Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan hukuman bagi isteri yang menolak ajakan suami untuk bersama?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Di dalam hidup berumah tangga, seorang isteri itu wajib untuk mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf. Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan memudahkannya jalan untuk ke syurga berdasarkan sebuah hadith yang disahihkan oleh Imam Ibn Hibban:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta'at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban (4163)]
Berdasarkan soalan di atas, terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan akibat atau hukuman yang akan diterima oleh isteri apabila menolak ajakan suaminya untuk bersama. Antaranya adalah:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya. Maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.” [Riwayat al-Bukhari (3237)(5193)]
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa haramnya seorang isteri itu menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta’ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Hadith ini juga bermaksud laknat daripada malaikat akan berterusan sehingga hilangnya maksiat dengan terbitnya fajar dan dengan suami itu merasa memadai atau dengan taubat si isteri apabila menerima ajakan suami tersebut untuk bersama. [Lihat: al-Minhaj, 7-8/10]
Justeru itu, kami katakan bahawa seorang isteri wajib mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf. Tambahan pula, bersetubuh merupakan hak bersama di antara isteri dan suami dan ia perlu dibincang dan disepakati secara bersama dengan baik. Antara perkara yang penting dalam bersetubuh ini perlu dilihat adalah adab-adab dan hukum-hakam yang perlu diraikan supaya tidak berlaku sebarang kezaliman.
Penutup
Kesimpulannya, dalam berdepan dengan isu ini ia perlulah terdapat kesefahaman yang baik di antara suami dan isteri supaya tidak timbul isu seperti ini. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita suami yang soleh dan isteri yang solehah agar rumahtangga yang dibina itu mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT. Amin.
Wallahua’lam