Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-142: MAQASID SYARI’AH DAN HIFZ AL-DIN: SATU PENJELASAN

 

Mukadimah

Kami mengambil maklum akan timbulnya isu kenyataan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Mujahid Yusof Rawa[1] baru-baru ini yang menyatakan bahawa maksud Maqasid Syari’ah Hifz al-Din (حفظ الدين) (memelihara agama) bukan bermaksud menjaga agama Islam sahaja, tetapi menjaga semua agama atas dasar Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin.

Kami juga mengambil maklum penjelasan YB Menteri yang merungkai kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam bahawa yang beliau maksudkan ialah memelihara kebebasan beragama dan menjaga hak penganut agama lain untuk beragama secara aman damai di bawah prinsip لكم دينكم ولي دين dan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia sekaligus menafikan tohmahan bahawa beliau mempromosi fahaman pluralisme yang menyamaratakan semua agama.

Atas dasar tanggungjawab, kami mengambil sedikit masa untuk memberi penjelasan dan merungkai segala kekusutan berkenaan konsep Maqasid Syariah, memelihara agama (hifz al-din) dan juga prinsip kebebasan agama menurut neraca Islam.

Definisi Maqasid Syari’ah

Dari sudut bahasa, Maqasid adalah merupakan kata jamak daripada maqsad dan maqsid (المقصد)  dari perkataan qasada (قصد) dalam bahasa Arab yang bermaksud menuju ke suatu arah. Manakala syariat membawa maksud tempat terbit air yang menjadi sumber minuman, jalan, apa yang disyariatkan Allah dari aspek akidah dan hukum, agama dan pandangan mazhab yang jelas dan lurus.

Adapun Maqasid Syari’ah dari sudut istilah, maka para ulama’ telah mengemukakan definisi yang pelbagai, antaranya ialah:

  • ‘Allamah Muhammad Thahir ibn ‘Asyur menyebut: “Makna-makna dan hikmah-hikmah yang diambil perhatian oleh Syarak dalam keseluruhan atau sebahagian besar situasi penurunan syariat yang tidak mengkhusus kepada mana-mana hukum Syarak yang tertentu.” [2]
  • Manakala Syeikh ‘Allal al-Fasi pula mentakrifkannya sebagai: “Tujuan-tujuan syariat serta rahsia-rahsianya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT pada setiap hukum-hakam.” [3]
  • Ahmad ar-Raysouni pula berpandangan Maqasid Syari’ah merupakan: “Tujuan-tujuan yang telah ditetapkan oleh syari’at bagi merealisasikan kemaslahatan manusia.” [4]

Kesimpulannya, takrif Maqasid Syari’ah berdasarkan ketiga-tiga takrif diatas secara umumnya boleh disimpulkan sebagai:

Tujuan, makna dan hikmah yang telah ditetapkan oleh Syari’at Islam dalam hukum-hakam yang disyariatkan serta rahsia disebaliknya dengan tujuan untuk merealisasikan kemaslahatan manusia.

Pengetahuan tentang Maqasid Syari’ah merupakan satu perkara yang amat diambil berat oleh para ulama. Bagi Imam al-Haramain al-Juwainiy, barangsiapa yang tidak memahami kewujudan maqasid dalam perintah-perintah dan larangan-larangan syara’, maka ia tidak memiliki pandangan yang jelas dan benar tentang syariah. (Lihat Al-Burhan fi Usul al-Fiqh, 1/101) Menurut Imam Syathibi pula, penguasaan terhadap Maqasid Syariah merupakan salah satu syarat untuk berijtihad. (Lihat Al-Muwafaqat. 5/41)

 

Al-Dharuriyyat al-Khams

Pemeliharaan terhadap maslahah manusia terangkum di bawah lima kategori utama yang mesti dipelihara. Imam al-Shatibi berkata:

فَأَمَّا الضَّرُورِيَّةُ،  فَمَعْنَاهَا: أَنَّهَا لَا بُدَّ مِنْهَا فِي قِيَامِ مَصَالِحِ الدِّينِ وَالدُّنْيَا، بِحَيْثُ إِذَا فُقِدَتْ لَمْ تَجْرِ مَصَالِحُ الدُّنْيَا عَلَى اسْتِقَامَةٍ بَلْ عَلَى فساد وتهارج وَفَوْتِ حَيَاةٍ، وَفِي الْأُخْرَى فَوْتُ النَّجَاةِ وَالنَّعِيمِ، وَالرُّجُوعُ بِالْخُسْرَانِ الْمُبِينِ

Maksudnya: Adapun dharuriyyah, maksudnya ialah sesuatu yang mesti ada dalam membina maslahat agama dan dunia. Tanpa kewujudan kepentingan-kepentingan asas ini, maka urusan kehidupan dunia tidak akan berjalan dengan betul. Tetapi ia akan rosak, kacau bilau serta kehidupan akan musnah. Manakala pada kehidupan akhirat, hilangnya kesejahteraan dan kenikmatan dan kembali dengan kerugian yang nyata. (Lihat al-Muwafaqat, 2/17)

Imam al-Mahalli pula berkata:

وَهُوَ مَا تَصِلُ الْحَاجَةُ إلَيْهِ حَدَّ الضَّرُورَةِ

Maksudnya: “(al-Dharuriy) ialah sesuatu yang sangat diperlukan sehingga sampai ke tahap terdesak, terpaksa dan tidak dapat dielakkan.” (Lihat Syarh Jam’ al-Jawami’, 2/132)

Menurut Ibn ‘Ashur, maqasid daruriyyah adalah maslahat yang sangat penting untuk didapatkan bagi umat secara keseluruhan dan individu, di mana peraturan akan cacat tanpanya. Apabila ia tidak dilaksanakan, maka keadaan umat akan rosak dan kacau bilau. (Lihat Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah oleh Ibn ‘Ashur, hlm. 219)

Dr Wahbah al-Zuhaily pula menyebutnya sebagai: Maslahat yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia sama ada keagamaan atau keduniaan. Apabila ia hilang, maka kehidupan dunia akan cacat, kerosakan akan menyebar luas dan kebahagiaan abadi (di akhirat) akan hilang. Sebagai gantinya iaitu hukuman di akhirat. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh al-Zuhaily, hlm. 1020)

Pembahagian al-Dharuriyyat al-Khams

Pembahagian dharuriyyat al-khams ini pertama kali digunakan oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazaliy. Beliau berkata:

وَمَقْصُودُ الشَّرْعِ مِنْ الْخَلْقِ خَمْسَةٌ : وَهُوَ أَنْ يَحْفَظَ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ وَنَفْسَهُمْ وَعَقْلَهُمْ وَنَسْلَهُمْ وَمَالَهُمْ، فَكُلُّ مَا يَتَضَمَّنُ حِفْظَ هَذِهِ الْأُصُولِ الْخَمْسَةِ فَهُوَ مَصْلَحَةٌ ، وَكُلُّ مَا يُفَوِّتُ هَذِهِ الْأُصُولَ فَهُوَ مَفْسَدَةٌ وَدَفْعُهَا مَصْلَحَةٌ

Maksudnya: Maksud Syarak untuk makhluk lima perkara iaitu: Memelihara mereka berkenaan dengan Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta. Setiap satunya mengandungi pemeliharaan asas yang lima ini, iaitu maslahat. Dengan luputnya satu daripadanya, maka ia membawa kepada mafsadah. (Lihat al-Mustasfa, 1/483)

Imam al-Syatibi pula berkata:

فَقَدَ اتَّفَقَتِ الْأُمَّةُ - بَلْ سَائِرُ الْمِلَلِ - عَلَى أَنَّ الشَّرِيعَةَ وُضِعَتْ لِلْمُحَافَظَةِ عَلَى الضَّرُورِيَّاتِ الْخَمْسِ، وَهِيَ: الدِّينُ، وَالنَّفْسُ، وَالنَّسْلُ، وَالْمَالُ، وَالْعَقْلُ ـ وَعِلْمُهَا عِنْدَ الْأُمَّةِ كَالضَّرُورِيِّ

Maksudnya: Sesungguhnya umat ini telah bersepakat – bahkan semua agama – bahawa sesungguhnya Syari’at diturunkan demi menjaga dharuriyyat yang lima iaitu: agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Dan pengetahuan tentangnya di sisi umat Islam adalah seperti perkara yang dharuri. (Lihat al-Muwafaqat, 1/38)

Penjelasan Hifz al-Din

Salah satu perkara dharuriy yang menjadi agenda utama Maqasid Syari’ah ialah memelihara agama iaitu Hifz al-Din. Istilah ini merupakan gabungan (murakkabah) antara dua perkataan iaitu hifz (menjaga / memelihara) dan juga al-Din (agama).

  • Ta’rif al-Din

Dari sudut bahasa, al-din bermaksud ketaatan dan kepatuhan (الطاعة والانقياد). Adapun al-din dengan konsep umum bermaksud apa yang diyakini dan dipercayai oleh manusia dari perkara-perkara yang ghaib dan boleh disaksikan.

Manakala al-din dengan konsep khusus pula bermaksud menyerah dan patuh kepada Allah swt. Dan al-din juga bermaksud agama Islam dan aqidah tauhid, yang merupakan agama semua para rasul dari Adam dan Nuh hinggalah kepada penutup segala Nabi Muhammad saw. [Lihat Mausu’ah al-Milal Wa al-Adyan , 5/1]

Al-Imam Al-Jurjani pula berpandangan, agama merupakan satu sistem ketuhanan yang menyeru orang-orang berakal kepada menerima apa yang dibawa oleh Nabi SAW. [Lihat at-Ta’rifat, 105]

Asas bagi teori hifz al-din ini dapat dicerap melalui ayat-ayat al-Qur’an yang terlalu banyak membicarakan tentang agama. Hifz al-Din merupakan salah satu dharuriyyat yang lima, dimana ia perlu dijaga oleh setiap orang yang mengaku sebagai Islam dan mukmin. Suruhan kepada Ubudiyyah atau mentauhidkan Allah SWT itu sendiri sebagai pencipta amat jelas di dalam al-Quran dan dilihat sebagai salah satu maqasid al-syariah. Perkara ini boleh dilihat menerusi firman Allah SWT dalam ayat berikut:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

(Surah al-Zariyaat: 56)

Imam al-Qurtubi menyatakan, ayat ini menyuruh manusia dan jin untuk mentauhidkan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa. Beliau menukilkan kata-kata Ali R.A, Allah SWT tidak menciptakan manusia dan jin kecuali untuk menyuruh mereka (manusia dan jin) beribadat.  (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 17/55). Nas al-Quran di atas menjelaskan kepada kita berkenaan pengabdian dan perhambaan diri kepada pencipta adalah satu maqasid yang dituntut. Namun begitu, cara pengabdian dan perhambaan mengikut acuan atau cara hidup bagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT?

Dalam Tafsir al-Baghawi menyebut agama yang diredai lagi sahih di sisi Allah SWT mengikut maqasid ialah agama Islam. (Rujuk Tafsir al-Baghawi, 1/399)

Firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

(Surah Ali-Imran : 19)

Imam Abu Hayyan menjelaskan perkataan al-Din ini bermaksud agama dan syarak. Dimana agama yang diterima di sisi Allah SWT atau memberi manfaat di sisi Allah SWT serta diperakui Allah Allah SWT. (Rujuk Tafsir al-Bahr al-Muhit, 3/171) Imam al-Qurtubi menukilkan kata-kata al-A’masy, “Dan aku bersaksi dengan apa yang diperakui oleh Allah SWT dengannya, dan aku meyakini Allah SWT dengan penyaksian ini. (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 4/42)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni menyebut agama yang diterima disisi Allah SWT adalah agama Islam dan tiada agama yang diredai oleh Allah SWT kecuali Islam. (Rujuk Sofwah al-Tafasir, 1/121)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti menyebut kalimah (الدِّينَ) al-Din yang dimaksudkan pada ayat ini ialah ketaatan hamba kepada Allah SWT dengan melaksanakan setiap suruhanNya serta meninggalkan setiap yang yang dilarang olehNya. (Rujuk Adhwa’ al-Bayan, 17/115)

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam menafsirkan ayat ini menyebut, “Agama yang diredai atau diterima adalah agama Islam dimana syariat yang diutuskan dengannya nabi-nabi dan rasul yang dibina atas dasar tauhid.” (Rujuk Tafsir al-Munir, 3/177)

Qatadah menafsirkan ayat di atas, “ Bersaksikan bahawa tiada tuhan selain Allah SWT, dan mengaku setiap apa yang datang daripada Allah SWT, iaitu agama Allah yang Allah SWT sendiri yang mensyariatkannya dengan diutuskan bersama agama tersebut rasul-rasul yang bermukjizat serta tidak menerima selainnya (agama Islam) dan tidak menjadikan (syariat-syariat lain) sebagai pegangan hidup. (Rujuk Tafsir al-Baghawi, 1/400)

Syeikh Abdul al-Qadir al-Jailani menyatakan, “(Agama Islam) syariat yang lurus, diterima serta diredai oleh Allah SWT yang menjadi petunjuk untuk hamba-hamba kepada jalan petunjuk. Agama Islam diturunkan oleh Allah SWT kepada sebaik-baik makhluk iaitu Saidina Muhammad SAW.” (Rujuk Tafsir al-Jailani, 1/262)

وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya: “Dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

(Surah al-Maidah : 3)

Imam al-Baydhawi mengatakan, “Allah SWT telah memilih untuk semua makhluknya agama (Islam) diantara agama-agama yang ada untuk diterima disisi Allah SWT dan bukan yang lain.”  (Rujuk Tafsir al-Baydhawi, 1/326) , (Tafsir Tafsir al-Bahr al-Muhit, 3/441)

Menurut al-Maraghi, Allah SWT telah memilih sebuah agama untukmu antara agama-agama yang lain dan aku telah beritahukan kepadamu bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama yang diredai olehKu sebagaimana firmanNya:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya.”

(Surah Ali-Imran : 85. Rujuk Tafsir al-Maraghi, 3/1486)

Imam Abu Hayyan menyatakan, “Semua syariat-syariat yang ada telah ditolak kecuali syariat (Islam) yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sahaja.” (Tafsir al-Bahr al-Muhit, 1/310). Menurut Imam al-Sobuni pula, “Sesiapa yang mencari syariat selain syariat Islam, selepas diutuskan Nabi SAW untuk dijadikan syariatnya, maka tidak akan sesekali diterima oleh Allah SWT.” (Rujuk Sofwah al-Tafasir, 1/137)

Ibn Kathir menukilkan kata-kata Ibn Abbas R.A, “Sesungguhnya tidak diterima satu jalan pun atau perbuatan pun kecuali jalan atau perbuatan yang bertepatan dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW selepas diutuskannya, maka adapun sebelum dari itu, mestilah mengikut rasul-rasul yang diutuskan pada zamannya yang diberi wahyu dan jalan-jalan serta berjaya.” (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/132)

  • Hifz al-Din

Hifz al-Din ditakrifkan sebagai satu kaedah umum (kulliy) yang merangkumi penetapan rukun-rukun dan hukum-hakam agama dalam kehidupan dan kewujudan manusia, dan segala usaha ke arah menyanggahi segala perkara yang bertentangan dengan agama Allah SWT seperti kekufuran, bidaah dan sebagainya. Hifz al-din dianggap sebagai dharuriyyat yang paling penting di antara dharuriyyat khams. (Nuruddin Mukhtar al-Khadimi, ‘Ilm al-Maqasid al-Syar’iyyah, hal. 81)

Secara umumnya, konsep hifz al-din merangkumi dua dimensi, iaitu dimensi al-wujud (positif) dan dimensi al-‘adam (negatif). Antara contoh bagi dimensi al-wujud ialah pensyariatan iman, ibadah-ibadah rukun seperti solat, haji, puasa dan zakat. (Lihat Al-Muwafaqat, 2/18-19) Manakala contoh bagi dimensi al-‘adam pula seperti pensyariatan hukum hudud ke atas orang yang murtad dan hukuman ta’zir ke atas penyebar ajaran sesat dan menyeleweng.

Ijtihad Kontemporari Dalam Memahami Hifz al-Din

Namun terdapat juga para ulama’ kontemporari yang meluaskan cakupan konsep hifz al-din ini dan tidak lagi sekadar terikat dengan tafsiran-tafsiran lama.

Berkenaan isu memelihara kebebasan beragama dan hak penganut agama lain yang termasuk di bawah hifz al-din, kami dapati beberapa penulisan ulama’ Maqasid berkenaan hal tersebut:

  • ‘Allamah Ibn ‘Asyur telah membahaskan bahawa konsep hifz al-din perlu dikembangkan untuk mencakupi kebebasan beragama, dan menganggap ia merupakan salah satu prinsip asas agama Islam (hurriyyah al-i’tiqad) (Lihat Treatise on Maqasid as-Shari’ah, hlm. 160)
  • Syeikh Abdul Majid Najjar berpandangan di bawah kategori hifz al-din, banyak hukum-hakam yang disyariatkan bagi memelihara haqq at-tadayyun iaitu bagi memudahkan manusia untuk beragama. (Lihat Maqasid as-Syari’ah bi Ab’adin Jadidah, hal. 64-66)
  • Syeikh Muhammad az-Zuhaily pula telah meletakkan haq at-Tadayyun (hak untuk beragama) sebagai salah satu wasilah ke arah mencapai hifz al-din. (Lihat Huquq al-Insan mihwar Maqasid as-Syari’ah, hal. 84-86)

Selain itu, Dr. Jasser ‘Auda turut menyebut perkataan para ulama’ berkenaan konsep kebebasan beragama yang diletakkan di bawah hifz al-din, meskipun beliau sendiri tidak bersetuju dengan pembahagian tersebut. (Lihat Maqasid Syari’ah as Philosophy of Islamic Law, hlm. 22)

Perkembangan Ilmu Maqasid Syari’ah

Konsep Maqasid Syari’ah sebagai tujuan tertinggi syara’ tidaklah terhenti setakat lima dharuriyyat yang disebutkan di atas sahaja. ‘Allamah Ibn ‘Asyur sebagai contoh telah memasukkan kebebasan dan kesetaraan sebagai antara Maqasid Syari’ah umum.

Namun demikian, sebahagian ulama’ kontemporari pula tidak bersetuju dengan usaha untuk memasukkan konsep-konsep baharu ke dalam Maqasid Syari’ah seperti keadilan dan kebebasan, dan menekankan bahawa konsep-konsep tersebut telah terangkum secara implisit dan tidak langsung dalam teori Maqasid klasik.

Pemeliharaan ‘aqal sebagai contoh tidak lagi terhad kepada pengharaman minuman yang memabukkan, tapi dikembangkan kepada konsep seperti menghapuskan minda tertawan / terjajah, membina pemikiran saintifik dan galakan berkelana dalam menuntut ilmu. Pemeliharaan harta pula dikembangkan daripada pensyariatan hudud ke atas pencuri kepada pembangunan ekonomi dan merapatkan jurang kekayaan antara golongan kaya dan miskin. (Jasser ‘Auda, Maqasid Syari’ah as Philosophy of Islamic Law, hlm. 22)

Kebebasan Beragama Sebagai Khasa’is, bukan Maqasid Syari’ah[5]

Perbahasan toleransi (samahah) Islam dengan agama lain perlu diletakkan pada tempat yang betul. Ia termasuk dalam bab Khasa'is (ciri-ciri dan keistimewaan) al-Shari'ah, bukan Maqasid al-Shari'ah.

Maqasid al-Shari'ah itu matlamat syariat Islam diturunkan, umumnya demi memelihara maslahah hamba di dunia dan di akhirat. Ia terzahir menerusi dharuriyyat al-khams yang telah dibahaskan di atas. Khasa'is al-Shari'ah pula adalah ciri-ciri syariat seperti komprehensif (syumul), adil, toleransi (samahah), sederhana (wasatiyyah) dan realistik (waqi'iyyah).

Ertinya, Maqasid al-shari'ah & khasa'is al-shari'ah itu merupakan dua perbahasan yang berbeza. Namun begitu, perbahasan khasa'is al-shari'ah tetap tertakluk kepada Maqasid al-shari'ah dan tidak boleh terkeluar daripadanya.

Oleh itu, isu samahatul Islam atau toleransi Islam dengan agama-agama lain perlu dibahas dalam bab Khasa'is al-Shari'ah bukan Maqasid al-Shari'ah. Namun, ia tetap diikat dengan Maqasid al-Shari'ah agar toleransi yang dianjurkan tidak sampai menggugat objektif pertama dlm Maqasid al-Shari'ah iaitu memelihara agama Islam (hifz al-din).

Siyasah Syar’iyyah Dalam Memelihara Kebebasan Beragama

Hak beragama dianggap sebagai salah satu hak asasi bagi manusia. Ianya dianggap sebagai salah satu yang paling penting selepas dari hak untuk hidup. Oleh sebab itu kita dapat lihat sebagai contoh di sebalik suruhan dan seruan jihad, ia pada asalnya bukan sahaja untuk mempertahankan agama bahkan ianya adalah wasilah untuk mempertahankan dan menjamin kebebasan beragama yang dianuti oleh penduduk di kawasan yang terlibat. Ini dibuktikan melalui sejarah apabila Islam melarang untuk membunuh para wanita, kanak-kanak dan mereka yang tidak turut serta di dalam peperangan. Ianya adalah satu jaminan agar penduduk di kawasan tersebut dapat menjalani hidup menurut akidah dan pegangan mereka.

Kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah :

“Yang dimaksudkan dengan peperangan itu adalah jihad dengan maksud untuk meninggikan kalimah Allah. Sesiapa yang menghalangnya maka dia diperangi. Adapun mereka  yang tidak turut serta memerangi seperti wanita, kanak-kanak, rahib, orang tua dan buta maka mereka ini tidak boleh diperangi di sisi jumhur ulama. Walaupun ada yang berpandangan bahawa harus dibunuh kerana semata-mata mereka itu orang yang bukan Islam kecuali kanak-kanak dan wanita. Akan tetapi pandangan pertama adalah lebih tepat kerana kita berperang dengan orang yang memerangi kita.”(Rujuk al-Siyasah al-Syar’iyyah Fi Islah al-Ra’I wa al-Ra’iyah, 1/159)

Maka kita dapat fahami kebebasan diberikan kepada mereka yang tidak turut serta di dalam peperangan memerangi Islam. Ianya bukan sahaja meliputi kebebasan untuk hidup bahkan kebebasan untuk menganut agama dan kepercayaan mereka juga dijamin dan tidak boleh disentuh.

Kebebasan beragama sangat berkait rapat dengan akal dan pemikiran. Ianya melibatkan kemahuan dan pilihan manusia itu sendiri. Ini kerana akidah dan kepercayaan lahir dari hati. Tiada siapa yang dapat mengubahnya melainkan Allah swt.

Justeru, apabila kita meneliti beberapa nas al-Quran, kita akan dapati secara jelas bahawa kebebasan beragama dinyatakan dan dalam masa yang sama ia juga memberi peringatan tentang kesesatan dan kerosakan yang berlaku.

Antaranya firman Allah swt :

لَآ إِكْرَاهَ فِى ٱلدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشْدُ مِنَ ٱلْغَىِّ

Maksudnya :” Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

(Surah al-Baqarah : 256)

Ini memberi kita satu kefahaman bahawa tentang beberapa perkara. Pertama, Islam memberi jaminan akan kebebasan beragama. Yang kedua, tiada paksaan di dalam beragama. Dan yang ketiga, Islam menjelaskan bahawa di sana adanya toleransi bersama penganut agama lain. Kesemua ini adalah bertitik tolak melalui prinsip-prinsip berikut :

  1. Kebebasan beragama bagi orang bukan Islam

Islam tidak pernah memaksa orang yang berakal dan sudah mencapai umur baligh untuk masuk Islam. Dalam masa yang sama, kita meyakini bahawa Islam adalah agama yang benar. Ia adalah ajaran yang menepati akal. Akan tetapi, pilihan diberikan kepada seorang individu untuk menentukan agama apa yang dia mahu anuti dan menanggung segala kesannya hasil dari pilihannya. Ini berdasarkan firman Allah swt:

لَآ إِكْرَاهَ فِى ٱلدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشْدُ مِنَ ٱلْغَىِّ فَمَن يَكْفُرْ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤْمِن بِٱللَّـهِ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا ۗ وَٱللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah : 256)

Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah yang lain :

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِى ٱلْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنتَ تُكْرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ

Maksudnya :”Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman.”

(Surah Yunus : 99)

Firman Allah lagi :

لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَىٰهُمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّـهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ                         

Maksudnya: “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya).”

(Surah al-Baqarah: 272)

Ini memberi makna hidayah dan petunjuk adalah milik Allah semata-mata. Para rasul, ulama dan pendakwah hanyalah sebagai penyampai, penasihat dan pemberi peringatan. Ini adalah satu manifestasi daripada firman Allah swt :

فَذَكِّرْ إِنَّمَآ أَنتَ مُذَكِّرٌ ﴿٢١﴾ لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُصَيْطِر

Maksudnya : “Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).”

(Surah al-Ghashiyah: 21-22)

Oleh itu, Islam memberi kebebasan kepada individu untuk memilih anutan dan pegangannya. Ini kerana asas bagi iman adalah mengakuinya di dalam hati. Tidak cukup hanya sekadar melafazkannya atau hanya menjalankan ibadah-ibadah khusus. Walaupun begitu, al-Quran mengajak untuk menggunakan akal  dan memerah pemikiran untuk mencari kebenaran sehinggalah ia mampu untuk mengenal Penciptanya yang sebenar.

  1. Menghormati rumah ibadat penganut agama lain

Salah satu cara Islam menghormati kebebasan beragama yang dipilih oleh individu adalah dengan tidak mengganggu dan membenarkan penganut bukan Islam untuk mempraktikan agama mereka. Islam juga memerintahkan agar rumah-rumah ibadat tersebut tidak diganggu gugat bahkan melarang orang Islam dari menghancurkan atau merosakkan rumah ibadat orang bukan Islam. Sama ada ketika peperangan atau luar peperangan. Ini dapat dilihat melalui sorotan sejarah. Sebagai contoh, ketika Umar sampai ke Baitul Maqdis, beliau melarang agar jangan dirosakkan atau dihancurkan rumah-rumah ibadat bukan Islam. Lebih realiti lagi, kita akan dapati tempat-tempat bersejarah yang dahulunya menjadi tempat ibadah orang bukan Islam yang berada di wilayah orang Muslim kekal sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan bahawa terdapat kebebasan beragama yang diperuntukkan oleh Islam.

Firman Allah SWT:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّـهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّـهِ كَثِيرًا

Maksudnya: “...Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya...”

(Surah al-Haj: 40)

Imam al-Maraghi menjelaskan, sekiranya Allah SWT tidak mensyariatkan kepada para nabi dan kaum mukminin agar memerangi musuh dan menegakkan landasan agama, nescaya orang musyrik akan menguasai dan menghancurkan semua tempat peribadatan. Tempat peribadatan yang dimaksudkan ini ialah, rumah ibadah para pendeta, gereja bagi orang nasrani, tempat ibadah orang yahudi dan masjid kaum muslimin. Sekiranya tidak kerana penolakan daripada Allah SWT ini, nescaya pada zaman Nabi Musa A.S gereja telah dihancurkan, pada zaman Nabi Isa A.S biara dan rumah ibadah rumah ibadah telah dirobohkan, dan pada masa Nabi Muhammad S.A.W masjid telah dimusnahkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4564-4565)

  1. Interaksi secara kemanusiaan bersama orang bukan Islam.

Islam menuntut penganutnya agar berinteraksi dengan orang bukan Islam dengan akhlak yang baik, terpuji, berkongsi rasa kemanusiaan dengan penuh rahmat dan ihsan. Ia adalah satu cara yang memberi kesan yang amat besar. Bermula dengan berbuat baik kepada ibu bapa yang bukan Islam, berlaku ihsan terhadap tawanan sehinggalah berlaku baik kepada jiran-jiran yang bukan Islam.

Rasulullah SAW pernah menziarahi ahli kitab, menghormati mereka, melawat mereka apabila mereka sakit, dan bermacam lagi contoh yang boleh dijadikan ikutan oleh Muslim pada hari ini. Ia juga adalah cara dakwah yang paling efektif.

Islam menegaskan bahawa keadilan adalah untuk semua tanpa mengira bangsa, warna kulit, jantina atau agama. Ini ditegaskan oleh Allah melalui firmannya:

يَـٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا قَوَّٰمِينَ لِلَّـهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ٱعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ  وَٱتَّقُوا ٱللَّـهَ إِنَّ ٱللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Ma’idah: 8)

Rasulullah juga menegaskan di dalam sabda Baginda bahawa orang bukan Islam yang tidak memerangi Islam perlu dilayan dengan baik. Nabi SAW bersabda :

ألاَ مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا ، أَوِ انْتَقَصَهُ ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya : ”Ketahuilah, sesiapa yang menzalimi ‘Mu’ahid’, atau memperlecehkannya atau memberatinya dengan sesuatu di luar kemampuannya, atau mengambil sesuatu tanpa kerelaannya maka aku adalah peguamnya di hari kiamat kelak.”

Riwayat Abu Daud (3052)

Selain itu, penting juga untuk disebutkan bahawa prinsip-prinsip kebebasan beragama ini telah termaktub dalam Piagam Madinah, sebuah perlembagaan bertulis yang menjadi asas pembentukan negara kota Madinah al-Munawwarah. Fasal 25 dokumen tersebut jelas menyatakan bahawa kaum Yahudi dari Bani Auf adalah satu ummah bersama orang mukmin, dan mereka bebas untuk beragama dengan agama mereka sendiri. Prinsip kebebasan beragama bukan sekadar menjadi sebutan di mulut, bahkan ia ditaqninkan dalam undang-undang dan direalisasikan melalui pengamalan.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah menekuni perbahasan berkenaan Maqasid Syari’ah dan dharuriyyah Hifz al-Din dari segi makna dan kehendaknya, maka kami berpendapat bahawa Hifz al-Din adalah bermaksud memelihara dan menjaga agama Islam.

Kami bersetuju dengan pandangan Dr. Jasser Auda, pakar rujuk Maqasid Syari’ah kontemporari yang berpandangan, kebebasan beragama tidak termasuk di bawah hifz al-din, tapi termasuk di bawah cakupan ayat ‘لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ dan dibahaskan dibawah siyasah syar’iyyah, tanpa menafikan terdapatnya ijtihad ulama’ kontemporari yang meletakkan kebebasan beragama di bawah hifz al-din.[6]

Konsep kebebasan beragama tsabit dalam Islam melalui pelbagai ayat al-Qur’an, hadith dan sejarah Islam, sepertimana yang telah diputuskan oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan pemimpin umat Islam apabila mereka melakukan perjanjian dengan penduduk negeri yang telah dibuka seperti perjanjian Saidina Umar dengan penduduk Iliya’. Begitu juga perjanjian Khalid al-Walid dengan penduduk Anat yang telah disebut oleh Abu Yusuf dalam kitabnya al-Kharaj. (Lihat al-Kharaj, hlm. 146)

Tiada berlaku dalam mana-mana tempoh zaman pemerintahan Islam yang memaksa golongan non-Muslim untuk meninggalkan agamanya atau menegah mereka daripada melaksanakan urusan syiar agamanya selagi tidak mengganggu dan memberi ancaman terhadap umat Islam.

Ini menepati apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW berkenaan penduduk Najran. Antara ucapan Baginda SAW ialah:

...عَلَى أَنْ لاَ تُهْدَمَ لَهُمْ بَيْعَةٌ ، وَلاَ يُخْرَجَ لَهُمْ قَسٌّ ، وَلاَ يُفْتَنُوا عَنْ دِينِهِمْ مَا لَمْ يُحْدِثُوا حَدَثًا...

Maksudnya: ..agar tidak diroboh biara mereka, tidak dikeluarkan atau dihalau pendeta dan paderi mereka serta tidak difitnahkan mereka atas agama mereka selama mana mereka tidak melakukan sesuatu yang menggugat keamanan…

Riwayat Abu Daud (3041)

Satu kaedah yang masyhur yang terdapat dalam kaedah umum pada hak golongan bukan Islam yang wajib dihormati dan dipelihara:

لهم ما لنا، وعليهم ما علينا

Dr Muhammad Syahat al-Jundi, Profesor Syariah Islamiah dan anggota Majma' Buhuth al-Azhar berkata: "Semua hak orang bukan Islam sama seperti hak orang Islam. Makanya fuqaha' Islam telah menyebut hak ini dalam kaedah ini iaitu: Bagi mereka sebagaimana yang kita dapat daripada hak dan kebebasan dan ke atas mereka dari kewajipan sebagaimana ke atas kita.”

Kebebasan beragama yang diangkat oleh Islam juga tidaklah bermakna Islam memelihara agama syirik dan kufur, namun kebebasan tersebut adalah bagi memelihara kesatuan masyarakat berbilang agama dan bangsa, sebagaimana yang amat ditekankan oleh konsep fiqh at-ta’ayush as-silmiy.

Kebebasan beragama dan menghormati hak penganut agama lain pula tidaklah bermakna memberikan layanan sama rata kepada setiap agama. Keadilan bererti memberikan hak kepada yang berhak dan pada kadar yang tepat. Kata Syeikh ‘Abdul Qadir ‘Audah, jika persamaan semuanya di antara yang bersamaan maka ia adalah keadilan. Sebaliknya, jika persamaan semuanya di antara yang berkhilaf dalam akidah maka ia adalah kezaliman yang melampau. (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i fi al-Islam, 1/332)

Berdasarkan perbahasan para ulama’ juga, kami berpandangan pemeliharaan kebebasan beragama boleh dianggap secara tidak langsung sebagai wasilah untuk mencapai maqasid memelihara kesucian, keagungan dan kehormatan agama Islam. Agama Islam dipandang mulia apabila ia meraikan kebebasan beragama, dan suasana kebebasan beragama yang harmonis juga akan memberi persepsi yang positif dalam kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam.

Wallahua’lam.

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

13 Zulkaedah 1439H bersamaa 26 Julai 2018

 

 

Nota Hujung

 

[1] Alhamdulillah kami sempat meneliti kertas kerja tulisan YB Dato’ Dr. Mujahid pada 25/7/2018 bertajuk Fiqh Siyasi Manhaj Malysia: Suatu Penerokaan Awal dan sempat mendengar pembentangan YB Menteri sendiri dalam satu wacana tertutup yang melibatkan ilmuan-ilmuan terkemuka tanah air. Kertas kerja dan pembentangan YB Menteri amat membantu dalam menyiapkan artikel kami ini. Kami

[2]  Muhammad Thahir ibn ‘Asyur, 2012, Maqasid as-Syari’ah al-Islamiyyah, Darussalam, hal. 55

[3] ‘Allal al-Fasi, 1993, Maqasid as-Syari’ah wa Makarimuha, Darul Gharb al-Islamiy, hal. 7

[4] Ahmad ar-Raysouni, 1992, Nazhariyyatul Maqasid ‘indal Imam as-Syathibi, Ad-Dar al-‘Alamiyyah lil Kitab al-Islamiy, hal. 19

[5] Pandangan sahabat kami, SF Dr. Aizam Mas’ud, Ketua Unit Penyelidikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Pandangan ini kami petik daripada status Facebook beliau bertarikh 13 Julai 2018 dengan sedikit pindaan.

[6] Perbualan kami dengan beliau melalui aplikasi Whatsapp, pada 5 Julai 2018