Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #43: POLITIK MEMIMPIN MANUSIA AMAT SUKAR

politik pimpin manusia.JPG

Alhamdulillah, segala puji kami panjatkan kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW, keluarga, para sahabatnya dan yang mengikut jejak langkah hingga ke hari akhirat.

Saya sengaja menyebut dengan tajuk ini pada petang Sabtu yang mulia ini (24 Ogos 2019), semata-mata kerana benarnya kata-kata Imam Syafi’e. Kebetulan, pada petang ini kami sedang menyemak siri Mawaqif al-Ulama’ Imam al-Syafi’e yang telah kami terbitkan Biografi Imam Syafi’e sejak tahun 2012 pada cetakan pertama.

Dalam buku tersebut, kami pernah tuliskan dengan satu ungkapan mutiara kata Imam Syafi’e: Politik memimpin manusia lebih sukar dari politik untuk memimpin binatang.” Memikirkan kata-kata ini, kerana seninya serta siyasah mengurus manusia begitu sukar. Seorang lelaki mungkin boleh mengawal beribu-ribu ekor lembu dalam kandangnya. Begitu juga boleh menjinakkan puluhan ekor harimau sehingga menjadi tontonan dalam sarkas. Tetapi manusia ini unik. Mempunyai akal, kehendak, tipu helah, nafsu dan perancangan yang mungkin berbeza dengan orang yang mentadbir dan mengarahnya. Sepuluh orang yang diarah serta disuruh boleh jadi mempunyai seratus perangai, kelakuan, tindakan dan kehendak yang berbeza dari arahan. Itulah manusia.

Muawiyah bin Abi Sufyan R.A yang menjadi khalifah pada tahun 40 Hijrah hingga 60 Hijrah yang berpusat di kota Damsyiq, dalam pengalaman siyasahnya pernah berkata kepada Ziyad bin Abihi: “Sesungguhnya tidak sayugia kami bersiyasah dengan manusia hanya dengan satu siyasah di mana kami berlembut kepada semuanya menyebabkan mereka bergembira dalam maksiat. Begitu juga, tidak sewajarnya kami bersikap keras semuanya, nescaya kami membawa orang ramai ke arah kebinasaan. Sepatutnya, ada masa hendaklah kamu berkeras sedangkan aku menggunakan pendekatan yang lembut. (Lihat al-'Iqd al-Farid, 1/41; al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/443 dan Siyar A'lam al-Nubala', 5/149)

Dengan sebab itu, tidak pelik bila ditanya kepada Badiuzzaman Sa’id al-Nursi tentang siyasah, lantas beliau berkata, “Aku minta berlindung dari syaitan dan siyasah.” (Lihat Apolitical Interpretation of Islam: Said Nursi's Faith-Based Activism in Comparison with Political Islamism and Sufism, hlm. 102)

Imam Syafi’e pernah berkata seperti yang dinukilkan oleh muridnya, Yunus: “Mengajar manusia lebih susah daripada mengajar haiwan.” Tidak pelik, kita melihat ramai orang yang boleh memimpin diri sendiri dan mengatur tugasnya serta membuat perancangan yang berjaya, tetapi tidak ramai orang yang mampu menggerakkan manusia dengan menggerakkan hati-hatinya terlebih dahulu sehingga ikutan mereka kepada seseorang itu atas rasa cinta, suka dan kepatuhan yang tinggi. Inilah yang terjadi kepada Rasulullah SAW, bagaimana sahabat amat setia dan patuh dek kerana cinta kepada Rasulullah SAW, sama ada ketika aman dan perang. Wala’ mereka kepada Rasulullah SAW bersifat mutlak dan benar-benar mentatbiqkan apa yang terwujud dalam al-Quran al-Karim.

Istilah politik menurut para ulama dimaksudkan dengan dua pengertian:

  1. Makna umum, iaitu menangani urusan manusia dan masalah kehidupan dunia mereka berdasarkan syariat agama. Kerana itulah, dia dikenali dengan istilah khilafah yang bermaksud perwakilan Rasululah untuk menjaga agama dan mengatur dunia.
  2. Makna khusus, iaitu pendapat yang dinyatakan pemimpin, hukum dan ketetapan-ketetapan yang dikeluarkannya, membasmi kerosakan yang sudah terjadi atau untuk menyelesaikan masalah khusus. (Lihat Teori Politik Islam (terj.) oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 34)

Syeikh Abu A'la al-Maududi menyebut bahawa manusia memerlukan pemerintahan kerana kewajipan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Hal ini hanya dapat dilaksanakan dengan wujudnya pemerintahan. Tanpa pemerintahan atau pemusatan kekuasaan mustahil perkara ini dapat dilaksanakan. Jika manusia gagal melaksanakan amar makruf nahi mungkar, nescaya bumi ini bermandikan darah akibat seribu satu macam kejahatan yang dilakukan manusia. (Lihat al-Khilafah wa al-Mulk, oleh Abu A'la al Maududi, hlm. 107)

Profesor Dr. Ahmad Syalabi pula menyebut bahawa pemerintahan merupakan fitrah alamiah manusia. Kepentingannya menyamai kepentingan manusia terhadap kepentingan primer yang lain seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kepentingan tersebut sudah dirasakan sejak manusia lahir ke bumi. (Lihat al-Siyasah fi al-Fikr al-Islami, oleh Ahmad Syalabi, hlm. 12)

Kami merasakan ketokohan seseorang dalam memimpin, sebahagiannya adalah bersifat anugerah Tuhan. Manakala sebahagian yang lain pula adalah bersifat pembelajaran dan makrifah melalui pengalaman mereka yang terdahulu serta cara berinteraksi dengan mereka yang mengalami tajribah al-hayah. Inilah yang menjadikan mahalnya sebuah sikap dan tindakan serta bentuk qiyadah yang unggul dan berkesan.

Kami mengakhiri Qalam Mufti pada kali ini dengan menukilkan satu pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata kepada Amar ibn Muhajir supaya sentiasa menasihatkannya: “Apabila kamu melihatku menyeleweng daripada kebenaran, maka letakkanlah tanganmu pada bahuku dan goncangkanlah aku seraya berkata: Hai Umar, apakah yang telah kamu lakukan?” (Lihat buku kami berjudul Umar bin Abdul Aziz, hlm. 117)

Kami berdoa kepada Allah dan bermunajat kepada-Nya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”