Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #51: MENGINSAFI TITAH DIRAJA SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS, MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA (MKI)

 

ih124 conflict 26736410

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Alhamdulillah, sempena Sambutan Jubli Emas, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada hari ini (7 November 2019), kami terpanggil untuk berkongsi isi-isi penting Titah Diraja yang disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang amat menarik hati ini.

Sejujurnya, Titah Diraja yang telah disampaikan sebentar tadi amat memberi muhasabah kepada diri ini kerana ianya sarat dengan hikmah dan pedoman yang bersulamkan nasihat dengan langgam bahasa yang amat mengesankan.

Kami noktahkan di sini beberapa isi penting yang sempat dicatatkan semasa penzahiran Titah Diraja yang bertajuk “BERKUBU DI ATAS GUNUNG SEJARAH, MERENUNG KE DEPAN, MENYUSUN LANGKAH” sebentar tadi:

  1. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Tuanku memulakan Titah Diraja dengan menyebutkan al-asma’ al-husna dalam merafa’kan syukur kepada Ilahi. Baginda secara tidak langsung telah mengingatkan sekalian rakyat jelata akan pengertian sebenar syukur iaitu merafa’kan pujian hanyasanya kepada Allah SWT, Raja bagi segala raja.
  2. Menelusuri sejarah 50 tahun penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) di mana Majlis Raja-Raja dalam persidangan kali ke 81, pada 17 Oktober 1968, telah memperkenankan penubuhan sebuah badan untuk menyelaraskan urusan hal ehwal agama Islam di seluruh Malaysia.
  3. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, memperuntukkan, agama Islam ialah agama Persekutuan. Inilah yang menjadi punca kuasa bagi memberikan satu keistimewaan kepada agama Islam, membolehkan dana kerajaan dibelanjakan untuk membiayai pengurusan dan pembangunan berkaitan agama Islam. Badan, organisasi dan institusi Islam ditubuhkan; bangunan pentadbiran, institusi latihan, mahkamah syariah, masjid dan surau, dibina; pelbagai jawatan untuk menguruskan hal ehwal Islam, merangkumi jawatan-jawatan hakim syarie, mufti, imam, bilal dan siak, pentadbir hingga pemandu, diwujudkan, dengan pembiayaan perbelanjaan oleh kerajaan, baik di peringkat pusat begitu juga di peringkat negeri. Berdasarkan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan inilah jua tertubuhnya Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) atas perkenan Majlis Raja-Raja.
  4. Gabungan tokoh ulama’ dan umara’ dalam MKI memungkinkan wujudnya natijah yang jitu dalam perkembangan dakwah Islam di Malaysia.
  5. Kami amat tertarik dengan kisah pendidikan awal Islam yang diperoleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan daripada ayahanda dan bondanya yang diibaratkan dengan kata bidalan sebagai “kecilnya duduk mengaji, besarnya tegak sembahyang”. Hakikatnya, asas sebegitulah yang cukup penting bagi membentuk keperibadian sahsiah Muslim yang terpuji disamping pendidikan berhubung amar ma’ruf dan nahi munkar.
  6. Memetik kata-kata Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Tuanku: “Allah Subhanahu Wata’ala mencipta alam, segala isi dan kejadian, untuk dijadikan guru. Orang-orang tua kita dahulu, banyak berguru kepada alam, kerana itu mereka sangat menghargai alam dan tidak akan merosakkan alam.” Belajar daripada alam dapat merendahkan ego dan meninggikan keinsafan. Alam adalah tarbiah Allah SWT yang amat ampuh dalam mendidik diri kita sebagai hamba-Nya. Alam juga adalah antara elemen terpenting yang boleh membentuk jiwa insaniyyatul insan (insan yang ada sifat keinsanan) dalam diri seorang manusia.
  7. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Tuanku membawakan beberapa pepatah, tamsilan dan bidalan yang sarat dengan unsur nasihat. Itulah akar-akar bahasa dan perlambangan budi orang Melayu berkomunikasi secara seni. Telah menjadi sifat orang Melayu beradat, menyampai sesuatu maksud secara berkias.
    1. “Kecilnya duduk mengaji, besarnya tegak sembahyang”
    2. “Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah, Syarak mengata, adat memakai.”

Begitu juga pantun Melayu lama yang sangat mendalam maknanya:

Penakik pisau seraut,

Ambil galah batang lintabung,

Seludang jadikan nyiruYang setitik jadikan laut,

Yang sekepal jadikan gunung,

Alam terbentang jadikan guru.

 

Berakit-rakit ke hulu,

berenang-renang ke tepian;

Bersakit-sakit dahulu,

bersenang-senang kemudian.

Langgam bahasa sebegini sudah cukup memberikan ingatan yang membekas dalam hati mereka yang mendengar.

  1. Dengan membawa 3 contoh tokoh pemimpin Islam yang disegani iaitu Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz, Sultan Muhammad al-Fateh dan Zulkarnain, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Tuanku berjaya menjentik hati para ulama’ dan umara’ untuk merenungi sifat keadilan, ketakwaan, keimanan dan keberanian yang ada pada mereka.
  2. Kami amat tersentuh dengan kisah ketidakamanahan segelintir kecil penduduk kampung di Malaysia yang mengambil barangan daripada lori yang kemalangan, berbeza dengan sikap masyarakat di negara bukan Islam yang membantu pemandu lori mengutip kembali barangan yang bertaburan di jalanraya, tanpa mengambilnya. Banyak persoalan yang timbul; Dimanakah peranan ulama’ dan umara’ dalam hal ini? Adakah penduduk kampung itu tidak mempunyai asas agama yang baik? Atau, adakah mereka amat terdesak dan terhimpit dengan kemiskinan sehingga sanggup mengambil hak orang lain tanpa kebenaran?
  3. Pesanan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Tuanku semasa penutup: “Umat Islam mempunyai cabaran berat untuk mentransformasikan minda dan jiwa, agar menjadi minda dan jiwa merdeka, meletakkan sepenuh pengabdian kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala, lantas tidak akan bersekongkol, di sebaliknya berani menentang kemungkaran. Setiap keluarga Islam wajib sedar, bahawa Islam yang diwarisi secara automatif melalui kelahiran itu, perlu diperlengkap dengan pengisian.” Inilah pesanan yang pada kami, perlu disematkan dalam jiwa-jiwa setiap individu yang menganut agama Islam dan meletakkan Islam sebagai cara hidup secara keseluruhannya.
  4. Akhirnya, kami tidak menemui kata-kata yang selayaknya untuk menyimpulkan Titah Diraja ini melainkan, inilah intipati utama dalam Surah al-Asr. Imam al-Syafie pernah berkata: “Seandainya Al-Quran tidak diturunkan, nescaya satu surah ini (Surah al-Asr) sudah cukup menjadi petunjuk buat manusia. Kerana di dalamnya terkandung hampir keseluruhan pesanan daripada Al-Quran”.

Itulah sejuzuk daripada noktah-noktah penting yang sempat dicatatkan untuk diambil istifadah daripada mutiara Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah sempena Sambutan Jubli Emas, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

اَللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا إتِّبَاعَه وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابَه

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.