SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesyorkan agar tabung anak yatim dan tabung zakat diasingkan kerana fungsinya adalah berbeza.

Beliau berkata, keadaan itu supaya jelas menampakkan hasil daripada tabung zakat dapat diberikan kepada yang layak dan berhak.

 

Katanya, fungsi tabung zakat adalah untuk diberikan kepada asnaf yang layak dan tidak termasuk di dalamnya anak yatim, melainkan jika anak yatim itu tergolong dalam mana-mana asnaf yang lapan.

Beliau mengulas persoalan itu dalam ruangan Al-Kafi #752: Hukum gabung tabung asnaf zakat dengan tabung anak yatim.

"Perlu diketahui bahawa zakat mempunyai asnafnya yang tersendiri berdasarkan firman ALLAH SWT dalam Surah At-Taubah ayat 60.

Maksudnya: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan ALLAH, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada ALLAH. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

"Melalui terjemahan ayat ini dapat kita ketahui bahawa asnaf yang lapan yang layak diberikan zakat ialah: Fakir, miskin, amil, saudara baru yang dijinakkan hatinya, hamba, orang yang berhutang, orang yang berada di jalan ALLAH dan orang yang bermusafir," katanya.

Menurutnya, tidak termasuk di dalamnya anak yatim. Melainkan jika anak yatim tersebut tergolong dalam mana-mana asnaf yang lapan. Pada ketika itu, mereka layak untuk diberikan zakat.