
ANAK KITA TANGGUNGJAWAB KITA: AYUH SELAMATKAN ANAK-ANAK REMAJA KITA DARIPADA ZINA!
Laporan YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada minggu lepas berhubung seramai 16,951 orang remaja perempuan yang berusia 19 tahun dan ke bawah yang direkodkan hamil tanpa perkahwinan yang sah bagi tempoh 2020 hingga 2024.[1] Berdasarkan kepada data ini, angka yang dilaporkan menunjukkan bahawa secara puratanya terdapat lebih 9 kelahiran luar nikah yang melibatkan anak-anak remaja dalam sehari. Laporan ini menunjukkan keadaan serius yang perlu dibendung dan dirawat dengan segera.
Anak-anak remaja pada ketika usia mereka di bawah 19 tahun berada pada fasa yang penting dalam perkembangan kehidupan mereka dan berada dalam fasa mereka suka untuk mencuba segala perkara baharu. Justeru anak-anak yang tidak mendapat pendidikan dan perhatian yang sewajarnya berisiko terjebak dengan perbuatan zina yang terkutuk ini. Lebih-lebih lagi dalam dunia akhir zaman yang semakin mencabar ini, banyak faktor yang boleh mendorong anak-anak remaja untuk melakukan perhubungan haram seperti faktor pergaulan bebas, aurat yang tidak dijaga, pengaruh media dan pornografi, kurang didikan agama, dan pelbagai lagi faktor-faktor lain.
Selain daripada perbuatan zina dikira sebagai dosa besar di dalam Islam, perbuatan ini juga menyebabkan nasab keturunan yang tidak terjaga dan seterusnya mengakibatkan pengabaian terhadap anak-anak yang lahir tanpa perkahwinan yang sah.[2] Hal ini sangat bertentangan dengan Islam yang begitu menjaga soal nasab dan keturunan. Justeru itu, Islam mengharamkan segala perkara yang menghampiri kepada zina seperti firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”.
[Surah al-Isrā’, 32]
Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memuji tindakan Kerajaan dalam usaha untuk menangani isu ini seperti pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), begitu juga khidmat-khidmat sokongan yang dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Tindakan-tindakan Kerajaan seperti ini adalah selaras dengan pendidikan seksual yang dianjurkan, iaitu dengan memberikan pengetahuan, kesedaran, dan panduan tentang aspek-aspek berkaitan seksualiti manusia berdasarkan nilai, akhlak, hukum syarak, dan prinsip kesucian (‘iffah). Ia bukan pendidikan yang mendorong kepada eksperimen seksual, sebaliknya ia adalah merupakan pendidikan bagi tujuan mencegah kemudaratan, menggalakkan akhlak mulia, serta membimbing manusia berinteraksi dengan fitrah secara betul dan berpandukan hukum syarak.
Sungguhpun begitu, namun tanggungjawab untuk mendidik anak-anak remaja juga perlu digalas oleh semua pihak, terutamanya ibu bapa dan pihak penjaga terhadap anak-anak tersebut. Bermula daripada rumah lagi, ibu bapa perlulah memainkan peranan dalam memastikan anak-anak diberikan pendidikan yang sewajarnya, termasuklah kepada penghayatan agama. Islam juga turut membendung hal ini dari awal sehinggakan anak-anak diwajibkan untuk diasingkan tempat tidur mereka antara anak lelaki dan anak perempuan.[3]
Pihak sekolah juga turut berperanan penting dalam membendung remaja daripada terjebak dalam kancah zina dengan menyediakan pendidikan agama, membina kesedaran tentang batas pergaulan serta tanggungjawab diri, dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat serta berdisiplin. Perkara-perkara ini boleh dicapai melalui bimbingan guru, program kerohanian, ceramah kesedaran, serta pelbagai aktiviti untuk mengisi masa pelajar.
Selain itu, masjid dan surau juga turut memainkan peranan dalam membendung remaja daripada zina dengan menjadi pusat pembinaan iman, ilmu dan akhlak melalui ceramah, kuliah agama, kelas al-Quran serta program kerohanian yang menguatkan hubungan anak-anak remaja dengan Allah SWT. Institusi ini juga boleh menyediakan persekitaran yang selamat untuk remaja berkumpul, beraktiviti dan mendapatkan bimbingan daripada para asatizah yang berkelayakan. Dengan mendekatkan remaja kepada aktiviti keagamaan dan komuniti yang baik, masjid dan surau boleh membantu dalam membentuk nilai malu, menjaga batas pergaulan, serta menjauhkan mereka daripada pengaruh sosial yang boleh membawa kepada perbuatan zina.
Akhir kata, anak-anak remaja adalah merupakan aset negara yang akan menjadi generasi pewaris kepada kepimpinan negara ini di masa hadapan. Tanggungjawab untuk memberikan pendidikan sebaiknya kepada mereka tidak boleh dipandang enteng, bahkan anak-anak mestilah dididik dan dibentuk sedari kecil lagi, bak kata peribahasa: “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”.
WaLlāhu A’lam
Rujukan:
[1] Rujuk laporan RTM: https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/hampir-17,000-remaja-hamil-luar-nikah-sepanjang-2020-2024
[2] Untuk bacaan lanjut mengenai keburukan perbuatan zina, rujuk artikel kami di pautan berikut: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2606-al-kafi-812-kesan-buruk-zina
[3] Untuk bacaan lanjut mengenai hukum mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan, sila rujuk artikel kami di pautan berikut: https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4028-al-kafi-1545-hukum-anak-lelaki-dan-perempuan-tidur-sebilik