BANGI, 29 NOVEMBER 2024 - Unit Istinbat, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) telah mengadakan Bengkel Penyediaan Kertas Cadangan Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 29 November 2024 yang lalu. Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada unit buhuth, unit falak serta unit istinbat menyertai bengkel ini. Turut diserikan lagi, bengkel ini juga dihadiri oleh panel syariah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ) serta unit penyelidikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Tujuan utama diadakan bengkel ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada penyelelidik mengenai kaedah serta tatacara penganalisaan dalil syarak, sebelum kertas cadangan itu dibentangkan dihadapan Ahli Majlis Perundingan Hukum Syarak, Wilayah Persekutuan. Bengkel ini diadakan sebanyak dua sesi pembentangan kertas kerja iaitu bersama Dr. Syed Shahridzan bin Syed Mohamed (Ketua Penolong Mufti Penyelidikan) bertajuk “Kaedah Berinteraksi Dengan Mazhab Syafi’i”. Pembentangan ini mengenai keperluan dan tatacara yang perlu dikuasai oleh para pengkaji. Hal ini kerana, kesilapan pengkaji dalam memahami ungkapan (istilah), ibarat-ibarat yang terdapat kitab, terutamanya kitab turath akan membawa kepada kesalahan tafsiran dan juga boleh membawa kepada istinbat hukum yang salah. Disamping itu, panel juga menekankan keperluan kepada para pengkaji untuk menguasai kitab-kitab rujukan dalam mencari sumber, sama ada kitab itu berstatus kitab turath dan juga kitab-kitab kontemporari. Panel juga memberikan kertas tambahan, iaitu mengenai etika dalam penulisan. Panel sangat meniti beratkan kepada peserta bahawa kejujuran dalam penulisan merupakan satu prinsip yang perlu dipegagang. Setiap maklumat yang diperoleh diwajibkan untuk meletakan rujukan tempat yang diambil maklumat.
Sesi yang kedua adalah pembentangan adalah disampaikan oleh Ustaz Eizzul A'la bin Bajuri @ Mohamad (Ketua Unit Istinbat). Sesi yang kedua ini adalah bertajuk Format Dalam Penyediaan Kertas Cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Panel memberikan penegasan kepada para penyelidik khususnya memahami isu dan permasalahan yang menjadi tujuan utama dalam penyediaan kertas cadangan. Hal ini kerana, isu yang diketangahkan itu harus mempunyai kajian serta maklumat yang mencukupi. Disamping itu, data-data sokongan perlu disediakan. Tambahan dari itu, disarankan juga kepada para penyelidik bagi melakukan kerja kajian lapangan. Hal ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para penyeldik itu sendiri mengenai isu-isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat.
Dikesempatan bengkel ini juga, pihak PPZ, MAIWP dan JAWI turut mengambil kesempatan melakukan beberapa perbincangan ringkas, memberikan beberapa cadangan serta menimbulkan persoalan untuk dikaji secara bersama. Oleh itu, Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini serta menyambut baik cadangan yang diberikan. Semoga program sebegini mampu menaikan taraf penyelidikan khusunya bagi PMWP sert agensi-agensi agama yang lain.