SABAH, 4 FEBRUARI 2025 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah diadakan hari ini bertempat di Universiti Malaysia Sabah Kampus Kota Kinabalu.
Memorandum persefahaman ini ditandatangani oleh Sahibus Samahah Tuan Hj Jamali Bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan dan Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut@Mohd Nasri, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) merangkap Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri, mewakili Naib Canselor UMS. Majlis ini turut dihadiri oleh Encik Lukman Ridha Anwar, Pendaftar UMS dan En. Syaiful Ahmad Noor Syaiful, PMWP serta beberapa pegawai kanan UMS.
Kerjasama antara kedua belah pihak sebenarnya telah bermula pada tahun 2002 apabila stesen cerapan anak bulan bagi Wilayah Persekutuan Labuan berpindah dari Sekolah Menengah Sains Labuan ke Tingkat 13, Menara UMS, Kampus Antarabangsa Labuan. Pemilihan lokasi ini, yang juga antara 29 lokasi melihat anak bulan seluruh negara yang diwartakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia adalah kerana lokasi yang strategik dan bersesuaian dengan kriteria yang diperlukan selain berada di ketinggian 78.89 meter dari aras laut serta menghadap laut yang tidak mempunyai sebarang gangguan cahaya. Ciri-ciri ini amat sesuai bagi kerja-kerja cerapan matahari dan bulan termasuk bagi cerapan hilal penentuan permulaan Ramadhan, Syawal dan penetapan awal bulan-bulan Islam.
Selain itu, stesen cerapan ini telah mencatatkan beberapa pencapaian penting, termasuk rekod kenampakan anak bulan termuda dunia di bawah umur 24 jam dan lokasi anak bulan Syawal mula kelihatan pada 2023 sehingga menimbulkan fenomena Raya Terkejut di seluruh negara. Dengan termeterainya memorandum persefahaman ini, kedua-dua pihak dapat mengukuhkan lagi kerjasama strategik mereka, khususnya dalam bidang penyelidikan falak dan cerapan hilal, serta penyelidikan dalam perbankan kewangan Islam.
Oleh itu, jabatan ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk UMS dan Jabatan Peguam Negara, yang telah memberi nasihat teknikal sehingga MoU ini dapat dimeterai pada hari ini.