اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-172: FIQH PENDAKIAN GUNUNG EVEREST

fiqh daki everest.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW, keluarga dan para sahabatnya serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.

Pada hari Isnin, 11 Mac 2019, kami dikunjungi oleh tetamu istimewa iaitu Encik Azim, pendaki gunung Everest yang telah sampai ke puncak pada 2016 yang lalu. Begitu juga bersamanya isteri beliau dan juga Encik Mursyid. Mereka membawa seribu satu macam hajat untuk bertanyakan kepada kami berkaitan feqah ketika mendaki Gunung Everest. Begitu juga kami merasa teruja mendengar pengalamannya dalam mendaki Gunung Everest yang penuh dengan cabaran dan liku-liku yang amat menarik.

Bagi menyahut permintaan sahabat kami dan didapati masih ada lagi ekspedisi mendaki Gunung Everest oleh rakyat Malaysia, makanya mereka bertanyakan kami hukum-hakam berkenaan dengan pendakian Gunung Everest membabitkan tayammum, wudhuk, mandi, solat, puasa dan juga doa-doa. Justeru kami rangkumkan jawapan kami dalam bentuk Bayan Linnas dengan tajuk Fiqh Pendakian Gunung Everest untuk manfaat semua yang berada dalam situasi seperti ini khususnya ketika ekspedisi pendakian Gunung Everest atau gunung-gunung yang lain.

Walaupun kami telah menjawab hukum mendaki Gunung Everest dalam Irsyad Al-Fatwa Ke-108: Hukum Mendaki Gunung Everest tetapi jawapan itu khusus kepada hukum mendaki dan sedikit mukadimah. Makanya, pada kali dalam Bayan Linnas, kami cuba untuk menyentuh secara lebih menyeluruh dalam isu pendakian ini yang berkait dengan hal ibadat kita.

Semoga ia memberi kefahaman yang baik kepada pendaki dan kita semua untuk sentiasa mengikut dan menghayati ajaran dan Syariat Islam. Amin.

 

Gunung Everest dan Sejarah Pendakiannya

Gunung Everest merupakan gunung tertinggi di dunia dengan ketinggian setinggi 8850 meter. Gunung Everest terletak di banjaran gunung Himalaya. Ia adalah gunung tertinggi di bumi (diukur dari paras laut). Radhanath Sikdar, juru ukur dan pakar matematik dari Bengal, merupakan orang yang pertama mengenal pasti Everest sebagai kemuncak tertinggi melalui kiraan trigonometri, pada tahun 1852. Gunung ini dianggarkan 8,850 m (29,035 kaki; hampir 5.5 batu) tinggi, walaupun terdapat variasi daripada segi ukuran (kerajaan Nepal tidak mengesahkan ukuran ini secara rasmi, ketinggian Everest masih dianggap 8,848 m).

Pada 6 Jun 1924, George Mallory dan Andrew Irvine dari United Kingdom, membuat cubaan ke puncak dari mana mereka tidak pernah muncul semula selepas itu. Pada tahun 1953, ekspedisi kesembilan British, diketuai oleh pegawai British iaitu John Hunt, datang ke Nepal. Hunt memilih dua pasukan pendaki untuk cuba sampai ke puncak. Pasangan pertama berpatah balik selepas keletihan yang teramat di gunung. Keesokan harinya, ekspedisi itu menjadi ekspedisi kedua dan terakhir bagi pasangan tersebut.

Puncak itu akhirnya dapat didaki pada jam 11.30 pagi pada 29 Mei, 1953 oleh pendaki dari New Zealand iaitu Edmund Hillary[1] dan Sherpa.

Pada 16 Mei, 1975 Junko Tabei telah menjadi wanita pertama untuk sampai ke puncak Everest manakala pada 25 Mei,2001, Erik Weihenmayer menjadi pendaki buta yang pertama untuk sampai ke puncak tersebut.

Sehingga penghujung musim mendaki pada tahun 2001, 1491 orang telah berjaya mendaki puncak tersebut dan hampir 172 orang pendaki yang telah maut. Tahun terburuk ialah pada 1996 di mana 15 orang telah maut semasa cuba mendaki untuk sampai ke puncak mana.

Keadaan puncak yang sukar didaki telah menyusahkan proses untuk membawa turun mayat di mana hampir semua mayat mereka yang telah terkorban dibiarkan di tempat asal kematian mereka dan sesetengahnya dapat dilihat dengan jelas dari kawasan pendakian yang biasa.

Kebanyakan pendakian menggunakan topeng oksigen dan tangki oksigen. Di atas kawasan melebihi 8000m (26,000 kaki); kawasan ini dikenali sebagai kawasan maut. Puncak Everest boleh didaki tanpa bantuan oksigen, namun ini memerlukan latihan kesihatan yang khas dan ia juga meningkatkan risiko kepada pendaki kerana manusia tidak dapat berfikir dengan betul apabila kekurangan oksigen. Cuaca, suhu yang rendah dan juga jurang-jurang yang berbahaya memerlukan tindakan yang cepat dan betul apabila ingin mendakinya.

Mohandas Nagappan (M. Nagappan) dan Magendran Moorthy (M. Magendran) merupakan warga Malaysia pertama yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 1997.[2]

  

Gunung dan Bukit-Bukau dalam Islam

Allah SWT berfirman:

وَالْجِبَالَ أَوْتَادًا

Maksudnya: Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya

Surah al-Naba’ (7)

Syeikh al-Maraghi berkata: Kami telah menjadikan gunung-ganang bagaikan pasak bagi bumi, agar muatannya tidak bergoncang. Andai kata tidak ada gunung sebagai pasaknya, nescaya bumi selalu bergoncang lantaran di perutnya terdapat bahan-bahan yang mendidih sehingga tidak ada hikmahnya sama sekali ia dihamparkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7389)

Allah SWT juga berfirman:

وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ

Maksudnya: Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?

Surah al-Ghasyiyah (19)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, menjadikannya terpasak kuat sehingga benar-benar kukuh dan teguh agar bumi berserta penghuninya tidak menjadi bergoncang. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim (terj), 8/459)

Allah SWT turut berfirman:

لَوْ أَنزَلْنَا هَـٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّـهِ ۚ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

Surah al-Hasyr (21)

Al-Sobuni menukilkan dari Hasyiyah Zadah dengan berkata: Kalaulah Kami ciptakan pada gunung-ganang itu akal dan dapat membezakannya sepertimana ciptaan Kami terhadap manusia, kemudian Kami turunkan ke atasnya al-Quran ini dengan janji baik dan buruknya nescaya ia khusyuk, takut dan hancur semata-mata kerana takutkan Allah dan gerun kepada-Nya. Inilah gambaran bagi menunjukkan agungnya al-Quran dan dahsyatnya kesan sehingga jika dikhitabkan kepada gunung yang sekalipun teguh dan kuat, nescaya kamu akan melihatnya merasa takut dan hancur disebabkan takutkan Allah. (Lihat Hasyiah Zadah ‘ala al-Baidhawi, 3/479)

Nabi SAW dalam satu ketika pernah menyebut berkenaan gunung Uhud. Daripada Abu Humaid RA, beliau berkata: Kami pulang bersama Rasulullah SAW dari peperangan Tabuk sehingga kami sudah tiba di Madinah, kemudian Nabi SAW bersabda:

هَذِهِ طَابَةُ، وَهَذَا أُحُدٌ، جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ

Maksudnya: “Ini adalah Kota yang baik. Dan ini adalah Uhud iaitu bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya.”

Riwayat al-Bukhari (4422)

Menurut Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (9/139-140) pendapat yang sahih dan terpilih dalam memahami makna hadith bahawa sesungguhnya bukit Uhud itu benar-benar mencintai kita ialah Allah SWT telah menjadikan padanya (Uhud) satu keistimewaan kepadanya sepertimana firman-Nya:

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّـهِ

Maksudnya: “Ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah.”

Surah al-Baqarah (74)

Hukum Aktiviti Mendaki Gunung

Islam merupakan satu agama yang amat mementingkan pemeliharaan nyawa dan keselamatan manusia. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya“...dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Surah Al-Baqarah (195)

Nabi SAW juga telah bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

MaksudnyaTidak boleh seseorang itu memberi kemudaratan atau membalas kemudaratan dengan kemudaratan.

Riwayat Ibn Majah (2332) dan Imam Malik dalam al-Muwatta’ (1234)

Aktiviti mendaki gunung adalah termasuk dalam salah satu daripada sukan yang lasak atau ekstrem. Sukan ekstrem seperti yang ditakrifkan oleh Cambridge Dictionary, merupakan sukan yang merbahaya dan pada masa yang sama menyeronokkan.

Para ulama telah membahaskan isu keterlibatan dalam sukan dan permainan yang merbahaya ini. Menurut Ibn ‘Abidin, salah seorang ulama besar mazhab Hanafi:

وَكَذَا يَحِلُّ كُلُّ لَعِبٍ خَطَرٍ لِحاذِقٍ تَغْلِبُ سَلَامَتُهُ ، كَرَمْيٍ لِرَامٍ ، وَصَيْدٍ لِحَيَّةٍ ، وَيَحِلُّ التَّفَرُّجَ عَلَيْهِمْ حِينَئِذٍ

Maksudnya“Dan demikian juga dibenarkan setiap permainan yang merbahaya bagi pemain mahir yang terjamin keselamatannya seperti pemanah/penembak atau pemburu ular, dan diharuskan juga menyaksikan mereka ketika itu.” (Lihat al-Dur al-Mukhtar, 6/404)

Namun para ulama juga telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi bagi mereka yang ingin terlibat dengan sukan-sukan yang merbahaya. Antaranya ialah:

  • Kemahiran dan kompetensi yang cukup. Hal ini tidak dapat dicapai melainkan dengan latihan secara intensif dan profesional dari pembimbing atau pelatih yang mahir. Dalam hal pendakian ini, perlu kepada bimbingan Sherpa dan latihan yang secukupnya.
  • Pemain sukan itu berkemungkinan besar adalah selamat. (Lihat Bughiyat al-Mushtaaq fi Hukm al-Lahw wa’l-La’b wa’l-Sibaaq, hlm. 156-157)

Nabi SAW juga pernah bersabda:

مَنْ بَاتَ عَلَى إِنْجَارٍ فَوَقَعَ مِنْهُ فَمَاتَ، بَرِئَتْ مِنْهُ الذِّمَّةُ، وَمَنْ رَكِبَ الْبَحْرَ حِينَ يَرْتَجُّ، يَعْنِي‏:‏ يَغْتَلِمُ، فَهَلَكَ بَرِئَتْ مِنْهُ الذِّمَّةُ

MaksudnyaJika seseorang tidur di atas bumbung yang tiada batu penghadang, kemudian jatuh dan mati, maka tiada seorangpun yang bertanggungjawab ke atasnya. Jika seseorang berlayar di lautan dalam keadaan bergelora dan kapalnya musnah, tiada seorangpun yang bertanggungjawab ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1194) dan Abi Daud (5041)

Imam Ibn Batthal ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa hadith ini membawa maksud orang tersebut tidak lagi berhak ke atas perlindungan Syarak, kerana dia sendiri yang menyebabkan kecelakaan tersebut ke atas dirinya sendiri. Dia tidak melindungi dirinya sendiri, maka dia tidak dilindungi oleh Syari’ah. (Lihat Syarh al-Bukhari, 5/89)

Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyatakan bahawa dalam mengembara di lautan, jika keadaan keselamatan mengizinkan, maka hukum di laut mahupun di darat adalah sama. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 6/88)

Menurut Dr. Muzammil H. Siddiqi, Presiden bagi Fiqh Council of North America, beliau menyatakan bahawa apa jua sukan yang dianggap sebagai membahayakan nyawa perlu dijauhi. Tapi jika sukan itu dianggap sebagai sukan lasak, dan ada langkah-langkah keselamatan yang diambil untuk melindungi nyawa pemainnya, maka ia dibolehkan. (Lihat https://archive.islamonline.net/?p=1242 )

Namun terdapat juga ulama yang mengharamkannya, seperti Syeikh Ibn ‘Uthaimin berdasarkan beberapa dalil, antaranya ialah firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ

Maksudnya“...dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.”

Surah al-Nisaa’ (29)

Maka apa sahaja yang membawa kepada kematian atau kemudaratan, maka ia adalah haram. Sepertimana kita dilarang memberi kemudaratan ke atas orang lain, kita juga dilarang memberi kemudaratan ke atas diri kita sendiri. (Rujuk Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 13/252)

Daripada nas-nas dan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa terdapat dua pandangan berbeza dalam isu ini, iaitu yang mengharuskan dan yang mengharamkan. Pandangan yang mengharamkan lebih bersifat berhati-hati dan menekankan dasar sadd al-zara’ie, iaitu menutup pintu-pintu kemudaratan, manakala pandangan yang mengharuskan pula lebih melihat kepada hukum asal keharusan hiburan, sukan dan permainan, selagimana aspek penjagaan keselamatan dititikberatkan.

Kami lebih cenderung kepada pandangan pertama, bahawa hukum terlibat dalam permainan dan sukan yang merbahaya adalah harus sekiranya segala langkah-langkah keselamatan telahpun diambil, dan mereka yang terlibat juga merupakan kalangan yang terlatih dan mempunyai kemahiran yang cukup, serta secara ghalib al-zhannya peserta yang terlibat akan terselamat.[3]

Justeru, kami katakan kepada mereka yang berminat dalam ekspedisi pendakian Gunung Everest atau mana-mana gunung hendaklah mempunyai pengetahuan yang secukupnya dalam bidang pendakian juga latihan-latihan dari mereka yang ditauliahkan untuk melaksanakan pendakian dengan lebih selamat.

Kami berpendapat, jika memenuhi syarat dan kriteria, ia adalah satu usaha yang baik dalam meneroka alam di samping dapat melaksanakan pelbagai bentuk penyelidikan yang akhirnya membawa manfaat kepada ummah dengan ilmu dan makrifat berkenaan dengan gunung dan di sebalik perintah untuk memerhati dan mengkaji gunung.

 

Hukum-Hakam Berkaitan Aktiviti Mendaki Gunung

Kami nyatakan di sini beberapa permasalahan hukum yang dikemukakan kepada kami, antaranya:

  • Wudhuk

Dalam keadaan sejuk yang melampau seperti suhu yang mencecah negatif 50 darjah celcius (-50˚), wudhuk boleh digantikan dengan tayammum. Ini kerana, ia boleh jadi membahayakan pada tubuh badan yang terdedah pada suhu yang ekstrem ketika itu.

Antara syarat tayammum seperti dalam kitab feqah mazhab Syafi’ie adalah dalam keadaan seperti takut menggunakan air kerana bimbang terkena penyakit, dan melambatkan proses penyembuhan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/299)

Pernah berlaku kepada Amr Ibn al-As dalam musafirnya yang telah berjunub sedangkan cuaca amat sejuk, dan dia tidak mampu untuk mandi, lantas dia bertayammum dan Nabi SAW mengiyakannya atas perbuatan tersebut.

Daripada Amru ibn al-As R.A, beliau berkata:

احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ فِي غَزْوَةِ ذَاتِ السُّلاَسِلِ فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلِكَ فَتَيَمَّمْتُ ، ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابِي الصُّبْحَ فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ : يَا عَمْرُو صَلَّيْتَ بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُبٌ ؟ فَأَخْبَرْتُهُ بِالَّذِي مَنَعَنِي مِنَ الاِغْتِسَالِ وَقُلْتُ إِنِّي سَمِعْتُ اللَّهَ يَقُولُ : {وَلاَ تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا} فَضَحِكَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا.

Maksudnya: Pada suatu malam yang sejuk, aku telah bermimpi basah ketika Peperangan Dzat al-Sulasil. Maka aku bimbang kalau aku mandi aku akan binasa, lantas aku bertayammum. Kemudian aku mengimami bersolat Subuh bersama sahabat-sahabatku. Mereka kemudian memberitahu perkara tersebut kepada Nabi SAW, lalu Baginda bertanya: “Wahai Amr! Apakah engkau solat bersama teman-temanmu sedangkan engkau masih berjunub?”. Lantas aku memberitahu Baginda apa yang menghalang aku daripada mandi dan aku berhujah bahawa aku mendengar Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kalian membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah tersangat kasih akan diri kamu.” (Surah al-Nisa, ayat 29) Maka Rasulullah SAW pun tertawa dan Baginda tidak berkata apa-apa.

Riwayat Abu Daud (334)

  • Berjunub seperti termimpi keluar air mani

Dalam menyelesaikan isu seperti ini, kami bawakan sebuah nas hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA, katanya: “Kami keluar bermusafir. Tiba-tiba seorang daripada kami terkena batu sehingga menyebabkan kepalanya luka. Kemudian dia mengalami mimpi (hingga keluar mani). Selepas terjaga dia bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Adakah kamu fikir ada keringanan bagiku untuk bertayammum?” Mereka menjawab: “Kami tidak mendapati keringanan bagi kamu kerana kamu mampu mendapatkan air.” Lalu dia pun mandi dan terus meninggal dunia. Apabila kami menemui Rasulullah SAW dan memberitahu Baginda, Baginda pun bersabda:

قَتَلُوهُ قَتَلَهُمُ اللَّهُ ، أَلَا سَأَلُوا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوا ، فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ، إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ وَيَعْصِرَ - أَوْ يَعْصِبَ ، شَكَّ مُوسَى - َعلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً، ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِرَ جَسَدِهِ

Maksudnya: “Mereka telah membunuhnya dan Allah akan membunuh mereka. Kenapakah mereka tidak bertanya sekiranya tidak tahu? Hanya dengan bertanya boleh menghilangkan keraguan. Sebenarnya memadai dia bertayammum dan membalut lukanya dengan kain perca, seterusnya menyapu air di atas balutan dan mandi ke seluruh badannya.”

Riwayat Abu Daud (336)

Oleh itu, harus bertayammum bagi menggantikan mandi wajib dan juga wudhuk jika berlaku keperluan yang diizinkan oleh Syarak.

 

  • Memakai khuf

Menyapu khuf dengan air adalah satu keringanan (رُخصَةٌ) yang harus bagi lelaki dan perempuan dalam semua keadaan, sama ada ketika musim panas atau sejuk, musafir atau mukim, dan ketika sihat atau sakit. Perbuatan ini adalah ganti membasuh kaki ketika berwudhu’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241)

Kami nyatakan terlebih dahulu maksud khuf dan gambarannya. Khuf ialah kasut kulit yang menutupi kaki hingga buku lali. Buku lali ialah tulang sendi yang timbul di antara kaki dengan betis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241)

Perbezaan kasut dan khuf ialah sifat khuf yang menutupi seluruh kaki melepasi buku lali di samping diperbuat daripada kulit yang tidak berlubang. Sedangkan kasut tidak semestinya seperti sifat khuf. Justeru, perlulah dilihat terlebih dahulu bagaimana bentuk dan sifat kasut itu. Jika sekiranya ia seperti khuf bahkan lebih daripada itu, seperti sebahagian daripada kasut tentera, maka ia boleh mengambil hukum khuf. Inilah pendapat sebahagian ulama seperti Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah.

Begitu juga, apa yang dimaklumkan kepada kami, kasut yang dipakai oleh pendaki juga menutup seluruh kaki, buku lali sehingga separa betis dengan kemas. (dapatan kami menunjukkan harga satu-satu kasut bermula dari RM200 sehingga RM3000 lebih)

Oleh itu jika kasut itu menepati sifat khuf, maka ia akan mengambil hukum khuf. Sebaliknya, jika ia tidak menepati maka tidaklah boleh mengambil hukum khuf.[4]

Berkenaan isu pendaki Gunung Everest, dalam suasana sejuk yang melampau, mereka boleh menggunakan kaedah menyapu khuf bagi memudahkan ibadat wuduk. Sebelum memakai khuf, mereka perlu berwuduk dengan sempurna terlebih dahulu.

Apabila berlaku hadas kecil, mereka boleh bertayammum sahaja tanpa perlu berwuduk. Ini mengambil kira keadaan suhu sejuk yang melampau sehingga dicatatkan mencecah negatif 50 darjah celcius (-50˚) di atas gunung tersebut.[5]

 

  • Solat lima waktu

Semasa di Base Camp, mereka boleh solat seperti biasa. Mereka boleh memilih sama ada untuk menunaikannya secara jamak qasar atau secara tamam sempurna.

Walaubagaimanapun, semasa sedang mendaki dalam bentuk barisan yang mesti bergerak, solat boleh dilakukan dengan dikiaskan sepertimana solat ketika dalam peperangan. Mengadap kiblat di peringkat awal solat merupakan syarat. Alhamdulillah, kini sudah terdapat jam atau alat yang dapat menentukan arah kiblat.

Kami pernah mengulas isu seperti ini dalam Bayan Linnas Siri Ke - 128: Fiqh Ibadat Dalam Ekspedisi di Artik. Antara lain kami menyebut:

Solat boleh ditunaikan secara jamak dan qasar sepanjang ekspedisi berlangsung. Jika diyakini amat sukar untuk memperoleh waktu yang mencukupi untuk berhenti solat, ia boleh dikerjakan sambil memandu dogsled. Rukuk dan sujud dilakukan dengan menundukkan kepala. Isyarat sujud hendaklah lebih rendah daripada isyarat rukuk. Namun demikian, jika solat tersebut dilakukan tanpa menghadap kiblat atau bersuci daripada hadas, ia perlu diulang semula setelah keadaan mengizinkan. Oleh itu, adalah lebih baik mengerjakan solat dengan sempurna iaitu menghadap kiblat dan bersuci ketika setiap waktu berhenti rehat.[6]

 

  • Solat di Base Camp yang terdapatnya anjing

Diberitakan kepada kami, terdapat banyak anjing di Base Camp berkeliaran. Justeru, apakah cara solat yang terbaik? Kami nyatakan bahawa dia boleh membawa sejadah dan menghamparnya dan kemudian solat di atasnya. Adapun bekasan pijakan anjing di tempat tersebut, kami berpendapat ia adalah amat sukar untuk dielakkan. Justeru, melihat kepada pendapat mazhab yang lain seperti Mazhab Malik[7] atau Mazhab Hanafi[8] dalam kes ini dan suasana seperti ini adalah amat perlu. Ini membawa keringanan dan rukhsah kerana masih lagi dapat melaksanakan ibadat solat dengan sempurnanya.

Justeru, taqlid[9] kepada mazhab yang lain ketika ini dan dalam situasi seperti ini adalah diharuskan.

 

  • Puasa Ramadhan

Dalam isu pendaki Gunung Everest ini, mereka termasuk dalam golongan orang yang bermusafir. Oleh itu, mereka berhak untuk berbuka puasa. Firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;

Surah al-Baqarah (184)

Al-Qurtubi berkata: Ulama' berkhilaf tentang musafir yang mengharuskan berbuka puasa dan qasar solat selepas mereka ijmak bahawa musafir dalam urusan ketaatan seperti haji dan jihad dibolehkannya. (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 2/277)

Walaubagaimanapun, kami mengesyorkan agar berniat untuk berpuasa terlebih dahulu di awal pagi. Kemudian berpuasa lah sekadar yang mampu. Setelah dirasakan tidak mampu, baru berbuka. Apabila pulang ke tanah air nanti, mereka hendaklah mengqadha’nya semula.

Ini akan diberi pahala oleh Allah kerana telah berpuasa pada permulaanya. Walaupun begitu, diharuskan berbuka pada awal pagi lagi tanpa berpuasa kerana rukhsah yang dikurniakan Allah kepada yang musafir.

Orang mendaki gunung adalah satu usaha yang termasuk dalam mengkaji dan mencari maklumat serta mendapatkan gambaran yang jelas berkaitan kegunungan dan juga alam.

Allah SWT berfirman:

فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا

Maksudnya: “maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya.”

Surah al-Mulk (15)

Ibn Kathir berkata: Ibn Abbas, Mujahid, Qatadah dan al-Suddi mentafsirkan maksud “مَنَاكِبِهَا” dengan tepi, lembah dan pelusuk. Ibn Abbas dan Qatadah juga berpendapat, ia adalah dengan maksud gunung-ganang.Begitu juga Abu al-Darda’ berpendapat “مَنَاكِبِهَا” sebagai gunung-ganang. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/180)

  

Doa-Doa

Kami nyatakan di sini keperluan doa bagi umat Islam dan hendaklah mengelakkan daripada ritual dan upacara agama yang membabitkan pemujaan dan penyembahan. Kami nyatakan terlebih dahulu di sini berkenaan definisi doa dan kepentingan doa dalam kehidupan orang Islam. Doa adalah satu ibadah menzahirkan keberhajatan seseorang hamba kepada Allah SWT. (Lihat al-Azkar oleh al-Nawawi, hlm. 395) Imam al-Khattabi mendefinisikan doa berkata: “Doa adalah permohonan untuk pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba kepada Tuhannya. Hakikat doa itu adalah menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya terpateri pengagungan terhadap Allah SWT dan mengiktiraf sifat kemuliaan dan pemurah-Nya.” (Lihay Sya’n al-Dua’, hln. 4)

Ia juga diertikan sebagai memohon dengan sepenuh hati kepada Allah SWT dengan permohonan yang mengharapkan kebaikan di sisi-Nya, memohon dengan rendah diri supaya apa yang diminta itu diperkenankan dan cita-cita termakbul. (Lihat Jawami' al-Du'a min al-Qur'an wa al-Sunnah oleh Muhammad Sayyid Tantawi, hlm. 5)

Berdoa adalah penting dalam kehidupan seorang Islam agar dia benar-benar memohon kepada Tuhan dalam sebarang bentuk hajatnya kerana Allah, sebagaimana yang disebut:

اللَّـهُ الصَّمَدُ

Maksudnya: "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.”

Surah al-Ikhlas (2)

Ibn Kathir berkata: Daripada Ibn Abbas, makna al-somad ialah semua makhluk bergantung harap kepada-Nya dalam keperluan kehidupan dan masalah mereka untuk ditunaikannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 8/528)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT yang menjadi tumpuan semua hamba dan mereka menghadapkan diri kepada-Nya untuk menyelesaikan kepentingan mereka tanpa perantaraan dan penolong. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7738)

 

  • Doa Hendak Memulakan Musafir[10]

Terdapat beberapa doa yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila seseorang itu ingin bermusafir. Antaranya adalah seperti yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, beliau berkata: “Adapun Rasulullah SAW apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!). Kemudian Baginda akan berdoa:

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Maksudnya: “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.”

Riwayat Muslim (1342)

Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini menunjukkan sunat memulakan permusafiran dengan membaca doa ini. Dan telah banyak zikir-zikir dan doa-doa berkaitan permusafiran ini yang mana aku telah himpunkannya di dalam kitab al-Azkar. Maksud “وَعْثَاءِ” adalah kesukaran dan keperitan. Manakala “كَآبَةِ” bermaksud berubahnya diri seseorang itu kepada kesedihan atau seumpama dengannya dan maksud “الْمُنْقَلَبِ” pula adalah perubahan (yang buruk pada harta dan keluarga).” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 111/9)

Imam al-Baidhawi mensyarahkan hadith ini: “وَعْثَاءِ” bererti kepayahan dan kesusahan. Manakala “كَآبَةِ” bermaksud keadaan yang buruk dan suatu bentuk kesedihan. Dikehendaki daripada hadith ini adalah doa bagi tujuan memohon perlindungan daripada segala pemandangan yang mengakibatkan kekecewaan dan daripada kepulangan yang teruk kerana berlaku kekurangan pada harta atau ahli keluarga (seperti kerosakan atau kematian).” (Lihat Tuhfah al-Abrar, 95/2)

Tambahan pula, makna “أَنْتَ الصَّاحِبُ” adalah Allah SWT akan sentiasa bersama dengan orang yang bermusafir. Selain itu, ia juga membawa makna Allah SWT akan memudahkan urusan orang yang bermusafir. Bagi perkataan “وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ” bermaksud Allah SWT akan melindungi orang yang bermusafir dengan membantunya serta menolongnya. Allah SWT juga merupakan penjaga kepada ahli keluarga yang ditinggalkan dan pada setiap perkara yang berada di bawah perlindungannya. (Lihat Syarah Riyadh al-Salihin, 112/3)

 

  • Doa Ketika Menaiki Tempat Tinggi

Oleh kerana musafir menuju ke Gunung Everest adalah tempat yang tinggi, maka kami katakan hendaklah sentiasa mematuhi apa yang Rasulullah SAW ajar kepada orang yang ingin bermusafir. Antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A menyebut:

أَنَّ رَجُلاً قَالَ : يَا رَسُولَ اللهِ ، إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي ، قَالَ : عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ ، وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ

Maksudnya: Bahawasanya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak berjalan jauh. Maka berilah wasiat kepadaku. Baginda bersabda, Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki di tempat yang tinggi.

Riwayat al-Tirmizi (3445)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Pesanan supaya bertakwa kepada Allah, supaya sentiasa takut dan berawasan dari melakukan maksiat kepada-Nya. Sedangkan perintah untuk bertakbir pada tempat yang tinggi kerana sifat ketinggian disukai oleh nafsu yang boleh merasakan takabbur lantas diperintahkan orang yang terkeliru dengan hal ini agar diperingatkan dengan kebesaran Allah. Di samping itu, ia melahirkan kesyukuran kepada-Nya dan akan mendapat lebih banyak kurniaan Tuhan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/406)

 

  • Doa Ketika Berhenti di Satu Tempat untuk Tidur atau Berehat

Diriwayatkan dari Sa'd bin Abi Waqqash R.A, beliau berkata: Aku mendengar Khaulah binti Hakim al-Salamiyah R.Anha berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قَالَ أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ حَتَّى يَرْتَحِلَ مِنْ مَنْزِلِهِ ذَلِكَ

Maksudnya: "Sesiapa yang singgah di suatu tempat, lalu dia membaca:

(أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ): “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk yang diciptakan-Nya)”, maka tak ada sesuatupun yang membahayakannya sehingga ia beranjak dari tempatnya tersebut."

Riwayat Muslim (2708), al-Nasa'ie (10394) dan al-Tirmizi (3437)

Pada zaman Jahiliyah, apabila mereka berhenti dan singgah di satu tempat, mereka akan berlindung kepada jin-jin penguasa tempat tersebut. Maka syariat Islam datang dengan memerintahkan kepada orang-orang Islam agar berlindung kepada Allah SWT dengan menyebut nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya.

Sunat juga membaca ayat Kursi[11] iaitu:

اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ۖ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).

Surah al-Baqarah (255)

  • Doa Apabila Turun Bukit

Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, beliau berkata:

كُنَّا إِذَا صَعِدْنَا كَبَّرْنَا وَإِذَا نَزَلْنَا سَبَّحْنَا

Maksudnya: Kami apabila mendaki ke tempat yang tinggi, maka kami bertakbir. Dan apabila kami menuruni lurah atau tempat yang lembah, nescaya kami bertasbih.

Riwayat al-Bukhari (2993)

Pada bahasa, perkataan tasbih merupakan bentuk masdar dari “سَبَّحَ ، يُسَبِّحُ ، تَسْبِيْحًا”, yang berasal daripada perkataan sabh (سَبْحٌ) iaitu ucapan menyucikan Allah SWT.

Secara terminologi, al-tasbih (التَّسْبِيح) bermakna zikir dengan mengagungkan dan mensucikan disertai dengan pembersihan diri dari segala kekurangan. Dengan demikian, bertasbih kepada Allah bererti mengagungkan dan mensucikan-Nya dari segala sifat yang tidak layak bagi keagungan rububiyyah-Nya, uluhiyyah-Nya dan keesaan-Nya, serta mengakui bahawa Allah SWT sahajalah Pemilik alam semesta dan seluruh isinya, tanpa ada sekutu dan yang menyerupai-Nya.

 

  • Doa Ketika Pulang

Apabila hendak pulang, bacalah seperti berikut:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ سَاجِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ صَدَقَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ

Maksudnya: Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa. Tiada sekutu bagi-Nya. Dialah Pemilik segalanya. Bagi-Nya pujian dan dialah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Kami pulang dalam keadaan kami bertaubat, kami menyerahkan diri dan kami bersujud. Kepada Tuhan kami memuji. Benarlah janji Allah. Dia akan menolong hamba-Nya dan mengalahkan pakatan dengan keesaan-Nya.

Riwayat al-Bukhari (2995)

 

Penutup

Alhamdulillah, selesailah sudah isu yang ingin kami sampaikan berkenaan dengan Fiqh Pendakian Gunung Everest. Kami akan cuba seupaya untuk menambahkan lagi pelbagai hukum-hakam apabila ekspedisi pendakian Gunung Everest dikemukakan kepada kami untuk pencerahan dan penjelasan. Insya Allah, kami yakin dan percaya, semangat yang ditunjukkan oleh pendaki Muslim untuk menghayati agama dalam apa jua situasi sekalipun menandakan betapa kasihnya mereka kepada agama untuk ditegakkan walaupun ketika berada di puncak yang tertinggi di dunia atau di bumbung dunia iaitu Everest. Inilah yang kita harapkan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan memberi kerjasama berkenaan dengan pelbagai persoalan yang diajukan kepada kami. Kami berdoa kepada Allah SWT agar sahabat-sahabat kita yang mendaki sentiasa dalam pemeliharaan Allah serta dapat melaksanakan amanah sebagai hamba Allah dengan sebaik mungkin.

Kami tutup perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah:

اللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Kamu kehendaki dengan kemudahan.

 

 

 

Nota Hujung:

[1] Sir Edmund Percival Hillary, KG, ONZ, KBE (20 Julai 1919 - 11 Januari 2008) adalah pengembara dan pendaki gunung (mountaineer) kelahiran New Zealand yang paling terkenal, di mana beliau merupakan orang pertama yang berjaya mendaki Gunung Everest. Dia sampai ke puncak 8.850 meter (29,035 kaki) pada 29 Mei 1953 dengan pemandu Sherpanya, Tenzing Norgay.

Dilahirkan di Tuakau, Waikato dia mula mendaki semasa remaja, pendakian paling menonjol pada 1939. Beliau menghadiri Auckland Grammar School. Semasa Perang Dunia II dia merupakan navigator Tentera Udara Diraja New Zealand. Beliau adalah sebahagian ahli ekspedisi New Zealand ke Everest yang gagal pada 1951 sebelum menyertai cubaan British yang berjaya pada 1953. Beliau mendaki 10 puncak lain di Himalaya semasa lawatan lanjut pada 1956, 1960-61 dan 1963-65. Beliau juga pernah menjelajah ke Kutub Selatan sebagai ahli ekspedisi British Commonwealth Trans-Antarctic Expedition pada 4 Januari 1958. Beliau telah dianugerahkan darjat Knight Commander of the Order of the British Empire (KBE) pada 16 Julai, 1953 dan telah menjadi ahli kepada Order of New Zealand pada 1987. Dia juga telah dikurniakan Knight of the Order of the Garter (KG) pada 23 April 1995. Sir Edmund kemungkinan adalah rakyat New Zealand yang pertama dipaparkan dalam wang kertas ketika dia masih hidup.

Dia telah banyak memperuntukan masa hidupnya untuk membantu orang Sherpa di Nepal melalui Himalayan Trust yang telah diasaskannya dan telah memberi banyak masa dan wang. Melalui usahanya, dia telah berjaya membina banyak sekolah dan hospital di kawasan ulu di Himalaya. Malah dia menyatakan bahawa ini adalah kejayaannya yang paling penting. Dia juga adalah Presiden Kehormat bagi American Himalayan Foundation, sebuah badan bukan kerajaan dari AS yang membantu memperbaiki ekologi dan keadaan hidup di Himalaya.

Sebagai memperingati ulangtahun ke-50 pendakian Everest yang pertama, kerajaan Nepal telah menganugerahkan kerakyatan kehormat untuk Sir Edmund pada sebuah majlis peringatan di ibu negara Nepal, Kathmandu. Sir Edmund ialah warganegara rakyat asing pertama yang menerima kurniaan sebegitu dari masyarakat Nepal. Pada 11 Januari 2011, Edmund Hillary meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat serangan sakit jantung di Hospital Auckland, New Zealand. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Edmund_Hillary)

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Gunung_Everest

[3] Lihat jawapan yang telah kami terbitkan di laman web kami www.muftiwp.gov.my pada 12 Disember 2018 dalam siri bertajuk Al-Kafi #954: Perspektif Syarak Berkenaan Sukan Ekstrem dan Permainan Yang Merbahaya. [http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2868-al-kafi-954-perspektif-syarak-berkenaan-sukan-ekstrem-dan-permainan-yang-merbahaya]

[4] Kami pernah membuat penjelasan berkaitan isu khuf dalam beberapa siri jawapan kami di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan [www.muftiwp.gov.my]. Antaranya:

  • Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-222 : Hukum Memakai Kasut Dengan Niat Memakai Khuf
  • Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-239 : Tempoh Bermula Sapu Khuf

[5] Kami pernah juga menjelaskan isu ini dalam Bayan Linnas Siri Ke - 128: Fiqh Ibadat Dalam Ekspedisi di Artik. [http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2351-bayan-linnas-siri-ke-128-fiqh-ibadat-dalam-ekspedisi-di-artik?highlight=WyJraHVmIl0=]

[6] Lihat http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2351-bayan-linnas-siri-ke-128-fiqh-ibadat-dalam-ekspedisi-di-artik?highlight=WyJraHVmIl0=

[7] Dalam mazhab Maliki, Abu Umar al-Namiri al-Qurtubi menyatakan,

فَجُمْلَةُ مَذْهَبِ مَالِكٍ عِنْدَ أَصْحَابِهِ الْيَوْمَ أَنَّ الْكَلْبَ طَاهِرٌ وَأَنَّ الْإِنَاءَ يُغْسَلُ مِنْهُ سَبْعًا عِبَادَةً

“Sejumlah mazhab Malik di sisi pandangan ulama dalam mazhab itu pada hari ini bahawa anjing adalah suci dan bekas yang dibasuh dengan tujuh kali basuh itu adalah sekadar ibadat (sunat)” (Lihat al-Istizkar, 1/206)

[8] Pendapat yang kuat dalam mazhab Hanafi berkenaan badan anjing, ia tidak dikira najis. Seorang ulama dalam mazhab Hanafi, Badr al-Din al-‘Aini berkata:

ثُمَّ اخْتَلَفَ أَصْحَابُنَا فِي الكَلْبِ ، هَلْ هُوَ نَجَسُ العَيْنِ كَالخِنْزِيرِ أَوْ لَا ، وَالأَصَحُّ أَنَّهُ لَيْسَ بِنَجَسِ العَيْنِ كَذَا فِي "البدائع"، وَفِي "الإِيضَاحِ

“Kemudian, telah khilaf dalam kalangan kami (ulama mazhab Hanafi) berkenaan anjing, apakah ia najis pada ‘ain (dirinya) seperti babi atau tidak. Pendapat yang paling sahih, ia tidak najis ‘ain, sepertimana tersebut dalam kitab al-Badai’ dan kitab al-Idah” (Lihat al-Binayah Syarh al-Hidayah, 1/473)

[9] Al-Amidi mentakrifkan taqlid dengan satu istilah yang disebut bagi pengamalan yang bersandarkan pendapat orang lain tanpa disertai hujah yang menuntut kewajipan pengamalan tersebut. (Lihat al-Ihkam, 4/221)

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berkata: Harus bertaqlid kepada selain imam-imam yang empat. (Lihat Dr Yusuf Qaradawi - Bertaklid Pada Mazhab)

 

[10] Lihat juga artikel kami dalam Irsyad Al-Hadith Siri Ke-291: Makna Doa Musafir [http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2679-irsyad-al-hadith-siri-ke-291-makna-doa-musafir

[11] Kami nyatakan di sini beberapa fadilat Ayat Kursi. Antaranya:

  • Daripada Abi Umamah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati”.

Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (7532), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9848). Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban.

  • Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنْ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ وَقُلْتُ وَاللَّهِ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنِّي مُحْتَاجٌ وَعَلَيَّ عِيَالٌ وَلِي حَاجَةٌ شَدِيدَةٌ قَالَ فَخَلَّيْتُ عَنْهُ فَأَصْبَحْتُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ الْبَارِحَةَ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً وَعِيَالًا فَرَحِمْتُهُ فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ قَالَ أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ وَسَيَعُودُ فَعَرَفْتُ أَنَّهُ سَيَعُودُ لِقَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّهُ سَيَعُودُ فَرَصَدْتُهُ فَجَاءَ يَحْثُو مِنْ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ فَقُلْتُ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ دَعْنِي فَإِنِّي مُحْتَاجٌ وَعَلَيَّ عِيَالٌ لَا أَعُودُ فَرَحِمْتُهُ فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ فَأَصْبَحْتُ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً وَعِيَالًا فَرَحِمْتُهُ فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ قَالَ أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ وَسَيَعُودُ فَرَصَدْتُهُ الثَّالِثَةَ فَجَاءَ يَحْثُو مِنْ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ فَقُلْتُ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ وَهَذَا آخِرُ ثَلَاثِ مَرَّاتٍ أَنَّكَ تَزْعُمُ لَا تَعُودُ ثُمَّ تَعُودُ قَالَ دَعْنِي أُعَلِّمْكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهَا قُلْتُ مَا هُوَ قَالَ إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ {اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ} حَتَّى تَخْتِمَ الْآيَةَ فَإِنَّكَ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنْ اللَّهِ حَافِظٌ وَلَا يَقْرَبَنَّكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ فَأَصْبَحْتُ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ الْبَارِحَةَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ زَعَمَ أَنَّهُ يُعَلِّمُنِي كَلِمَاتٍ يَنْفَعُنِي اللَّهُ بِهَا فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ قَالَ مَا هِيَ قُلْتُ قَالَ لِي إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ مِنْ أَوَّلِهَا حَتَّى تَخْتِمَ الْآيَةَ {اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ} وَقَالَ لِي لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنْ اللَّهِ حَافِظٌ وَلَا يَقْرَبَكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ وَكَانُوا أَحْرَصَ شَيْءٍ عَلَى الْخَيْرِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ تَعْلَمُ مَنْ تُخَاطِبُ مُنْذُ ثَلَاثِ لَيَالٍ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ لَا قَالَ ذَاكَ شَيْطَانٌ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menyuruhku menjaga zakat Ramadhan. Tiba-tiba, seseorang datang kepadaku lalu menyelongkar makanan. Aku pun menangkapnya sambil berkata: Demi Allah! Aku akan membawa kamu kepada Rasulullah SAW maka dia pun menceritakan mengenai keluarga dan hajatnya. Abu Hurairah merasa kasihan lalu melepaskannya. Peristiwa ini berulang sehinggalah pada kali yang ketiga, Abu Hurairah bertekad untuk membawanya kepada Rasulullah SAW, dia berkata: Lepaskanlah aku, nescaya aku akan mengajar kepadamu beberapa kalimat yang akan memberi manfaat kepadamu di sisi Allah. Aku menjawab: Apakah kalimah itu? Dia berkata: Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi, yang maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang tetap hidup, Yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi, dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha besar (kekuasaan-Nya)

Sesungguhnya engkau akan didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi. Akhirnya orang itu aku bebaskan sahaja. Keesokan harinya, beliau telah menceritakan kepada Nabi SAW tentang apa yang terjadi, lalu Baginda berkata: “Adapun apa yang dikatakan kepadamu itu adalah benar, namun demikian dia adalah pendusta. Wahai Abu Hurairah! Adakah kamu mengetahui siapakah yang berbicara dengan kamu selama tiga malam tersebut?” Abu Hurairah menjawab: Tidak. Baginda berkata: Itulah syaitan.

Riwayat al-Bukhari (2311)