Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam pertemuan dengan ramai pihak, kami selalu ditanya berkenaan cara untuk menangani pendidikan anak-anak yang nakal. Kami ringkaskan pesanan seperti berikut:
- Bina hubungan seakrab mungkin antara pasangan suami isteri atau ibu bapa. Ini akan memudahkan sebarang bentuk tindakan yang bersifat bersama. Ia juga memberi keyakinan yang lebih bagi pihak kedua ibu bapa untuk mengambil sebarang tindakan.
- Sentiasa fikir cara yang terbaik dalam mengambil sebarang tindakan. Hal ini penting agar anak akan memahami kehendak ibu bapa dengan arahan yang sama tanpa sebarang pertentangan.
- Terangkan peraturan kepada anak-anak dengan jelas. Maklumkan kepada mereka tentang peraturan, had, batas dan apa yang dimahukan daripada mereka. Ia juga boleh dilakukan dalam bentuk bertulis.
- Libatkan anak untuk sama-sama berbincang tentang peraturan yang ingin diterapkan. Hal ini akan menjadikan mereka lebih mudah untuk menuruti arahan tersebut.
- Panggil anak dengan panggilan yang baik.
- Jangan mengambil hati atas karenah dan kedegilan mereka tetapi bersabar dan terus didik dengan berhikmah.
- Jangan sesekali menyebut perkataan degil atau tidak mendengar kata kepada anak.
- Teguran atau tunjuk ajar dilakukan bukan dalam nada memaksa atau marah sebaliknya dengan memberi penjelasan.
- Sesekali luangkan masa bersama anak terutama sewaktu mereka bermain serta cuba untuk fahami kehendak dan pemikiran anak-anak.
- Berbincang sesama suami isteri untuk kenalpasti dan memahami punca anak menjadi nakal. Begitu juga dengan pembacaan dari bahan-bahan bacaan yang berkaitan.
Menurut Perunding Pendidikan dan Keibubapaan, Firdaus Azhari, menyebut cara berfikir kanak-kanak berbeza sama sekali dengan cara pemikiran dewasa. Pada tahap tersebut, mereka belum mampu melihat sesuatu dari sudut pandangan orang lain. Mereka hanya boleh melihat dan berfikir dengan cara mereka sahaja atau mengenai dirinya sahaja. Sebagai contoh, ibu bapa meminta anaknya berhenti bermain gelas kerana melihat dari sudut keselamatan. Namun berbeza dengan pemikiran kanak-kanak, mereka berfikir dari sudut keseronokan bermain dengan gelas tersebut.
Beliau berkongsi beberapa kaedah menangani situasi ini, antaranya:
- Lapangkan hati
Apabila sudah memahami sifat kanak-kanak seperti itu, maka terima sahaja kemungkinan yang akan berlaku disebabkan kekangan ini.
- Ulang secara konsisten
Dalam melatih dan memupuk sesuatu, ulang sebanyak mungkin kepada mereka dengan nada yang sama dan bukan dengan nada semakin lama semakin marah.
- Elakkan daripada mengajar konsep ‘jangan sampai mak bangun’
Didik anak untuk ‘bangun’ dan ‘bergerak’ apabila mendengar arahan pada kali pertama. Caranya adalah dengan mengucapkan dengan seluruh jiwa dan perasaan. Jika hendak menyuruh anak ke dapur, jangan bercakap dari dapur. Sebaliknya, datanglah kepada mereka, tatap wajah mereka, dan minta anak ke dapur bersama-sama kerana sekiranya kita bercakap dari jauh, akan terbina konsep ‘Tak apa, mak cakap baru dua kali’.[1]
Saya teringat satu kaedah yang dinyatakan oleh salafus soleh:
لَاعِبُوهُمْ سَبْعًا وَأَدِّبُوهُمْ سَبْعًا وَصَادِقُوهُمْ سَبْعًا، ثُمَّ اتْرُكُوا لَهُم الحَبْلَ عَلَى الغَارِبِ
Maksudnya: Bermainlah dengan mereka selama tujuh tahun yang pertama, didiklah mereka pada tujuh tahun yang kedua, dan bersahabatlah dengan mereka pada tujuh tahun yang ketiga. Kemudian tinggalkan bagi mereka tali pada puncak bukit.
Ini menunjukkan betapa anak-anak diberi bentuk pendidikan mengikut marhalah masing-masing yang akhirnya mampu menggalas dan memikul tanggungjawab untuk mengetuai keluarga pada masa seterusnya.
Semoga Allah jadikan anak-anak kita sebagai permata hati kita. Amin.
Pesanan kami, jangan lupa titipkan doa setiap hari kepada anak-anak dan kaum keluarga serta umat Islam agar dikurniakan kebaikan hidup di dunia dan di akhirat.
Kami akhiri dengan doa kepada Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
_____________________________
Nota Hujung:
[1] Lihat rencana bertajuk Mereka bukan degil... dalam portal My Metro yang disiarkan pada 28 Mac 2019.