بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين والعاقبة للمتقين ولا عدوان الا على الظالمين وأشهد ألا اله الا الله وحده لا شريك له وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله صلى الله عليه وعلى آله وصحبه وسلم تسليما كثيرا
Alhamdulillah, dikesempatan ini saya mengucapkan selamat datang ke laman web Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang melayari laman web ini. Seiring dengan kemajuan era globalisasi dan perkembangan teknologi yang memerlukan capaian maklumat hanya di hujung jari, JMWP tidak ketinggalan dalam arus semasa menggunakan medium ini. Laman web yang sebelum ini memberikan kemudahan dan impak positif kepada masyarakat dan pemegang taruh dalam mencari maklumat khususnya berkaitan hukum-hakam agama akan sentiasa ditambah baik demi penyampaian maklumat dan perkhidmatan dengan lebih sempurna. JMWP yang diamanahkan untuk mengurus hal-hal yang berkaitan dengan hukum dan fatwa serta juga beberapa aspek pentadbiran agama Islam di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) akan berusaha memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan sebaiknya. Sebahagian perkhidmatan itu dapat diakses melalui laman web JMWP.
Justeru, dalam meneruskan Visi dan Misi JMWP pembangunan laman web ini ini akan menjadi saluran lebih mudah dan cekap dalam penyampaian ilmu dan perkongsian maklumat seterusnya dapat membantu menyelesaikan persoalan yang timbul khususnya di kalangan masyarakarat Islam di Wilayah Persekutuan. Penampilan imej baru laman web ini, membolehkan JMWP menyampaikan penerangan dan kefahaman Islam kepada masyarakat dengan lebih efektif dan mesra pengguna.
Antara penambahbaikan yang dilaksanakan kali ini ialah pengaktifan dwi bahasa ke dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Ini adalah dalam rangka usaha JMWP untuk melebar luaskan akses kepada capaian yang lebih luas dan juga dikenali di persada antarabangsa.
JMWP memberi komitmen yang tinggi untuk mengemaskini laman web ini dari semasa ke semasa bagi memastikan perkhidmatannya dapat disalurkan dengan cekap. Bagi memastikan kejayaan komitmen ini JMWP bersikap terbuka untuk menerima sebarang komen yang membina melalui saluran-saluran yang disediakan.
JMWP akan terus bekerja untuk negara dan rakyat bagi merealisasikan maqasid ibadat (tadayun) dan imarah bagi kelestarian fatwa dan institusinya.
Akhir kalam, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pembangunan dan penambahbaikan laman web ini. Semoga usaha ini diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Sekian.
S.S. Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil
Mufti Wilayah Persekutuan