Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 60/2026: MENJADI MASYARAKAT YANG BIJAK DALAM MEMBANTERAS TIPU DAYA "SCAMMER"

TintaMufti.jpg

 

MENJADI MASYARAKAT YANG BIJAK DALAM MEMBANTERAS TIPU DAYA "SCAMMER"

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.

Sejak akhir-akhir ini, negara kita berhadapan dengan cabaran yang amat membimbangkan berkaitan peningkatan jenayah penipuan atau lebih dikenali sebagai scam. Berdasarkan statistik semasa, ribuan rakyat Malaysia telah terjerat sehingga melibatkan kerugian mencecah jumlah bilion Ringgit Malaysia. Saban hari, pelbagai modus operandi baharu dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdaya mangsa, bermula daripada penipuan pelaburan yang tidak wujud sehinggalah kepada taktik penyamaran sebagai pihak berkuasa. Sehubungan dengan itu, penulisan Tinta Mufti kali ini bertujuan memberikan bimbingan kepada masyarakat agar menjadi pengguna yang bijak dan berwaspada berlandaskan prinsip fiqah muamalat di dalam Islam.

Harta merupakan salah satu daripada lima perkara asas yang wajib dipelihara di bawah kerangka maqasid syariah. Syariat Islam mengharamkan sebarang bentuk perolehan harta secara batil selaras dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah."

Surah al-Baqarah (188)

Ayat ini menunjukkan larangan ke atas manusia untuk mengambil harta orang lain dengan cara yang salah di dalam Islam. Setiap individu Muslim dituntut untuk memelihara harta sebaik mungkin, bagi memastikan harta tersebut tidak hilang atau dicuri disebabkan kelalaian sendiri. Jenayah penipuan ini bukan sahaja merugikan pada aspek material, malah ia sering kali membawa kepada kemusnahan institusi keluarga dan gangguan kesihatan mental yang serius kepada mangsa yang terlibat.

Berdasarkan penelitian, terdapat dua elemen utama yang wujud dalam jenayah scam iaitu gharar (ketidakjelasan) dan al-kizb (pendustaan). Justeru sebagai pengguna yang bijak, setiap individu mestilah memastikan segala transaksi kewangan yang ingin dijalankan tidak mengandungi perkara-perkara gharar, yang kebiasaannya membawa kepada penipuan di dalam pelaburan, seperti skim pelaburan palsu yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa singkat.

Selain itu, Rasulullah SAW memberikan amaran keras terhadap mereka yang menipu dalam urusan harian melalui sabda baginda yang menegaskan bahawa sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan umat baginda. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya:Sesiapa yang mengangkat senjata terhadap kami, maka dia bukan dalam kalangan kami. Begitu juga sesiapa yang menipu (berlaku tidak jujur) terhadap kami, maka dia juga bukan dalam kalangan kami.”

[Riwayat Muslim]

Sementara daripada perspektif maqasid syariah, pengharaman riba, gharar, judi dan seumpamanya adalah bertujuan menghindari mafsadah terhadap harta seperti kerugian, kemiskinan dan kefakiran. Sejajar dengan itu, prinsip memelihara harta (hifz al-mal) dikategorikan sebagai salah satu daripada lima perkara yang dipelihara oleh syarak (al-kulliyyat al-khams). Oleh itu, perlakuan jenayah seperti "scam" adalah merupakan perlakuan yang bercanggah dengan syariat Islam kerana mempunyai unsur penipuan dan kezaliman terhadap orang lain. Bahkan, perlakuan ini juga termasuk dalam perbuatan mengambil harta orang lain secara batil yang diharamkan dalam Islam.

Bagi memastikan kita tidak menjadi mangsa penipuan, beberapa langkah proaktif perlu diambil perhatian oleh setiap lapisan masyarakat. Pertama, setiap individu perlu memperkasakan literasi kewangan dan undang-undang dengan memahami bahawa pihak berkuasa tidak akan menjalankan urusan rasmi atau tuntutan bayaran melalui panggilan telefon peribadi.

Kedua, sekiranya berlaku transaksi yang mencurigakan, tindakan segera harus diambil dengan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh kurang 24 jam untuk menyekat pengaliran keluar wang.

Ketiga, umat Islam perlu menjauhi sifat tamak dan sentiasa berhati-hati terhadap tawaran yang tidak masuk akal serta mengelakkan diri daripada menjadi "keldai akaun" dengan tidak menyerahkan akses perbankan kepada pihak lain.

Sebagai kesimpulan, jenayah scam adalah merupakan satu bentuk kezaliman yang merosakkan sosial dan ekonomi ummah. Oleh itu, usaha-usaha membanterasnya bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, malah ia merupakan fardu kifayah ke atas setiap ahli masyarakat. Semoga Allah SWT memelihara harta kita daripada segala unsur haram dan melindungi kita daripada tipu daya golongan yang batil.

Wallāhu A’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

18 REJAB 1447H / 8 JANUARI 2026