Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE - 128: FIQH IBADAT DALAM EKSPEDISI DI ARTIK

 

Mukadimah

Kami dikunjungi oleh Saudara Mohd Khairizal Mohd Khalif yang terpilih sebagai salah seorang daripada 20 peserta dari seluruh dunia untuk menyertai Ekspedisi Merentas Artik yang dikenali sebagai Fjällräven Polar 2018 bermula pada 9 April 2018. Dalam ekspedisi tersebut, beliau akan merentas Artik sejauh 300km dalam tempoh seminggu dengan memandu sendiri kenderaan luncur salji anjing atau dogsled. Perjalanan bermula di pinggir Fjord Norway di Signaldalen dan berakhir di kawasan Jukkasjärvi di Lapland, Sweden. Suhu sepanjang perjalanan dianggarkan mencecah negatif 30 darjah celcius. Memandangkan beliau merupakan satu-satunya peserta beragama Islam yang berjaya terpilih daripada seluruh dunia, beliau hadir menemui kami dengan hasrat mendapatkan nasihat dan pencerahan mengenai beberapa isu hukum terkait dengan amal ibadat ketika berada di sana kelak.   

Pertama sekali, kami ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada beliau kerana terpilih sebagai salah seorang peserta dalam ekspedisi tersebut. Sesungguhnya Allah SWT amat menggalakkan umatnya merantau dan menjelajah bumi. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولٗا فَٱمۡشُواْ فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُواْ مِن رِّزۡقِهِۦ

“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya dan makanlah daripada rezekinya..”. (Surah al-Mulk: 15)

 

Demikian juga firman-Nya dalam ayat berikut:

قُلۡ سِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ بَدَأَ ٱلۡخَلۡقَۚ ثُمَّ ٱللَّهُ يُنشِئُ ٱلنَّشۡأَةَ ٱلۡأٓخِرَةَۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ٢٠

“Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baru. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-‘Ankabut: 20)

Ayat-ayat ini menunjukkan galakan Allah SWT agar manusia merantau di muka bumi demi mengekplorasi pelbagai perkara baharu mengenai realiti kehidupan ini. Moga-moga dengannya manusia akan beroleh petunjuk, pengajaran dan pedoman dalam mengukuhkan lagi keimanan kepada Allah SWT.

Walaupun begitu, prasyarat paling penting dalam mana-mana permusafiran mahupun penjelajahan adalah sentiasa tidak lupa mengingati Allah SWT tanpa mengira di mana kita berada dan dalam apa jua situasi sekalipun. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ١٩١

“(Ulul Albab itu adalah) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali ‘Imran: 191)

 

Konsep rukhsah dalam Islam

Rukhshah secara bahasa, bererti izin pengurangan atau keringanan. Sedangkan menurut ulama usuul, rukhsah maksudnya adalah:

الْحُكْمُ الثَّابِتُ عَلَى خِلاَفِ الدَّلِيْلِ لِعُذْرٍ

Maksudnya: “Hukum yang berlaku berdasarkan dalil yang menyalahi dalil yang ada, kerana terdapat keuzuran.”

Islam adalah agama yang bersifat toleransi. Sejajar dengan firman Allah SWT dalam dua ayat berikut:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ

"Allah inginkan yang mudah bagi kamu dan Dia tidak mahu untuk kamu yang susah." (Surah Al-Baqarah: 185).

وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ

"Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung dalam agama sesuatu yang susah." (Surah Al-Hajj: 78)

Rasulullah SAW bersabda: "Jika aku perintahkan kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah ia sedaya yang kamu mampu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Allah meraikan dalam agama-Nya yang agung ini dengan sifat rahmat-Nya keadaan hamba-Nya yang beriman agar mereka tidak dibebani dengan suatu yang di luar kemampuan mereka.

Syarak meraikan perbezaan situasi dan keadaan dalam hukum-hakamnya. Maka orang musafir diberi rukhsah atau kelonggaran untuk berbuka puasa pada siang Ramadan dan mengqadanya pada hari lain. Mereka diberi keringanan untuk mengqasarkan solat fardu empat rakaat menjadi dua rakaat sahaja di samping dibolehkan jamak menghimpunkan antara dua solat untuk dikerjakan dalam waktu salah satu daripadanya.

Buat mereka yang dalam keadaan ketakutan teramat, diizinkan untuk mereka solat dalam apa jua keadaan; sama ada berjalan atau di atas kenderaan dengan menghadap kiblat atau tidak. Begitu juga dibolehkan bagi orang yang sakit untuk solat fardu mengikut kemampuan sama ada berdiri, duduk atau baring. Syarak juga memberi kemaafan atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukan tanpa sengaja, lupa atau kerana dipaksa. Rasulullah bersabda: "Sesiapa lupa ketika sedang berpuasa lalu makan atau minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allah yang telah memberinya makan dan minum." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syarak juga membolehkan dalam keadaan darurat dan terpaksa apa yang asalnya adalah haram seperti memakan bangkai. Syarak turut mengharuskan jika tiada air atau khuatir penggunaannya membawa mudarat untuk tayamum menyapu wajah dan kedua tangan sebagai ganti wuduk. Begitulah sebahagian contoh kemudahan dan keringanan yang diberikan syarak bagi meraikan situasi dan keadaan manusia dalam urusan ibadah dan kehidupan mereka.

Atas dasar ini, syarak menegah perbuatan berlebih-lebihan dan sifat melampau kerana ia bertentangan dengan prinsip kemudahan dan toleransi Islam. Maka umat Islam dilarang menyusahkan diri dalam ibadah yang dilakukan dalam situasi yang sukar atau darurat.

Umumnya, keringanan dan kemudahan yang diberikan syarak sama sekali bukan bererti meninggalkan apa yang wajib dan melakukan apa yang haram dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, toleransi Islam menjurus kepada erti menggantikan kaifiat ibadah yang sukar dilaksanakan kerana situasi tertentu, dengan kaifiat ibadah yang lebih mudah sesuai dengan situasi semasa. Seperti menggantikan solat empat rakaat dengan solat qasar dua rakaat kerana bermusafir dan menggantikan air dengan dengan debu tanah untuk tayamum kerana ketiadaan air.

 

Pelaksanaan ibadat di Artik

Kami ingin menjelaskan di sini beberapa persoalan yang dibangkitkan berkaitan dengan amal ibadat ketika berada di Artik seperti berikut:

 

1) Penentuan waktu solat

Waktu solat boleh ditentukan dengan berpandukan waktu solat negara terdekat yang siang dan malamnya dapat dibezakan dalam masa 24 jam. Boleh juga menggunakan jam yang berkemampuan mendeteksi waktu tempatan. Jika tiada kaedah lain termasuk bertanya kepada orang tempatan, boleh melakukan ijtihad dengan anggaran sendiri bagi menentukan waktu solat. Oleh kerana dalam ekspedisi ini hanya tuan sahaja yang beragama Islam, maka sudah tentu tiada pilihan untuk bertanyakan waktu solat.

 

2) Penentuan arah kiblat

Boleh ditentukan dengan menggunakan peralatan moden seperti kompas dan seumpamanya. Dalam mazhab Syafie, kaedah penentuan kiblat terbahagi kepada empat iaitu:

  1. Ilmu yang meyakinkan seperti melihat.
  2. Khabar thiqah (pengkhabaran orang yang terpercaya) daripada ilmunya.
  3. Ijtihad. Sarananya ada banyak, paling kuat adalah melalui kutub (seperti buruj, kompas dan sebagainya) dan paling lemah melalui angin.
  4. Bertaqlid (mengikut) kepada orang yang berijtihad. Contohnya, tetamu mengikuti ijtihad tuan rumah. (Rujuk Taqrirat al-Sadidah, hlm. 202)

Justeru, dalam hal ini tuan boleh berijtihad dengan menggunakan alatan seperti kompas.

3) Kaedah mengangkat hadas kecil dan besar

Bagi mengangkat hadas kecil, boleh berwuduk seperti biasa dengan menggunakan air yang dipanaskan. Jika tidak mampu berwuduk, boleh bertayamum dengan cara menggunakan debu yang dibekalkan bersama sebelum pergi (jika dikhuatiri sukar untuk memperoleh debu di kawasan Artik). Manakala untuk mengangkat hadas besar, memadai dengan bertayamum sahaja.  

*Dalam suasana sejuk melampau, seseorang yang bermusafir boleh menggunakan kaedah menyapu khuf bagi memudahkan ibadat wuduk. Sebelum memakai khuf (sarung tidak telus air yang menutupi kaki hingga ke buku lali), dia perlu berwuduk dengan sempurna terlebih dahulu. Apabila berlaku hadas kecil, dia boleh berwuduk tanpa perlu membuka kasutnya ketika membasuh kaki, sebaliknya cukup sekadar menyapu di atas khufnya. Hal ini boleh dilakukan selama tiga hari tiga malam. 

Kami syorkan saudara mendapatkan info dan maklumat lengkap sebelum ke sana untuk memudahkan ibadat.

 

4) Kaedah beristinjak

Beristitinja’ boleh dilaksanakan dengan menggunakan tisu. Syarat-syarat beristinja’ seperti berikut; i. Bahan yang digunakan untuk beristinja’ sesuatu yang suci, bukan najis dan bukan bahan yang dihormati. ii. Bahan yang kering. iii. Bahan yang kesat. iv. Bahan yang digunakan tidak kurang daripada tiga seperti tiga biji batu. v. Najis yang keluar belum kering. vi. Najis yang keluar tidak melewati kawasan laluannya.

 

5) Cara Menunaikan Solat

Solat boleh ditunaikan secara jamak dan qasar sepanjang ekspedisi berlangsung. Jika diyakini amat sukar untuk memperoleh waktu yang mencukupi untuk berhenti solat, ia boleh dikerjakan sambil memandu dogsled. Rukuk dan sujud dilakukan dengan menundukkan kepala. Isyarat sujud hendaklah lebih rendah daripada isyarat rukuk. Namun demikian, jika solat tersebut dilakukan tanpa menghadap kiblat atau bersuci daripada hadas, ia perlu diulang semula setelah keadaan mengizinkan. Oleh itu, adalah lebih baik mengerjakan solat dengan sempurna iaitu menghadap kiblat dan bersuci ketika setiap waktu berhenti rehat.

Seperti yang digambarkan kepada kami, jelas menunjukkan betapa anjing huskies menjadi satu-satunya kenderaan yang sesuai ketika berada di tempat seperti itu. Manakala berkenaan solat di atas kenderaan, kami telah nyatakan dalam Bayan Linnas: Hukum Solat di Atas Kerusi.

 

6) Berinteraksi dengan anjing-anjing huskies

Anjing-anjing huskies merupakan anjing-anjing yang akan menjadi penarik kepada kenderaan luncur salji setiap peserta ekspedisi. Di samping itu, anjing-anjing ini turut menjadi pelindung kepada pemandunya. Oleh itu, setiap peserta akan dipertanggungjawabkan untuk menjaga anjing-anjing tersebut termasuk memberinya makan. Dalam hal ini, dinasihatkan agar peserta berinteraksi dengan anjing tersebut sekadar yang perlu sahaja dan mengelak daripada menyentuhnya tanpa lapik. Walau bagaimanapun, dalam keadaan sukar mengelak daripada terkena air liur anjing atau tersentuh badannya pada pakaian sedangkan basuhan samak sukar dilakukan, maka tidak mengapa untuk bertaqlid dengan Mazhab Maliki (yang berpendapat seluruh tubuh anjing tidak najis) dalam situasi darurat tersebut.

Untuk mendapatkan pencerahan yang baik dalam isu anjing ini, boleh rujuk Bayan Linnas  I Want to Touch A Dog.

 

Penutup

Akhirnya, kami ingin menasihati Saudara Rizal agar menjadikan ekspedisi yang bakal ditempuhi beliau kelak sebagai rehlah rabbaniyyah yang berakhir dengan meraih keredaan Allah SWT. Sesungguhnya beliau menjadi duta kepada seluruh umat Islam di dunia bagi menzahirkan imej agama Islam yang bersifat rahmat dan syumul meliputi segenap kehidupan manusia tanpa mengira situasi dan tempat. Peluang yang diperoleh ini juga akan membantu menyelesaikan sejuzuk daripada fiqh Islam yang luas dan anjal disamping dibahagian manapun kita berada, ketaatan dalam ibadah dapat kita zahirkan. Kita adalah hamba-Nya yang kerdil yang cuma mentahqiqkan ubudiyyah kepada-Nya dengan sami'na wa atha'na (kami dengar dan kami patuh). Kami katakan kepada saudara Khairizal, siiru 'ala barakatillah. Wallahu a’lam.  

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan