ALTERNATIF BIMBINGAN DAN DIDIKAN DI SEKOLAH SELURUH MALAYSIA
Mukadimah
Takziah diucapkan kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi di beberapa sekolah baru-baru ini. Situasi ini begitu membimbangkan seluruh rakyat Malaysia sehingga menyebabkan pelbagai reaksi dan kritikan yang telah tular di media sosial.
Dalam kerangka Islam, prinsip pendidikan bukan hanya berpaksikan hukuman, tetapi berteraskan hikmah, rahmah dan tarbiah dan kesemua ini terangkum dalam dua maqasid penting iaitu maqasid al-tadayyun dan umran. Islam menekankan pembentukan insan melalui keseimbangan antara ketegasan dan kasih sayang. Oleh itu, wajar untuk meneliti beberapa alternatif lain selain merotan dalam memperkasa sekolah rendah dan menengah awam mahupun swasta sekaligus menjadikan sekolah tempat yang selamat untuk anak-anak bangsa menimba ilmu pengetahuan di Malaysia.
Mendidik Menurut Islam
Dalam Islam, prinsip mendidik berasaskan kasih sayang dan hikmah. Kedua-dua perkara ini menjadi asas yang paling utama. Tetapi aspek ketegasan tidak boleh diabaikan jika tidak ia akan menyebabkan didikan tersebut tidak berkesan. Apabila membincangkan tentang mendidik dalam Islam maka ia berkisar kepada istilah seperti taʻdib, taʻlim, tarbiyyah, tadris dan seumpamanya.
Secara umum, kesemua istilah ini membawa maksud proses mendidik dan membentuk adab seseorang supaya dia mampu menjadi insan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berakhlak atau bermoral. Pada hari ini, tugas mendidik bukan hanya dipertanggungjawabkan kepada para guru sahaja tetapi perlu diingat bahawa pendidikan awal seorang anak itu bermula daripada kedua-dua ibu dan bapanya. Oleh itu, anak ini merupakan anugerah dan amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada ibu dan bapa.[1]
Maka dalam memberikan didikan kepada anak-anak dan murid di sekolah, Islam tidak menolak secara mutlak penggunaan hukuman fizikal, namun ia mesti berpaksikan niat mendidik, bukan menghukum. Dalam hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.
(Riwayat Abu Dawud)
Hadis ini menunjukkan bahawa ibu bapa sewajar mendidik anak mereka di rumah terlebih dahulu meskipun terkadang ia perlu dilakukan dengan menggunakan hukuman yang berbentuk fizikal seperti rotan. Imam al-Baghawi menjelaskan bahawa ibu bapa boleh memukul dengan pukulan yang mendidik ketika anak-anak berumur sepuluh tahun sekiranya mereka masih meninggalkan solat.[2]
Walaupun begitu, ia mestilah dilakukan dengan cara yang betul dan bukannya berkeinginan untuk menghukum dengan cara terlalu melampau. Sebagai contoh, selepas teguran dan bimbingan gagal maka seseorang itu boleh merotan anak dengan niat untuk mendidik, bukan menghukum apatah lagi menghina dan tidak menyebabkan kecederaan fizikal atau trauma emosi.
Kaedah merotan pernah menjadi satu bentuk didikan di sekolah-sekolah pada zaman dahulu. Pada hari ini, rotan sudah tidak lagi menjadi alat didikan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Tetapi guru besar dan guru disiplin mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sekiranya kesalahan tatatertib yang membolehkan seseorang itu dirotan telah dilakukan dalam kawasan sekolah. Realitinya, tiada guru yang berani untuk merotan murid lagi pada hari ini kerana risau diserang dan diancam oleh ibu bapa murid, disaman dan sebagainya. Hal ini kerana, tiada akta atau undang-undang yang membela warga pendidik dalam hal tersebut.
Respon Terhadap Kes-Kes Baharu di Sekolah Sekitar Malaysia
Walaupun rotan pernah dianggap simbol disiplin di sekolah, realiti sosial dan psikologi hari ini menuntut pendekatan yang lebih berhemah dan berkesan. Kajian moden menunjukkan bahawa hukuman fizikal berlebihan boleh menimbulkan kesan psikologi jangka panjang, termasuk trauma, dendam dan kehilangan minat terhadap pembelajaran.
Dalam konteks Malaysia kini, cabaran pelajar bukan sekadar kenakalan, tetapi turut melibatkan tekanan mental, pengaruh media sosial dan kekurangan sokongan emosi. Oleh itu, semua pihak perlu rasional dalam memikirkan alternatif baharu yang lebih segar selain merotan, meskipun begitu tidak bermaksud kaedah rotan wajar ditolak 100%. Dalam erti kata lain, pendekatan pendidikan harus beralih kepada kaedah yang lebih menyeluruh. Justeru pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) ingin mencadangkan beberapa solusi yang boleh diambil perhatian oleh pihak berkuasa yang terlibat, berikut merupakan beberapa cadangan Solusi yang boleh difikirkan bersama:
- Memperkasa Saringan Kesihatan Mental Pelajar
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh memperkasa sistem saringan kesihatan mental para pelajar sedia ada di setiap sekolah seluruh Malaysia. Antara cabaran utama dunia pendidikan masa kini ialah isu kesihatan mental pelajar. Tekanan akademik, pengaruh media sosial serta ketidakseimbangan sokongan emosi menjadikan ramai pelajar menghadapi kemurungan, kebimbangan dan masalah tingkah laku.
Islam menitikberatkan penjagaan akal dan jiwa sebagai sebahagian daripada maqasid syariah iaitu Hifz al-‘Aql (menjaga akal) dan Hifz al-Nafs (menjaga jiwa dan nyawa). Oleh itu, pelaksanaan saringan kesihatan mental berkala di sekolah amat bertepatan dengan roh Islam kerana ia membantu mengenalpasti pelajar yang mengalami tekanan sejak awal, mengelakkan perlakuan ganas atau memberontak, memberi ruang intervensi awal oleh kaunselor atau pihak berautoriti dan dapat melahirkan pelajar yang lebih seimbang dari aspek emosi, intelektual dan spiritual. Kaunseling Islam juga wajar diperkasa agar bimbingan diberikan berdasarkan nilai iman dan takwa, bukan sekadar psikologi moden semata-mata.
- Memperkasa Peranan Warden dan Pengawal Keselamatan Sekolah
Dalam konteks keselamatan dan disiplin, peranan warden dan pengawal sekolah perlu diperluas daripada sekadar pengawasan fizikal kepada peranan bimbingan moral dan sahsiah.
Warden bukan sekadar penjaga asrama, tetapi murabbi yang berperanan membentuk akhlak pelajar di luar waktu bilik darjah. Dengan latihan keagamaan dan kemahiran komunikasi yang baik, mereka boleh menjadi model disiplin dan teladan kepada pelajar.
Namun, bagi memastikan cadangan ini dilaksanakan dengan baik, pihak kerajaan wajar untuk memikir dan mempertimbangkan perjawatan warden di sekolah. Ini bermaksud warden bukan lagi lantikan terhadap guru-guru yang siangnya mengajar di bilik darjah, malamnya menjadi warden di asrama tanpa gaji sehingga menyebabkan prestasi mereka terjejeas dan kebajikan mereka terabai.
Manakala pengawal keselamatan pula perlu diberi latihan asas psikologi dan komunikasi agar mampu menangani pelajar bermasalah dengan pendekatan berhemah, mengesan pergerakan luar kawalan seperti buli, pergaduhan atau pengaruh negatif dan membantu membina suasana sekolah yang selamat dan harmoni.
Maka memperkasa warden dan pengawal keselamatan di sekolah bermaksud memperkukuh barisan penjaga ummah kecil di sekolah kerana amanah ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kepimpinan yang dituntut agama.
- Menambahkan Jawatan Pembantu Guru bagi Setiap Sekolah
Beban tugas guru masa kini semakin meningkat. Selain mengajar, mereka perlu mengurus data murid, laporan, fail disiplin, dokumentasi serta urusan pentadbiran lain. Akibatnya, masa dan tenaga guru untuk mendidik secara berkesan semakin berkurang.
Oleh itu, cadangan untuk menambah dan memperbanyakkan jawatan pembantu guru merupakan langkah progresif dan sangat bertepatan dengan prinsip maslahah (kepentingan umum) dalam Islam. Pembantu guru boleh:
- Mengurus kerja pentadbiran rutin;
- Membantu pemantauan murid dalam aktiviti;
- Membolehkan guru memberi fokus kepada pengajaran, nilai dan pembinaan sahsiah.
Ini juga menepati roh Islam yang amat menekankan keutamaan bekerjasama dalam kebaikan. Melalui pembantu guru, sistem pendidikan dapat berfungsi lebih efisien dan guru boleh kembali kepada peranan asal mereka iaitu sebagai pendidik jiwa dan pembentuk akhlak, bukan sekadar pengurus kertas kerja.
- Penambahbaikan dan Pengemaskinian Sistem CCTV di Kawasan Sekolah
Dalam usaha memastikan keselamatan dan disiplin pelajar sentiasa terpelihara, pemasangan serta pengemaskinian sistem kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh kawasan sekolah wajar dijadikan keutamaan.
Langkah ini bukan sekadar bertujuan mengawal tingkah laku negatif, tetapi juga berfungsi sebagai pendekatan pencegahan (sadd al-zara’i) terhadap sebarang bentuk jenayah, buli atau salah laku pelajar. Sistem pemantauan yang berkesan membolehkan pihak sekolah, warden dan pengawal keselamatan bertindak lebih pantas, tepat dan berhemah apabila berlakunya insiden yang tidak diingini.
Selain itu, pengawasan melalui CCTV juga dapat menanam rasa tanggungjawab dan keinsafan dalaman dalam diri pelajar bahawa setiap perbuatan diperhatikan oleh Allah SWT. Oleh itu, pengemaskinian sistem CCTV secara berkala bukan sahaja memperkukuh keselamatan fizikal sekolah, malah turut berperanan mendidik pelajar dengan nilai muraqabah (dekat dengan Allah SWT) iaitu kesedaran bahawa mereka sentiasa diawasi, bukan sekadar oleh kamera, tetapi oleh Allah SWT yang Maha Melihat.
Kesimpulan
Islam tidak menolak ketegasan dalam pendidikan, tetapi menolak kekerasan yang membinasakan. Rotan boleh menjadi simbol disiplin, namun bukan satu-satunya jalan untuk mendidik. Dalam era moden ini, pendekatan yang lebih menyeluruh, saintifik dan berasaskan nilai Islam perlu diutamakan.
Oleh itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa:
- Saringan mental pelajar perlu dijadikan program tahunan wajib di setiap sekolah seluruh Malaysia;
- Warden dan pengawal keselamatan mesti dilatih sebagai “murabbi luar bilik darjah” yang memahami psikologi pelajar;
- Pembantu guru harus ditambah bagi menyeimbangkan fungsi guru dan memastikan sistem pendidikan yang lebih efektif;
- Sistem CCTV perlu dipasang dan sentiasa dikemaskini di setiap sekolah bagi memastikan pemantauan yang berkesan, sekali gus membolehkan pihak sekolah, warden dan pengawal keselamatan bertindak pantas serta berhemah apabila berlaku insiden yang tidak diingini.
Apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan hikmah, maka lahirlah generasi yang bukan sahaja berdisiplin, tetapi juga beradab, berakhlak dan berjiwa sejahtera.
Wallahu'alm
Rujukan:
[1] Sulaiman al-Lahim. 2021. Maraqi al-‘Izzah wa Muqawwamat al-Saʻadah. Damam: Dar Ibn al-Jauzi. Hlm. 236.
[2] Al-Baghawi. 1997. Al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafiʻi. ed. ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud dan ‘Ali Muhammad Muʻawwad. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Jld. 2: hlm. 31.