Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

MUZAKARAH ULAMA TURATH KEBANGSAAN 2026

Putrajaya, 19-20 September 2026 - Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan telah menghadiri Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Muzakarah yang menghimpunkan lebih 250 ulama, mufti, tuan guru, asatizah dan ilmuwan itu telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Turut hadir YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta ketua-ketua agensi berkaitan hal ehwal Islam.

Penganjuran muzakarah tersebut menjadi medan pertemuan dan perkongsian ilmu antara para ulama serta ilmuwan dalam membincangkan peranan khazanah turath dalam menangani cabaran masyarakat semasa. Antara isu yang diberikan perhatian termasuk pembinaan akhlak dan moral, pengukuhan institusi keluarga, pengaruh materialisme dan hedonisme, ekstremisme serta cabaran kehidupan digital dan perkembangan teknologi. Dalam majlis berkenaan, Perdana Menteri turut melancarkan terjemahan karya agung Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin, yang diterbitkan dalam 20 jilid.

Pada hari berikutnya, majlis penutupan Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan 2026 telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan seterusnya memimpin bacaan doa pada penghujung majlis, menandakan berakhirnya muzakarah selama dua hari yang mempertemukan tokoh-tokoh agama dan ilmuwan dari seluruh negara.