Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 94/2026: HUKUM PEMBERIAN BANTUAN BUDI MADANI RON95 (BUDI95) KEPADA BUKAN WARGANEGARA

TintaMufti.jpg

HUKUM PEMBERIAN BANTUAN BUDI MADANI RON95 (BUDI95) KEPADA BUKAN WARGANEGARA

BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah merupakan salah satu inisiatif Kerajaan MADANI untuk menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan lebih tepat kepada individu yang berkelayakan. Inisiatif ini bertujuan menangani ketirisan subsidi yang berlaku akibat penyeludupan dan pemberian subsidi kepada bukan warganegara.

Mutakhir ini timbul persoalan dalam kalangan masyarakat yang bertanyakan mengenai hukum sebahagian rakyat yang diberikan subsidi BUDI95 ini, lalu memberikan peruntukan tersebut kepada pengguna yang bukan warganegara Malaysia yang tidak layak dengan mengisi petrol kenderaan mereka menggunakan subsidi BUDI95.

Dari perspektif fiqah, subsidi yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada rakyatnya boleh dikategorikan sebagai akad ibāḥah, iaitu suatu kontrak yang memberikan hak kepada penerimanya untuk menggunakan sesuatu perkara mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak yang memberikan hak tersebut tanpa memberikan hak milik penuh. Hal ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar dalam fatwa beliau seperti berikut:[1]

وَلَيْسَ لِلْمُبَاحِ لَهُ التَّصَرُّفُ فِيهِ بِغَيْرِ الْوَجْهِ الَّذِي ‌أُبِيحَ ‌لَهُ

Maksudnya:tidaklah bagi orang yang diberi keizinan itu (dalam akad al-Ibahah) untuk melakukan apa-apa terhadapnya selain daripada cara yang telah diizinkan baginya”.

Dalam konteks subsidi BUDI95, pihak Kerajaan telah memberikan kepada rakyat mengikut syarat-syarat yang ditetapkan untuk membayar sebahagian daripada harga petrol yang dibeli untuk kenderaan miliknya, maka rakyat yang mendapat subsidi BUDI95 ini tidak boleh menggunakan subsidi ini dengan cara selain daripada yang ditetapkan. Setiap penggunaan BUDI95 yang bercanggah dengan ketetapan Kerajaan adalah dihukumkan dari sudut fiqahnya sebagai haram, kerana ia termasuk daripada penggunaan sesuatu milik orang lain tanpa hak.

Dengan konflik, pergolakan dan serangan berterusan di Asia Barat, keadaan ini telah menyebabkan kerajaan menanggung tambahan subsidi petrol kira-kira RM2 bilion setiap bulan bagi mengekalkan harga petrol semasa.[2] Angka ini menunjukkan bahawa kos yang ditanggung oleh Kerajaan bagi memberikan subsidi BUDI95 adalah sangat besar dan tidak boleh dipandang ringan. Justeru, setiap dana subsidi yang disalurkan oleh Kerajaan sewajarnya digunakan dan dimanfaatkan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Selain itu, tindakan penyalahgunaan subsidi BUDI95 boleh menyebabkan ketirisan harta awam yang jelas bercanggahan dengan prinsip maqasid al-shari’ah dalam tuntutan terhadap penjagaan harta (hifz al-mal). Subsidi yang disalurkan kepada golongan yang tidak layak juga boleh menyebabkan tanggungan Kerajaan yang lebih berat, serta merosakkan amanah dan integriti dalam masyarakat.

Akhir kata, subsidi BUDI95 merupakan amanah yang perlu digunakan selaras dengan tujuan dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan. Sebarang penyalahgunaan bukan sahaja bercanggah dengan hukum syarak, bahkan turut menjejaskan keadilan sosial serta pengurusan harta awam. Oleh itu, setiap individu hendaklah mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan mengamalkan sikap amanah dalam memanfaatkan subsidi ini, agar manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

WaLlāhu A’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

28 RAMADAN 1447H / 18 MAC 2026

 

Rujukan: 

[1] Ibn Hajar al-Haytami, “Al-Fatāwā al-Kubrā al-Fiqhiyyah”, Al-Maktabah al-Islamiyyah, t.t., 3:103.

[2] https://www.astroawani.com/berita-malaysia/konflik-asia-barat-kerajaan-tanggung-subsidi-tambahan-rm2-bil-sebulan-pm-anwar