
KRISIS GLOBAL DAN TANGGUNGJAWAB UMAT: SERUAN BERJIMAT CERMAT DALAM MENJAGA KEMASLAHATAN NEGARA
Mutakhir ini, dunia menyaksikan perkembangan geopolitik yang semakin meruncing, khususnya konflik yang melibatkan pakatan Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran. Ketegangan ini bukan sahaja mencetuskan ketidakstabilan di rantau Timur Tengah, bahkan turut memberi kesan langsung kepada ekonomi global secara umum dan Malaysia secara khususnya. Antara implikasi terbesar ialah gangguan terhadap laluan strategik perdagangan dunia seperti Selat Hormuz yang merupakan nadi utama ekonomi dunia antaranya penghantaran minyak dan gas dunia. Gangguan atau sekatan terhadap laluan ini menyebabkan bekalan tenaga dunia terjejas, sekali gus melonjakkan harga minyak dan kos pengangkutan serta barangan asas . Situasi ini memberi kesan rantaian kepada inflasi, kos sara hidup serta kestabilan ekonomi negara-negara termasuklah Malaysia.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kerajaan telah mengambil langkah-langkah penjimatan antaranya pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi mengurangkan kos operasi dan perbelanjaan. Langkah ini wajar dilihat sebagai usaha strategik dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin mencabar di samping memastikan kelangsungan perkhidmatan awam tanpa membebankan kewangan negara. Tindakan kerajaan seperti penjimatan perbelanjaan atau pelaksanaan BDR termasuk dalam ruang ijtihad pemerintah yang bertujuan menjaga maslahat umum khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Imam al-Suyuti menyatakan dalam karyanya:
تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة
Maksudnya: “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.”[1]
Dalam memahami situasi dan realiti yang berlaku, umat Islam diseru untuk menghayati nilai berjimat cermat dan menjauhi pembaziran dalam kehidupan seharian. Islam secara jelas melarang sikap berlebih-lebihan sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ
Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (26) Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan.”
Surah al-Isra’: (26–27)
Dalam kerangka Maqasid Syariah, situasi ini berkait rapat dengan prinsip hifz al-Mal iaitu memelihara harta. Syariat Islam menuntut agar harta diurus dengan bijaksana, dilindungi daripada pembaziran serta dimanfaatkan secara berhemah demi kesejahteraan individu dan masyarakat. Ibny Asyur menyebut:
حفظ أموال الأمة من الإتلاف ومن الخروج إلى أيدي غير الأمة بدون عوض
Maksudnya: “Menjaga harta-harta masyarakat daripada kerugian dan daripada mengalir kepada yang bukan ummah tanpa sebarang pulangan.”[2]
Dalam konteks krisis global ini, setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk mengurus kewangan secara berhemah. Budaya berjimat cermat bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, bahkan turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara.
Krisis global yang berlaku hari ini merupakan ujian yang menuntut kebijaksanaan dan kesabaran semua pihak. Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi, umat Islam diseru untuk kembali kepada prinsip syariah dengan mengamalkan sikap sederhana, berjimat cermat dan bertanggungjawab dalam pengurusan harta. Inilah manifestasi sebenar Maqasid Syariah dalam kehidupan, yang bukan sahaja menjaga kepentingan individu, bahkan memastikan kesejahteraan masyarakat dan negara secara keseluruhan.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita semua kemudahan dalam mengurus kehidupan, melapangkan rezeki yang halal lagi diberkati serta melindungi kita daripada segala bentuk kesempitan dan kerugian.
Wallahu’alam
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
15 SYAWAL 1447H / 4 APRIL 2026
Rujukan:
[1] Jalaluddin al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Nazair. (t.t: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1411) Hlm. 121
[2] Muhammad al-Tahir bin Muhammad bin ‘Asyur al-Tunisi, Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah. (Qatar: Wizarah al-Auqaf wa al-Syuun al-Islamiyyah, 1425H) Jld.3 Hlm. 238