Soalan: Apakah maksud doa musafir?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Permusafiran merupakan sebahagian daripada lumrah kehidupan seorang yang bergelar manusia. Permusafiran adalah perpindahan daripada satu tempat menuju ke tempat yang lain bagi tujuan tertentu. Untuk itu, agama Islam tidak pernah sesekali membiarkan umatnya melakukan sesuatu perkara tanpa ada panduan atau garis panduan yang perlu dilakukan oleh seseorang itu apabila ingin melakukan sesuatu perkara seperti permusafiran. Di sana, terdapat doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita supaya permusafiran kita itu sentiasa dirahmati dan dijaga oleh Allah SWT.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat beberapa doa yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila seseorang itu ingin bermusafir. Antaranya adalah seperti di bawah ini:
- Daripada Ibn Umar RA berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اسْتَوَى عَلَى بَعِيرِهِ خَارِجًا إِلَى سَفَرٍ، كَبَّرَ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ
Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.” [Riwayat Muslim (1342)]
Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini menunjukkan sunat memulakan permusafiran dengan membaca doa ini. Dan telah banyak zikir-zikir dan doa-doa berkaitan permusafiran ini yang mana aku telah himpunkannya di dalam kitab al-Azkar. Maksud “وَعْثَاءِ” adalah kesukaran dan keperitan. Manakala “كَآبَةِ” bermaksud berubahnya diri seseorang itu kepada kesedihan atau seumpama dengannya dan maksud “الْمُنْقَلَبِ” pula adalah perubahan (yang buruk pada harta dan keluarga).” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 111/9]
Imam al-Baidhawi mensyarahkan hadith ini: “وَعْثَاءِ” bererti kepayahan dan kesusahan. Manakala “كَآبَةِ” bermaksud keadaan yang buruk dan suatu bentuk kesedihan. Dikehendaki daripada hadith ini adalah doa bagi tujuan memohon perlindungan daripada segala pemandangan yang mengakibatkan kekecewaan dan daripada kepulangan yang teruk kerana berlaku kekurangan pada harta atau ahli keluarga (seperti kerosakan atau kematian).” [Lihat: Tuhfah al-Abrar, 95/2]
Tambahan pula, makna “أَنْتَ الصَّاحِبُ” adalah Allah SWT akan sentiasa bersama dengan orang yang bermusafir. Selain itu, ia juga membawa makna Allah SWT akan memudahkan urusan orang yang bermusafir. Bagi perkataan “وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ” bermaksud Allah SWT akan melindungi orang yang bermusafir dengan membantunya serta menolongnya. Allah SWT juga merupakan penjaga kepada ahli keluarga yang ditinggalkan dan pada setiap perkara yang berada dibawah perlindungannya. [Lihat: Syarah Riyadh al-Solihin, 112/3]
Syeikh al-Sa’di menyatakan di dalam doa ini terkandung permohonan hamba itu agar dilindungi daripada sebarang kesusahan dan kepayahan. Di samping itu, agar Allah SWT menjauhkannya daripada perkara yang menyedihkan. Selain itu juga, doa ini terkandung padanya rintihan hamba itu agar Allah SWT menjaga baginya setiap yang telah ditinggalkan dan setiap yang terpisah disebabkan permusafiran ini daripada ahli keluarga serta harta. Ini dapat difahami agar Allah SWT mengubah segala perkara yang tidak baik kepada hanya perkara yang baik dan menggembirakan serta nikmat-nikmat yang berterusan. [Lihat: Bahjah al-Qulub, 197]
Demikian adalah sebahagian daripada makna atau syarah bagi doa safar ini. Justeru, kami menyeru kepada semua agar menghafal doa ini serta mengamalkannya di setiap permusafiran atau perjalanan kita. Mulakanlah permusafiran dengan doa supaya permusafiran yang dilakukan itu adalah permusafiran yang menguntungkan dan bukannya permusafiran yang merugikan.
Penutup
Kesimpulannya, setiap insan yang beriman memerlukan kepada doa agar setiap perkara yang dilakukan dipelihara oleh Allah SWT serta doa juga merupakan senjata dan kekuatan buat orang yang beriman. Justeru itu, banyak doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita supaya dapat kita amalkan dalam kehidupan seharian kita. Di samping itu juga, doa merupakan satu ibadah yang mudah untuk dilakukan, tidak seperti ibadah-ibadah yang lain. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kefahaman di dalam agama. Amin.
Wallahua’lam