawi)

Ertinya, jika hukum itu dikeluarkan tanpa melihat gambaran keseluruhannya, maka hukum itu dianggap cacat kerana tidak meraikan seluruh konteks, yang berkait antara satu sama lain, pada realiti.

Contohnya, hukum berjual beli adalah harus, tetapi jika wang yang diberikan oleh penjual bersumber daripada harta yang haram, maka jual beli itu adalah maksiat sekalipun perpindahan milik itu berlaku. Namun jika pembeli itu tidak meyakini wang yang ditawarkan oleh penjual itu benar-benar bersumberkan harta haram, contohnya kerana penjual itu mempunyai banyak sumber pendapatan, maka hukum jual beli itu ialah makruh sahaja. Begitu juga jika pembeli hanya menjual tanpa mengetahui latar belakang wang berkenaan, maka hukumnya kekal pada hukum harus.

Kami telah menghuraikan isu ini secara panjang lebar dalam artikel-artikel berikut. Mohon rujuk untuk mendapatkan gambaran lebih jelas:

Di bawah kami letakkan lirik lagu berkenaan beserta dengan terjemahan perkataan Jawa ke Bahasa Melayu:

“I was born a fool

Broken all the rules, oh-oh

Seeing all null

Denying all of the truth, oh-oh

Everything has changed

It all happened for a reason

Down from the first stage

It isn't something we fought for

Never wanted this kind of pain

Turned myself so cold and heartless

But one thing you should know

"Kowe ra iso mlayu saka kesalahan, ajining diri ana ing lathi" (Anda tidak mampu lari dari kesalahan. Harga diri seseorang terletak pada lidahnya.”

Pushing through the countless pain

And all I know that this love's a bless and curse

Everything has changed

It all happened for a reason…”

Dalam konteks perbincangan semasa, jika semata-mata lirik yang dipertikaikan sebagai mengandungi unsur-unsur yang menyalahi akidah Islamiah, maka hal itu barangkali dilihat tidak tepat kerana liriknya memiliki nilai subjektif dan menerima penafsiran atau sangkaan pelbagai. Imam al-Suyuti menyebut kaedah dalam kitabnya:

الِاحْتِمَالُ فِي وَقَائِعِ الْأَحْوَالِ يُسْقِطُ الِاسْتِدْلَالَ

Maksudnya: “Jika wujud beberapa kemungkinan atau tanggapan pada suatu keadaan, maka batallah pendalilan (untuk satu hipotesis hukum).”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 263)

Namun begitu, apabila salah satu daripada sangkaan-sangkaan itu, disokong dengan dalil lain, sehingga menjadi rajih, maka sangkaan itu wajib diambilkira dalam pengeluaran hukum. Imam al-Zarkasyi dalam al-Bahr al-Muhit (4/494) menyebut:

وَالْقَاعِدَةُ الشَّرْعِيَّةُ أَنَّ الْعَمَلَ بِأَرْجَحِ الظَّنَّيْنِ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Dan kaedah Syariah mengatakan bahawa beramal dengan sangkaan yang paling kuat itu ialah wajib.”

Justeru, berdasarkan pemerhatian kami, fenonema #LathiChallenge ini ialah projek promosi lagu Lathi yang dikeluarkan oleh pihak Weird Genius, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Apabila digandingkan lirik lagu dengan qarinah-qarinah (alamat) tarian dan muzik latar yang menjurus kepada unsur-unsur mistik dan pemujaan secara jelas ia adalah dilarang oleh Syarak. Saranan sebahagian pihak supaya menghayati secara mendalam persembahan tersebut tidak boleh diterima kerana muzik latar dan tarian yang dipersembahkan begitu rancak dan mengasyikkan ditambah lagi dengan solekan tompok darah di baju penari dan kepulan asap hitam serta jelmaan makhluk halus adalah sinonim dengan amalan sihir dan pemujaan.

Gambaran yang ditunjukkan dalam video muzik yang diterbitkan memberikan keyakinan yang kuat bahawa wujudnya unsur penyerupaan kepada pemujaan kuasa mistik dan ilmu sihir, sebagai pengakhiran kepada kisah cinta yang toksik dan menderitakan.

 

Hukum penyerupaan

Tentang isu tasyabbuh atau penyerupaan, pihak kami juga telah beberapa kali mengulas perkara ini. Antaranya:

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannaf-nya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnad-nya (2966)

Menurut Imam Ibn Hibban, hadith ini isnadnya (sanadnya) jayyid. Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan hadith ini adalah thabit dan sanadnya adalah hasan (baik) di dalam Fath al-Bari. Al-‘Iraqi berkata sanadnya sahih ketika mengtakhrijkan hadith ini di dalam al-Ihya’. Al-Zahabi berkata, isnadnya (sanadnya) salih.

Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: “Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita.”

(Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/87)

Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.”

(Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175)

Dalam masa yang sama, bukan semua bentuk penyerupaan adalah dilarang. Wujud beberapa hukum tentang penyerupaan yang beredar antara hukum makruh dan harus sahaja. Ini kerana larangan dalam penyerupaan itu bergantung kepada kadar penyerupaan yang merosakkan yang terdapat dalam satu-satu amalan itu. Berkata Imam Ibn Salah Rahimahullah dalam Fatawa-nya (2/473):

فَإِنَّ مَنْ تَشَبَّهَ بِقًوْمٍ فَكَأَنَّهُ مِنْهُمْ والتَشَبُّهُ بِالكُفَّارِ قَدْ يَكُوْنُ مَكْرُوهًا وَقَدْ يَكُوْنُ حَرَامًا وَذَلِكَ عَلَى حَسْبِ الْفُحْشِ فِيهِ قِلَّة وَكَثْرَة وَاللهُ أَعْلَم

Maksudnya: “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.”

Contohnya, penyerupaan yang dimakruhkan ialah;

  • melakukan fesyen qaza’ (cukur sebahagian rambut) pada rambut yang menyerupai fesyen para rabi Yahudi,
  • melumurkan darah pada kepala bayi yang menyerupai budaya Arab Jahiliyyah
  • berpuasa tunggal pada hari Jumaat orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat.
  • Duduk iq`a’ di dalam solat kerana menyerupai anjing.

Manakala contoh penyerupaan yang diharuskan ialah:

  • Memakai kain tailasan bagi lelaki yang menyerupai sebahagian Ahli Kitab.
  • Melakukan atirah yakni sembelihan haiwan ternakan pada bulan Rejab untuk bersedekah yang menyerupai adat Jahiliyyah.

Faktor yang menyebabkan tailasan dan atirah diharuskan ialah kerana hilangnya falsafah Jahiliyyah dalam pemakaian itu sehingga digantikan dengan pandang Islam iaitu tauhid. Inilah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi berkenaan pendapat Imam al-Syafie:

قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْعَتِيرَةُ هِيَ الرَّجَبِيَّةُ وَهِيَ ذَبِيحَةٌ كَانَتْ الْجَاهِلِيَّةُ يَتَبَرَّرُونَ بِهَا فِي رَجَبٍ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (لَا عَتِيرَةَ) أَيْ لَا عَتِيرَةَ وَاجِبَةٌ قَالَ (وَقَوْلُهُ) صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (اذْبَحُوا لِلَّهِ فِي أَيِّ وَقْتٍ كَانَ) أَيْ اذْبَحُوا إنْ شِئْتُمْ وَاجْعَلُوا الذَّبْحَ لِلَّهِ فِي أَيِّ شهر كان لا أنها فِي رَجَبٍ دُونَ غَيْرِهِ مِنْ الشَّهْرِ

Maksudnya: “Imam al-Syafi’e berkata: Atirah adalah Rajabiyyah, iaitu sembelihan yang dilakukan pada jahiliah sebagai bentuk amalan baik di bulan Rejab. Maka ketika Rasulullah berkata ‘Tidak ada Atirah maksudnya adalah tidak ada ‘Atirah yang wajib. Dan sabda Rasulullah SAW: “Sembelihlah olehmu kerana Allah pada waktu apa pun” maksudnya sembelihlah jika kamu menginginkannya dan jadikan sembelihan tersebut kerana Allah pada bulan apapun, baik sembelihan itu dilakukan di bulan Rejab atau bulan lainnya.”

Penggantian ini disebut hari ini sebagai proses Islamisasi yang menukarkan adat dan budaya yang mempunyai unsur Jahiliyyah seperti ajaran Hindu atau Buddha kepada falsafah Tauhid Islam. Berkata Prof. Dr.  Muhammad Naquib al-Attas:

“Islamisasi ialah pembebasan manusia pada tahap awalnya daripada tradisi magis, mitos, animisme dan tradisi budaya nasionalnya, seterusnya pembebasan daripada cengkaman ke atas fikiran dan bahasanya. Islamisasi bahasa membawa kepada Islamisasi pemikiran dan akal budinya, kerana bahasa, pemikiran dan akal begitu rapat hubungannya dalam memprojeksikan pandangan alam semestanya atau worldview. Pembebasan ini akan mengembalikannya (devolusi bukan evolusi) kepada fitrah kejadiannya yang asal berkeadaan harmonis dan saksama dengan segala kewujudan; iaitu bebas daripada tekanan nafsu badaniah yang bersifat sekular desakan sifat pelupanya yang membawa kepada kejahilan terhadap matlamat kejadiannya dan akan merosakkan dirinya.”

(Lihat Islam and Secularism, ms. 41-44)

Contohnya pada hari ini, penghasilan produk seni sama ada dalam bentuk lagu, puisi, dan sajak yang bersesuaian dengan nilai-nilai Islam adalah tidak dilarang dan dibenarkan.

Adapun apa yang kami perhatikan tentang fenomena #LathiChallenge, ini merupakan proses yang terbalik, jauh sekali daripada proses Islamisasi, tetapi lebih kepada normalisasi simbol, syiar dan budaya Jahiliyyah yang tak wajar dihidupkan semula. Karakter para pelakon wanita yang ditunjukkan dalam muzik video sebenarnya lebih menyerupai ahli sihir atau syaitan yang dilarang untuk ditiru, seperti mana huraian hadis di atas.

Masyarakat juga perlu beringat, ibrah dalam Peristiwa Fath Makkah, tatkala Rasulullah SAW mengutuskan Khalid bin al-Walid untuk menghancurkan berhala al-`Uzza. Khalid keluar bersama 30 orang penunggang kuda lalu memusnahkan berhala itu. Setelah pulang Rasulullah SAW bertanya: “Adakah kamu melihat apa-apa?” Khalid menjawab: “Tidak”. Baginda berkata: “Kamu belum memusnahkannya, kembalilah semula dan musnahkannya.” Dengan rasa marah Khalid kembali semula sambil siap menghunuskan pedangnya. Tiba-tiba sesampainya di situ, keluarlah seekor syaitan yang menyerupai perempuan yang bertelanjang, berkulit hitam, dan dengan rambut yang menggerbang sehingga menyebabkan penjaga berhala `Uzza menjerit memanggilnya. Khalid terus melibaskan pedangnya hingga terbelah dua tubuhnya. Kemudian dia pulang memberitahu Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Ya, itulah al-`Uzza, dia sudah putus asa untuk disembah di negeri kamu selama-lamanya.”

Pada bulan yang sama juga, Baginda mengutuskan Sa`ad bin Zayd al-Asyhadi bersama 20 orang penunggang kuda untuk memusnahkan berhala Manah di al-Musyallal dekat Qudayd. Ketika Sa`ad mara ke arah Manah untuk menghancurkannya, tiba-tiba keluar seorang perempuan bogel yang hitam kulitnya dan menggerbang rambutnya menyeru-nyeru dengan kecelakaan sambil menepuk-nepuk dadanya. Penjaga berhala berkata kepada perempuan, atau syaitan itu: Hai Manah! Hadapilah sebahagian manusia yang menderhakaimu. Lantas Sa`ad memukul perempuan itu lalu membunuhnya. Kemudian dia maju ke arah berhala itu lantas dimusnah dan dipecah-pecahkan.

(Rujuk Sirah Nabawiyyah (Terjemahan al-Rahiq al-Makhtum), ms. 605, oleh Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, terbitan YADIM)

 

Kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping membincangkan dengan para pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar sebagaimana yang telah dilampirkan kesemuanya di atas, maka kami berpendapat untuk mengekalkan pendapat kami bahawa hukum seseorang melakukan Lathi Challenge adalah haram dan berdosa. Ini kerana wujudnya unsur-unsur pemujaan dan sihir yang bertentangan dengan pandang alam Islam. Begitu juga tentang isu lirik, masyarakat tidak boleh melihat lirik sebagai isu terpisah, tetapi #LathiChallenge mesti dilihat sebagai satu pakej dengan video muzik yang diviralkan. Dalam kata lain, tanpa video musik berkenaan, maka tidak wujud #LathiChallenge.

Larangan ditambah dengan kelakuan penari-penari wanita yang berpakaian menjolok mata dan mendedahkan kepada eksploitasi penonton. Apatahlagi gerak tari yang dipersembahkan menimbulkan fitnah, bercampur antara lelaki dan perempuan, menyerupai pemujaan, dan dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan. Ini bertentangan dengan Garis Panduan Hiburan dalam Islam (ms. 5) yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-68 pada 12 April 2005.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang bahayanya budaya Jahiliyyah yang cuba dihidupkan oleh sebahagian golongan.