Soalan :
Assalamualaikum Ustaz, saya ada terdengar kata-kata yang menyebut: Sesiapa yang ingin kaya, maka hendaklah dia berkahwin. Adakah kenyataan ini benar dan mempunyai asasnya ?
Jawapan :
Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.
Perkahwinan adalah suatu ibadah yang mempunyai tujuan-tujuan dan hikmahnya yang tertentu. Berikut kami nukilkan beberapa hikmah disyariatkan pernikahan :
Pertama: Menyahut Seruan Fitrah
Sesungguhnya Allah S.W.T menciptakan manusia dengan fitrahnya untuk berpasangan. Maka syariat menganjurkan supaya manusia itu berkahwin dengan tujuan untuk meraikan fitrah manusiawi. Bahkan telah sabit beberapa larangan ke atas perbuatan tidak mahu berkahwin. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Samurah bin Jundub R.A beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ التَّبَتُّلِ
Maksudnya: Sesungguhnya baginda melarang dari perbuatan al-tabattul (memutuskan diri dari wanita, dan meninggalkan berkahwin).
Riwayat Al-Nasaie (3214)
Kedua: Memelihara Akhlak Dari Kebejatan Dan Kerosakan
Di antara hikmah disyariatkan perkahwinan adalah supaya permasalahan dan kerosakan akhlak dapat dibendung. Ini memandangkan, sekiranya seseorang itu tidak berkahwin, terdapat kemungkinan yang tinggi untuk berlakunya hubungan-hubungan haram yang bercanggah dengan akhlak dan norma masyarakat seperti zina, liwat, dan seumpamanya. Implikasi dari itu, berlakulah kerosakan dan keburukan yang besar dalam kalangan masyarakat. Dalam menjelaskan hakikat ini Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ
Maksudnya: Apabila datang kepada kamu seseorang yang kamu redha akan akhlak dan juga agamanya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang teruk.
Riwayat Ibn Majah (1967)
Ketiga: Mewujudkan Ketenangan Jiwa Dan Kestabilan Roh
Tidak dinafikan bahawa fungsi sebuah pernikahan adalah untuk memberikan ketenangan dan keselesaan jiwa bagi seseorang. Inilah yang disebutkan oleh Allah S.W.T di dalam firman-Nya:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri yang berasal dari diri kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang kepada mereka. Dan dia menjadikan di antara kamu perasaan mawadah (kasih sayang) dan juga rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu merupakan tanda-tanda (kebesaran) bagi kaum yang sentiasa berfikir.
Surah al-Rum (21)
Berdasarkan ayat di atas, secara jelas disebutkan berkenaan hikmah dan tujuan pernikahan, iaitu supaya kita berasa sukun (tenang) kepada pasangan. Di samping Allah S.W.T memberikan perasaan mawaddah kepada pasangan yang halal, Dia juga turut mengurniakan perasaan rahmah (kasih sayang) sesama pasangan dalam perkahwinan.
Imam al-Qurthubi Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. Lihat al-Jamik li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (17/14).
Perkahwinan Boleh Mendatangkan Kekayaan ?
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, perlulah difahami bahawa asas-asas terbinanya sesebuah perkahwinan adalah bertujuan untuk memanifestasikan beberapa hikmah yang kami kongsikan di atas.
Perkara paling asas, apabila kita mendengar kenyataan-kenyataan seumpama ini daripada lidah para asatizah dan juga penceramah, yang mana ia boleh membawa kepada beberapa maksud dan kefahaman yang berbeza dari murad (kehendak) mereka yang menyebutkannya, adalah dengan bertanya sendiri kepada pemilik kenyataan. Ini kerana, hal ini adalah lebih menggambarkan ciri akhlak yang baik kerana kita meminta penjelasan sendiri dari tuan punya badan bagi sesuatu ucapan dan kenyataan.
Keduanya, kita juga pada peringkat permulaan hendaklah bersangka baik kepada pemilik ucapan.Terutamanya ucapan-ucapan yang dikeluarkan oleh para asatizah yang telah diiktiraf keilmuan dan juga ketokohannya di dalam agama. Sudah pasti mereka tidak berbicara atau mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa bersumberkan ilmu yang tepat lagi benar.
Sebatas penelitian kami, tidak terdapat sebarang nas yang menunjukkan bahawa sesiapa yang mahukan kekayaan, hendaklah dia berkahwin. Iaitu kekayaan dalam erti kata hartanya menjadi melimpah ruah, wang ringgitnya berkepuk, dan seumpamanya. Ini kerana, hal seperti ini tidak termasuk sebagai tujuan dan hikmah pensyariatan nikah.
Akan tetapi, dalil yang mengisyaratkan kepada hal ini adalah firman Allah S.W.T yang menyatakan:
وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Dan berkahwinlah dengan wanita-wanita dari kalangan kamu, serta mereka yang soleh dari kalangan hamba-hamba sahaya kamu lelaki dan perempuan. Sekiranya mereka itu (golongan hamba) merupakan para fuqara (orang faqir), Allah akan memberikan kecukupan kepada mereka dari kelebihan-Nya. Dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.
Surah An-Nur (32)
Daripada ayat di atas, dapatlah kita tahu bahawa kemungkinan kenyataan yang disebutkan tersebut, memaksudkan kepada firman Allah S.W.T ini. Kami kongsikan syarahan dari Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah apabila beliau menafsirkan ayat ini dengan katanya: Ibn Abbas R.Anhuma berkata: ‘’Allah memberikan targhib (anjuran) kepada mereka terhadap pernikahan. Dan dia memerintahkan agar berkahwin kepada lelaki-lelaki yang merdeka ataupun lelaki-lelaki dari kalangan hamba. Serta Dia menjanjikan al-Ghina (kecukupan) ke atas perkara tersebut’’.
Manakala Ibn Mas’ud R.A juga berdalilkan ayat di atas setelah beliau berkata: ‘’Carilah kecukupan melalui perkahwinan’’.
Saidina Abu Bakr al-Siddiq R.A turut mengucapkan perkataan yang hampir sama dengan katanya: ‘’Taatilah Allah ke atas apa yang dia telah perintahkan kamu semua berkenaan pernikahan, nescaya Dia akan melaksanakan apa yang telah dijanjikan untuk kamu daripada kecukupan’’. Lihat Tafsir al-Quran Al-Azhim, Ibn Kathir (6/51-52).
Demikian juga Rasulullah S.A.W dalam menguatkan hal ini baginda bersabda berkaitan tiga golongan yang menjadi hak Allah S.W.T untuk membantu mereka. Di antaranya adalah:
وَالناكحُ الذِي يريدُ العَفَافَ
Maksudnya: Seorang yang bernikah dengan tujuan untuk ‘afaf (menjaga kehormatan dan kemuliaan dirinya).
Riwayat al-Nasaie (3218).
Daripada beberapa sudut, tidak dinafikan bahawa pernikahan boleh mendatangkan harta benda yang lebih. Ini mengambil kira beberapa faktor yang kami nyatakan seperti berikut:
- Perkahwinan membawa erti pertambahan individu. Sebelum ini, iaitu ketika bujang seseorang itu mungkin mempunyai pendapatan secara bersendirian. Sebaliknya, selepas perkahwinan pendapatan isi rumah akan menjadi lebih besar sekiranya isteri turut berkerja dan mempunyai pendapatan sendiri.
- Melalui perkahwinan, ketua rumah iaitu suami sudah pasti menyedari hakikat bahawa tanggungjawab yang dipikulnya kian bertambah. Justeru, ini akan membawa kepada kesungguhannya dalam berusaha menambahkan pendapatan dirinya bagi menampung tanggungjawab yang berbeza seperti zaman bujangnya dahulu.
- Faktor anak-anak turut menjadi peranan untuk seorang bapa berusaha lebih gigih mencari harta yang lebih. Dan kesemuanya ini tidak lain tidak bukan adalah kesan-kesan sampingan yang bermanfaat hasil dari sesebuah pernikahan.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada beberapa nas dan syarahan yang telah kami kemukakan di atas, kami cenderung berpendapat bahawa pernikahan semata-mata itu tidaklah memastikan kekayaan harta benda. Sebaliknya, pernikahan yang dijalankan dengan tujuan yang tulus benar kerana Allah serta ingin memelihara kehormatan diri, nescaya pastia akan diberikan bantuan dan pertolongan Allah S.W.T dari sudut memberikan pasangan yang bernikah itu kecukupan dalam hidup.
Inilah yang dinamakan sebagai konsep takwa dalam pernikahan. Maka setiap pasangan suami isteri yang bertakwa kepada Allah, dari sudut mereka melaksanakan segala arahan Tuhan dan meninggalkan segala larangan-Nya, pastilah Allah S.W.T menjanjikan jalan keluar kepada mereka dari setiap kesulitan, serta dikurniakan rezeki dari jalan yang mereka tidak sangka-sangka seumpama kesenangan dan kecukupan dalam kehidupan. Benarlah firman Allah S.W.T yang menyatakan:
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
Maksudnya: Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan menjadikan untuknya (orang yang bertakwa) jalan keluar (dari setiap kesukaran). Serta Dia akan memberikan rezeki kepadanya dari jalan yang tidak disangka-sangka. Dan siapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Dia itu mencukupi buat dirinya.
Surah Al-Thalaq (2-3)
Akhir kalam, kami berdoa supaya Allah S.W.T memberikan kefahaman dan taufiq kepada kita semua dalam beragama. Ameen.