Bayt al-Maqdis atau al-Quds ialah sebuah kota suci yang memainkan peranan penting dalam sejarah dan akidah umat Islam. Ia merupakan kiblat pertama umat Islam, tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj dan antara tiga masjid utama yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diziarahi. Namun begitu, dalam konteks geopolitik semasa, isu menziarahi Bayt al-Maqdis sering menjadi perdebatan, khususnya apabila melibatkan keselamatan, politik dan legitimasi rejim penjajah zionis.
Dari sudut nas hadis, memang terdapat anjuran dan galakan untuk menziarahi Baitulmaqdis. Berikut merupakan lafaz hadisnya:
يَا رَسُولَ اللهِ، إِنْ ابْتُلِينَا بَعْدَكَ بِالْبَقَاءِ أَيْنَ تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: عَلَيْكَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، فَلَعَلَّهُ أَنْ يَنْشَأَ لَكَ ذُرِّيَّةٌ يَغْدُونَ إِلَى ذَلِكَ الْمَسْجِدِ وَيَرُوحُونَ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Jika kami diuji dengan panjang usia setelah engkau wafat, ke mana kamu perintahkan kami untuk berada?. Sabda Nabi SAW: “Pergilah kamu ke Baitulmaqdis, semoga akan lahir daripada zuriatmu keturunan yang akan pergi ke masjid dan pulang darinya.”
(Riwayat Ahmad)
Meskipun hadis ini sanadnya daif disebabkan terdapat perawi yang dikritik sebagai daif iaitu Uthman bin Ata’ bin Abi Muslim al-Khurasani.[1] Walaupun begitu, dalam hal galakan beramal ianya diperbolehkan untuk diamalkan.
Selain itu, terdapat juga hadis lain yang menceritakan tentang melakukan musafir ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”.
(Riwayat al-Bukhari)
Imam al-Nawawi dalam al-Majmuʻ Syarh al-Muhazzab telah menyebutkan bahawa Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis merupakan tempat yang disunatkan untuk umat Islam menziarahinya, menunaikan solat di dalamnya serta ia mempunyai kelebihannya yang tersendiri.[2]
Namun, dalam konteks politik dunia hari ini hadis ini perlu difahami dengan baik agar ia selari dengan maqasid syariah yang menekankan beberapa aspek penting seperti menjaga nyawa, harta dan lain-lain. Pada tahun 2025, rejim zionis Israel laknatullah telah mengenakan sekatan bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin terutamanya Gaza. Perkara ini telah menyebabkan ramai pihak mengecam tindakan mereka, Malaysia antara yang lantang mengecam tindakan rejim zionis Israel laknatullah ini, justeru ia dapat dilihat melalui kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri:
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel yang menyekat bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan daripada sampai kepada rakyat Palestin di Gaza ketika rejim Zionis meneruskan penghapusan etnik dan genosidanya di Wilayah Palestin. Tindakan menyekat keperluan asas seperti makanan, air, bahan bakar, dan bekalan perubatan ke Gaza dengan tujuan melaparkan, melemahkan, dan menghukum rakyat Gaza adalah jelas tidak berperikemanusiaan dan tidak masuk akal, ketika mereka sudah berjuang untuk terus hidup menghadapi bencana kemanusiaan terburuk yang dilihat dunia dalam beberapa dekad. Tindakan tidak bermoral ini oleh rejim juga merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan pelanggaran terang-terangan terhadap hak asasi manusia.”[3]
Kawalan ketat yang dilakukan oleh pihak Israel laknatullah menyebabkan kesukaran orang Islam daripada negara lain untuk melakukan ziarah ke Baitulmaqdis. Seterusnya, keselamatan para pengunjung ke Baitulmaqdis juga dikhuatiri dan tidak terjamin. Menziarahi Baitulmaqdis dalam keadaan ia berada di bawah penjajahan dan dikuasai oleh golongan kafir seperti Yahudi dan Zionis, maka isu ini termasuk dalam perbahasan siyasah syar‘iyyah yang perlu ditimbang antara maslahat dan mafsadah, demi mendahulukan kepentingan terbaik buat umat Islam dan mendekatkan mereka kepada matlamat utama iaitu pembebasan Baitulmaqdis.
Dalam hal ini, para ulama berbeza pandangan ada sebahagian ulama yang membenarkan melakukan ziarah ke Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis namun sebahagian yang lain melarang perkara tersebut. Pandangan-pandangan ini telah pun disebutkan dalam artikel PMWP sebelum ini iaitu BAYAN LINNAS SIRI KE-15 : HUKUM MENZIARAHI BAITUL MAQDIS DAN MASJIDIL AQSA PADA MASA KINI.[4] Ringkasnya antara hujah yang dikemukakan oleh ulama yang membenarkan ziarah ke Baitulmaqdis juga Masjid al-Aqsa ialah seperti berikut:
- Sebenarnya, menziarahi Baitulmaqdis dengan memperoleh visa perjalanan tidak semestinya menunjukkan pengiktirafan terhadap negara Israel, lebih-lebih lagi apabila terdapat nas syarak yang jelas menganjurkan ziarah ke tempat suci tersebut.
- Sebagai perbandingan, Rasulullah SAW sendiri pernah menziarahi Masjidil Haram, melakukan tawaf, solat dan mengerjakan Umrah Qada’ pada tahun ke-7 Hijrah, meskipun ketika itu kota Mekah masih berada di bawah penguasaan kaum musyrikin.
- Ziarah ke Baitulmaqdis, khususnya untuk menunaikan solat di Masjid al-Aqsa, sebenarnya memperkukuhkan pendirian umat Islam di mata dunia bahawa masjid ini milik umat Islam dan tetap hidup dalam kesedaran serta ingatan mereka.
- Kehadiran umat Islam ke Baitulmaqdis juga membawa sokongan moral yang besar kepada saudara seagama di sana. Dengan bertemu dan bergaul bersama mereka, ziarah ini akan menyuntik semangat serta menguatkan azam mereka untuk terus berpegang teguh sebagai murabitin (para penjaga dan pendukung Masjid al-Aqsa) melalui kata-kata yang membina dan dorongan yang menggalakkan mereka untuk terus bertahan di bumi suci itu.
Manakala hujah ulama yang tidak bersetuju serta melarang melakukan ziarah ke Baitulmaqdis adalah kerana perkara berikut:
- Menziarahi Baitulmaqdis secara tidak langsung membawa kepada urusan rasmi dengan kerajaan Israel, terutamanya melalui keperluan mendapatkan visa masuk. Tindakan ini boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap kewujudan dan kedaulatan Israel, sedangkan umat Islam secara prinsipnya dilarang memberikan sebarang bentuk pengiktirafan kepada rejim penjajah tersebut.
- Selain itu, lawatan ke Baitulmaqdis juga berisiko memberikan keuntungan ekonomi kepada Israel. Secara tidak langsung, ia boleh dianggap sebagai menyumbang kepada pengukuhan kedudukan dan kekuasaan mereka, pada saat mereka terus menindas rakyat Palestin.
- Perjalanan ke Baitulmaqdis juga mengundang pelbagai risiko, terutamanya kepada wanita Muslim dan juga keselamatan harta benda pelawat. Dalam konteks ini, ia boleh menimbulkan fitnah dan kemudaratan yang lebih besar.
- Lebih membimbangkan, rejim zionis memperoleh manfaat daripada kehadiran pelawat Muslim, kerana ia memberi gambaran seolah-olah mereka bersikap terbuka dan bertoleransi. Keadaan ini digunakan untuk menutup realiti penindasan terhadap rakyat Palestin serta menyekat kebangkitan dan kesedaran antarabangsa terhadap penderitaan mereka.
- Tindakan ini boleh disamakan bahkan lebih buruk daripada menyokong pengusaha riba, kerana ia melibatkan sokongan secara tidak langsung kepada musuh Islam yang secara terang-terangan berusaha merosakkan agama dan umat Islam.
Berdasarkan penghujahan yang dikemukakan oleh ulama, terdapat beberapa perkara yang perlu ditimbang dengan baik agar ia menepati konsep maqasid itu sendiri. Melihat kepada perkembangan terkini, termasuk pencabulan terang-terangan ke atas Masjid al-Aqsa, pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan usaha sistematik untuk menukar demografi dan status al-Quds, pandangan yang melarang ziarah atas alasan maslahat umat menjadi semakin relevan.
Namun begitu, pendekatan berhati-hati dan muwazanah (pertimbangan seimbang) sangat penting. Apa jua keputusan sama ada menziarahi atau tidak, perlu dibuat dengan kefahaman maqasid syariah iaitu untuk menjaga agama, jiwa dan kehormatan umat Islam serta selari dengan aspirasi pembebasan al-Aqsa.
Selain itu, setiap negara sama ada negara Islam atau bukan Islam yang muak dengan kezaliman rejim Zionis Israel laknatullah boleh berganding bahu dan bersatu tenaga dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin. Setiap pihak memainkan peranan penting bagi memastikan segala bentuk bantuan tersebut sampai kepada rakyat Palestin dengan selamat, berkesan dan berterusan.
Kesimpulan
Galakan untuk menziarahi bumi Palestin atau Baitulmaqdis kekal relevan dalam syariat Islam, berasaskan ijmak ulama tentang pensyariatannya, sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuʿ. Namun, hukum asal yang bersifat sunat ini boleh berubah kepada hukum taklifi yang lain sama ada wajib, harus atau makruh bergantung kepada pertimbangan maslahat dan mafsadah semasa. Sikap melarang ziarah ke Palestin secara mutlak berisiko menatijahkan kelalaian umat terhadap kesucian dan kepentingan tanah yang diberkati ini. Sebaliknya, galakan ziarah yang tidak disertai dengan panduan syarak dan kesedaran strategik pula boleh secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan ekonomi rejim Zionis. Maka, pendekatan yang seimbang dan berpaksikan ilmu serta maqasid amat diperlukan dalam menangani isu ini.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Ahmad bin Hanbal, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, ed. Syuʻaib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2001), jld. 27: hlm. 190.
إسناده ضعيف لضعف عثمان بن عطاء وهو ابن أبي مسلم الخراساني
[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmuʻ Syarh al-Muhazzab (t.tp.: Dar al-Fikr, 1431), jld. 8: hlm. 278.
أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى اسْتِحْبَابِ زِيَارَةِ الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى وَالصَّلَاةِ فِيهِ وَعَلَى فَضْلِهِ
[3] Rujuk Kementerian Luar Negeri, Malaysia Mengutuk Sekatan Israel Terhadap Bantuan Kemanusiaan Untuk Rakyat Palestin, laman sesawang Kementerian Dalam Negeri, https://www.kln.gov.my/web/guest/home?p_p_id=101&p_p_lifecycle=0&p_p_state=maximized&p_p_mode=view&_101_struts_action=%2Fasset_publisher%2Fview_content&_101_assetEntryId=10096597&_101_type=content&_101_urlTitle=malaysia-mengutuk-sekatan-israel-terhadap-bantuan-kemanusiaan-untuk-rakyat-palestin&inheritRedirect=false
[4] Rujuk https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2610-bayan-linnas-siri-ke-15-hukum-menziarahi-baitul-maqdis-dan-masjidil-aqsa-pada-masa-kini