Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BENGKEL TELESKOP 101 ANJURAN PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN CAWANGAN LABUAN

LAHAD DATU, 3 FEBRUARI 2025 – Unit Falak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan telah menganjurkan Bengkel Teleskop 101 bertempat di Institut Latihan Islam Kampus Lahad Datu, Sabah selama 5 hari 4 malam bermula 3 hingga 7 Februari 2025 yang lalu.

Penganjuran bengkel ini menyasarkan penglibatan peserta daripada kalangan pegawai – pegawai falak daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur, Labuan), Bahagian Geodesi dan Astrofoto, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Wilayah Persekutuan Labuan serta Unit Cerapan, Pejabat Mufti Negeri Sabah menerusi kelas bimbingan, cerapan langit malam dan ceramah berkaitan penggunaan teleskop yang betul bersama penceramah daripada Dark Sky Malaysia iaitu Encik Muhammad Luqmanul Hakim bin Muharam dan Puan Emma Zulaiha Zulkifli.

Pelaksanaan bengkel ini yang juga merupakan salah satu sesi latihan intensif dan bersepadu kepada pegawai falak di Wilayah Persekutuan sebagai persediaan menghadapi cabaran semasa proses cerapan anak bulan khususnya bagi penentuan awal bulan Ramadan, Syawal, Zulhijjah dan juga penganjuran program-program cerapan langit malam di Wilayah Persekutuan. Selain dari tu, program ini juga antara lain bertujuan untuk melatih para peserta sebagai public-talker dan trainee of trainers yang berkemahiran tinggi dan mampu memberikan khidmat nasihat berkaitan teleskop kepada masyarakat.

Melalui bengkel ini juga, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan telah memberi peluang kepada para peserta untuk menyantuni penduduk setempat melalui program Jaulah Falak ke pusat komuniti yang berfungsi sebagai tempat pendidikan agama Islam kepada anak-anak asnaf dan bajau laut di Pondok Ngaji Tebah Batang, Lahad Datu. Unit Falak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengambil kesempatan memberikan tazkirah ringkas, khidmat penetapan arah kiblat selain sumbangan himpunan buku Bayyan Linnas dan Ensklopedia Ramadan kepada wakil Pondok Ngaji Tebah Batang, Encik Muhammad bin Tapan.

Para peserta juga telah berkesempatan melawat kawasan Titik Rujukan Paling Timur di Tanjung Atiam dengan kerjasama pihak Cawangan Khas Balai Polis Tungku Lahad Datu, Sabah. Titik rujukan ini merupakan lokasi penting kerana dirujuk sebagai lokasi permulaan kiraan matla’ bagi penentuan kenampakan anak bulan di Malaysia dan berakhir di Pulau Perak, Yan Kedah.

Pelaksanaan bengkel ini diharapkan dapat mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif di kalangan pegawai falak di Wilayah Persekutuan dalam melahirkan suatu generasi baru pemikiran dan intelektual yang berwibawa sesuai dengan fungsi falak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang sedang menuju ke arah pembangunan Balai Cerap Wilayah Persekutuan.