20 – 23 OGOS 2026 | JAKARTA, INDONESIA
1. PENDAHULUAN
Majlis Cendekiawan Madani Malaysia-Indonesia Kali Kedua (MALINDO MADANI 2.0) telah berlangsung pada 20 hingga 23 Ogos 2026 di Jakarta, Indonesia. Program ini menghimpunkan seramai 120 orang peserta terdiri daripada ulama, cendekiawan dan tokoh ilmuwan dari Malaysia dan Indonesia bagi membincang dan memperkukuh agenda peradaban Islam Nusantara.
Program anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bersama Centre for Dialogue and Cooperation among Civilisations (CDCC) ini menjadi kesinambungan siri pertama yang diadakan di Kuala Lumpur sebelum ini.
2. OBJEKTIF PROGRAM
1. Memperkukuh hubungan persahabatan dengan silaturahim antara Malaysia dang Indonesia melalui wacana ilmu.
2. Membuka lembaran baharu diplomasi ilmu dan kerjasama peradaban kedua-dua negara.
3. Menggembleng kepakaran saintis, ulama dan cendekiawan dalam membina kekuatan serta kedaulatan ilmu ummah di Nusantara.
3. AKTIVITI UTAMA
a. Ceramah Tamu Kehormatan & Jamuan Makan Malam Penyambutan
20 Ogos 2026 – Majlis dimulakan dengan Ceramah Tamu Kehormatan oleh Menteri Kebudayaan Republik Indonesia, Prof. Fadli Zon bertajuk "Negara Madani dalam Konfigurasi Kemajemukan Budaya". Turut hadir Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Azam Mohd Adil.
b. Ceramah Tamu Kehormatan & Jamuan Makan Malam
22 Ogos 2026 – Disampaikan oleh Dirjen Saintek, Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Prof. Dr. Najib Burhani. Majlis ini turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menekankan bahawa kesinambungan MALINDO membuktikan hubungan Malaysia-Indonesia dapat diterjemahkan melalui wacana ilmu dan agenda pembangunan peradaban.
c. Forum Panel di Masjid Al-Istiqlal
YB Senator Dr. Zulkifli Hasan turut menjadi panel forum bersama Menteri Agama Republik Indonesia, Prof. Dr. KH. Nasaruddin Uma. Sesi dimudahcarakan oleh Prof. Dr. KH. Muhammad Sirajuddin Syamsuddin, Pengerusi CDCC.
Dalam ucapan beliau, YB Senator menegaskan Malaysia-Indonesia mewakili lebih 300 juta umat Islam yang mempunyai potensi besar untuk bangkit menerajui dunia. Beliau memetik pandangan Profesor Fazlur Rahman bahawa kebangkitan dunia Islam abad moden akan bermula dari Indonesia dan Malaysia.
d. Wacana Sains dan Teknologi
Satu pertemuan strategik turut diadakan bersama Direktur Jendral Saintek Indonesia, Prof. Dr. Ahmad Najib Burhani. Perbincangan menumpu kepada peranan sains dan teknologi dalam gagasan Madani. YB Senator menyatakan kemajuan teknologi seperti AI dan teknologi hijau mesti berteraskan tauhid, nilai moral dan keadilan sosial bagi memelihara kemuliaan insan.
4. PENGLIBATAN JMWP
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan diwakili oleh:
1. SS Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan.
2. AF Ustaz Khairul Anuar bin Abdul Khalid, Penolong Mufti Kanan, Unit Komunikasi Korporat.
Penglibatan JMWP dalam majlis ini selaras dengan hasrat untuk menyumbang kepakaran dalam agenda fatwa dan peradaban serta memperkukuh jaringan kerjasama serantau.
5. PENUTUP
MALINDO MADANI 2.0 berjaya membuka ruang dialog antara pelbagai disiplin ilmu dan menjadi platform strategik bagi merangka resolusi peradaban yang akan dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pelaksanaan di peringkat nasional dan kerjasama dua hala.
Program ini membuktikan bahawa gabungan kepakaran sains, teknologi, wahyu dan akal daripada Malaysia dan Indonesia mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan hakiki dan inovasi dunia Islam moden.