Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-15 : HUKUM MENZIARAHI BAITUL MAQDIS DAN MASJIDIL AQSA PADA MASA KINI

Mukaddimah

Alhamdulillah, pada kali ini Bayan Linnas akan membincangkan secara khusus berkenaan hukum menziarahi Baitul Maqdis terutamanya Masjidil Aqsa pada masa kini. Ini memandangkan persoalan ini sentiasa menjadi perbincangan di kalangan orang ramai dan juga tokoh ilmuan Islam. Punca khilaf utama adalah, antara tuntutan ibadat di Masjidil Aqsa yang mempunyai seribu satu macam keistimewaan seperti yang dinaskan dengan suasana realiti masa kini di mana kedaulatan Baitul Maqdis dikuasai oleh rejim Zionis Israel. Dalam hal ini terdapat pelbagai hujah dan alasan daripada pihak yang membenarkannya dengan yang tidak mengizinkannya. Semoga Allah merahmati tokoh-tokoh ulama yang telah menyumbangkan idea dan pendapat berasaskan ijtihad dan ilmu yang dikurniakan Allah kepada mereka. Saya akan kemukakan jawapan ini berdasarkan nas dan juga hujahan para ulama di samping melihat dalam pelbagai aspek dan realiti. Sebelum dilebarkan lagi perbincangan ini, suka kami kemukakan dahulu sejarah kemuliaan Baitul Maqdis.

 

Pertama : Sejarah Baitul Maqdis

Untuk membincangkan isu ini penulis menukilkan artikel penuh yang di tulis oleh Dr Muzammil H. Siddiqi, Mantan Presiden The Islamic Society of North America (Persatuan Islam Amerika Utara) yang diterbitkan oleh Aman Palestin. Baitul Maqdis adalah terlalu suci buat umat Islam. Ia merupakan salah satu daripada tiga tempat yang paling suci dalam Islam. Baitul Maqdis digelar Al-Quds Al-Sharif (Tempat Yang Suci). Dalam usaha untuk memahami kesucian Bandar ini, seseorang itu perlu memahami struktur iman di dalam Islam.

Terdapat tiga prinsip asas:

  • Percaya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah (Tauhid).
  • Percaya bahawa petunjuk Ilahi disampaikan menerusi rasul-rasul dan nabi-nabi Nya yang terpilih (Risalah).
  • Percaya bahawa wujudnya kehidupan selepas mati (akhirat), hari pembalasan dan Syurga serta Neraka.

Prinsip yang kedua mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen kita terhadap Baitul Maqdis.

 

Kedudukan Baitul Maqdis dalam Aqidah Islam

Islam mengiktiraf semua rasul dan utusan Allah SWT. Nama-nama mereka banyak disebut di dalam Al-Quran. Kisah dan ajaran yang mereka bawa diceritakan di dalam kitab suci umat Islam ini. Menurut ajaran Islam, Ibrahim (Abraham), Musa (Moses), Daud (David), Sulaiman (Solomon), Zakariyah (Zachariah), Yahya (John the Baptist) dan Isa (Jesus) - alahimussalam- adalah antara nabi-nabi dan utusan yang dimuliakan Allah SWT. Yahudi dan Kristian juga mengiktiraf Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS sebagai raja dan pemimpin yang hebat di zaman Israel kuno.

Di dalam Islam, kedua-dua orang nabi ini adalah utusan yang dimuliakan oleh Allah untuk membawa risalah-Nya. Al-Quran bukan sahaja menceritakan kisah-kisah mereka tetapi juga menjaga maruah mereka dengan menghapuskan beberapa penghinaan dan kecaman yang dibuat oleh umat terdahulu terhadap mereka. Nabi Daud AS dituduh melakukan zina di dalam kitab Injil (2 Samuel: 11-12) dan Nabi Sulaiman AS dituduh melakukan penyembahan berhala (1 King: 11). Al-Quran menangkis semua dakwaan yang dikenakan terhadap kedua-duanya. (Al-Qasas: 21-25; Saad: 30). Ini menunjukkan bahawa Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS lebih dihormati di dalam Islam berbanding tradisi masyarakat Yahudi dan Kristian. 

Memandangkan bandar Baitul Maqdis dikaitkan oleh sejarah dengan nabi-nabi yang diutus oleh Allah SWT, maka ia secara tabi'inya turut menjadi bandar yang suci buat umat Islam. Islam menganggap ianya sebagai penerusan kepada iman dan etika yang sama seperti yang diasaskan oleh nabi-nabi terdahulu. Menurut prinsip sejarah dan teologi, Islam merupakan pewaris sebenar kepada tradisi nabi-nabi dan utusan Allah SWT yang terdahulu. Atas alasan inilah, Al-Quran membuat seruan untuk Palestin - tanah yang dikaitkan dengan kehidupan ramai nabi-nabi - "Al-Ard Al-Muqaddasah" (tanah yang suci) (Al-Ma'idah:21) dan menggelarkan sekitarnya sebagai "Barakna Hawlaha" (yang diberkati sekitarnya) (Al-Israa':1).

Firman Allah SWT:

             يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِينَ

Maksudnya: “(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat.)"

(Surah al-Ma’idah: 21)

Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Israa’: 1)

Kesucian Bandar Baitul Maqdis menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamaannya. Bandar ini menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah SWT. Di situlah turunnya wahyu Allah SWT secara berulang-ulang. Nabi-nabi dan utusan-utusan Allah yang agung tinggal dan berpindah ke lembah-lembah serta jalan-jalannya. Mekah dan Madinah merupakan bandar-bandar yang diberkati di dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Nabi Muhammad SAW. Bagitu juga dengan Baitul Maqdis yang diberkati dan penting di dalam Islam kerana kaitannya dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan Nabi Isa AS.

Yahudi dan Kristian tidak mengiktiraf Nabi Ismail AS dan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul, maka mereka tidak menganggap Mekah dan Madinah sebagai bandar-bandar yang suci. Bagaimanapun, Islam mengiktiraf Nabi Musa AS, Nabi Dawud AS, Nabi Sulaiman AS dan Nabi Isa AS, maka mereka harus mengiktiraf kesucian dan kepentingan Baitul Maqdis di dalam Islam.

 

Baitul Maqdis di Dalam Kehidupan Nabi Muhammad SAW

Berdasarkan kepada status agama dan teologi, Baitul Maqdis menduduki tempat yang sangat istimewa di dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sendiri. Pada tahun 620M, kira-kira satu setengah tahun sebelum Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah, satu peristiwa Al-Israa' dan Al-Mi'raj (perjalanan malam dan diangkat ke langit) telah berlaku. Pada suatu malam, dengan cara yang menakjubkan, Rasulullah SAW telah melakukan perjalanan yang penuh keajaiban dari Mekah ke Baitul Maqdis dan diangkat ke langit pada malam yang sama. 

Perjalanan malam ini merupakan satu keajaiban yang agung yang dipercayai oleh setiap umat Islam bahawa ianya merupakan satu penghormatan kepada Nabi Muhammad SAW dan mengesahkan hubungan akidah antara Mekah dan Baitul Maqdis. Kedua-dua peristiwa ini berlaku pada malam yang sama. Malaikat Jibril (Gabriel) mengiringi Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Baitul Maqdis. Diceritakan juga bahawa Nabi SAW berdiri di atas Batu Suci (Al-Sakhrah Al-Musharrafah), naik ke langit, kembali ke Baitul Maqdis dan bertemu dengan ramai nabi-nabi serta rasul-rasul terdahulu yang berhimpun untuk Baginda sempena peristiwa tersebut. Rasulullah SAW seterusnya mengimamkan solat mereka.

Selepas melalui semua peristiwa ini, Nabi Muhammad SAW kembali ke Mekah. Peristiwa Al-Israa' dan Al-Mi'raj penuh dengan tanda-tanda dan petunjuk yang menakjubkan. Para pemikir Islam, pengkaji mistik dan penyair-penyair telah membuat pelbagai tafsiran secara mendalam dan berbeza-beza. Bagaimanapun, terdapat satu kesimpulan penting dan ia menjadi satu contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap Muslim dengan Baitul Maqdis.

Semasa Al-Mi'raj, Rasulullah SAW telah menerima perintah Allah SWT untuk melaksanakan solat sebanyak lima kali sehari semalam di mana setiap Muslim wajib menunaikannya. Setelah kepulangan Baginda ke Mekah, Rasulullah SAW telah menyampaikan perintah Allah SWT supaya memfardukan solat. Penting untuk kita ketahui bahawa Baginda SAW telah menjadikan Baitul Maqdis sebagai Kiblat yang mana setiap Muslim perlu menghadap ke arahnya semasa mengerjakan solat. Justeru, Baitul Maqdis dikenali sebagai 'Ula Al-Qiblatain (yang pertama antara dua kiblat).

Nabi Muhammad SAW dan umat terawal yang memeluk Islam telah berkiblatkan Baitul Maqdis semasa solat ketika mereka berada di Mekah. Selepas peristiwa Hijrah, masyarakat Islam di Madinah juga turut mengadap ke Baitul Maqdis ketika solat selama kira-kira 17 bulan. Kemudian, barulah turun perintah Allah SWT supaya menukar arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Mekah sebagaimana yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah ayat 142-150.

Para mufassirin Islam dan pengkaji sejarah telah menjelaskan makna dan tujuan perubahan ini. Ia merupakan suatu subjek yang panjang dan tidak mampu untuk dibincangkan di sini. Cukup sekadar mengatakan bahawa peralihan Kiblat ini sama sekali tidak menghapuskan kedudukan Baitul Maqdis di dalam Islam. Kaabah di Mekah merupakan Kiblat sejak awal kerana Al-Quran menyebut bahawa ia adalah Rumah Pertama (Awwala Baitin) yang dibina untuk manusia menyembah Tuhan Yang Satu.

Firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”

(Surah Ali Imran: 96)

Walau bagaimanapun, Kaabah dipenuhi dengan patung-patung sejak mula Nabi Muhammad SAW memulakan dakwahnya agar umat manusia menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Satu. Perbezaan telah ditunjukkan antara penyembahan orang beriman dan kaum musyrik terhadap apa yang mereka sembah di Kaabah. Baitul Maqdis menepati matlamat tersebut untuk mengasingkan umat ketika itu dari sembahan-sembahan berhala mereka.

Apabila prinsip ketuhanan yang satu telah ditegakkan sepenuhnya di dalam hati dan jiwa kaum muslimin dan apabila kedudukan Kaabah dengan Nabi Ibrahim AS telah jelas, barulah Kaabah dipilih semula sebagai Kiblat semasa solat.

Terdapat banyak contoh mengenai perubahan-perubahan (naskh) di dalam Syariat Islam. Salah satunya adalah pengharaman ziarah kubur di awal kenabian Rasulullah SAW. Bagaimanapun, ia dihalalkan tidak lama selepas itu apabila kaum muslimin sudah dapat membezakan mengenai ziarah kubur dan amalan sembahan tradisi nenek moyang mereka. Pada awalnya, Nabi Muhammad SAW juga melarang pengikutnya daripada menulis perkataan-perkataan Baginda melainkan apabila Baginda menyatakan bahawa ianya adalah wahyu - Al-Quran, dari Allah SWT. Kemudian, apabila pengikut baginda sudah belajar mengenai perbezaan di antara Al-Quran dan Hadis (perkataan dan perbuatan Nabi Muhammad SAW), Baginda telah mengizinkan umatnya menulis Hadis. Menarik untuk ditekankan di sini bahawa Kaabah di Mekah adalah arah awal untuk solat bagi semua nabi yang diturunkan oleh Allah SWT.

Menurut satu Hadis, Batu Hitam (Al-Hajar Al-Aswad) telah berada di tapak Kaabah sejak zaman Nabi Adam AS lagi. Kemudian Allah memerintahkan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS untuk membina Kaabah sebagaimana yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah ayat 125-127.

Bandar Baitul Maqdis telah dibina sebagai pusat penyebaran agama untuk penduduk Israel oleh Nabi Dawud AS dan Nabi Sulaiman AS kira-kira pada tahun 900 sebelum Masihi.

Ia lebih kurang 1000 tahun selepas zaman Nabi Ibrahim AS dan pembinaan Kaabah. Justeru, seseorang itu boleh mengatakan bahawa Kaabah mempunyai sejarah yang lebih panjang daripada Baitul Maqdis. Tambahan pula, penting untuk kita ketahui bahawa Injil mengatakan masyarakat Israel awal yang tinggal di Baitul Maqdis telah mengadap ke Selatan apabila menunaikan solat paling suci mereka (Exodus: 40). Kaabah terletak di Selatan Baitul Maqdis. Maka, boleh dikatakan bahawa Kaabah juga telah menjadi kiblat bagi penduduk Israel yang awal.

 

Baitul Maqdis Dalam Sejarah Awal Islam

Baitul Maqdis berada di bawah pemerintahan Islam semasa zaman Khalifah Umar (semoga Allah merahmatinya), dalam tahun 638 Masihi. Ia merupakan penaklukan yang aman. Pemerintah dan Paderi Besar Baitul Maqdis ketika itu yang bernama Sophronius telah menyerahkan kunci Baitul Maqdis kepada Khalifah Umar dengan tangannya. Semasa memasuki Bandar itu, Khalifah Umar bertanya di manakah kedudukan Baitul Maqdis dan batu yang dimuliakan yang telah dipijak oleh Rasulullah SAW sebelum Al-Mi'raj. Ia merupakan kawasan yang terpencil pada ketika itu. Askar-askar Rom telah memusnahkan apa yang disebut Kuil Kedua pada tahun 70 Masihi. Pemerintah bukan Kristian atau Kristian di situ tidak pernah cuba untuk membinanya semula.

Menurut sejarah, ia merupakan tempat pembuangan sampah dan tempat pembuangan najis haiwan bagi penduduk Baitul Maqdis. Sebaik sahaja Khalifah Umar mengetahui bahawa itu merupakan tapak Baitul Maqdis dan tempat berlakunya Al-Mi'raj, beliau telah membersihkannya dengan tangan beliau sendiri sebelum melakukan solat dan sujud di atas tanah.

Pada tahun 691 Masihi, Kubah Biru dan masjid lainnya dibina. Ia merupakan monumen suci pertama yang paling mahal dan paling besar dibina dalam sejarah Islam.  Baitul Maqdis sentiasa di dalam ingatan masyarakat Muslim. Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah kamu bersusah payah bermusafir (dengan tujuan beribadat) melainkan ke tiga masjid; Masjid Al-Haram di Mekah, masjidku di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis." Berdasarkan hadis ini, masyarakat Islam menganggap bahawa ia merupakan satu kebaikan untuk melawat Bandar Baitul Maqdis, masjidnya, kesuciannya dan persekitarannya yang diberkati. Jemaah haji seringkali menziarahi Baitul Maqdis sebelum pergi menunaikan haji di Mekah dan Madinah.

Pemimpin-pemimpin Islam membina banyak hospital, sekolah dan pusat keagamaan di sekitar Bandar tersebut. Mereka membeli tanah di dalam dan sekitar Baitul Maqdis untuk dijadikan tanah wakaf bagi tujuan keagamaan. Hakikatnya, keseluruhan Bandar Baitul Maqdis adalah tanah wakaf dan tidak boleh dijual atau dipindah milik. Ramai juga ulama Islam yang berpindah dan tinggal di sana. Masjid Al-Aqsa merupakan tempat yang ideal untuk belajar. Beribu-ribu orang yang beriman dan ulama' berwasiat agar jenazah mereka kelak dikebumikan di Baitul Maqdis. Terdapat beribu-ribu atau mungkin berjuta kubur umat Islam di Baitul Maqdis. Umat Islam juga mengiktiraf hak masyarakat Kristian dan Yahudi yang meletakkan Baitul Maqdis di hati mereka dan menjadikannya suci dalam keimanan mereka. 

Semasa pemerintahan Islam, mereka dibenarkan untuk tinggal di sana. Semasa Khalifah Umar membuat perjanjian dengan Paderi Sophronius, mereka telah bersetuju dengan permintaan paderi Kristian itu bahawa "Tidak ada seorang Yahudi pun yang akan dibenarkan untuk tinggal bersama mereka di Aelia (Baitul Maqdis)". Bagaimanapun, semasa pemerintahan Islam kemudiannya, undang-undang tersebut telah dilonggarkan sedikit dan orang-orang Yahudi diizinkan untuk datang dan tinggal di situ. Selepas penaklukan semula Baitul Maqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi, orang-orang Yahudi sekali lagi diizinkan oleh penduduk Islam untuk kembali dan tinggal di Baitul Maqdis. Sebelum itu, Baitul Maqdis telah diperintah oleh Kristian selama lebih kurang 90 tahun (1099-1187) dan mereka telah mengharamkan penduduk Yahudi dan Islam untuk tinggal di Baitul Maqdis.

 

Kesimpulannya 

Bandar Baitul Maqdis amat penting bagi umat Islam, yang mempunyai hak ke atas Bandar ini dari sudut agama, sejarah dan perundangan. Terdapat tiga fakta penting untuk kita ingati mengenai Islam dan Baitul Maqdis. Di dalam sejarah Baitul Maqdis, sejak zaman Nabi Dawud AS sehingga ke hari ini, pemerintahan yang paling lama adalah pemerintahan Islam. Umat Islam mengekalkan kesucian Baitul Maqdis sehingga tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Umat Islam mewujudkan dan mengamalkan karakter agama yang penuh toleransi dan keimanan terhadap Baitul Maqdis.

 

Kedua : Hukum Ziarah Baitul Maqdis Pada Masa Kini

Inilah persoalan pokok dan asas perbincangan berkenaan dengan tajuk ini. Pernah satu ketika Ketua Qadi Palestin al-Syeikh Taisir al-Tamimi mengundang tokoh ulama termasuk Syeikhul Azhar sekarang Syeikh Ahmad Tayyib untuk menziarahi Baitul Maqdis khususnya Masjidil Aqsa  tetapi beliau enggan dengan alasan ia terpaksa menggunakan visa Israel seolah-olah mengiktiraf kedaulatannya. Justeru ramai di kalangan tokoh ulama yang menyokong pendapat ini dan tak kurang juga yang menentangnya. Sebelum daripada ini Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi juga telah memberi pendapat yang sama bahawa tidak harus menziarahi Masjidil Aqsa pada masa kini. Antara yang mengajak supaya menziarahi Kota Quds ialah Menteri Waqaf Mesir.

 

Pendapat Yang Tidak Membenarkan Dan Alasannya.

Antara hujahan mereka yang tidak membenarkan bagi umat Islam untuk menziarahi Baitul Maqdis ialah :

  • Dengan menziarahi Baitul Maqdis, maka sudah pasti setidak-tidaknya kita berurusan dengan kerajaan Israel, justeru mengiktiraf mereka, sedangkan kita dilarang sama sekali mengiktiraf mereka. Ini adalah masalah visa Israel.
  • Begitu juga dengan mengunjungi Baitul Maqdis, setidak-tidaknya kita telah memberi keuntungan ekonomi pada mereka, pada ketika itu sebenarnya kita telah menolong dan memperkuatkan kedaulatan mereka. 
  • Musafir ke Baitul Maqdis untuk solat di Masjidil Aqsa membawa kepada fitnah terutamanya kepada wanita muslimah dan harta.
  • Golongan Yahudi mendapat manfaat dari ziarah umat Islam seperti gambaran keadaan mereka yang baik dan bertoleransi di samping menghalang kebangkitan orang Palestin. 
  • Mereka mengiaskan sama seperti menolong tuan punya riba bahkan lebih teruk daripada itu kerana terpaksa menolong musuh-musuh Islam yang ingin merosakkan Islam dan umatnya. Daripada Aus bin Syurahbil, sabda Rasulullah SAW:

مَنْ مَشَى مَعَ ظَالِمٍ لِيُعِينَهُ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ ظَالِمٌ، فَقَدْ خَرَجَ مِنَ الْإِسْلَامِ

Maksudnya: Siapa yang berjalan bersama orang yang zalim untuk menolongnya sedangkan ia mengetahui bahawa orang itu zalim, maka sebenarnya ia telah keluar daripada Islam.”

Riwayat al-Tabarani (619) dalam Mu’jam  al-Kabir.

  • Syeikh Dr. Abdul Hayy Yusuf, Profesor di Universiti al-Khartoum, Sudan berpendapat tidak menjadi masalah berada di bumi Palestin kerana umat Islam perlu menyedari bahawa bumi Palestin bukan bumi Yahudi. Tetapi, tatkala dikuasai oleh Yahudi dengan membunuh, menindas dan menzalimi umat Islam maka tidak lagi harus bagi orang Islam memasukinya kerana mengiktiraf dan mengiyakan untuk mereka memiliki harta umat Islam. 

Sekali lagi di sini disenaraikan tokoh yang mengharamkan ziarah ketika ini. antaranya :

  • Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia
  • Syeikh Dr. Ahmad Tayyib, Syeikhul Azhar
  • Syeikh Faisal Maulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa dan Kajian Eropah (European Council of Fatwa and Research)

 

Pendapat Yang Mengharuskan Untuk Menziarahi Baitul Maqdis

Ramai juga para ulama yang mengharuskan untuk seseorang mengunjungi Baitul Maqdis termasuk umat Islam. Antara mereka yang membenarkannya ialah Dr. Saud al-Funaisan salah seorang ulama Saudi  dengan alasan seperti berikut :

  • Kerana Masjidil Aqsa merupakan kiblat pertama bagi umat Islam. Bahkan hadis yang sahih menyebut : Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda

لا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاثَةِ مَسَاجِد: المَسْجِدِ الحَرَام وَمَسْجِدِي هَذَا وَالمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalanan ketiga destinasi, iaitu Al-Masjid al-Haram, Masjidku (Al-Masjid Al-Nabawi), dan al-Masjid al-Aqsa.” 

Riwayat Bukhari (1189) dan Muslim (1397)

 

  • Masjidil Aqsa sebagai tempat yang mulia dan diberkati Allah disebut dengan kalimah barakat seperti mana dalam al-Quran

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Isra’: 1)

  • Sebenarnya menziarahi Baitul Maqdis dengan mengambil visa perjalanan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu mengiktiraf Israel di samping nas jelas menggesa ke arah ziarah tersebut. 
  • Rasulullah SAW pernah ziarah Masjidil Haram, tawaf dan solat serta berumrah dengan Umrah Qadha’ pada tahun ke 7 Hijrah sedangkan ketika itu ia dibawah cengkaman orang musyrikin lagi.
  • Dengan menziarahi Baitul Maqdis untuk solat di Masjidil Aqsa sudah tetntu menjadi penguat kepada dunia bahawa ia milik orang Islam dan mereka tidak lupa dalam ingatan mereka.
  • Ziarahnya kita ke Baitul Maqdis memberi sokongan maknawi kepada umat Islam di sana tatkala kita melihat mereka dan bercampur dengan mereka dan sudah barang tentu akan menguatkan keazaman meraka dengan bicara yang baik dan menggalakkan mereka kekal sebagai murabitin.

Antara tokoh yang mengharuskan ziarah Masjidil Aqsa pula ialah :

  • Syeikh Abdul Aziz Bin Baz, Mantan Mufti Besar Arab Saudi dalam fatwanya tatkala wujud perjanjian persefahaman antara negara Arab dan Yahudi berkata : “Ziarah masjidil Aqsa dan solat padanya adalah sunat jika memungkinkannya berdasarkan hadis Rasulullah SAW”.
  • Syeikh Abdurrahman al-Barrak berkata : “Ziarah Masjidil Aqsa sekarang ini harus dan disyariatkan berdasarkan Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan umrah ketika Makkah di bawah penguasaan orang musyrikin.”
  • Syeikh Masyhur Hasan Alu Salman daripada Jordan.
  • Saud al-Funaisan dari kalangan ulama Saudi. 
  • Syeikh Naim Tarnafa, Mufti Kosovo.
  • Syeikh Syauqi Umar Baasyistash, Mufti Croatia.
  • Syeikh Muammar Zoukorlic, Mufti Serbia.
  • Syeikh Najad Gharabus, Mufti Slovenia.
  • Syeikh Raf’at Fizitash, Mufti Jabal Aswad.
  • Syeikh Ali Hasan al-Halabi daripada Jordan.
  • Syeikh Ali Jum’ah, bekas Mufti Mesir.
  • Syeikh al-Habib Ali Zainal Abidin al-Jufri.
  • Ulama di wilayah Balkan dan ramai di kalangan mereka menziarahi Baitul Maqdis.

Tarjih

Setelah meneliti pendapat yang menyokongnya untuk menziarahi Masjidil Aqsa dan Baitul Maqdis dan juga pendapat yang menentangnya dengan tidak membenarkan sama sekali, maka kami lebih cenderung kepada keharusan untuk menziarahi Masjidil Aqsa. Ini berdasarkan nas hadis yang menunjukkan galakan untuk menziarahi Masjidil Aqsa dan beribadat padanya. Walaubagaimanapun, perlu ada beberapa dhawabit dan syarat padanya:

  • Tidak mengiktiraf kedaulatan Baitul Maqdis sebagai tanah wilayah mereka (Israel).
  • Menjauhkan segala bentuk yang memberi manfaat dan maslahah yang banyak kepada pihak Zionis.
  • Berhubung dengan pihak dan warga Palestin ketika mengunjungi Baitul Maqdis sebagai pemandu pelancong.
  • Ziarah tersebut untuk menolong umat Islam di sana. 
  • Pergi ke sana semata-mata untuk solat di Masjidil Aqsa seperti mana yang dinaskan dalam Hadis bukan di tempat yang lain.
  • Bukan ziarah untuk melancong ke tempat-tempat yang lain.
  • Elakkan mendiami hotel milik Yahudi seupaya mungkin

Di sana terdapat keputusan yang menyokong keputusan tarjih di atas antaranya melalui :

  • Muktamar antarabangsa yang pertama bertajuk “Jalan ke Kota Baitul Maqdis”. Ia dilangsungkan di Amman, Jordan yang disusun oleh Lajnah Wakil Rakyat Palestin di Parlimen Jordan dengan kerjasama Universiti Ulum Islamiah ‘Alamiah dan Parlimen Arab pada 28 Jamadil Akhir hingga 1 Rejab 1435 Hijrah. Dalam resolusi muktamar tersebut antara lain bertujuan mengembalikan Baitul Maqdis kepada umat Arab dan Islam.
  • Para ulama yang menyertai muktamar tersebut dari pelbagai negara telah mengemukakan Fatawa Jamai’e supaya boleh menziarahi Baitul Maqdis berdasarkan dhawabit asas di samping meraikan maslahah penduduk Kota Baitul Maqdis dan memberi bantuan kepada mereka secara maddi dan maknawi di samping tidak mendukung citi-cita Zionis. Fatwa ini dan keputusan resolusi telah disebarkan pada 23 Mei 2014.
  • Darul Ifta’ Palestin sendiri telah bersetuju dengan keputusan di atas. Sedangkan ulama di sana lebih mengetahui akan hakikat dan realiti umat Islam yang hidup di sana.

Berdasarkan kenyataan di atas, saya berpendapat bahawa harus menziarahi Baitul Maqdis khususnya Masjidil Aqsa dengan dhowabit yang telah diberikan. Semoga Allah merahmati kita dan juga sebarang usaha kita ke arah meninggikan syiar dan syariat Islam.

 

Ketiga : Mengimbas Sejarah Silam

Dinyatakan di sini dua kisah silam berhubung Baitul Maqdis.

  • Daripada Jabir RA berkata:

أَنَّ رَجُلًا، قَامَ يَوْمَ الْفَتْحِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي نَذَرْتُ لِلَّهِ إِنْ فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْكَ مَكَّةَ أَنْ أُصَلِّيَ فِي بَيْتِ الْمَقْدِسِ رَكْعَتَيْنِ، قَالَ: صَلِّ هَاهُنَا، ثُمَّ أَعَادَ عَلَيْهِ، فَقَالَ: صَلِّ هَاهُنَا، ثُمَّ أَعَادَ عَلَيْهِ، فَقَالَ: شَأْنُكَ إِذَنْ

Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya pada pembukaan Kota Makkah : Ya Rasulullah, sesungguhnya aku bernazar jika Allah buka kepadamu Makkah nescaya aku mahu solat di Baitul Maqdis dua rakaat. Sabda Baginda SAW : Solatlah di sini. Kemudian beliau berkata lagi, kemudian Nabi jawab, solatlah di sini, kemudian beliau masih lagi berkata, lantas jawab nabi mengikut kamulah kalau begitu”

Riwayat Abu Daud (3305)

Hadis ini menunjukkan Baginda SAW tidak menegahnya sedangkan ketika itu Kota Baitul Maqdis belum lagi dibuka.

  • Beberapa ulama seperti al-Syirazi dalam Tabaqat al-Fuqaha’ 1/248 dan Qadi Syuhbah dalam Tabaqat al-Syafieyyah 1/293 menyebut sebuah kisah bahawa Imam Ghazali yang berada di Kota Damsyik pergi ke Hijaz dan tidak menziarahi Baitul Maqdis pada zaman ia dijajah tetapi ulama yang lain seperti Abu al-Muzaffar al-Sam’ani yang tidak kurang hebatnya, seorang muhaddis telah menziarahi begitu juga Abu al-Muzaffar Said Ibn Sahl yang digelar sebagai al-Falaki pernah menziarahinya juga. 

 

Penutup 

Selepas meneliti pelbagai pandangan kami merasakan bahawa perselisihan berlaku samada adanya pengiktirafan kepada Israel atau tidak. Kedua-dua pandangan tidak mengiktiraf kedaulatan Israel. Justeru kepada mereka yang lebih selesa dengan pendapat tidak membolehkannya, maka mereka jangalah pergi sehingga bumi Baitul Maqdis atau Palestin menjadi milik umat Islam. 

Saya pernah bertanya kepada Fadhilah Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili apakah cita-citanya? Antaranya beliau menjawab : Aku bercita-cita aku sempat solat di Masjidil Aqsa dalam keadaan ianya terbebas dari belenggu penjajahan Zionis. Itulah semangat seorang tokoh ulama masa kini yang cinta dan sayangkan Masjidil Aqsa.

Kepada mereka yang ingin pergi maka janganlah mengiktiraf  kedaulatan Israel dan redha kepada mereka sebagaimana nas al-Quran dan Hadis. Disamping itu mereka hendaklah meraikan dhawabit yang telah dinyatakan. Saya juga mengesyorkan jka seseorang yang ke sana maka bantulah saudara seIslam Palestin yang memerlukan bantuan untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan yang berbaki ini. Semoga Allah merahmati ulama Islam semuanya dalam memberi petunjuk dan bimbingan kepada ummah ke arah yang terbaik. 

Saya menutup perbincangan ini dengan menukilkan mutiara kata indah daripada Panglima Islam yang terkenal Salahuddin al-Ayyubi : Sesiapa yang dapat menguasai Jurusalem (Palestin) nescaya dia akan dapat menguasai dunia. Renunglah kata-kata ini.

 

Akhukum Fillah,

DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN