Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1013: HUKUM MENYEMBELIH DUA EKOR KAMBING AQIQAH SECARA BERASINGAN

KAMBING AQIQAH.PNG

 

Soalan:

Bolehkah sekiranya kita ingin membuat aqiqah untuk bayi lelaki, kadar 2 ekor kambing itu dilakukan pada waktu berbeza? Sebagai contoh, seekor kambing pada bulan Januari dan seekor lagi pada bulan Ogos. Adakah keadaan tersebut dikira sebagai aqiqah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Yang sunnah ialah disembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki secara bersekali dan tidak terpisah, dan inilah yang lebih afdhal. Samurah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ غُلاَمٍ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ وَيُسَمَّى

Maksudnya: Anak lelaki di melalui aqiqah; sembelihan perlu dilakukan pada hari ketujuh, perlu diberikan nama, dan kepalanya perlu dicukur.

Sunan Ibn Majah (3285) dan Sunan Tirmidzi (1522)

Tsabit juga hadith daripada Ummu Kurz al-Ka’biyyah, katanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Hendaklah seorang anak lelaki ditebus dengan dua ekor kambing yang sama umur, manakala anak perempuan pula dengan seekor kambing.

                                                                       Sunan Abi Dawud (2834), Sunan Tirmidzi (1513) dan Sunan Ibn Majah (3282)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani sewaktu mensyarahkan hadith ini, sembelihan dua ekor kambing itu mestilah dibuat bersekali dan tidak boleh ditangguh salah satunya. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/592)

Adapun jika tidak mampu, maka hal itu dibolehkan, berdasarkan hadith Baginda SAW:

فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَدَعُوهُ

Maksudnya: Apabila aku memerintahkan kamu akan satu perkara, maka laksanakanlah ia semampu mungkin. Dan apabila aku melarang suatu perkara, maka hendaklah kamu jauhinya.

Sahih al-Bukhari (7288) dan Sahih Muslim (1337)

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang masyhur ada menyatakan:

إذا ضاق الأمر اتسع

Maksudnya: Apabila suatu perkara / keadaan menjadi sempit, maka ia diperluaskan.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, hukum asal sembelihan aqiqah bagi anak lelaki ialah dua ekor kambing dan disembelih dalam satu majlis. Namun jika tidak mampu atau ada halangan tertentu, maka tidak mengapa jika disembelih pada kesempatan dan hari yang lain, cuma ia kurang afdhal.

Inilah juga fatwa yang dikemukakan oleh beberapa ulama seperti Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syinqithi dan Syeikh Ibn Baz.

Wallahu a’lam.