Mendengar satu berita yang cukup tragis dan memilukan di pagi hari Sabtu yang hening ini, 21 April 2018 dengan kematian Fadi Muhammad al-Bathsh[1]. Satu berita yang meremang bulu roma kami dan cukup pilu seolah-olah halilintar yang menyambar membelah kegelapan malam yang menakutkan.
Sahabat ini yang pernah bertemu kami, adalah seorang hafiz al-Quran, lunak bacaannya dan istiqamah pada agamanya. Matinya cukup mulia dalam menuju rumah Allah, membelah kegelapan malam.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
بَشِّرِ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
Maksudnya: “Beri berita gembiralah, mereka yang berjalan membelah kegelapan malam menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari Kiamat.”
Riwayat Abu Daud (561), Ibn Majah (781), al-Hakim dalam
al-Mustadrak (768) dan al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (5174)
Matinya pula kami harapkan dan berdoa agar mendapat syahadah (mati syahid). Ini kerana mempertahankan agamanya dan juga maruah dirinya. Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan dirinya, maka dia mati syahid.”
Riwayat Ahmad (1652), (1653), Abu Daud (2/275),
al-Tirmizi (2/316) dan beliau mensahihkannya dan al-Nasa’ie (2/316)
Semoga ia juga termasuk dalam firman Allah SWT:
وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
Maksudnya: “Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!”
(Surah al-Buruj: 8)
Ibn Kathir berkata: “Mereka yang beriman itu tiada apa pun kesalahan kecuali hanya kerana beriman kepada Allah yang Maha Perkasa.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/438)
Syeikh al-Sobuni menukilkan daripada Abi Hayyan melalui kitabnya al-Bahr al-Muhit berkata: “Dan tiadalah bagi mereka dosa dan tidaklah mereka menzalimi kecuali kerana mereka beriman dengan Allah SWT.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 8/451 dan juga Sofwah al-Tafasir, 3/516)
Kami mengharapkan agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin agar mereka yang melakukannya dibawa ke muka pengadilan dan terbela hak keluarga si mati. Ini kerana kecekapan pihak PDRM kami amat yakini.
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar rakan kita Fadi Rahimahullah ini ditempatkan dalam syurga-Nya. Kepada isteri dan anak-anaknya, kami ucapkan rakaman takziah dan juga kesabaran menjadi milik keluarga ini. Semoga peristiwa seperti ini tidak akan berlaku lagi di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Akhirnya, kami katakan sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita semua:
إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Marilah sama-sama kita berdoa untuknya:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan.
5 Syaaban 1439H bersamaan 21 April 2018M
[1] Berusia 36 tahun dan telah memperolehi Doktor Falsafah dalam bidang kejuruteraan elektronik. Beliau juga menjadi tenaga pengajar di salah sebuah universiti di ibu negara dalam bidangnya. Begitu juga beliau pernah memperolehi anugerah dalam melaksanakan bidang akademiknya serta menghasilkan banyak bahth ilmi (kajian ilmiah) di peringkat antarabangsa. Pada saat yang sama beliau menjadi imam di masjid sekitar Kuala Lumpur khususnya pada bulan Ramadhan.