Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 149/2026 : MENGHIDUPKAN SUNNAH DALAM INSTITUSI KELUARGA

T.png

MENGHIDUPKAN SUNNAH DALAM INSTITUSI KELUARGA

Mengenal Rasulullah dan Pendidikan Anak Berasaskan Sunnah

Pengenalan terhadap peribadi Nabi Muhammad SAW merupakan asas pembentukan akidah dan akhlak dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Membina budaya membaca sirah nabawiyyah di rumah sama ada secara mingguan atau bulanan berfungsi sebagai benteng pemikiran anak-anak daripada terdedah kepada naratif yang terpesong mengenai Islam. Sebahagian besar penentangan mahupun penghinaan terhadap Rasulullah SAW lahir daripada rujukan sumber yang salah dan prejudis. Sebaliknya, pendedahan terhadap al-Quran dan riwayat yang sahih telah membuktikan keupayaannya melembutkan jiwa, bahkan menarik minat masyarakat dunia untuk memeluk Islam. Oleh itu, tindak balas umat Islam terhadap isu penghinaan agama sewajarnya beranjak daripada reaksi emosi atau kemarahan semata-mata kepada tindakan proaktif berasaskan penerangan, percetakan ilmu, dan dakwah berhikmah kepada masyarakat majmuk.

Fiqh Tarbiyah Terhadap Perkembangan Kognitif Kanak-Kanak

Dari sudut fiqh pendidikan (fiqh tarbiyah), kaedah mendidik anak-anak perlu diselaraskan mengikut tahap perkembangan kognitif dan biologi mereka. Kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun belum mencapai tahap tamyiz iaitu minda sedar dan kemampuan menaakul sebab-akibat secara matang, justeru belum ada taklifan atau kewajipan syarak ke atas mereka untuk menunaikan solat.

Fasa sebelum tujuh tahun menuntut pendekatan pembiasaan berasaskan kasih sayang dan arahan yang konkrit, bukannya larangan abstrak yang mengelirukan minda anak. Minda kanak-kanak sukar memproses perkataan negatif seperti perkataan "jangan" atau herdikan bahasa yang keras; sebaliknya, mereka memerlukan arahan positif yang spesifik seperti perkataan "duduk" atau "dengar", di samping teknik menenangkan dan mengalih perhatian apabila mereka menangis.

Apabila mencecah usia tujuh tahun, barulah proses pengasahan minda dan pengajaran formal dimulakan secara berstruktur, merangkumi hafazan dan pemahaman surah al-Fatihah, rukun ibadah, serta kecintaan kepada Rasulullah SAW. Perkara ini bertepatan dengan panduan nabawi:

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya: “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.”

(Riwayat Abu Daud)

Kaedah ini diperkukuh melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) sebagaimana teladan Luqman al-Hakim, iaitu membawa anak-anak melihat alam ciptaan Allah seperti bukit-bukau, binatang ternakan, bintang, dan fenomena malam sambil disulami penceritaan yang mendidik fikiran mereka.

Adab-adab harian yang digariskan oleh Sunnah seperti membaca bismillah, makan menggunakan tangan kanan, dan menghormati hak orang lain hendaklah diajarkan melalui teladan dan arahan yang jelas. Pendekatan kasar, makian, serta tindakan fizikal yang keterlaluan di rumah mahupun di asrama berisiko mewariskan budaya buli yang merosakkan ekosistem sosial generasi muda. Islam meletakkan konsep rahmah (belas ihsan) sebagai teras pembentukan sahsiah, sekali gus menolak sebarang bentuk kekerasan verbal mahupun fizikal yang menjejaskan maruah serta perkembangan emosi anak-anak dan ahli keluarga.

Batasan Merotan dan Fiqh Disiplin

Menyentuh aspek hukuman fizikal atau merotan, syariat menetapkan batasan ketat agar ia tidak bertukar menjadi kezaliman. Hukuman yang dibenarkan oleh para fuqaha hanyalah berbentuk disiplin ringan (dharb ghair mubarrih) yang bertujuan mendidik tanpa mencederakan, meninggalkan parut, atau melibatkan bahagian wajah seperti menampar. Merotan bukanlah penyelesaian utama dan tidak wajar dijadikan instrumen rutin dalam institusi persekolahan. Sebarang bentuk hukuman yang didorong oleh kemarahan nafsu menuntut pelakunya beristighfar, kerana matlamat tarbiah adalah untuk membetulkan kesilapan, bukan membalas dendam atau melampiaskan emosi.

Sunnah Kepimpinan Mengasingkan Bidang Nasihat dan Kuasa Menghukum

Dari perspektif hukum dan tadbir urus Islam (siyasah syar'iyyah), kuasa menghukum dan menjatuhkan sanksi fizikal pada hakikatnya terikat kepada pihak berautoriti (ulil amri) dan institusi kehakiman. Sebagaimana hukuman hudud atau penahanan undang-undang jalan raya tidak boleh dijalankan secara semberono oleh individu awam, guru dan ibu bapa juga tidak memiliki lesen mutlak untuk bertindak melangkaui batas disiplin yang dibenarkan undang-undang. Peranan masyarakat dan pendidik berpaksikan kepada nasihat, bimbingan, dan kasih sayang, manakala penguatkuasaan hukuman berat kekal di bawah bidang kuasa perundangan rasmi bagi mengelakkan kitaran keganasan luar kawal.

Menginsafi Kematian sebagai Pengukuh Tarbiah Jiwa

Pendidikan nilai disempurnakan dengan menghidupkan semula kesedaran tentang realiti kematian dan alam barzakh. Generasi terdahulu lazimnya mendidik anak-anak melalui kisah-kisah akhirat yang membina keinsafan jiwa. Mendedahkan generasi muda kepada perincian pengurusan jenazah yang sederhana berfungsi sebagai peringatan konkrit bahawa manusia akhirnya akan kembali ke tanah tanpa membawa sebarang kemegahan duniawi.

Mengimbangi bimbingan adab harian, pematuhan batas syarak dalam penguatkuasaan disiplin, serta pembudayaan sirah Rasulullah SAW di rumah adalah kunci utama melahirkan generasi yang teguh pegangan agamanya, berdisiplin perilakunya, dan sarat dengan nilai rahmah terhadap sesama insan.

 

SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN ALI @ FADZIL

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

2 NOVEMBER 2026 / 22 JAMADILAWAL 1448H