Soalan: Apakah terdapat doa-doa seperti Ebola yang diajar oleh Rasulullah SAW berkaitan menolak wabak (EBOLA)?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan satu wabak penyakit yang dikenali dengan Ebola yang menyebabkan kematian. Hal ini berdasarkan sebuah kenyataan daripada sebuah akhbar harian Utusan Online yang bertarikh 28 Mei 2018:
“KUCHING 28 Mei - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menjelaskan bahawa seorang lelaki berbangsa Iban didapati pengsan disyaki akibat virus berbahaya di sebuah pasaraya di Sibu pada pukul 3.30 petang semalam yang tular di media sosial bukannya disebabkan virus Ebola.
Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Jamilah Hashim berkata, lelaki tersebut berasal dari Kapit merupakan pekerja yang balik bercuti dari Republik Demokratik Congo, Afrika pada 29 April lalu yang mana kawasan tempat kerjanya adalah bukan dari kawasan wabak Ebola.
Dalam masa yang sama, JKNS menasihatkan orang ramai yang pulang bercuti terutama dari negara-negara termasuk Afrika, sekiranya sakit diminta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di hospital atau klinik berdekatan dengan kadar segera.” [Lihat artikel penuh di: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tular-pesakit-pengsan-disyaki-bawa-virus-berbahaya-di-sibu-bukan-ebola-dr-jamilah-1.681162]
Definisi Virus Ebola
Penyakit virus Ebola (EVD) atau Demam berdarah Ebola (EHF) ialah penyakit yang menyerang manusia disebabkan oleh virus Ebola. Virus ini baru sahaja dikenalpasti dan dianggap sebagai suatu virus penyakit yang amat berbahaya di dunia. Ebola mudah berjangkit dan boleh membawa maut. Dalam 50%-90% kes jangkitan, penyakit ini mengakibatkan kematian, bergantung kepada jenis virus Ebola punca penyakit. Virus Ebola menyebabkan pesakit menjadi lemah, kekurangan air, lesu dan keliru. Tanda-tanda Ebola yang paling jelas merupakan pendarahan di seluruh tubuh dan di dalam badan. Kematian biasanya berlaku dalam masa 7 sehingga 16 hari disebabkan oleh kejutan dan kehilangan darah yang serius. [Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Penyakit_virus_Ebola]
Bagi menjawab persoalan di atas, di sini kami nukilkan beberapa doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar dijauhkan daripada perkara-perkara yang memudharatkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh sebahagian sahabat Nabi SAW. Antaranya:
- Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca:
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
(Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” [Riwayat Abu Daud (5088)] [Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’outh hadith ini adalah hasan]
- Daripada Abu Hurairah RA berkata:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ، قَالَ: أَمَا لَوْ قُلْتَ، حِينَ أَمْسَيْتَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ تَضُرَّكَ
Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta)” nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudharatkan kamu.” [Riwayat Muslim (2709)]
- Daripada Ibn Umar RA, bahawa aku mendengar Nabi SAW bersabda:
لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَعُ هَؤُلَاءِ الدَّعَوَاتِ، حِينَ يُمْسِي، وَحِينَ يُصْبِحُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa tersebut ketika petang dan pagi iaitu:
“اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
(Ya Allah aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat”. [Riwayat Abu Daud (5074)] [Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’outh sanad hadith ini adalah sahih]
Menurut Syeikh Abu al-Hasan al-Mubarakfuri maksud keselamatan (العافية) di dalam tersebut adalah keselamatan daripada perkara-perkara merosakkan agama serta kesusahan dunia. Dikatakan juga, keselamatan daripada penyakit-penyakit dan bala-bala. [Lihat: Mir’ah al-Mafatih, 139/8]
- Daripada Anas bin Malik RA berkata:
كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: Adapun Rasulullah berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
(Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak[1], gila, kusta[2] dan penyakit-penyakit yang buruk)”.” [Riwayat Abu Daud (1554)] [Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’outh sanad hadith ini adalah sahih]
Melihat kepada beberapa doa di atas, maka wabak ebola itu boleh dimasukkan ke dalam penyakit-penyakit yang buruk atau memudharatkan. Tambahan pula, kitab boleh sahaja berdoa dengan apa jua doa yang ingin kita panjatkan kepada Allah SWT dan tidak semestinya dengan bahasa Arab. Oleh itu, tidak menjadi satu kesalahan bagi seseorang yang ingin berdoa dengan sesuatu doa walaupun doa tersebut tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW. Selain itu, kita juga boleh beramal dengan doa-doa di atas kerana ia merupakan perisai buat kita agar dihindari daripada segala penyakit atau perkara-perkara yang tidak baik.
Penutup
Kesimpulannya, doa merupakan salah satu ibadah yang hebat kerana menghubungkan di antara hamba dan Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa ini terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran atau yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja walaupun sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah yang daripada Allah SWT dan Nabi SAW.
Selain itu juga, kita juga perlu meraikan adab-adab, syarat-syarat dan garis panduan di dalam berdoa agar doa yang dipanjatkan itu merupakan satu doa yang berkualiti tinggi. Akhirnya, semoga Allah SWT menyelamatkan kita daripada wabak ini dan wabak-wabak lain yang berbahaya serta mengurniakan keselamatan jua di dunia mahupun di akhirat. Amin.
Wallahua’lam
[1] SOPAK atau dalam bahasa perubatannya vitiligo merupakan sejenis penyakit kulit yang membuatkan penghidapnya mempunyai kulit bertompok-tompok putih yang tidak mempunyai pigmen.Kehadirannya dipercayai berpunca daripada masalah pigmentasi, yang mana sel-sel yang menghasilkan pigmen, iaitu melanosit, dirosakkan oleh auto antibody atau antibodi yang dihasilkan oleh pesakit itu sendiri.
[2] Penyakit kusta atau juga dikenali sebagai penyakit Hansen juga Leprosy, merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan Mycobacterium leprae. Nama penyakit Hansen datang daripada orang yang menjumpai Mycobacterium leprae, G. A. Hansen. Pengidap penyakit Hansen biasanya dipanggil pesakit kusta atau dalam bahasa Inggeris lepers, walaupun penggunaan istilah lepers semakin ditinggalkan kerana jumlah pesakit yang berkurangan dan sebagai mengelak stigma buruk yang dikaitkan dengan pesakit kusta.
Permulaanya ia merupakan penyakit granuloma kepada saraf periferi dan membran mukosa yang berada di trek pernafasan atas; kudis kulit adalah tanda awal luaran. Jika tidak dirawat atau dilengah-lengahkan rawatan, serangan kusta boleh jadi lebih progresif, menyebabkan kerosakan kekal pada kulit, saraf, otot dan mata. Berbanding cerita-cerita rakyat, kusta tidak menyebabkan seluruh bahagian badan jatuh, walaupun ia menyebabkan bahagian organ badan kebas atau menyebabkan penyakit dari jangkitan; perkara-perkara ini berlaku apabila sistem pertahanan tubuh semulajadi telah diserang oleh penyakit awal. Jangkitan kedua, boleh menyebabkan kehilangan tisu organ, menyebabkan jari dan ibu jari menjadi lebih pendek dan terbantut, disebabkan kartilej disedut oleh badan. [Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Penyakit_kusta]